Rabu, 19 Ogos 2009

Pendemik

Pandemik. Perkataan yang merunsingkan pihak tertentu. Bunyinya saja sudah menggerunkan. Bagaimana dengan isinya. Setakat ini ia sudah meragut 4 nyawa dan 1200 mangsa yang lain menjangkitinya. Ini bukan sebarang influenza. Ini adalah wahana influenza ‘A’. Sudah tentu ‘A’ adalah yang terbaik berbanding dengan huruf-huruf yang lain. H1N1. Nama yang pelik. Senang disebut dengan nama selesema babi. Ramai yang menyangka ia berpunca dari babi sedang para pakar mengatakan ianya tiada kaitan dengan babi. Mengelirukan.
Pandemik ini ada menyebabkan aku hampir keguguran nyawaku. Sebelum hadrah bermula, semua orang sudah bersedia, termasuk tetamu dari Johor yang hadir pada malam itu. Aku mendapat khabar dari anak muridku, yang politeknik Pasir Gudang, Johor Bahru, ditutup akibat pelajarnya yang mendapat jangkitan H1N1. Apa tidaknya Politeknik tersebut menempatkan adik aku yang ‘mustadafin’ disana. Sudah tentu aku sebagai abangnya, sepatutnya bertanggung jawab untuk membawanya pulang dan menjaganya walau apa pun keadaan. Hadrah tertunda seketika. Aku menguruskan adikku. Alhamdulillah, beliau pulang bersama kawannya. Nyawaku hanya tergantung seketika dan ia belum gugur lagi.
Pandemik ini menggerunkan. Klinik-klinik dan hospital dipenuhi dengan manusia ‘panas’. Ketakutan. Sebarang hubungan dengan mana – mana pesakit atau mereka yang telah mempunyai simtom penyakit itu akan menyebarluaskan lagi jangkitan penyakit tersebut. Maka ramai yang memakai penutup muka, usaha untuk menyekat penyebaran tersebut. Sebenarnya pandemik ini boleh di atasi dengan menjaga kebersihan diri dan suasana.Malangnya, itulah yang tiada. Sikap kebersihan. Kebersihan ini adalah sesuatu yang ajaib. Kebersihan, sebenarnya bermula dari hati. Hati yang bersih akan membawa perlakuan zahir yang bersih. Imam al Qusyairi ketika membahas bab al Sidq didalam Risalahnya, beliau mengungkapkan perlakuan seseorang itu adalah manifestasi hati.
Aku kerap kali menguji diriku dan orang lain, terutamanya anak-anak muridku. Jika aku ingin tahu suasana hati anak muridku, aku akan bersegera ke rumahnya atau pergi ke kamarnya. Jika aku mendapati rumah atau kamarnya bersepah dan kebersihan terabai, maka aku tahu jiwa anak muridku resah dan tidak tenang. Hatinya dijangkiti penyakit. Penyakit ‘panas’ juga. Maka ia menghasilkan simtom ‘ panas ‘ itu. Begitu juga dengan diriku. Jika rumahku dalam keadaan yang tidak teratur, sebenarnya qalbu aku berpenyakit.
Tetapi jiwa yang berpenyakit ‘ panas ‘ ini tidak dihiraukan. Ia tidak dikenali sebagai pandemik walaupun masyarakat kita tidak menjaga kebersihan atau dengan bahasa mudah pengotor. Bandaraya Kuala Lumpur sungguh kotor. Bandaraya Johor Bahru pun kotor juga. Kerana ia didiami oleh masyarakat yang pengotor. Bandar itu tidak jadi kotor melainkan masyarakatnya. Maka kekotoran itu adalah manifestasi hati masyarakatnya yang kotor. Maka lahirnya gejala Mat Rempit yang diubah nama ‘ samseng jalanan’. Ragut, bunuh , rogol, samun, penipuan, gejala syirik dan khurafat dan kalau dikumpulkan semua pesakit yang mengidap penyakit hati yang kotor dan ‘ panas ‘ ini maka semua hospital akan penuh dan termasuk klinik-kliniknya. Malah ia lebih teruk dari pandemik influenza A H1N1. Manusia lebih takut kepada penyakit zahir yang membawa mati daripada penyakit batin yang telah mematikan jiwa manusia itu sendiri. Jiwa yang mati menatijahkan perlakuan manusia yang tidak berjiwa.
Penyakit ‘ panas ‘ ini lagi mudah tersebar dengan adanya manusia pengotor. Begitu juga hati yang kotor lebih terdedah untuk dijangkiti oleh manusia yang berhati kotor dan melakukan perlakuan kotor. Ia begitu cepat merebak. Kuarantin. Jalan untuk menyekat dan merawat. Duduk dalam suasana yang bersih di dalam hospital. Serba serbi bersih. Ubatan dijaga. Doktor mundar mandir setiap masa. Menilai dan menganalisa. Setiap denyut jantung dinilai. Apakah ‘ panas ‘ itu akan reda atau tidak. Makanan yang diberi kepada pesakit juga dijaga. Dalam erti kata serba serbi dijaga. Orang yang melawat pun dihadkan. Tapi penyakit ‘ panas jiwa ‘ ini juga perlu dikuarantin. Proses kuarantin atau khalwat juga perlu untuk mencegah dari ianya merebak kepada masyarakat yang lain. Penyakit ‘ panas jiwa’ lagi cepat merebak berbanding pandemik ini. Ianya lebih berpengaruh. Tiada siapa yang boleh lari, kerana ianya mempunyai kekuatan yang luar biasa. Dari kanak-kanak kecil. Ulamak berserban besar, pemimpin yang berkot dan bertie, pemuda yang gantang, wanita yang cantik, semuanya bisa dijangkiti wabak ini jika mempunyai hati yang kotor. Dengan kekotoran itu ianya menjadi penyakit dan merebak-rebak kepada orang lain.
Diri perlu dikuarantinkan iaitu khalwat. Setiap orang yang berada diruang yang dikuarantin mestilah bersih. Bersihkan dia dengan zikir kerana itulah ubatnya. Dan pesakit mestilah sentiasa memakan ubatnya. Barulah ‘ panas’ akan reda. Maka basahilah lidah dengan zikrullah sepanjang kuarantin tersebut. Doktor pula perlulah sentiasa ada untuk menilai keadaan pasakit, maka sewaktu kuarantin atau khalwat perlulah mempunyai syeikh untuk menilai jiwa ‘ panas’ tersebut. Syeikh pula akan memberi keizinan pulang kalau penyakit ‘ panas ‘ itu sudah baik. Sewaktu kuarantin atau khalwat, makanan yang terjaga iaitu halal dan bersih daripada campuran racun duniawi dan toksid berdosa amatlah penting. Ia adalah tunjang utama yang perlu dijaga oleh pesakit untuk baik dari penyakit menular itu. Rasulullah ada bersabda : Setiap yang masuk ke dalam mulut yang haram maka ia akan membentuk perlakuan yang haram.
Sewaktu kuarantin atau khalwat. Pencampuran dengan manusia perlulah dikurangkan, kerana ia boleh merangsang penyakit untuk menjangkiti atau dijangkiti. Bayangkanlah ketika khalwat, kita didatangi oleh pelawat yang mengajak kita untuk sesuatu aktiviti yang kita suka, seperti memancing atau sebagainya. Maka kita meninggalkan hospital kerana memancing. Jesteru kita akan lebih terdedah kepada udara tercemar yang akan melekat virus ‘panas’ tersebut kepada kita. Kita pula sudah tinggalkan pemakanan ubat kerana cuai. Solat dan zikir tertinggal. Bagaimana penyakit akan sembuh. Sudah pasti tidak akan sembuh. Jadi sebarang pelawat ketika kuarantin adalah tidak dibenarkan atau dikurangkan.
Begitulah manusia yang terkeliru dengan istilah penyakit beserta dengan ketakutannya. Penyakit yang hanya di ambil berat hanya bersifat lahiriah. Sementara yang bersifat ruhiyyah ini tidak diambil enteng langsung. Tiada siapa yang akan menafikan diri manusia ini mempunyai elemen fizikal dan elemen ruhiyyah. Sedangkan kedua-duanya itu memerlukan segala keperluan yang sama. Maka Islam datang bukan hanya untuk fizikal malah melengkapkan keperluan –keperluan rohani. Rohani yang sihat turut menyihatkan tubuh badan. Rohani yang mati akan merosakkan tubuh badan.Maka Rasulullah berpesan : Jika baik ia, maka baiklah seluruh badan. Jika rosak ia, rosaklah seluruh badan. Bukankah ia seketul hati.
Kebersihan yang zahir bermula dengan kebersihan hati. Maka Rasulullah berkali-kali mengingatkan : Kebersihan itu separuh dari iman ( al Nazafatu minal Iman ) , Suci itu sebahagian iman ( al Thuhur syatrul iman ).Kebersihan yang tidak diamalkan oleh umat islam ialah berpunca dari kekotoran hati masing-masing.
Ada yang lebih mengelirukan aku saat pandemik ini makin mula mengancam. Seorang anak murid aku, akhi Azmi mengalami demam panas yang teruk. Jesteru itu, beliau telah ditahan wad. Aku hanya mengetahuinya apabila sms dari akhi Arif aku baca. Dua hari kemudian aku meluangkan masa untuk menziarahi beliau. Namun aku terkejut apabila aku lihat keadaan akhi Azmi ketika itu.
Beliau telah dibedah dibahagian hidung kerana mengalami kesusahan dalam pernafasan. Demam tetapi hidung yang dibedah. Apa kaitannya!
Adakalanya doktor akan melihat, sesuatu itu berpunca dari sesuatu yang tiada kaitan dengannya tetapi ia sebenarnya berkait. Cecair dan lemak yang berlebihan dikawasan hidung dan pipi dianggap penyumbat hidung yang mengganggu penafasan. Lantas cecair pipi yang terlalu banyak menyebabkan suhu badan meningkat.
Ternyata aku begitu jahil. Aku pun tak faham apa yang doktor cakap tapi, lebih kurang begitulah.
Begitu juga dalam hal berkhalwat. Adakalanya syeikh tidak membenarkan kita untuk memakan sesuatu selama mana beruzlah. Ramai juga yang bertanya kepada aku. Apa kaitannya!Sudah tentu ia berkait dengan hati. Hati ini mempunyai beberapa virus. Antaranya virus nafsu. Virus nafsu ini mempunyai bahan yang merangsangkan. Dan pasti salah satunya ialah makanan. Oleh sebab itu, kekuatan untuk melawan virus tersebut ialah dengan tidak mengambil sesuatu yang boleh merangsangnya. Bila ia dalam keadaan lemah maka kita boleh mengawalnya. Jesteru itu, kita boleh mengawal hati.Namun aku tidak hairan dengan pandemik. Ia akan berlalu dengan kecerdikan manusia mencari vaksinnya.
“ Berapa jumlah bayaran hospital Azmi “ tanyaku kepada akhi Azmi.
“ RM 10,000 ustaz “ jawab beliau.
Aku termenung. Bilakah ‘ panas’ yang ini pula akan reda daripada hati manusia yang mengambil peluang diatas kelemahan manusia.RM 10,000 untuk 5 hari. Hari – hari tetap ‘panas’ walaupun tanpa pandemik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan