Ahad, 20 September 2009

Sufi pun berpuasa ( 12 )


“ Kumpulan enta ni, dah macam dikir barat ana dengar ! “
“ Kita mesti kembali kepada asal kita”
“ Para ulamak kita sudah buat macam itu, jadi jangan diubah “ Habib Husin berbicara menunjukkan ketidakpuasan hatinya.
Aku gamam. Aku hanya tersenyum dan mengambil pendekatan berdiam diri sahaja. Walaupun aku ada pendapat aku sendiri. Dan tak salah rasanya, aku mempunyai pendapat sendiri selagi aku bernama manusia. Tetapi kecintaan ini telah membutakan aku. Usah dipertikaikan kecintaanku kepada ahli keluarga Rasulullah. Diri ini sudahku wakafkan diri di atas nama percintaan ini. Oleh kerana itu, aku mendahulukan cintaku daripada emosiku sendiri. Maka selayaknya aku berdiam sahaja. Allah berfirman : (( Tiadalah aku pinta kepada kamu melainkan kasih sayang kepada qurba )).
Cinta ini berputik tika aku mengenali Sayyid Hasan al Saqqaf. Beliaulah yang mula menanam benih tersebut. Dan hari ini aku masih menanti mekar bunganya. Bauan yang wangi itu sudah pun meresap dan menyebarkan kepada sesiapa yang terciumnya. Kata Imam al Syafie : Wahai ahli bayt al nabi. Kefarduan mencintaimu seperti yang terkandung di dalam al quran.
Namun detik peristiwa itu telah menjedakan hubungan kami seketika. Sehingga kehadiran allahyarham Dato Ali rahimullah. Pertemuan demi pertemuan dengan Dato Ali telah menyuburkan hubungan malah menjadi ikatan ikhwan pula. Ikatan itu rapat sekali. Simpulnya kemas sekali. Jesteru itu, beliau menjemputku untuk menyampaikan ceramah sempena Isra dan Mi’raj di Madrasah Sidi Ibrahim. Aku pantas menerimanya.
Dalam fikiranku, mereka yang hadir untuk ceramahku hanya terdiri dari penuntut-penuntut Madrasah Tahfiz Sidi Ibrahim. Namun, setelah menatap seramai wajah yang tertumpu kepadaku menyebabkan aku mulai gelisah. Dato Ali telah memanggil keseluruhan alim ulamak di Johor untuk mendengar ceramahku. Para peguam syarie Negeri Johor, pegawai-pegawai agama Negeri Johor, ustaz-ustaz Madrasah Tahfiz, masyaikh Johor termasuklah Habib Husin.

Kegerunanku memuncak.Bungkam. Ceramahku pasti dinilai. Dari sudut ilmiahnya, inteleknya, kesesuaiannya dan penerimaannya. Apa pulak tindak balas Habib Husein nanti, setelah mendengar tazkirahku. Aku mula mengumpul segala kekuatan. Perhatian dan tawakal aku pusatkan kepada Allah. Yang menjadikan masalah aku,adalah Dia dan Dialah yang menyelesaikan.
Ku mulakan dengan nada perlahan petanda kepada kerendahan diri. Puji-pujian kepada orang alim dan khususnya para habaib merupakan kemestian. Sedikit demi sedikit aku mula mencurahkan titisan – titisan ilmu yang bertakung dalam minda aku selama ini. Dengan keberkatan selawat ceramahku mula meningkat mutunya. Kerap juga aku mula bermain perasaan. Ku sulam dengan sedikit muhasabah menyebabkan hati-hati mula berentak pilu.
Kala itulah, air mata ada yang mengalir tanda sebuah penyesalan. Aku saksikan habib Husein termasuk orang yang akan memadam api neraka dengan air matanya. Aku selitkan juga nilai-nilai ilmiah dalam perbahasanku.Aku sudahi tazkirah itu dengan baik. Aku tatap wajah-wajah puas.
Ceramah itulah adalah sebuah ikatan yang kukuh terikat antara aku dan habib Husein. Pertemuan demi pertemuan kerap berlaku. Aku sering dijemput untuk menyampaikan tazkirah bagi setiap majlis Habib. Sehingga satu malam, Habib menjemputku untuk satu pertemuan.
“ Bila enta kata, enta ikut tariqah syaziliyyah, ana teringat dengan seseorang yang berkaitan dengan tariqah syaziliyyah semasa ana di Mekah dahulu “ Habib Husein memulakan ceritanya.
Aku sekadar melemparkan senyuman dan merenung dengan penuh minat. Aku masih menanti sambungan kisah Habib Husein.
“ Sewaktu ana ingin kembali ke hotel. Ana melalui sebuah kumpulan yang berpakaian putih “
“ Diaorang membaca qasidah dan selawat. Ana tak pernah dengar qasidah sesedap itu “
Aku masih tekun.
“ Jadi, ana pun berpatah balik dan duduk dalam halaqah itu “
“ Ana tanya orang sebelah ana, diaorang dari mana. Nasib baiklah ada yang boleh cakap orang putih “
“ Dia cakap, diaorang ni mengikut tariqah syaziliyyah “
Habib Husein segera membuka buku kecil yang berwarna hijau.
“ Ini gambar tuan guru tu yang sempat ana ambil gambar dengan dia “ tunjuk Habib Husein.
“ Masya Allah “ terpacul dari mulutku.
“ Habib, ini gambar tuan guru ana ! Syaikh Abdul Karim al Urabie ! “ jelasku.
“ Ya ke ! “ Habib tersentak.
Aku mula sebak. Hatiku tidak tertahan-tahan. Mula tersingkap segala gambaran-gambaran silam. Bayangan itu membuak-buak. Betullah kata pujangga : Hidup ini tidak semestinya indah, tetapi yang tetap indah ialah kenangan.
Malam itu aku berlipur tentang masyaikh syaziliyyah. Khususnya sohibul tariqah. Malam itu kami bertambah utuh. Sememangnya ruh yang bertemu akan kembali bertemu. Orang yang bertemu dengan tuan guru, turut mempertemukan aku dengannya.
Kami masih bertadarus di malam-malam Ramadhan. Entah mengapa, malam itu sungguh berlainan bagiku. Aku mencari kelainan itu, tapi masih belum ku jumpai. Masing-masing sudah memulakan bacaan al Zikr. Entah mengapa, malam itu, tergerak hatiku untuk membawa handphone bersamaku. Ku belek-belek. Entah apa yang lainnya malam itu.
Telefonku berdering kuat. Mata-mata yang bertadarus, tertumpu kepadaku. Bacaan mula terganggu. Nombor yang terpampang di skrin bukan milik nombor dalam negara ini.
“ Panggilan luar negara . Sayyid Ali al Baharkah ? “ pintas hatiku.
“ Assalamualaikum ….” Aku bicara.
“ ohhh….Habib! Sihat ke ? “ tukasku.
“ Habib berada di Makkah sekarang . Habib tolong kirim salam dengan Rasulullah yer…” pintaku
“ Apa Habib…..! “ aku terkejut
“ Habib bertemu dengan Syeikh Abdul Karim al Urabie!”
“ Kalau begitu Habib kirim salam dengan Syeikh ya ! “ aku sekali lagi meminta.
Perbualan itu diakhiri dengan salamku yang terhormat buat Habib Husein. Aku membatalkan urusan tadarusku. Apabila rabitah kepada syaikhku sudah tidak tertahan lagi, maka ia sudah menganggu amalku.
Aku segera ke bilik. Pergi mandi dan berthoharah. Berpakaian putih dan berhatif. Salamku kepada syaikh di atas segala penghormatan. Bersolat sepanjang waktu. Tidak aku endahkan lagi yang berada disekelilingku. Ku biarkan mereka pergi dari menguasai ruang fikiranku.
Setelah berpuas hati dari segala kerinduan, aku bercepat merapati anak-anak muridku. Aku bercerita tentang perjumpaan. Tentang hatif, tentang muqabalah, tentang musyahadah dan tentang sebuah syauq yang azim.
Cinta ini berputik kerana barakah tuan guru. Biar mereka tahu, yang aku mempunyai seorang tuan guru yang hebat. Pertemuan di Ramadhan adalah pertemuan barakah, sebarakah Ramadhan. Ramadhan adalah sebuah ikatan. Ikatan pada syeikh dan ikatan pada Rabb syeikhku.
Allahumma bariklana fi Syahri Ramadhan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan