Isnin, 7 September 2009

Kathrubba


Sebelum aku mencerita entry yang terbaru ini, biarlah aku bermuqaddimah dahulu. Sebenarnya dalam bulan ini, aku hanya mahu memasukkan entry yang hanya mengisahkan pengalaman kerohanian aku selama aku sempat berpuasa dibumi Allah ini. Tetapi, entry kali ini tiada kene mengena pun dengan Ramadhan. Baru-baru ini aku berjaya berhubung dengan sahabat baik aku di Jordan. Lama jugak no h/pnya hilang. Maka aku kira lost cantactlah. Nasib baik dia layan aku punya blog dan sempatlah kami chat di shoutbox.
Elhamdulillah. Maka entry ini ialah pengalaman aku dan beliau. Aku nak masukkan lain kali tapi, sebab aku terlalu gembira maka aku persembahkan buat kalian semua kerana sahabat baikku. Dipersembahkan..................



Kathrubba
Botol air. Siap.
Tuna. Siap
Roti. Siap
Kasut tracking. Siap
Beg. Siap
Aku hanya membawa 3 barang sahaja. Cukuplah untuk persediaan safarku besok.
Jam 7.00 pagi, kami sudah memulakan perjalanan. Aku, Ustaz Imran, Abu Anas dan sepupu Abu Anas. Walaupun 7.00 pagi, tapi hari sudah terang. Matahari di musim saifi memang terlalu gelojoh untuk menampakkan diri. Dan ini ialah safarku yang pertama, terjauh dalam hayatku. Ketika itu kami hanya berazam untuk menggunakan kudrat kaki sahaja.
Kathrubba. Terceruk dan berada dipuncak banjaran yang memanjang di Moab. Aku pernah pergi perkampungan hilir yang ada Cuma beberapa buah rumah sahaja. Namanya Thoyyibah. Ketika itu aku pergi ke Masjid Dr Amin al Buttush. Bertalaqqi. Itu sebelum aku mengetahui yang Dr Amin Buttush tu wahabi. Kathrubba itu pula lebih jauh dari Thoyyibah. Bayangkanlah siapakah yang berani tinggal disana.
Perjalanan ke Kathrubba mesti melalui Thoyyibah. Pegangkutan ke sana Cuma ada coaster yang beberapa buah sahaja. Kathrubba pula, penghuninya adalah badwi. Tetapi , pengunjungnya agak ramai.
Kami pergi juga ke Kathrubba mempunyai niat yang sama dengan pengunjung yang lain. Mencari sebuah perkampungan yahudi yang hilang. Dikatakan disana terdapat peninggalan sejarah yang berkaitan dengan Nabi Musa alaihissalam. Selain itu, mencari pengalaman baru yang tak pernah dibuat oleh pelajar Mu’tah. Dek kerana aku dan Ustaz Imran ini fanatic dengan sejarah, kami sanggup buat apa sahaja.
Sampai di Kathrubba kami singgah sebentar dibeberapa buah rumah disitu, berborak dengan masyarakat tempatan. Adat arab pula melayan musafir dengan menjamu air, kami pun minum ajelah.
Pagi itu meletihkan. Entah apa yang meletihkan kami, pun kami tidak tahu. Baru sahaja beberapa langkah sudah terasa sengal-sengal sendi. Nasib kami memang baik hari itu. Entah dari mana datangnya sebuah pick up melalui kami. Apa lagi kami pun tumpanglah pick up tersebut. Kami duduk dibelakang pick up. Cukup menyeksakan. Jalan yang tidak berturap, berbonggol, berbukit dan kami tidak tidak dapat duduk diam kerana seringkali terhentak-hentak.
Kami tumpang tak lama. Sampai satu persimpangan kami turun. Sempadan Kathrubba. Awal – awal perjalanan memang agak bertenaga. Dari satu kisah ke satu kisah kami bercerita. Abu Anas adalah penglipur lara kami. Kadang-kadang diselang selikan dengan gelak ketawa. Adakalanya menjadi sepi. Abu Anaslah memecah kebuntuan tersebut. Dia menyanyilah, bersyairlah, bergurindamlah dan entah apa-apa lagi yang dia buat. Tapi kami terhibur.
Lama-kelamaan kebosanan mewarnai kami. Kadang kebisuan itu sementara dan adakalanya panjang. Dari berjalan dengan rancak menjadi perlahan. Dari perlahan dah mula menyepak-nyepak batu-batu, kayu-kayu dan apa sahaja di depan mata.
Tapi, suasana vakum itu menyebabkan kami lebih memerhati dari perihal basi-basi. Memerhati padang pasir, memerhati pokok yang sebatang dua, memerhati kambing-kambing dan pengembala badwi, memerhati banjaran, memerhati pokok berduri, memerhati batu, memerhati angin, memerhati awan dan memerhati seluruh alam.
Rasul bersabda : Berfikir sesaat lebih baik dari ibadah setahun ( Tafakkur sa’ah khairun min ibadah sanah )
Lagi kurang perlakuan fizikal, maka lagi banyaklah aktiviti akal. Lagi banyak aktiviti akal lagi banyak pencerahan hidayah. Beruntungnya bagi sesiapa yang beroleh hidayah.
Kebosanan itu beroleh keberuntungan. Sedang kami duduk, menikmati air ketika rehat. Melepaskan lelah buat seketika. Mata kami tidak lepas dari memerhati setiap ruang sudut yang dapat menjangkaui mata.
“ Ejai, cuba kau tengok batu ni “ kata ustaz Imran.
“ Lain macamlah “
“ Dekat sini pun ada juga “ jelas aku.
Pemerhatian itu telah menemukan aku dengan penemuan yang baru. Selama ini aku hanya bertemu dengan fosil Molskar ( sejenis fosil siput gergasi zaman dinosaur ), kebosanan itu menemukan aku dengan fosil misteri. Kajian Ustaz Imran mengenai fosil tersebut, mendapati ia adalah siput misteri yang tidak dijumpai lagi. Tapi kami bertemu di Kathrubba.
Penemuan itu menyebabkan senyuman terukir di wajah kami. Makin galak kami menyepak segala benda sepanjang perjalanan. Cuma ada beberapa tempat sahaja yang kami dapati adanya fosil siput misteri itu. Kami simpan fosil tersebut untuk kajian kami seterusnya.
Perasaan aku ketika memulakan safar ini amat mengujakan. Tetapi, makin lama perjalanan makin mengerunkan. Sebelum ini aku tidak memikirkan apa-apa implikasi daripada safar ini. Sekarang, hatiku mula berasa gundah. Kegelisahan tersebut mula terasa apabila melihat banjaran yang bertepian curam. Pucat dan pegun.
Dalam hatiku ini Cuma terfikir bagaimana kami akan menuruni banjaran yang curam. Disinilah terletaknya riadah tawakal , sabar, mujahadah dan semua sifat-sifat mahmudah yang telah kami belajar daripada masyaikh kami. Saat itu terbayang muka Syeikh Hasan Ali al Saqqaf, Syeikh Hazim Naif Abu Ghazalah, Syeikh Abdul Karim al U’rabi, Syeikh Nuh Hamim Keller dan terdengar-dengar suara mereka di sisi telingaku pengajian mereka.
Kami turun dengan cermat. Tanpa tali, kayu atau apa pun yang boleh kami capai. Pada waktu itu, aku langsung tidak mempercayai pada makhluk lagi. Makhluk bersifat lemah. Kelemahan itu menyebabkan aku tidak yakin ia boleh menyelamatkan aku dalam keadaan begini. Terpacullah ayat – ayat hizb al bahar yang menyandarkan aku kepada Allah sepenuhnya ( Fasayakfikahumullah wa huwas sami’ul a’lim ), ( Fallahu khairun haafizan wahuwa arhamur rahimin).
Keyakinanku bulat. Penyerahanku sepenuhnya kepada Allah. Lebih panasaran lagi, bila terfikir, ketika memaut batu apakah terdapat ular atau tidak. Bagaimana pula jika dubuk datang. Dimana kami akan menyelamatkan diri. Disini tanah gersang. Saujana mata memandang. Tiada pepohonan buat teduhan apatah lagi untuk menyelamatkan diri. Tiada gua. Tiada apa-apa.
Yang ada cuma Allah. Allah yang maha melihat. Maha pemberi pertolongan. Maha mengetahui apa yang tersembunyi di dalam hatiku mahu pun yang zahir dari perbuatanku. Apabila putus harap pada makhluk dan tidak lagi bergantung dengannya maka, lahirnya aqidah yang benar-benar suci. Ia sudah tersimpul padu. Tiada goyahnya.
Kami betul-betul dibawah matahari. Saifi, betul-betul telah menyingkirkan awan.Sudah banyak kandungan air di dalam badan yang terhidrasi. Air yang menjadi bekalan kami menjadi berkurangan. Sebenarnya airlah yang menjadi bebanan aku sepanjang safar. Aku cuma membawa 3 botol air sahaja. Bila tidak diminum ia memang menyusahkan. Dengan jarak perjalanan yang jauh, air yang dikandung dengan beg, menjadi lebih berat. Berat badan yang sedia ada pun tidak terbawa lagi. Ini pula terpaksa memikul air.
Sebenarnya, bila tenaga badan mencukupi, air itu terasa ringan, namun, apabila kita sudah kehilangannya dan tidak mampu menampung berat diri sendiri, maka bebanan yang lain juga turut menjadi lebih berat. Jesteru itu, untuk meringankannya maka aku minum air tersebut. Tetapi tindakan itu menyebabkan bekalan air berkurangan. Sekali lagi, air juga menjadi bebanan bagi aku.
Bila keperluan air tidak mencukupi, ia memberi kesan kepada kesiuman diri aku ini. Bekalan oksigen yang tidak mencukupi telah mematikan fungsi ribuan sel otak. Berlaku halusinasi dan di tambah pula organ lain yang menjadi keliru seperti kejadian fatamorgana.

Sebaik-baik bekalan itu ialah takwa ( Inna khaira zaadi al taqwa ). Bekalan yang terbaik dalam safar ialah penyerahan pada Allah. Kisah-kisah para wali Allah yang berkisar safar mereka seperti, Maulana Ibrahim Adham, Syeikh Ibrahim al Khawwas, Syeikh Ibrahim al Dawhah dan yang lain-lainnya memantapkan lagi safarku. Mereka berlatih untuk tidak membawa apa-apa di dalam safar kecuali penyerahan kepada Allah.Biarku bermula dari safar ini untuk mengakhiri seperti safar mereka.
“ Ejai, kita tukar kasut ye “ pinta ustaz Imran.
“ Kenapa “ balasku
“ Kakiku melecetlah. Kasut ini buat kaki aku melecetlah “ jawab Ustaz Imran
Aku terfikir, kalau aku pakai kasut tu, pasti kaki aku pulak melecet.
“ Kalau aku pakai nanti, kaki aku pulak melecet”
“ Kalau aku dah melecet, jadi apa-apa nanti, macam mana aku nak pikul kau” aku berseloroh.
“ Tak apelah macam tu “ nada Ustaz Imran sedikit kecewa.
Apabila kita keletihan, emosi lebih berkuasa dari keseimbangan akal. Kita tidak mampu untuk menapis suasana dan menginterpretasikannya menjadi positif. Maka yang keluar ialah apa yang terbuku. Sabar akan hilang. Tawadhu akan hilang. Qanaah akan hilang. Tasamuh akan hilang. Senang kata, mahmudah akan hilang. Yang menguasai dan berkuasa ialah mazmumah.
Inilah mujahadah. Berperang dan berjihad untuk menguasai daripada dikuasai. Biarkan mahmudah menjadi raja . Tangkis serangan mazmumah.
Bila aku lihat, nada Ustaz Imran berubah, aku diulit rasa bersalah.
“ Jom meran, kita tukar kasut. Tapi lepas ni kita tukar balik “ ujar aku.
“ Takpelah, kita teruskan perjalanan “ kata Ustaz Imran sambil menepuk bahuku.
Jawapan Ustaz Imran menambah perasaan bersalah dalam jiwaku. Safar memerlukan teman. Dari safarlah kita boleh menilai teman. Apabila segala sifat yang tersembunyi ditelanjangkan maka, akan nyatalah sifat-sifat diri yang sebenar. Semua hanya boleh didapati daripada safar.
Safar juga boleh mendidik teman. Peluang bersama akan memberi masa untuk menjiwai dan mentarbiyah. Safar boleh membezakan antara sahabat, teman, kawan dan musuh. Tapi kita, akan bersafar untuk bersahabat. Sahabat sahaja yang rela untuk bersama susah dan senang. Dalam safar ada susah. Dalam safar ada kesenangan. Mereka yang beroleh kesenangan sahaja adalah musuh. Situasi susah kita ditinggalkan.
Maka Tuan Guruku selalu berpesan, perjalanan salik mestilah bersafar. Bersafar bersama gurunya, kerana disitulah terletak suhbah. Perjalanan suluk adalah perjalanan persahabatan. Disitulah salik melihat akhlak tuan gurunya dan ditarbiyah. Dibuka segala asrar dan hijab. Diterima melalui bingkai kasyaf hasil daripada pengalaman bersafar dan bersuhbah. Ajaibnya sebuah safar bagi salik.
Tidak dipanggil murid jika tidak bersuhbah( bersahabat ). Tidak bersahabat jika tiada safar.Ada yang mengaku menjadi murid kepada tuan guru. Tetapi hanya untuk beroleh kesenangan sahaja. Supaya doa dimakbul dengan berkat syeikh. Supaya hajat tertunai dengan berkat syeikh. Supaya, supaya, supaya yang berbentuk nikmat sahaja baru bertemu syeikh. Sedangkan kesusahan syeikh tidak sama dirasai bahkan ia berasa senang. Kelaparan syeikh kerana berpuasa bahkan ia sentiasa kenyang. Kemiskinan syeikh kerana bersedekah bahkan ia banyak memperoleh harta. Bahagian mana dalam bentuk kesusahan yang kita sama dengan syeikh.
“ Amalan kami amat menitik beratkan safar “
“ Sama ada pada pancaindera, perbuatan mahupun qalbu “
“ Safar dibuktikan dengan hijrah Rasul “
“ Maka terhasillah konsep safar dar watan dalam konseptual pengamalan qurbah kami kepada Jalla wa A’la “ Terang Syeikh Mahmud Afendim dalam kuliahnya kepadaku, satu ketika dahulu ketika aku bertalaqqi dengannya.
Safar kami masih belum Nampak penamatnya. Aku sudah cukup letih. Walaupun Laut Mati sudah kelihatan, tetapi permainan safar ini belum tamat. Kami sering ditipu oleh pemikiran kami sendiri.
“ o.k, lepas bukit besar itu, kita akan sampai ke laut mati “ beritahu Abu Anas.
Motivasi kami bertambah. Aku gagahi diriku untuk bergerak pantas. Memanjat tanpa memikirkan risiko. Di dalam hati cuma ingin menjadi pemenang bagi safar ini. Menjadi orang yang wusul ke hadafnya. Kepenatan telah hilang . Yang wujud hanya tenaga-tenaga yang tidak terjangka.Wajah yang berkeringat dan masam bertranformasi menjadi senyuman yang penuh harapan.
Malang. Tenaga yang tidak terjangka tadi terurai . Bila pandangan hanya memandang lautan pasir dan batuan yang semacam tidak bersempadan. Keletihan dan kehampaan menolak logik akal dan rasional. Walaupun tadi bermotivasi, sekarang ia sudah basi. Kami berehat. Rehat yang panjang.Kepala tidak terangkat. Lemah.
Detik-detik itu aku terfikir tentang perjalanan sulukku. Lagi tinggi aku menuju ‘qutb’, maka bukan syaitan lagi musuhku, tapi adalah diriku sendiri. Tenaga telah banyak digunakan sewaktu diawal suluk. Ketabahan diri masih kuat. Tetapi, bila beberapa saat untuk ke puncak, tenaga telah kehabisan. Ketabahan tidak seteguh dulu. Istiqamah sudah beralih kepada putus asa, makin lama ia makin kabur. Rehat menjadi berkali-kali. Usaha sudah sedikit.
Aku cuba melonjak,tetapi sudah tidak mampu. Aku cuba lagi. Lonjakan hanya beberapa tapak. Lonjak lagi. Kali ini gagal. Akhir kubiarkan sahaja. Ku sangka sudah wusul, ternyata belum terhasil. Kali ini, rehatnya panjang. Bertukar menjadi diam dam akhirnya kaku.
Imam A’taillah Sakandari mengalunkan hikmahnya : Di antara tanda bergantung pada diri untuk beramal ialah kurangnya pengharapan ketika wujudnya kelemahan-kelemahan.
Kali ini kami bersafar kosong. Suasana pun kosong. Fikiran mulai kosong. Sepi. Berjalan hanya membawa langkah. 11 jam sudah berlalu. Matahari sudah beralih. Dari satu sudut ke sudut lagi satu. Kali ini sudah tidak bererti. Fikiran yang kosong sudah tidak mampu menerima isyarat-isyarat ketuhanan.
Pukul 9 malam, kami baru berada di kaki jalan laut mati. Sepatutnya ia adalah kegembiraan. Tapi sifat itu telah ditenggelami oleh gelombang kepenatan. Apabila Abu Anas cuba mewarnakan safar itu. Aku dan Ustaz Imran hanya mampu mengukir senyum, sekadar menjaga perasaan. Kepenatan kami itu telah membutakan kami daripada menikmati permandangan indah Laut Mati.
Kami masih berjalan disepanjang Laut Mati. Mengikut perancangan kami , kami akan kembali dengan dengan jalan Laut Mati. Berjalan kaki. Perancangan itu menggilakan kami. Akhirnya, Abu Anas cuba menahan beberapa buah kereta. Tidak dilayan. Kami bernasib baik kerana Jalan Laut Mati ialah jalan utama. Maka masih terdapat banyak juga kereta yang masih menggunakan jalan itu.
Kami menumpang pick up yang menuju ke Karak. Jesteru itu, aku memang janggal dengan jalan tersebut. Sepanjang perjalanan tersebut, kami habiskannya dengan termenung. Ustaz Imran sudah tidak berkasut lagi. Kakinya sudah melecet tahap kritikal. Berdarah-darah.
Kami turun di sebatang jalan di Karak. Jalan ini berturap. Kami berjalan lagi menuju ke Bandar. Manalah tahu jika ada sesiapa yang hendak menuju ke Mu’tah. Mungkin kami boleh menumpangnya. Ustaz Imran berkaki ayam. Katanya, dia sudah tidak mampu untuk menahan kakinya yang melecet. Aku pun menanggalkan kasutku. Merasai dan menjiwai perasaan sahabat yang tidak berkasut.
Aku dan Ustaz Imran pun bercerita. Memandang pokok-pokok besar. Bercerita tentang cahaya yang kami pandang pada banjaran. Kami cuba membuang sejauh-jauhnya perasaan letih kami. Kami sudah boleh ketawa. Angin juga banyak membantu. Menjadikan hawa sedikit dingin.
Safar itu kami akhiri dengan menumpang pick up menuju ke Mu’tah. Kami sampai di Mutah lebih kurang pukul 12 tengah malam. Mu’tah sudah sunyi. Safar kami telah memakan masa selama 18 jam.
Banyak yang telah aku pelajari dari dari safarku. Kathrubba mengajarku erti sabar, tabah, penyerahan, tawakkal, suhbah, sidq dan macam-macam lagi. Kathrubba ialah latihan menjadi salik. Salik perlu pula bersuluk. Suluk tiada erti tanpa safar. Dan Kathrubba pula menjadi medannya. Kathrubba ialah guruku. Walaupun aku hanya bersamanya, cuma 18 jam sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan