Rabu, 19 Ogos 2009

Siapkan makanan itu!


Setelah merancang dengan teliti. Duit sewa coaster dikumpulkan, maka kami akan bertolak ke Amman. Hayyu Khurejat.
Aku pun baru tahu, kemana Norman pergi setiap hari Khamis. Hari Khamis aje, dia hilang. Bila ditanya orang, jawapannya ke Amman. Aku pun ke Amman juga, tapi aku tak pernah bertembung dengan dia.
Norman. Budak Perak. Belajar di Kuliah Syariah. Junior aku, sewaktu aku di tahun 3. Dia baru tahun 1. Budak yang agak pelik. Budak-budak lain pun banyak yang sangsi pada dia. Tapi, gelagatnya sentiasa menghiburkan kami. Dia belajar tak lama di Mu’tah akibat kegawatan ekonomi pada tahun 1998, menyebabkan dia kembali ke Malaysia. Duit zakat tidak mampu menampung keperluan pelajar disana. Aku yang mendapat biasiswa pun sengkek, macam mana pula pelajar tajaan persendirian yang mengharapkan duit mak ayah.
“ kenapa kau tak bagitau, yang kau pergi jumpa Syeikh” Soal aku kepada Norman.
“ Kenapa kau tak kenalkan Syeikh tu pada aku “ aku meninggikan suara kerana agak terkilan.
Bagaimana aku boleh tak tahu ada seorang Syeikh yang tinggal di Hayyu Khurejat. Hayyu Khurejat. Aku pun tak tahu dekat mana.
“ Kau tak tanya pun “ Jawab Norman.
“ Aku tak kira, kau mesti bawa aku jumpa Syeikh tu “ pintaku.
“ Aku tak berani janji la “ Norman berdalih.
Hari yang disepakati dengan Norman ialah hari khamis. Norman tunggu di Amman. Aku dengan pelajar yang lain, bertolak dari Mu’tah.
Sampai di Amman, kami berpusing-pusing mencari jalan untuk masuk ke Hayyu Khurejat. Petanda untuk ke masjid Syeikh Hazim Naif Abu Ghazalah ialah lampu berwarna hijau yang berada di puncak bukit Hayyu Khurejat.
Kami sudah nampak lampu itu, tapi masih tidak tahu arah punca untuk menuju ke sana. Akhirnya kami akur dengan kejahilan kami, kami sudah tersesat. Kami berhenti disebuah masjid di jalan utama. Aku pun menelefon Norman untuk datang menjemput kami .

( Menara masjid itulah Masjid Syeikh Hazim Naif Abu Ghazalah )
Kami sempat bersolat isyak berjemaah. Sepanjang menunggu Norman, aku asyik berfikir, perjalanan tanpa bimbingan akan menyesatkan. Bagaimana pula perjalanan untuk bertemu Allah. Penuh dengan liku dan penyamaran. Bagi yang tiada bimbingan, mudahlah terjerumus ke kancah kesesatan. Nasib baik aku hanya tersesat di Amman. Siapa yang tiada syeikh, maka syaitanlah syeikhnya.
Perjalanan kami disambung semula setelah kehadiran Norman. Kali ini kami tidak tersesat lagi. Kami terus menuju ke Masjid kerana kami agak kelewatan. Apabila masuk aku dapati Syeikh Hazim masih lagi mengajar. Pengajian feqh hanafi. Aku terus menuju ke hadapan dan duduk menghadap Syeikh Hazim. Rasa bertuahnya dapat memandang muka Syeikh. Rasul bersabda : Memandang muka orang alim sedetik lebih baik dari ibadah setahun ( Nazratun ila a’limin khairun min ibadah sanah )
Muka syeikh berseri. Putih bercahaya. Mungkin dari nur wuduk yang berpanjangan. Cakap yang perlahan. Penuh tawadhu. Diri syeikh itu telah mencukup syarat-syarat para masyaikh. Bertuahnya aku.
“ Dari mana ? “ tanya tuan guru.
“ Dari Mu’tah , Sidi “ jawabku.
“ Asal mana ? “ Tuan guru bertanya lagi.
“ Dari Malaysia “ jawabku pendek.
Tuan Guru meneruskan senyumnya. Aku masih terhibur dengan senyuman Tuan Guru.
“ Hidangkan makanan untuk tetamu istimewa ini “ arah Tuan Guru kepada khadamnya.
Selepas pengajian Tuan Guru mengarahkan kami untuk menikmati jamuan makan malam. Aku sedikit hairan. Kami datang sudah lewat. Datang pula dalam jumlah yang ramai. kami pula dijamu dengan makanan berat. Nasi dan daging kambing. Masih ada makanan di masjid pada waktu-waktu begini.
Sedang aku menikmati juadah, aku didatangi oleh khadam syeikh. Kami bertaaruf. Mesra. Begitulah sifat yang ada pada setiap ikhwan, terutamanya muslim. Kami bertukar-tukar soalan.
“ Patutlah Tuan Guru suruh aku masak hari ini “ bisik khadam syeikh kepadaku.
“ Maksud tuan “ aku mohon penjelasan.
“ Aku hairan, tiba-tiba Tuan guru suruh aku masak untuk malam ini “
“ Aku tanya pada Tuan Guru, kenapa ? “
“ Apa Tuan Guru jawab “ Tanya aku kembali dengan minat.
“ Tuan Guru jawab : Siapkan makanan itu ! “ jelas khadam syeikh dengan tegas.
“ Rupa-rupanya, makanan itu untuk tetamu istimewa malam ini “ tambah beliau dengan senyuman.
“ Bertuahnya aku “ aku bermonoloq.
Aku teringat sebuah buku yang telah ditulis Syeikh Sa’id Mamduh mengenai sebuah hadis yang berbunyi : ( Ittaqu farasatul mukmin fainnahu yanzur binurrillahi Taala )Takutlah kamu dengan firasat orang mukmin, kerana mereka melihat dengan nur Allah Taala.
Kegembiraan aku bertambah – tambah apabila kami bersalaman dengan Tuan Guru. Hati aku mula berdebar-debar bila tiba giliran aku bersalaman. Anehnya, Tuan Guru telah memelukku dan mencium ubun-ubun kepalaku. Tidak pula Tuan Guru berlaku demikian kepada pelajar-pelajar yang lain.
“ Bertuahnya enta, Tuan Guru cium ubun-ubun enta “ bisik Ustaz Shahrol kepada aku.
Mulai hari itu, aku menjadi murid kepada Tuan Guru yang mulia Syeikh Hazim Naif abu Ghazalah yang dikenali dengan nama “ Wali Syam “
Terima kasih Norman. Terima kasih Tuan Guru, Terima kasih Sidi. Madad ya Syeikh.

( Syeikh Hazim berhadrah di Afrika Selatan )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan