Selasa, 29 September 2009

Khutbah Aidilfitri 1430 hijrah / 2009 M


Assalamualaikum warahmatullah..
Kullu a'm wa antum bi khair

Sewaktu pagi hari raya baru ini,seperti biasa, akulah yang menjadi khatib untuk khutbah hari raya. Jadi, teringinlah aku untuk berkongsi teks khutbah yang aku baca pada pagi hari raya itu...silakanlah baca...

Tajuk : Semarak Aidilfitri Lebaran Di Syukuri “

Allahu akbar Allahu akbar……
Selawat pada Rasulullah…..
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,
Marilah kita memperkasakan ketaqwaan kita kepada Allah dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala larangan Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan dan keredhaanNya di dunia dan di akhirat. Pada hari yang berbahagia ini, mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “ Semarak Aidilfitri Lebaran di syukuri”.
Muslimin Muslimat yang berbahagia,
1 Syawal tiba lagi menandakan bermulanya sambutan Idulfitri. Ia disambut penuh kesyukuran dengan laungan takbir membesarkan Allah dan laungan tahmid memuji Allah oleh seluruh umat Islam sedunia tanpa mengira batas usia, harta, takhta atau pun bangsa. Masing-masing bergembira menyambut kedatangan hari yang berbahagia ini setelah sebulan bertarung dengan godaan nafsu semasa menunaikan ibadat puasa.
Masa berlalu dengan begitu pantas sekali. Setahun dirasa bagaikan sebulan, sebulan bagaikan seminggu, seminggu bagaikan sehari dan sehari dirasa bagaikan satu jam sahaja. Hal ini memberi suatu peringatan bahawa kita semakin menghampiri hari qiamat. Oleh itu, suburkanlah hati kita dengan rasa cinta dan kasih kepada Allah dan seluruh anggota kita pula sentiasa patuh dalam melaksanakan perintahNya sama ada ketika sihat atau sakit, muda atau tua, lapang atau sempit, senang atau susah.
Allahu akbar,Allahu akbar, Allahu akbar walillahilhamd.
Muslimin Muslimat yang dikasihi sekalian.
Antara amalan yang sangat dituntut semasa menyambut aidilfitri ialah :
Memperbanyakkan ucapan takbir, tahmid, tasbih dan tahlil kepada Allah.
Ziarah menziarahi bagi mengeratkan hubungan silaturrahim.
Memohon kemaafan serta bersedia memberi maaf kepada yang memintanya.
Bersedekah kepada golongan yang memerlukan bagi menggembirakan mereka.
Mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh agama.
Namun, dalam kegembiraan ini, kita hendaklahsentiasa berwaspada dan menjaga kesihatan diri. Bagi mereka yang menghidap penyakit yang berpunca daripada amalan pemakanan yang tidak sihat seperti kencing manis, darah tinggi dan lain-lain, diharap tidak memenuhi selera secara berlebihan pada hari raya ini. Dalam masa yang sama, mimbar menyeru hadirin sekelian, supaya serius dalam usaha mencegah penularan penyakit influenza AH1N1 atau demam selsema babi di kawasan kita.
Antara kaedah pencegahan yang disarankan ialah :
Membasuh tangan menggunakan sabun dan air bersih.
Memakai penutup hidung dan mulut sekiranya menghidapi selsema atau batuk.
Menutup hidung dan mulut menggunakan tisu atau sapu tangan apabila bersin atau batuk.
Sekiranya demam, segera dapatkan rawatan dan berehat dirumah, serta elakkan berada dikawasan awam.
Sebagai umat Islam, kita digalakkan sentiasa berwuduk. Dengan berwuduk, kita akan membersihkan anggota badan kita yang mudah terkena kotoran dan penyakit seperti muka, tangan, kepala dan kaki. Secara tidak langsung, perbuatan ini dapat mencegah diri kita daripada wabak yang sedang melanda ini.
Firman Allah dalam surah al A’raaf ayat 96 :
Yang bermaksud : Jika sekiranya penduduk-penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, pasti Kami akan limpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi,tetapi mereka mendustakan ( ayat-ayat kami ) itu, maka kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka.
Muslimin dan Muslimat, sidang jemaah sekelian.
Pandemik Influanza AH1N1 amat mengerunkan kita. Ia boleh menyebabkan kematian, Influenza ini adalah berpunca dari sikap kita yang tidak mementingkan kebersihan. Maka kebersihan jugalah jalan pencegahan bagi masalah ini.
Namun, kita hanya mementingkan masalah yang zahir. Terdapat juga dikalangan kita yang tidak menjaga kebersihan hati. Dengan hati yang kotor ini, maka wujudlah hati yang mati akibat diserang penyakit hati. Kita pula,tidak pernah membicarakan hal yang berkaitan dengan masalah ini. Hati yang mati akan menyebabkan pelbagai lagi masalah. Orang yang hatinya mati, akan membunuh, mencuri, meragut, merompak, merogol, merempit dan lain-lain lagi. Kematian yang berpunca dari penyakit hati yang tidak bersih ini, lebih banyak dari pandemik influenza AH1N1. Berapa banyak orang yang mati kerana ragut? Berapa banyak jiwa yang terkorban kerana gejala rempit? Terlalu ramai ! Namun, pandemik ini tidaklah menjadi arus perdana pula. Influenza pula tidak akan terjadi jika pandemik hati ini dapat kita benteras. Rasulullah bersabda : ( al Nazafatu minal Iman ) Kebersihan itu daripada iman.
Kebersihan bukan sahaja berkaitan dengan sesuatu yang zahir tapi ia adalah penyelesaian masalah hidup. Maka ibadah puasa, adalah salah satu daripada penyelesaian pandemik hati. Soalnya ialah, adakah puasa kita ini berkesan atau tidak! Diterima oleh Allah atau tidak!
Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar walillahil hamd….
Muslimin muslimat yang dimuliakan,
Sambutan hari raya sepatutnya digunakan sebaik mungkin oleh umat Islam untuk kembali bersatu atas dasar Islam dalam masalah politik, sosial, ekonomi dan sebagainya.
Selain usaha membantu saudara seagama yang terlibat dengan peperangan seperti di Iraq, Afghanistan, Palestin, Mindanoa Filipina, Selatan Tahiland dan sebagainya, kita juga tidak lupa untuk kembali membina kekuatan umat islam termasuk dalam ekonomi. Kita melihat ekonomi dunia semakin hancur dan negara Islam turut menerima tempiasnya kerana kita menerima pakai sistem yahudi. Sejarah telah menyaksikan bagaimana pertukaran penggunaan wang dinar emas kepada wang kertas antara penyebab kejatuhan Kerajaan Uthmaniah Turki pada tahun 1924.
Sudah tiba masanya seluruh negara Islam bersatu dalam setiap aspek termasuk ekonomi berlandaskan sistem Islam. Jangan biarkan kita terus menjadi hamba kepada sistem yahudi yang menyebabkan kita terus mundur dan terjajah di negara sendiri.
Cukuplah seluruh negara Islam dan pelabur Islam bersatu membina kekuatan berasaskan sistem Islam. Dengan itu, yahudi dan para kapitalis penghisap darah akan jatuh tersungkur menyembah bumi. Kita mampu mengubahnya bila kita benar-benar takut dan bertaqwa kepada Allah lebih daripada manusia. Yakin dan berusahalah dalam memertabatkan sistem Islam untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.
Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar walillahil hamd….
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,
Walaupun Aidilfitri telah tiba, namun kita berasa amat dukacita apabila masih terdapat dalam kalangan umat Islam di beberapa pelusik dunia pada hari ini tidak dapat menyambut hari raya sebagaimana sepatutnya kerana mereka sentiasa terbelenggu dengan peperangan, penderitaan, kemiskinan dan bermacam –macam lagi.
Bahkan sepanjang Ramadhan yang baru sahaja berlalu, masih terdapat dalam kalangan umat Islam yang hidup di negara-negara yang ditimpa musibah hanya mampu berpuasa dan menyambut hari raya dalam suasana yang dihimpit oleh rasa ketakutan, kekurangan dan kedhaifan.
Oleh itu, sebagai umat Islam di negara ini, bersyukurlah kepada Allah kerana kita tidak merasai semua itu, dan dapat menikmati kehidupan yang baik serta dapat berhari raya dalam suasana aman tenteram.
Yang bermaksud : Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu : “ Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku akan tambahi nikmatKu kepadamu, dan sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, maka sesungguhnya azabKu amatlah keras “.
Barakallahu li walakum…….

Khutbah kedua.
Allahu akbar, Allahu akbar…….
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,
Selamat hari raya Aidilfitri diucapkan kepada seluruh muslimin dan muslimat. Pada hari mulia ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah menghitung diri bagaimana hasil tarbiah Ramadhan yang lalu, sama ada berjaya melahirkan kita sebagai umat bertaqwa atau sebaliknya. Jangan biarkan tarbiah Ramadhan berlalu begitu sahaja tanpa mengubah keadaan diri kita untuk menjadi hamba Allah yang sentiasa bertambah dan berkualiti amal ibadatnya.
Diriwayatkan oleh Imam al Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah : Boleh jadi ramai orang yang berpuasa, tetapi tidak mendapat sesuatu ( kebaikan ) daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga sahaja.
Sidang hadirn dan hadirat sekelian.
Imam al Ghazali ada menyingkap dalam kitab Ihua Ulumuddin bahawa : puasa itu terbahagi kepada 3 bahagian.
Bahagian 1 : ialah puasa golongan mubtadi atau awam, iaitu puasa yang hanya menahan lapar dan dahaga.
Bahagian 2 : ialah puasa golongan khusus, iaitu puasa yang menahan anggota badan daripada melakukan maksiat.
Bahagian 3 : ialah puasa golongan khawasul khawas, iaitu puasa yang menahan fikiran dan ingatan dari mengingati selain Allah.
Nah! Cubalah kita lihat dalam diri kita ! Sudah 15 tahun kita berpuasa! 30 tahun kita berpuasa!50 tahun kita berpuasa! Namun puasa kita tetap berada pada takuk yang sama. Ketika kecil, kita berpuasa untuk menahan lapar dan dahaga. Malah, situasi yang sama kita lalui ketika berumur 50 tahun, kita berpuasa masih kerana menahan lapar dan dahaga. Ada datuk yang puasanya sama nilai dengan puasa cucu-cucunya. Ada bapa dan ibu, puasa mereka, sama nilai dengan puasa anak-anak mereka . Jesteru itu, marilah kita membuat nilai tambah dalam puasa kita yang akan datang.
Rasulullah bersabda : Mukmin yang baik itu ialah hari ini lebih baik daripada semalam .
Biarlah puasa kali ini, lebi baik daripada tahun lepas, jikalau tidak, kita termasuk daripada golongan yang rugi.
Rasulullah bersabda : Tiadalah puas itu daripada lapar dan dahaga, tetapi puasa itu meninggalkan perkara lagha dan keji.
Maka, jadikanlah takbir yang kita laungkan sebagai takbir ibadat bukti kejayaan mendidik diri, bukan sekadar takbir adat yang tiada makna dan pahala. Isikan aidilfitri dengan amal ibadat tanpa dicemari dengan maksiat. Lahirkan diri kita sebagai hamba yang bertaqwa, dan bukan golongan yang derhaka kepada Allah. Jadikanlah diri kita sebagai orang yang sememangnya layak untuk menyambut hari raya, bukan setakat menumpang tuah orang lain yang lebih berjaya dan benar-benar menunaikan ibadat puasa sebagaimana yang dikehendaki oleh agama.
Satu pepatah arab ada menyebut : Bukanlah hari raya itu bagi mereka yang sekadar memakai pakaian baru, tetapi hari raya yang sebenarnya ilah bagi mereka yang bertambah taqwanya.
Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar walillahil hamd….
-selawat
-doa.
-penutup.

1 ulasan:

  1. Promotional clothing Abercrombie and Fitch for sale or Abercrombie as a gift, will always be beneficial to Abercrombie Sale any business. This is Cheap Abercrombie a great way to impress consumers Abercrombie outlet and grow brand loyalty abercrombie Jeans and popularity. This is a quite flawless form of marketing. Your imprinted Abercrombie Pantslogo provides instant recognition. Abercrombie Tees These eye-catching articles of clothing are a foolproof way to increase profits and a cost Abercrombie Shorts effective form of marketing. Some use this plan to earn profits and then save them for future expenses. Abercrombie Sweaters You can get a huge range of promotional gifts or other promotional items on It is encumbered with a wide range of designs, styles and colours of assorted promotional items. These items can be used as promotional gifts and resourcefully distributed to the target customers to have a long lasting impression on them and make a huge profit in exchange.

    BalasPadam