Isnin, 14 September 2009

Sufi pun berpuasa ( 10)


Hari ini aku dan Ustaz Shahrol ke rumah anak murid Sayyid Hasan, seorang jurutera pembinaan untuk berbuka puasa. Ramadhan sememangnya menjanjikan sumber rezki yang tidak pernah putus. Malah bermewah lagi. Murad untuk merasai kehidupan bermiskin seperti mana yang dirasai oleh golongan marhaen itu, entah tercapai atau tidak.
Nasib baiklah, aku mempunyai mursyid yang sering membimbing aku untuk memperbetulkan setiap tanggapan dan tindak tanduk dalam beramal. Jadi, terdidiklah aku dalam Ramadhan.
Aku masih memerhati sekeliling rumah. Kagum. Suasana elegen dengan perabot yang keemasan. Empuk . Gambar-gambar yang bergantungan indah. Warna cat minyak yang menarik. Susun atur yang tidak keterlaluan seperti kebanyakan rumah arab. Terdetik hati aku …pemilik rumah ini sememangnya kaya.
Aku berpaling memerhati Sayyid Hasan. Gerak gerinya sopan dan tidak terburu-buru seperti kebanyakan arab. Cakapnya tidak meninggi dan teratur. Beliau duduk dikerusi yang disediakan. Raut wajahnya mengambarkan beliau tidak terkesan dengan kemewahan. Hanya watak seorang ulamak yang membela kebenaran terzahir.
Petang itu redup. Seredup mataku menyaksikan akhlak terindah milik seorang tuan guru. Cuaca tidak terlalu panas dan juga sejuk. Walaupun musim syita sudah mula bertapak kukuh. Kehangatan soba turut membantu untuk mengekalkan suhu panas. Baju sejuk ditanggalkan agar lebih kelihatan selesa. Aku memilih untuk duduk di kerusi mewah itu, menghadap sayyid Hasan.
Masa masih bersisa untuk jangka waktu sebelum berbuka puasa. Sayyid Hasan segera mengisi ruang. Sayyid mengarahkan seorang dari anak muridnya untuk membaca al Quran, sementara yang lain mendengar dengan penuh adab agar diperkenankan rahmat dari Allah.
Beberapa ayat pun sudah cukup untuk mewujudkan suasana syahdu. Tenang. Puasa dibawah didikan tarbiyah Sayyid Hasan menjadikan nafsu dibawah kuasa qalbu. Qalbu yang berfirasat mukmin. Hajat sudah tiada melainkan keperluan. Sementara keperluan pula berubah perlunya bila memahami tujuan. Tujuan berpuasa menidakkan kelazatan nikmat. Kerana tujuan berpuasa bukan untuk bernikmat.
Sayyid Hasan mulai berbicara. Tentang tafsir . Isi mukjizat itu dibedah. Persoalan demi persoalan mula dithorohkan. Mula berwacana mengenai hurufnya, qawaidnya, sorofnya dan balaghahnya. Cakupan itulah yang telah melemahkan golongan terpandai , menyentuh yang lemah dan mengubah yang perkasa. Simpul-simpul ilmu itu tercerah dan terurai dengan bantuan Ramadhan.
Sayyid Hasan memang tidak akan membiarkan setiap ruang waktunya kosong tanpa makna. Kami pun tidak pandai bersenda dengan sayyid Hasan. Ciri keperibadian Rasul ada terpatri dalam susuk tubuh Sayyid Hasan. Senyumannya itu adalah ketawaku.Senyumannya hanya sekadar mengangkat sedikit bibirnya. Kata-katanya hanya ilmu. Wacananya pendek tidak lekang dengan keterikatan wahyu dan sunnah.
Waktu hampir tiba untuk berbuka. Sayyid menoktahkan perbicaraannya. Doa tetap dibaca walaupun hanya sebuah penangguhan. Kami pun beredar dari ruang itu untuk menjamu selera kala berbuka. Sayyid Hasan memang seorang yang amat berhati-hati dalam ibadahnya. Kecepatan berbuka bukanlah seperti yang amat disangka oleh kebanyakkan orang. Sayyid menyarankan agar kami tetap memberi ruang ihtiyat masa sebelum berbuka, kerana masa itu tetap berbeza. Setiap orang mempunyai jam yang tidak sama. Ada yang dicepatkan, ada yang lambat dan ada yang tidak berfungsi. Ketidaksamaan itu boleh menyebabkan ibadah itu menjadi rosak.
Berbuka bukanlah hanya dengan makanan. Sayyid menukilkan kepada kami beberapa riwayat yang para sahabat telah berbuka dengan pelbagai cara. Namun, pada hemat orang yang berbangsa melayu ini, ialah berbuka tidak lain hanya dengan cara makan. Kalau tidak makan, nescaya orang akan memandang serong yang teramat sangat.
Makanan yang enak dipandang sebelum rasa, sudah pun terhidang . Maqlubah di atas talam yang tinggi mengunung dan penuh dengan ayam yang dipotong cukup mengemamkan air liur. Nasi yang berwarna kekuning-kuningan cukup naik warnanya dibantu dengan cahaya lampu yang kuning berbalam. Air jus tembikai yang kemerahan kesejukan memang meratah iman. Tapi, bila melihat Tuan Guru masih sama keadaannya tanpa terkesan dengan makanan yang lazat itu, aku menjadi malu pada diri sendiri.
Sayyid duduknya seperti dianjur nabi. Berwajah tenang dan sentiasa tersenyum. Sesekali ia tersenyum kepadaku. Menambahkan maluku pada diri sayyidi. Dalam detik-detik berbuka, mulut sayyidi sentiasa terkumut kamit. Bacaan doa dan zikir memang tidak lekang dari setiap tarik dan hembus nafas sayyidi. Rasul bersabda : ( Orang yang paling baik diantara kamu ialah apabila kamu bersamanya, kamu akan teringat Allah ).

Azan berkumandang tenang. Sayup suara itu memenuhi ruang udara. Memang suasana di Jordan, tika begini memang dijalanan sudah tiada manusia lagi. Semuanya akan mengadap makanan untuk berbuka. Oleh sebab itulah suara itu dapat menerobos dalam setiap zarah udara tanpa ada sesuatu yang menghalangnya.
Sayyidi mengapai tamar yang disediakan. Perkara sunnah adalah perkara utama dalam diri sayyidi. Berhempas pulas sayyidi bertalaqqi dalam urusan kesenian ilmu hadis, semata-mata untuk menjadi khadam rasul. Maka adalah diri sayyidi terbentuk dari pendidikan itu juga.
Makanan yang lazat itu hanya disentuhi sayyidi dengan hanya beberapa suap sahaja. Sayyidi berhenti. Menikmati minumannya dan manisan. Sedangkan kami masih belum berhenti. Nikmat yang hanya datang sekali sekala itu kalau boleh dihabiskan, dihabiskan tanpa memandang kepada keperluan dan tujuannya. Juadah itu, buatkan aku tak cukup tangan. Bermula dengan merasai roti, kemudian nasi. Meratah ayam dan lauk pauk yang lain. Manisan dan beberapa jenis minuman. Betul-betul aku kekenyangan.
Sayyidi, bersolat sunat. Meninggalkan kami yang fana dalam nikmat. Rakaat demi rakaat. Sujud demi sujud ,sayyid jatuhkan dahi nya di atas sejadah itu. Sayyid memulakan solat maghrib dan kami masih terkejar dalam menyempurnakan wuduk.
Usai bersolat. Wirid dan ratib mula bermain dihujung mulut. Suara kami setara.Solat nawafil pula adalah ulam pada sayyidi. Tenang melihat solat yang didirikan oleh sayyidi. Persis masyarakat melayu. Sama ada dari segi bacaannya, tingkah dan gerak laku sayyidi di dalam solat. Suaranya tidak mewakili masyarakat arab yang sengau.Malah bernada melayu pula. Tak ubah pula seperti ayahku menjadi imam.
Sayyid Hasan kembali ke tempat duduknya. Beliau mula mengajar seperti biasanya malah beliau menambah jumlah waktu dari kebiasaannya. Kami sudah terdidik dengan tarbiyah Sayyid Hasan untuk membesarkan ilmu lebih dari segala-galanya. Oleh sebab itu, tidak hairanlah Sayyid mendahulukan pembelajaran dari ibadah sunat termasuk solat tarawikh. Kebanyakkan orang, tidak suka dengan cara ini. Mereka akan melenting jika solat sunat tarawikh tidak diadakan. Bagi kami, sudah lali dengan kecaman begitu, jika kita terlalu fanatik dengan pandangan sendiri sahaja.
Aku teringat kitab ‘ Sabilal Muhtadin ‘ karya agung Syeikh Arsyad al Banjari pada halaman 346 cetakan Darul Busyra ada mengatakan dengan jelas :walaubagaimanapun sibuk dengan menuntut ilmu itu terafdhal kerana yang fardhu ain daripada ilmu itu terafdhal daripada segala fardhu ain yang lain hinggakan sembahyang, dan yang fardhu kifayah daripada ilmu itu terafdhal daripada fardhu kifayah yang lain.
Sayyid Ali bin Hasan al Bahar, ada mengungkapkan, Sayyid Hasan, malamnya tiada jemu dengan mentelaah ilmu. Beliau akan menghabiskan malamnya dengan pembacaan, penulisan dan kajian makhtutat. Bakinya beliau sibuk dengan membaca al Quran dan beribadah sunat yang lain.
Barulah episod solat nawafil, zikir , muhasabah dan lain-lainnya bermula. Tidurnya hanya beberapa jam sahaja. Selepas subuh Sayyid akan kembali sibuk dengan telaah ilmu. Guruku, kaulah wali bagi ilmu Allah. Menjaga ruang ilmu daripada serangan musuh Allah.
Ramadhanmu, sungguh tiada beza dengan hari-hari sebelum Ramadhan, kerana sibukmu dengan ibadah dan ilmu pada bulan bukan Ramadhan sehingga tiada ruang untuk ditambah. Ia menjadi kekal begitu.
Ramadhan menjengah menyelak hidup guruku. Tabirnya terbuka hijabnya terangkat. Maka tersuluhlah segala kehidupan yang menjadi peransang dan contoh buat kami. Menjejaki ibadahnya membuatkan aku berputus asa untuk bersikap demikian. Tapi teringat aku kepada kata pujangga yang menyorot untuk aku terus berharap : Aku mencintai orang-orang soleh, tetapi aku bukan dari kalangan mereka. Aku berharap, aku akan mendapat syafaat mereka.( al Azkar-Imam al Nawawi ).
Ramadhan Karemm Ya Syaikhi !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan