Rabu, 19 Ogos 2009

Ziarah


“ Macam mana nama Ahli Sunnah muncul ? “ aku menyoal muridku sewaktu pengajian di rumah Mus semalam.
Macam biasa setiap hari Selasa, pengajian akan berlangsung di rumah Mus. Pengajian kitab Faridatul Faraid karangan Syeikh Daud bin Abdullah al Fathanie menjadi pilihan yang membahaskan ilmu akidah. KItab ini amat ‘ famous ‘ dikalangan masyarakat pondok. Namun, sekarang sudah ada usaha untuk mengharamkan kitab tersebut. Satu dosa besar bagi tindakan yang jahat bagi mereka yang berkomplot untuk menghapuskan turath islami. Malah meruntuhkan dasar islam yang bertunjangkan aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah.
Para muridku mengelengkan kepala tanda tidak tahu jawapan bagi soalan yang aku kemukakan tadi. Aku tatap wajah para muridku yang masih menanti jawapan dariku.
“ Istilah Ahli Sunnah itu sendiri berlakunya tatawwur ( perkembangan ) “ jelasku
“ Maka oleh sebab itu terdapat pelbagai pendapat tentang asal kewujudan istilah Ahli Sunnah wal Jamaah “
“ Tetapi yang pastinya, istilah ini mula dijadikan istilah selepas, kewafatan Rasulullah “ syarahku dengan semangat.
“ Assalamualaikum warahmatullah “ salam dari eja, anak muridku yang baru sampai.
“ Waalaikumussalam warahmatullah “ Jawabku
“ Maaf ustaz, menganggu “ bicara Eja.
Aku menganggukkan kepalaku tanda menerima.
“ Ustaz, ada Along telefon tak ? “ soal Eja
Aku mengelengkan kepalaku.
“ Along bagitau ada orang Burma nak jumpa Ustaz “ Eja memberi penjelasan.
Orang Burma. Apa hajat orang Burma ingin bertemu dengan aku. Aku ada murid dari Indonesia, Singapura, dan Thailand. Burma belum lagi. Jadi siapa pulak yang datang ni.Along menjemput orang Burma tersebut di simpang Tenggaroh. Aku masih meneruskan pengajaranku. Namun, aku memendekkannya untuk menghormati kehadiran tetamu. Rasul bersabda : Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah menghormati tetamu ( Man yu’minu billahi wal yaumil akhir fal yukrim dhaifahu ).
Tetamuku seorang Burma. Namanya Ina’mullah. Umurnya 36 tahun. Lebih 6 tahun daripada usiaku. Beliau datang dari Pahang dengan hanya berbasikal . Basikal dia ternyata buruk sekali. Dia membelinya dengan harga RM 250 ketika bekerja di kilang biskut di Johor Bahru. Tawakalnya tinggi. Ayahnya seorang Maulana di tanah Burma. Belajar hanya di Pondok ( Pengajian agama ).
Sewaktu pertemuan tersebut, aku kira, dia banyak berkata-kata. Aku mengambil pendekatan berdiam diri sahaja kerana beberapa sebab. Antaranya :
1. Tidak mahu memberati tetamuku yang keletihan dengan soalan-soalan aku. Mungkin itu tidak manis.
2. Melihat bagaimana sikapnya. Terutama sikap dalam percakapannya.
3. Membiarkan dia melepaskan sesuatu. Mungkin dia bercerita tentang perjalanannya akan mengurangkan sedikit keletihannya.
4. Memang sikap aku pun yang tidak suka bercakap banyak ni.
Setelah berlaku perbualan singkat itu, aku dapat simpulkan beberapa perkara positif.
1. Kegigihan dan ketabahannya untuk mencari ulamak yang dia kenal. Dia berkerja dan suka mencari ulamak untuk menuntut ilmu atau mendapatkan berkat. Sikap ini memang sudah tiada dikalangan orang-orang kita. Malah, yang pergi belajar ilmu agama pun belum tentu ada sikap seperti ini. Sikapnya ,mengimbau kembali zaman orang-orang tua kita dahulu.
2. Sikap dia memuliakan Tuan Guru. Sewaktu sampai dirumahku, Along sudah mneghidangkan buah cempedak milik Ina’mullah. Buah itu dijamu pada setiap anak muridku tetapi tidak memaksaku. Tapi apabila anak muridku menghidangkan kuih dan keropok kepadanya, dia mendesak aku untuk memakan terlebih dahulu. Katanya : Buah cempedak tadi saya dah makan sebelum ini dan bakinya saya hidangkan. Tapi saya tak paksa ustaz makan sebab itu adalah baki makanan saya. Tak baik untuk ustaz, jadi kami anak-anak murid saja makan. Makanan ini pula, ustaz dulu sentuh barulah kami boleh sentuh.
Aku menghargainya. Setiap murid perlulah beradab dengan Tuan Gurunya. Tetapi, hari ini adab telah di pandang enteng. Dalam sistem pendidikan hari ini, sistem ini tidak mampu untuk menjana jati diri pelajar dan membentuk akhlak pelajar. Disebabkan oleh kurangnya perhatian dalam isu ini. Masalah sering dituding kepada para ustaz dan ustazah. Bukan masalah ustaz dan ustazah. Mereka dah ajar dengan betul Cuma ia tak selari dengan pelaksanaan guru yang lain pula.Ustaz ajar hormat ilmu, jangan duduk atas meja. Tapi cikgu mate, sains dan lain-lain mengajar duduk atas meja. Maka tidak hairanlah pelajar kita mula bersikap kurang ajar atau lebih dari itu.
Kaedah ada menyatakan : adab itu mendahului syarak ( al Adabu muqaddamun a’la syarak ). Pengakhiran bagi seorang salik tidak lain ialah berakhlak mulia. Rasul juga bersabda : aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.
Tepat pukul 12, kami akhiri perbualan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan