Isnin, 31 Ogos 2009

IMAM SHAMIL

Chechnya dan Dagestan merupakan kawasan bergolak sejak sekian lama dahulu. Pertumpahan darah sering sahaja berlaku di bumi bertuah ini sejak tentera Rusia menceroboh masuk sekitar abad ke 18 lagi. Namun, Chechnya dan Dagestan tidak pernah sunyi daripada pejuang-pejuang kebenaran yang terdiri dari anak watannya.
Perjuangan dan jihad untuk membebaskan Chechnya dan Dagestan dari cengkaman puak kuffar Rusia yang dipimpin tentera –tentera Tsar telah dimulakan oleh Imam Ghazi Muhammad Ismail al Gimruni dan diikuti Imam Hamzah Bek ibnu Ali Iskandar Bek al Hutsali. Kemudian ianya diteruskan oleh Imam Shamil, pemimpin agung yang berasal dari daerah Caucasus.
Kehidupan Awal
Imam Shamil dilahirkan pada tahun 1212H / 1796/97 M di Caucasus, sebuah daerah di Chechnya yang bersempadanan dengan Turki. Bapanya bernama Dengaw Muhammad, seorang zahid manakala ibunya adalah kerabat kepada keluarga bangsawan Ghazi Ghumuq yang berasal dari Ashilta.
Sewaktu bayinya beliau diberi nama Ali, tetapi kerana keadaan kesihatannya yang kritikal, nama tersebut ditukar kepada Shamuyil ( disebut Shamil mengikut dialek Caucusas ). Setelah pulih dari penyakitnya , Imam Shamil membesar dengan perawakan yang mengkagumkan.
Ketinggiannya adalah luar biasa sehingga mencapai enam kaki lebih ( sekitar dua meter tinggi ) dengan tubuh yang tegap dan sasa.
Sememangnya Imam Shamil dianugerahkan oleh Allah kelebihan semulajadi sebagai seorang pahlawan dan pemimpin umat. Keperkasaannya hamper tidak dapat ditandingi oleh pemuda-pemuda lain zamannya.
Begitu juga dengan kemahirannya menggunakan senapang berlaras panjang ( musket ), pedang dan badik serta merupakan seorang penunggang kuda yang terhebat didaerahnya.
Imam Shamil turut memiliki ciri-ciri seorang pemimpin yang baik. Beliau merupakan seorang yang terpelajar, mempunyai keazaman yang tinggi , disiplin diri yang ketat, ketabahan yang jitu dan mampu mengawal dirinya dari bisikan dunia.
Pendidikan
Sejak kecil lagi Imam Shamil telah menjalinkan hubungan yang rapat dengan Imam Ghazi Muhammad ( 1790 / 1823 ). Melalui rakannya ini, beliau diperkenalkan kepada pengjaran agama. Mereka bersama-sama menuntut ilmu agama dari Said al Harakani, seorang ulama besar masa itu.
Mereka turut mengikuti ajaran tareqat Naqsyabandiah dari Syaikh Sayyid Jamaluddin sebagi murshid dan dibimbing serta dibentuk sebagai khalifah atau imam oleh Syaikh Muhammad al Yaraghi.
Apabila shabat karibnya, Ghazi Muhammad melibatkan diri dalam arena politik dan kemudiannya menjadi pemimpin ( imam ) pertama Dagestan. Imam Shamil tidak turut serta tetapi meneruskan pengajiannya di bawah bimbingan Syaikh Jamuluddin. Setelah beberapa lama barulah Imam Shamil menceburkan diri ke kancah politik Negara dan berkhidmat sebagai panglima perang kepada Imam Ghazi Muhammad. Beliau kemudiannya menyertai beberapa misi jihad termasuk peperangan Gimrah pada tahun 1832 yang menyaksikan syahidnya Imam Ghazi Muhammad dan para syuhada yang lain.
Pertempuran di Gimrah sungguh memilukan. Moshe Gammer di dalam bukunya “ Muslim Resistance to the Tsar “ menyifatkan hanya dua orang sahaja dari tentera Islam yang tidak menemui ajal, yang mana salah seorangnya ialah Imam Shamil.
Setelah sembuh dari luka-luka yang amat parah ( ramai penduduk sekitar menyangka kecederaannya akan membawa maut ) . Imam Shamil terus sahaja melapor diri untuk berkhidmat di bawah Hamzah Bek, Imam kedua Chechnya dan Dagestan.
Beliau amat dipercayai oleh Imam Hamzah Bek. Imam kedua ini telah melantik Imam Shamil sebagai Gabenor bagi wilayah Hindal bersama-sama dengan beberapa gabenor lainnya yang berkuasa di daerah asal masing-masing seperti Said al Ihall, Ghazi Yo al Karati, Qibid Muhammad al Tiliqi dan Abdul Rahman al Qarakhi.
Pada 19 September 1843, sampai kepada Imam Shamil berita kematian Imam Hamzah Bek yang dibunuh ketika memasuki masjid Khunzakh untuk mengimamkan solat Jumaat. Motif pembunuhannya dikenal pasti sebagai menuntut bela yang dilakukan puak Khan Khunzah setelah terpedaya dengan propaganda yang dimainkan tentera Rusia.
Imam Shamil kemudiannya memanggil satu perjumpaan para ulama dan pembesar –pembesar Negara sekembali dari Hutsal ( pusat pemerintahan Imam Hamzah ) untuk memilih pemimpin baru. Para ahli majlis syura tersebut tidak ragu-ragu lagi telah memilih beliau sebagai Imam Ketiga.
Bagaimanapun, cadangan tersebut telah ditolak oleh Imam Shamil dan beliau sendiri mencadangkan beberapa calon yang menurutnya lebih berkelayakan. Tetapi ahli syura , terutamanya Sayyid Jamaluddin seorang ulama agung dari Dagestan, berkeras untuk tetap melantik Imam Shamil.
Akhirnya, setelah sidang syura hamper berputus asa. Imam Shamil menyatakan kesanggupan dengan hati yang berat. Para perwakilan merasa amat gembira dengan keputusan tersebut lantas dengan segera memberikan bai’ah ( kesetiaan dan ketaatan ) mereka kepada Imam ketiga yang begitu mashyur dalam sejarah sebagai seorang mujahid dan mujadid yang soleh dan agung.
Struktur Kenegaraan Imam Shamil
Setelah dilantik menjadi pemimpin utama pada hujung tahun 1834, Imam Shamil memerintah Chechnya dan Dagestan melalui jentera pemerintahan yang cekap berbanding sebelumnya. Hieraki pentadbiran diketuai oleh beliau sebagai Imam, meliputi urusan duniawi dan keagamaan termasuk di bidang perundangan dan kehakiman.
Imam Shamil memakai gelaran Amirul Mukminin. Beliau menganggap dirinya bukanlah sebagai pemimpin yang mempunyai kuasa yang mutlak tetapi hanya sebagai pelaksana syariah Allah dimuka bumi.
Beliau bersungguh-sungguh melaksanakan syariah di setiap pelusuk Chechnya dan Dagestan. Segala yang dilakukannya tertakluk di bawah dasar keimanan dan tanggung jawab. Beliau amat berpegang kuat kepada prinsip perundangan dan cara hidup islam di dalam pemerintahnnya.
Sebuah badan ditubuhkan untuk membantu beliau menjalankan urusan harian dikenali sebagai Diwan. Badan ini turut bertindak sebagai penasihat dan pemantau kepada keputusan kerajaan. Disetiap daerah pula dilantik naib Imam atau gabenor. Pada tahun 1856 terdapat seramai 33 naib Imam diseluruh Chechnya dan Dagestan.
Semasa pemerintahan Imam Shamil tentera merupakan kakitangan kerajaan yang terpenting. Disebabkan oleh perjuangan untuk membebaskan tanah tumpah darah mereka dari cangkaman Rusia durjana, hanya sebilangan kecil anggota masyarakat yang teridi dari pedagang , pengusaha dan ejen-ejen ekonomi lainnya dikecualikan dari menyertai tentera.
Imam Shamil berusaha membentuk sebuah pasukan yang berdisiplin dan berkualiti. Naib Imam dan para komander tentera perlu memastikan bahawa setiap lelaki diluar lingkungan usia 15 ke 50 tahun menyertai pasukan tentera. Peralatan perang seperti senjata api , peluru , kuda malah pakaian dan bekalan makanan juga perlu dipastikan mencukupi bagi keperluan anggota tentera.
Urusan kewangan Negara dikendalikan oleh Baitul Mal yang memobilasasikan segala sumber Negara. Terdapat dua sumber utama kekayaan Negara ketika itu, pertamanya zakat dan kharaj, manakala sumber keduanya dari harta rampasan perang di mana 1/5 ( khumus ) diperuntukkan untuk Negara atau maslahah umum dan bakinya (4/5 ) adalah hak tentera yang berjuang.
Selain sumber yang berasaskan hokum syarakdi atas terdapat juga hasil lain yang dikutip oleh Baitul Mal . Contohnya , harta individu yang telah meninggal dunia tetapi tidak meninggalkan seorang waris atau denda yang dibayar rakyat dan sumber lainnya atas kapasiti sebagai kerajaan yang memerintah.
Imam Shamil amat berhati-hati dalam membelanjakan sumber Negara ini. Perbelanjaan bagi setiap sumber dibuat dengan penuh teliti agar tidak menyimpang dari kehendak syarak. Untuk itu, setiap aliran keluar masuk kewangan Negara direkod menggunakan akaun yang berasingan.
Sebagai contoh, sumber yang diperolehi dari khumus dibelanjakan untuk kepentingan tentera dan peperangan menentang Rusia. Sementara sumber zakat untuk kepentingan syiar agama, pendidikan dan lainnya yang dikendalikan sekumpulan ulama.
Kesan yang amat jelas dalam pemerintahan Imam Shamil ialah pelaksanaan hokum dan nilai-nilai Islam yang subur di seluruh Caucasus. Beliau menentang adat yang bertentangan dengan ajaran agama yang diwarisi dari budaya Rusia.
Bagi Imam Shamil segala budaya sesat ini adalah perbuatan bid’ah yang wajib dihapuskan. Penjualan minuman keras diharamkan , para wanita digalakkan memaikai pakaian yang sopan dan wajib menutup aurat, muzik hanya dibenarkan pada keadaan tertentu seperti majlis perkahwinan.
Setiap lelaki muslim dimestikan hadir ke masjid pada tengah hari jumaat untuk menunaikan solat, puasa adalah wajib bagi setiap individu muslim di bulan Ramadhan dan pentadbiran kerajaan perlu bersesuaian dengan kehendak syarak dan berfungsi mengembangkannya kepada masyarakat awam.
Perlaksanaan perundangan Islam di Chechnya dan Dagestan di bawah tunjuk ajar Imam yang mulia ini benar-benar mengkagumkan. Malahan, pihak Rusia sendiri terpesona dengan perubahan moral sebilangan besar masyarakat terutamanya bangsa Chechen.
Kegiatan Jihad
Tindakan pertama yang di ambil oleh Imam Shamil setelah di Bai’ah ialah untuk membawa pembunuh Imam Hamzah Bek , Bulach Khan ke muka pengadilan.Dalam perjalanan ke Khunzakh, sampai berita yang mengatakan bahawa tentera Rusia sedang menyerang Gimrah.
Tentera Rusia yang dipimpin oleh Major – General Lanskoi telah memusnahkan perkampungan tersebut pada 27 september. Imam Shamil segera berpatah balik ke Gimrah. Beliau dengan segera melancarkan serangan balas dari segenap penjuru dalam usaha membebeaskan semula Gimrah. Beliau juga menjatuhkan hukuman mati kepada seorang penduduk Gimrah yang bertindak sebagai pemberi maklumat kepada tentera Rusia.
Kemudian termetrai perjanjian damai buat sementara waktu di antara pihak Imam Shamil dan Rusia termasuk para pemberontak seperti kumpulan klugenau. Bagaimanapun dalam tempoh ini Imam Shamil ditentang pula oleh naib-naib Imam di zaman Imam Hamzah seperti Haji Tasho dan Qibid Muhammad yang tidak mengiktiraf pemerintahannya.
Mereka pula melancarkan pemberontakan tetapi diwaktu inilah Imam Shamil memperlihatkan kualiti dirinya sebenar. Dalam keadaan yang amat terdesak begitu, Imam Shamil Berjaya menukar suasana yang tidak berpihak kepadanya menjadi pemangkin kejayaannya.
Pada keseluruhan tahun 1835 tersebut, Imam Shamil muncul sebagai idola kepada umat Islam dengan gaya hidupnya yang sederhana , warak dan sering tenggeelam di dalam penghayatan al -Quran.
Namun, pemberontakan tidak terhenti begitu sahaja tetapi Berjaya dipatahkan pada pertengahan tahun 1836, yang mana waktu itu Imam Shamil telah dibantu oleh naib-naib yang gagah perkasa dan amat setia seperti Surkhay al Kulawi, Ali Bek al Khunzakhi dan Akhbirdi Muhammad al khunzakhi.
Pada tahun 1837 berlaku pula pertempuran di antara tentera jihad Imam Shamil dengan pihak Rusia yang dipimpin oleh Karl Faesy di bawah arahan Rosen di Tiliq. Pada tahun 1839 mereka bertempur lagi di Akhulgoh. Kali ini tentera Rusia dipimpin oleh Grabbe, seorang panglima tentera yang sangat keras dan kejam.
Dalam peperangan ini anak Imam Shamil , Jamaluddin telah ditawan oleh Rusia agar beliau menyerah diri. Namun begitu, mujahid ulung ini sekali-kali tidak akan menyerah diri. Beliau meneruskan perjuangannya demi membebaskan tanahairnya dari cengkaman kuffar laknatullah.
Pada tahun 1853, Imam Shamil mengutuskan kepada khalifah Uthmaniyyah, Abdul Majid ( sebelumnya telah hamper 15 tahun Imam Shamil merayu pertolongan dari Kerajaan Uthmaniyyah ) kerana mereka berada di dalam keadaan yang amat sukar untuk meneruskan perjuangan setelah berperang menentang Rusia dengan begitu hebat selama tujuh tahun. Walaupun semangat juang para mujahidin tidak luntur sedikit pun tetapi mereka dilanda kebuluran dan keletihan yang amat sangat. Namun begitu, mereka masih nekad. Pada 5 September, Imam Shamil mengetuai serangan di Zakartalah.
Kemudian pada 17 September mereka mara ke kubu Rusia di Mased al Kher dan melancarkan serangan terhadap pasukan yang siap bersedia menghantar bantuan kepada pasukan Orbeliani di Zakartalah. Mesej serangan pasukan Imam Shamil adalah jelas iaitu untuk mara ke Tiflis dan bersatu dengan pasukan tentera Uthmaniah. Malangnya moral pasukan Uthmaniyyah telah runtuh setelah ditewaskan di Colok, Cengel dan Kurudere. Oleh itu, Imam Shamil telah bertindak sendirian. Pasukannya telah menyerang Alazan Valley pada penghujung September 1854 dan Berjaya menawan permaisuru Tchavtchavadze dan beberapa orang kerabatnya di dalam peperangan yang dikenali sebagai Crimean War.
Kemenangan ini telah menaikkan imej Imam Shamil bukan sahaja di kalangan tentera Uthmaniyyah tetapi juga di mata tentera British dan Perancis. Malah anaknya , Jamaluddin, yang ditawan turut dikembalikan tetapi hayatnya tidak lama ekoran kesihatan yang buruk akibat diracun oleh pihak Rusia sebelum proses pertukaran tahanan dilaksanakan.
Nikolai Muravev yang mengantikan Voronstov sebagai ketua tentera Rusia amat berang dengan kekalahan yang memalukan ini. Dia langsung tidak berminat dengan perdamaian yang ditawarkan oleh pihak Uthmaniyyah. Di bawah arahan Tsar alexenderII, pihak Rusia telah mengumpulkan seramai 200,000 tentera di Caucasus untuk menghapuskan Imam Shamil dan pasukan jihadnya . Beberapa episode perang pun meletus di antara kedua-dua belah pihak. Kemuncak peperangan ini berlangsung di pergunungan Ghunib pada tahun 1859. Rusia Berjaya mendapat kuasa dalam peperangan ini.Imam Shamil akhirnya dipujuk supaya menyerahkan diri demi menyelamatkan nyawa kanak-kanak dan para wanita Chechnya. Peristiwa malang ini terjadi pada 6 September 1859.
Pada tahun 1864, para pejuang Chechen sekali lagi menerima tamparan hebat. Setelah melalui rentetan misi jihad yang berliku dan perjuangan berdarah untuk membebaskan tanahair mereka . Tsar Rusia Berjaya jua memaksakan kekuasaannya kepada mereka. Imam Shamil telah ditawan dan dibawa ke St. Petersburg dari Ghunib untuk dihadapkan kepada Tsar Alexender II. Kemudian beliau dikenakan tahanan rumah bersama keluarganya di Kaluga, terletak dibarat daya Moscow , yang diibaratkan sebagai sangkar emas.
Pada tahun 1866, beliau dibenarkan ke Kiev dan dua tahun kemudiannya ke Makkah untuk mengerjakan haji. Imam yang mulia ini menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1871 dan dikebumikan di Madinah. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t. Bagaimanapun, perjuangan Imam Shamil tidak mati begitu sahaja. Anak-anaknya , Ghazi Muhammad dan Kamil muncul sebagai mujahid yang terbilang. Malah cucunya, Said Samil meneruskan jihad menentang Rusia di Dagestan sekitar tahun 1920-an.
Kita menyakini sejarah perjuangan jihad Imam Shamil dan pengikut-pengikutnya yang benar-benar member suntikan moral kepada setiap pejuang dan gerakan islam yang ditindas, diwarisi terutamanya oleh rakyat Chechnya dan Dagestan yang sedang berjihad menentang Rusia laknatullah ketika ini, yang secara kebetulannya dipimpin oleh seorang yang bernama Shamil juga iaitu Panglima Shamil Basayev.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan