Ahad, 20 September 2009

Sufi pun berpuasa (11 )


“ Beli, beli ejai …. “
“ Alaaa…yang donut ini sedap “
Tahun ini, Ramadhan agak berlainan dengan Ramadhan yang lalu. Bazaar Ramadhan sudah pun diwujudkan oleh pelajar Malaysia di Jordan. Budak-budak persatuan memang ramai bertebeng di musalas Mu’tah. Paling ramai, akhawat Malaysia. Pelajar Malaysia terutama syabab pula paling ramai yang dikenali sebagai pembeli.
Maklumlah, syabab semacam aku ni, sememangnya malas dan tak tahu masak. Masak bukanlah perkara utama dalam diari seorang syabab. Makanan adalah perkara remeh dalam hidup. Tapi, inilah peluang untuk persatuan menambahkan pendapatan persatuan. Malah, ia juga merupakan aktiviti persatuan.
Pelanggan di bazaar itu, bukan sahaja orang Malaysia, malah turut menarik minat arab. Kehadiran bazaar milik orang Malaysia, sudah tentu akan menambah pengetahuan orang arab agar dapat mempelbagaikan jenis kueh dan makanan dalam peradaban mereka. Bukannya hanya setakat qatayif, falafil dan itu-itu sahaja.
Hari itu, pelanggan bazaar sungguh ramai. Makin hari, ia menambah jumlahnya. Kalau lambat pasti akan kehabisan. Aku pula, lebih suka memerhati dari menurut serta perkumpulanan itu. Gelagat penjual dan pembeli. Lagaknya ada kebaikan dan keburukannya.
“ Beli dik….satu bungkus RM 2, sahaja “ penjual mee itu memujukku.
Aku segera membalas dengan senyuman. Mataku sempat mengerling dengan mee yang ditawarkan kepadaku. Masih mee biasa yang kutemui sebelum-sebelum ini. Kalau ada, yang luar biasa, barulah ia dapat menarik minatku. Tapi, aku tidaklah terlalu kecur dengan hawa nafsuku.
Tarbiyah guruku melalui ibadah puasa dan bersuluk menyebabkan aku sudah berjaya mengalahkan kekuatan musuhku iaitu nafsu. Jesteru itu aku tidak merasai apa-apa bila disapa dengan makanan.
Pasar Malam dan Bazaar Ramadhan di Tenggaroh, tentunya lebih meriah dari bazaar di Musallas Mu’tah . Kalau ia kecil saiznya ia tetap meriah. Kemeriahan itu bukan pada tempatnya, atau suasananya. Tetapi kemeriahan itu, ialah pada perasaannya.
Aku masih macam dahulu. Lebih suka memerhati dan berfikir dari memerhati dan membantu nafsu. Watak-watak yang ada pada orang yang mundar mandir itu, tentu berbeza. Tapi tujuannya tetap sama. Iaitu memenuhi keperluan nafsu manusia.
Manusia tetap membeli dengan hajat nafsu, bukannya hajat diri. Maka, tangan- tangan tetap penuh dengan pelbagai juadah. Rupanya manusia ini walaupun usianya berubah. Masanya berubah tetapi puasanya masih tetap sama. Di Jordan mereka masih berpuasa menahan lapar dan dahaga. Kembali ke Malaysia dan beransur tua, masih berpuasa kerana menahan lapar dan dahaga.
Rasul ada berpesan : Berapa ramai yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa dari puasanya. Melainkan lapar dan dahaga. ( Kam min Sooimin, laisa lahu min saumihi illal Ju’ wal atasyh)
Rasul bersabda lagi : Bukanlah puasa itu menahan lapar dan dahaga tetapi puasa itu menahan daripada perbuatan lagha dan keji ( Laisa siyamu minal ju’ wal atasyh, wa innamas siyamu minal laghwie war rofas ).
Aku masih berpuasa, dan mereka masih berpuasa. Tapi, aku akan menambahbaik puasaku sepanjang tahun. Sementara mereka, masih berada di puasa yang sama. Kerana makan dan minum. Kerana itukah kita diutuskan ? Padaku menahan makan dan minum itu terlalu kecil pengorbanannya kerana ia telah dilakukan oleh orang miskin. Aku masih mencari pengorbanan yang tidak mampu dilakukan oleh orang miskin dan kaya.
Guruku ada berpesan kepadaku ketika Ramadhan yang telah lama berlalu : Jika kau terfikir apa yang kau akan makan sewaktu iftar, ternyata batallah puasamu ( pahala ).
Ramadhan tetap sama, jika kita melaluinya dengan cara yang sama. Cubalah kita berubah. Tentu perasaan dan gaya Ramadhan akan berubah. Tingkat dan mustawa juga berubah. Barulah kita akan bersama dengan mereka yang bertaqwa seperti yang Allah pinta : (( moga-moga kamu bertakwa ) (( Laallakum tattaqun).
Aku cuba beroleh taqwa dan bukannya lapar dan dahaga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan