Rabu, 19 Ogos 2009

Sembilu



Pengajian malam tu aku habiskan awal.

“ Ustaz rasa, ustaz nak berhenti disini sahajalah.”

“ Ustaz dah tak mampu lagi, tekak ustaz dah rasa perit sangat. Badan ustaz pun dah panas” Aku menerangkan kepada beberapa pelajar pengajian tinggi yang bertalaqqi dengan aku. Kitab Daf’u Syibhut Tasybih karangan Imam Ibnu Jauzi itu, aku tutup.

“ Kita berhenti di hadis yang kedua puluh enam, ya “

“ Allah telah menetapkan untuk kita berhenti disini, supaya nanti kamu boleh datang bertalaqqi lagi dengan Ustaz” bicaraku.

Mereka hanya menganggukkan kepala sahaja. Mungkin memahami keadaan aku sekarang walaupun pengajian hadis tidak dapat dihabiskan. Kesemuanya mempunyai enam puluh hadis.

Kepala aku memang pening sangat. Kepanasan suhu badanku mula meningkat. Sejak balik dari air terjun Felcra tadi, memang aku sudah menjangkakan badan aku sudah panas.

Aku mencapai dua selimutku yang tebal. Baju sejuk juga tidak ketinggalan untuk proses mengeluarkan peluh-peluh berpenyakit ini. Aku baluti diriku dengan kedua selimut tadi.

Pukul 2 pagi, aku terjaga. Aku bangun dari tempat beraduku. Badan berpeluh-peluh. Aku mandi. Ubat mujarab untuk mereka yang demam. Selesai berwuduk, aku menunaikan solat dan qiyamulail. Aku tidak mahu meninggalkan rutinku, walaupun hanya kerana demam.

Selesai qiyam, aku kembali ke tempat tidurku. Kelihatan along masih bertahajud. Begitulah sepatut yang ada pada setiap pejuang. Belajar dan beramal.

Keesokan harinya aku tetap ke sekolah. Walaupun demam, aku cuba untuk menjalankan tanggung jawab dengan baik.

Petang itu aku ke Larkin. Menghantar para muridku kembali ke Bangi. Walaupun badan aku agak tidak sihat, aku gagahi juga. Bila sakit begini, bila mengenangkan Rasulullah aku menjadi kuat. Rasul ada bersabda : Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka ia memuliakan tetamunya ( Mai yu’minu billahi wal yaumil akhir fal yukrim dhoifahu ). Murid aku itu juga adalah tetamu aku, kerana ia bertandang ke rumah aku. Tapi malam itu, aku diserang kembali demam panas yang menyebabkan aku kembali berselubung.

Aku berharap, esok, aku boleh berehat agar demam aku akan kebah. Namun, aku tetap juga diuji. Anak-anak murid dari Johor Bahru datang menziarahiku. Aku memohon maaf dengan baik kerana kesihatan yang terjejas akan menyebabkan aku tidak mampu melayan mereka dengan sebaik mungkin.

Aku pula kerap membuang kahak yang bercampur dengan darah. Perit. Tapi aku terpaksa menjawab soalan-soalan yang ditanya kepadaku. Aku tidak mahu menghampakan mereka. Mereka telah datang dari jauh untuk menziarahiku dan mendapatkan jawapan dari persoalan yang membelenggu mereka. Maka, aku memaksa diriku untuk bercakap walaupun ia amat pedih.

Selepas maghrib , aku membawa mereka untuk a’sya ( makan malam ). Namun mereka telah mendesak aku untuk pergi ke klinik.

“ Jom ustaz, saya hantar ustaz ke klinik Penawar dulu. Lepas tu baru kita pergi makan” desak Azmi.

Aku membalasnya dengan senyuman. Azmi menyatakan beberapa kali permintaannya untuk menghantar aku ke klinik. Aku masih menolaknya.

Perbuatan aku itu telah dilihat oleh banyak saksi. Mereka bingung dengan tindakanku. Aku sering mengatakan yang kita perlu berusaha. Sebaliknya, aku menolak permintaan Azmi seolah-olahnya aku tidak mahu berusaha.

Aku ingin memberitahu mereka. Tapi aku juga tidak mahu merosakkan apa yang aku rasai.Kesakitan bagiku adalah nikmat. Aku kena menerimanya sebagaimana aku menerima nikmat yang lain, seperti harta, makanan yang enak, duit dan sebagainya. Jika duit, harta, makanan dan lain-lain itu, aku pinta dan diberikan kepadaku, nescaya aku teringin ianya berpanjangan. Mengecapi tanpa diganggu. Maka jika Allah berkehendak pula untuk sakit, mengapa kita perlu menjauhinya. Cepat-cepat pula untuk menguranginya. Segala yang Allah beri sama ada berbentuk nikmat imdad atau sebarang ujian, maka, aku klasifikasikan ianya adalah nikmat. Dan pastinya aku ingin merasai mengecapi sehingga tersyuhud oleh aku sifat jalal dan jamal Allah.

Nikmat sakit itu membawa kepadaku nikmat qurbah yang melebihi rasa makanan yang enak, warna harta yang berkilau, bau duit yang mendebarkan dan apa-apa saja lagi. Tiada tandingnya. Nikmat itu aku nikmati dengan tangisan, ratapan, monolog, muhasabah, mujahadah yang kerap dan beristiqamah dengannya. Ia tidak dapat aku rasai bila aku sihat. Bila sihat makanku banyak, berjalanku kerap. Melalaikan dan menghabiskan duit kepada yang sia-sia. Sihatku menyebabkan tidurku nyenyak dan tidak terbangun untuk qiyam serta seringkali terlajak subuh. Airmata pun tidak mengalir kerana dek banyak ketawa bila sihat.

Sakitku enak. Diamku banyak, ketawaku sedikit. Lebih banyak menyendiri dan mulut sentiasa beristighfar. Air mata mengalir terbayang kifarah. Makanku kurang, ingatanku banyak pada Allah. Waktu-waktu itu terasa sakit. Waktu-waktu itujuga terasa enak. Selepas itu terasa manisnya. Saidina Ali akan menangis jika selama 3 hari ianya tidak mendapat ujian. Rasulullah tidak pernah kenyang selama 3 hari berturut-turut. Mereka merasai manisnya. Maka biarkanlah aku menikmatinya. Biarkanlah. Ianya buat seketika.

Pelajar aku pula kerap akan mengurut dan memicit-micit anggota tubuh badanku. Itu juga nikmat. Sememangnya aku menyuruh mereka. Itu salah satu bentuk tarbiah.

Aku seorang lelaki. Pelajarku juga lelaki. Kadang-kadang teknik tarbiyah jibril yang memeluk nabi di Ghar Hira’ itu sememang tidak sesuai digunakan kerana ia menjengkilkan dari segi budaya kita yang akan membawa kepada fitnah-fitnah, umpat-umpat atau yang boleh menguriskan hati. Tetapi, sesuai jika didefinisikan dengan sentuhan. Agak janggal untuk menyentuh murid-muridku dengan tanpa sebab. Maka aku suruh mereka picit. Itu juga berlaku sentuhan dan tampak rasionalnya.

Sentuhan akan membawa seribu erti dan membina silaturrahim. Maka salam dan bersalam itu ada qasadnya. Terfikir juga aku yang orang tua dulu-dulu sering menyuruh anak mereka memicit mak ayah mereka. Itulah yang menunjukkan keterikatan dan keakraban mereka dalam hubungan kekeluargaan.

Pernah satu ketika, aku melarang anak-anak muridku untuk memicit ditapak kaki dibahagaian tertentu. Selumbar telah masuk kedalam tapak kakiku. Bila terpijak, pastinya akan menyakitiku.

“ Baik ustaz cabut selumbar ni, nanti bernanah “ cadang anak murid aku.

Sekali lagi aku membalas dengan senyuman. Senyuman yang ada ertinya.

“ Biarlah ia disitu, sesekali ustaz rasa sakit terpijak sembilu itu, sekali itulah ustaz rasa sakit seksaan Allah.

“ Ustaz masih tahap iman yang lemah. Ustaz kena benar-benar rasa sakit barulah ustaz boleh menjiwai kesakitan yang lain.”

“ Jika ustaz tak sakit, ustaz tak dapat membayangkan sakit dan mengaitkan kepada kesakitan yang lain”

“ Malangnya ustaz sebab tak boleh merasai sakit dalam keadaan sihat seperti tidak saksi dalam keadaan ghaib” jelasku.

Anak muridku khusyuk mendengar penjelasanku.

“ Bila dapat nikmat yang best-best, kita akan suka tapi, bila Allah bagi sakit, kita tak suka.Bukankah nikmat dan sakit itu datangnya dari Allah.”

“ Itu tidak redho “ tambahku.

“ Redho ialah kita tidak memilih dengan apa yang diberi “ sapaku dengan menyuruh anak muridku memicit kaki sebelah pula.

Aku masih ingat ketika bertalaqqi kitab ‘Minhajul Abidin’, Tuan guruku ada menyebut : Redho itu apabila keadaan kita mendapat bala, sama seperti keadaan kita mendapat nikmat.

Jadi biarlah sembilu atau selumbar itu disitu. Aku masih memerlukannya. Tapi, kakiku tidak bernanah pun. Sedikit pun tidak terjejas. Aku pula boleh berjalan dan tidak sakit lagi. Sembilu itu makhluk, ia tidak berkuasa tanpa izin Allah. Buktinya, aku masih sihat.

Tapi yang merisaukan aku ialah, apabila aku berbuat atau melihat maksiat, hatiku tidak terasa sakit pun. Hatiku lebih keras dari kulit kakiku, kerana sembilu itu boleh menembusinya, sedangkan hatiku sedikit pun tidak terguris dengan ‘ sembilu ‘ lagi satu. Ajaibkan !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan