Khamis, 3 September 2009

Sufi pun berpuasa ( 1 )


Hairan. Memikirkan bagaimana Islam yang sudah lama bertapak di bumi ini, namun masih ada orang yang tidak berpuasa. Kehairanan aku ini mungkin berkesinambungan dari kehairanan aku di Jordan. Pernah aku terserempak dengan beberapa orang arab yang tidak berpuasa. Kehairanan itulah yang menyebabkan aku sering bertanya dengan beberapa kawan arab aku. Akhirnya aku dapati jawapannya iaitu orang arab yang tidak berpuasa itu ialah orang arab yang beragama kristian.
Tapi, kehairanan aku kali ini lebih membobrokkan aku. Masyarakat di sini ternyata bukan kristian malah mereka bersolat dengan aku. Malangnya mereka tidak berpuasa.
“ Jomlah Ustaz ! “ pinta anak muridku
“ Bila lagi kita nak pergi beli belah untuk hari raya, Ustaz”
“ Tak lama lagi nak raya dah ! “ desak anak muridku.
“ O.klah. Hari Sabtu nilah “ jawabku pendek.
Mengendalikan perasaan budak-budak ini memang payah. Dengan seribu karenah dan kadangkala memerlukan pengorbanan apabila hati ini seringkali disakiti. Tapi, bila dikenang kepayahan dan pengorbanan Rasulullah, aku masih tetap tabah. Walaupun aku sering terasa sakit hati, demi dakwahku, aku masih bersama mereka. Mereka memerlukan aku sebagai pembimbing mereka. Kalau bukan aku, tentu mereka akan bersama dengan orang yang berlaku maksiat.
Kami bergerak pagi. Perjalanan ke Kota Tinggi dengan menaiki bas mengambil masa 2 jam.
“ Woii ! kau puasa ke hari nie” soal kawan kepada anak muridku.
“ Puasa la ! “ jawab anak muridku dengan membalas senyuman.
“ Huh.. sejak bila korang pandai berpuasa ni “
“ Biasanya lebong aje “
Aku yang duduk di tempat duduk paling hujung tidak mengendahkan perbualan itu. Cuma aku sempat memasang telinga. Kawan anak murid aku masih berceloteh disitu tanpa menghiraukan kehadiranku. Mungkin dia menyangkakan aku adalah orang lain yang tidak bersama dengan anak-anak muridku. Memang ramai manusia yang tidak juga aku kenali disitu. Di situlah pertemuan untuk semua taburan felda tenggaroh berkumpul untuk menuju ke Kota Tinggi.
Dalam bas, barulah aku membuka mulut bertanya mencerap perbualan sebentar tadi antara mereka.
“ Orang dekat sini ramai ramai ke yang tak berpuasa? “ aku bertanya.
“ Ramai Ustaz “ jawabnya pendek.
“ agak-agaknya 80 peratus, begitulah “ ulasnya.
Aku menatap wajahnya. Sedikitpun tidak ada perasaan sedih diatas apa yang berlaku. Perbualan tadi cukup mengukuhkan keyakinanku bahawa mereka menganggap tidak berpuasa itu tidaklah menjadi kesalahan.
“ Jadi, kamu berpuasa hari ? “ soalku meminta penjelasan dari anak muridku.
“ kalau tak kerana keluar dengan Ustaz, saya tak berpuasa hari ini “ pintasnya dengan selamba.
Aku kembali tersenyum untuk jawapan itu dan hanya menggelengkan kepalaku.
B ahang panas dari terik matahari mula membakar kulit. Peluh keluar mencurah. Angin pula tidak kerap menyapa. Membuatkan aku tidak begitu selesa. Ketidak selesaanku bukan pada cuaca atau teriknya tetapi pada bakal tindakan anak muridku. Puasa ini pasti membebankan mereka dalam suasana ini. Mereka pasti merengek untuk membuka puasa atau iftar tanpa pengetahuanku.
Dari satu gerai ke satu gerai kami singgah. Menatap apa yang perlu dan kadangkala cukup dengan sekadar menyapa. Air yang sejuk, meleleh cairan dari sejuk air dicermin balang air, memang cukup mengiurkan dan meliurkan. Makanan yang terhampar, berwarna warni. Berkuah, bersambal cukup mengujakan.
“ Ustaz saya dah tak tahanlah Ustaz “ rengek anak muridku.
Aku tersenyum.
“ Kan kita dah janji. Kalau Ustaz tak buka puasa, kamu juga tak akan buka puasa “
Kerut muka mereka kelihatan.
“ Alahhhh…. Tunggu sekejap lagi . Pukul 3 kita buka “ sungutku.
Masa berlalu. Mereka masih tabah bersamaku, walaupun mulut mereka mengomel sesuatu yang tidak aku tahu. Aku biarkan sahaja.
“ Ustaz! Dah pukul 3 ni…” jerit mereka.
“ Aisey…Ustaz tak rasa lapar lagi ni “
“ Pukul 4 la pulak ….” Balasku.
Mujahadah adalah pintu utama pada sebuah kemenangan. Jihad ialah pengorbanan. Pengorbanan akan melibatkan kesakitan. Pengorbanan yang dibuat oleh hati akan meluruskan segala bentuk jihad yang lain.
“ Dah pukul 4 ni Ustaz, macamana ? “ tukas mereka.
“ Ustaz punya lapar dah hilanglah, kita tunggulah pukul 5 “ saranku.
Jihad bermula dengan satu detik. Satu tekad. Satu nekad. Tanpa keazaman jihad itu tidak beristiqamah. Jihad akan pudar sebelum mekarnya. Jihad akan bantut sebelum hasilnya.
“ Sekarang dah pukul 5, saya pun dah tak lapar lagi Ustaz “ keluh mereka.
“ Tengok kalau pukul 6 kamu lapar, kita sama buka puasa ye ! “ pujukku.
Pelbagai perkara yang kita jihadkan. Jihad membentuk usaha.Jihad,azam, tekad, istiqamah dan usaha adalah buah cinta. Tanpa cinta semua itu tidak berseni. Semua itu bersendi. Sendi itu puncanya, adalah cinta. Cinta kepada Allah akan menjadikan sesuatu yang berat seperti puasa adalah ringan tidak bertimbang.
Pukul 6, kami kembali ke Tenggaroh. Lapar tiada lagi disebut. Semua yang berlaku seperti air yang lalu di sungai deras. Tidak dikenang, tidak juga dikenal. Ia pergi tanpa dikesali.
“ Alhamdulillah “ jawab anak muridku setelah sendawa.
“ Ustaz…! “ panggil anak muridku kepadaku.
“ Saya nak ucap terima kasih! “ bicaranya.
“ Kenapa pula ? “ tanyaku.
“ Buat saya berpuasa hari ini “ mukanya berseri.
“ Saya tak sangka, saya mampu berpuasa. Walaupun saya pergi Kota Tinggi “
Aku hanya tersenyum.
“ Inilah kali pertama saya berpuasa, Ustaz “ bisiknya.
“ Allah mendapatkan kamu, walaupun kamu hanya baru bermula “
“ Hanya baru bermula “ tegasku.
Malam itu kami bertarawikh bersama. Berdoa bersama. Munajat bersama untuk lestari pada sebuah permulaan. Ramadhan kian berakhir, tapi kami baru bermula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan