Rabu, 23 September 2009

Sufi pun berpuasa ( 13 )


Aku masih letih. Perjalanan ke Johor kali ini memang meletihkan. Pagi lagi aku sudah berangkat dari Tenggaroh. 8 pagi. Dari Tenggaroh aku terus menuju ke Pasir gudang. Dari Pasir Gudang menuju ke Austin pula. Tujuannya untuk bertemu dengan Ustaz Shahrol di rumahnya di Taman Setia Indah.
Mesyuarat ala kadar itu, yang berlangsung dalam kereta di bawah pokok, lebih selesa jika dibandingkan jika dibuat ditempat lain. Dalam kereta ada aircond. Sejuk. Suasana diluar lebih membiaskan kepanasannya. Malah angin sedikit pun tidak menderu. Di akhir-akhir Ramadhan, besar pula ujiannya.
Usai bermesyuarat aku ke Jusco pula. Membeli belah apa yang patut. Itulah satu-satunya hari aku keluar untuk tujuan bersantai. Sepanjang Ramadhan, aku masih mengekalkan diri di Tenggaroh. Menghabiskan Ramadhan dengan berbakti kepadaNya. Sungguh sayang untuk meninggalkannya, walaupun hanya seketika. Ia sudah lama menjadi rutin aku pula. Ramadhan, maka aku kurang beraktiviti.
Tak banyak yang aku dapat lakukan di Jusco. Bersegera pula Zawiyah Johor Bahru. Bertemu dengan anak-anak murid disana menggembirakan aku. Aku ingin mengambil barakah, dari tempat orang yang sentiasa menginggati Allah. Agar aku juga kuat untuk menginggat sekuat itu. Untuk memberitahu tentang malam pilihan, malam ini. Perkara itu dikuatkan dengan pengakuan Ustaz Mashrufi. Tapi, aku tidak boleh berlama disana. Ada panggilan yang memanggilku.
Aku ke Kota Tinggi untuk mencari tempat beriftar. Jenggo menjadi pilihan anak-anak muridku. Memesan nasi kosong, ikan siakap 3 rasa, tom yam campur , udang goreng tepung dan air pilihan masing-masing.
Manusia padat mencari tempat untuk berbuka . Ada yang berjemaah datangnya. Ada yang berteman, ada yang bersendirian. Bermacam lagaknya. Kebisangan dan keriuhan anak-anak kecil memeriahkan suasana. Namun, masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing. Tiada siapa yang mengambil pusing tentang ketibaan malam ini. Makanan lebih utama.
Angin pula mengambil tempatnya. Bertiup agak kencang. Membuaikan hujung-hujung rambut dan tudung bagi perempuan. Suasana cerah mula meredup mendung. Rintik-rintik gerimis berjatuhan bersama tiupan angin itu, membuatkan aku tersenyum.
“ Ia sudah turun, ia sudah turun…barakah “ getus hatiku.
Makanan yang kami pesan agak kelewatan tibanya. Begitu ramai yang memesan, maka kami ketinggalan. Tapi kami tiadalah berperasaan marah dan sebagainya. Ramadhan mengajar kami hanya menerima. Walau pun ada sedikit salah faham untuk tempat duduk kami, yang sebenarnya telah ditempah orang. Kesilapan berlaku pada tuan punya restoran. Sepatutnya ,mereka meletakkan tanda isyarat ‘ sudah ditempah ‘, barulah kami beredar. Jadi, kami sangkakan tempat itu tidak berpunya.
Maka, datanglah sipenempah awalnya. Mereka hanya bertanya berapa orang yang duduk disini. Hanya sekadar itu, dan mereka pun beredar. Selepas itu barulah kami mengetahui, tempat kami sudah di mahjuz rupanya. Ramadhan mengajar setiap manusia bertoleransi. Tiada keradangan. Kejadian seperti tadi, jika berlaku pada bulan selain Ramadhan, pasti keberangan memuncak. Aduh…alangkah baiknya, setiap hati adalah Ramadhan.
Sebelum berangkat ke Tenggaroh, kami menunaikan solat maghrib dahulu. Masjid juga sudah dipenuhi dengan para musafir. Para jemaah masjid yang bersedia menanti untuk solat tarawikh telah lama beri’tikaf dan bertafakur dihujung-hujung masjid. Kami segera surai dan kembali ke Tenggaroh.
9.15 malam, aku tiba dirumahku. Anak-anak muridku telah lama siap. Berpakaian putih sepenuhnya. Tertebarlah cahaya putih memenuhi ruang rumahku. Segera pula aku bersiap. Aku tidak mahu mereka menanti-nanti dengan ketibaanku. Aku titiskan air-air membasahi diriku. Agar sedikit segar dan bugar berhadapan dengan kekasihku. Aku menyarung kain dan membalutkan diriku dengan jubah putih dan abaya putih. Aku sematkan tanjak mahkota dikepalaku dengan serban putih. Aku mendapatkan mereka.
Di ruang tamuku, bau gaharu menyusup ke seni-seni hidungku. Menyegarkan. Aku mulakan dengan Ummul Kitab dan rawatib al Fatihah. Menyempurnakan kembali syahadah agar ikatan tauhid kekal sempurna. Beristighfar sebanyak mana yang boleh. Zikir mula bertalun-talun bunyinya. Dari kalimah thoyyibah hingga ke asma Allah meraung dalam kesunyian malam ke 23 Ramadhan kali ini. Hati mula berbentak halus untuk merasai keinsafan setelah lama ia mengeras begitu dengan kemaksiatan. Suara penuh tajam menusuk qalbu dan menyentuh lathoif untuk merintah, bersipongang dengan nada keras. Di akhiri dengan doa dengan nada lembut.
Maka jiwa-jiwa yang jerih menanggung qabad tidak tertanggung lagi dengan lelehan air mata yang bisa memadamkan api neraka. Jesteru itu, kepala-kepala mula menunduk, menghentam segala bentuk keegoan yang mengambil segala sifat ilahiyyah dan akhirnya melebur dalam sifat ubudiyyah. Jauh dari ganguan dan bisikan yang lahir dalam bentuk khatir syaitaniyah berubah kepada khatir rabbaniyyah.
Aku yang keletihan kerana safar panjang, telah meresap dalam suasana syauq azim yang merembeskan sebuah tenaga yang kepalang ajaibnya. Setelah berselawat panjang, aku merubah bentuk kedudukan zikir kepada susunan syaziliyyah. Suasana menambah syahdu.
Selesai berzikir, maka aku menyampaikan suhbah. Memberi penerangan tentang kelebihan malam yang tiada tandingan. Malam yang akan memberi beribu makna dan isyarat. Setiap detiknya barakah. Segala taubah berupa rahmat, segala dosa mustaghfirah, segala permohonan mustajabah. Tiada malam selainnya. Malam seribu barakah.
Aku akhiri majlis zikir itu pada pukul 11 malam. Aku akhirinya awal untuk membolehkan mereka bersedia untuk lebih awal. Aku menginggatkan mereka untuk tidur jika mereka mahu. Jika mereka teruja dan rughbah, maka bolehlah mereka bertadarus dan bertartil al Quran.
Usai, aku memohon kepada anak muridku untuk memicit tubuhku. Picitan membuatkan aku terlena. Jam menunjukkan pukul 12.45 malam. Bersegera aku membuat persiapan untuk qiyam.
Malam itu, malam bisyarah. Buat mereka merasai isyarah. Jalan mereka sungguh terarah, menuju kepada sebuah qurbah kepada Rabbul arbab zil maghfirah. Perjalanan aku pada malam itu, berpanjangan. Tiada ruang sedikit pun untuk aku biarkan ia pergi. Qiyamku, rukukku, sujudku, zikirku, tahlilku, selawatku, istighfarku dan segala ibadahku, cuba ku tambah nilai dan kuantitinya. Ternyata seperti tidak tercapai aku meragutnya.
Tanda itu, adalah tanda kebiasaan bagiku untuk meraih sebuah lailatul qadar. Ya Allah, ampunkanlah aku. Rumah itu, tidak putus dengan solat, zikir,bacaan al Quran dan segala ibadah. Masing-masing mempersembahkan ibadah yang terhebat buat kekasih mereka bagi membuktikan sebuah kesempurnaan dalam percintaan. Tetapi, sekali sekala aku terdengar bising diluar dari rumahku. Kubiarkan sahaja. Aku tidak mahu ianya membantutkan segala keenakan aku bersamaNya malam ini.
Pukul 4.30 pagi, masing-masing usai. Tinggallah aku keseorangan, tapi aku masih berada di atas sejadah itu. Meneruskan yang berbaki. Istighfar aku ku panjangkan. Apabila waktu sahur mula mendekit, barulah aku mula menjamah makanan buat bekalan tenaga di siang hari.
Sudah aku berusaha, untuk dalil kepada kecintaanku. Aku bermohon untuk sebuah penerimaan. Allah berfirman : (( Beramallah, Allah, rasul dan para mukminin melihat amal kamu )). Lihat Allah,lihatlah Rasul dan lihatlah para mukminin kepada sebuah percintaan. Ya Allah! Terimalah cintaku.
“ Atau kamu melihat cahaya aje ? “ soalku meminta kepastian.
“ Tidak ustaz! Confirm saya tengok depan mata saya. Bentuk orang ! “ jawab anuar, anak muridku.
“ Cuba kamu cerita sepenuhnya kepada Ustaz “ arahku
“ Pada pukul 12 tengah malam tadi, saya keluar nak balik rumah kejap “
“ Masa nak pergi ke motor saya tak perasan, tapi bila dah naik saya perasan “
“ Ada orang dekat atas pangkin tu, dia duduk tasyahud akhir atas sejadah berwarna hijau “
“ Berjubah putih, dan menutup wajahnya dengan burdah hitam “
“ Tangannya memegang tasbih ! “ terangnya panjang.
“ Bebudak ni kot “ aku menyampuk.
“ Saya dah tanya semua budak, diaorang jawab, bukan diaorang Ustaz ‘
“ Sampai bertengkar semalam, sebab nak pastikan siapa dekat situ “
“ Semua budak baca al Quran, malam tu Ustaz ! “ balas anuar.
Aku termenung panjang. Tiada siapa yang pernah sembahyang di atas pangkin tu. Dan tak pernah anak muridku bersembahyang sambil menutup kepala. Bukan budaya kami. Malah aku sendiri yang melipat kemas burdah hitam dan memasukkannya ke dalam box serban. Aku menjenguk kembali burdah itu, jika ada anak muridku menggunakannya. Bahkan, burdah itu tidak berusik langsung. Ia masih tersisip kemas disitu.
Jadi, siapakah yang berada disitu. Allah berfirman : (( Maka turunlah para malaikat dan ruh ( malaikat jibri ) dengan izin tuhan mereka ).

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum. Saya nak tanya. Ada tak Zawiyah di kawasan sekitar Pasir Gudang?

    BalasPadam