Khamis, 3 September 2009

Sufi pun berpuasa ( 2 )


Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan yang kerap aku berulang alik ke Amman. Sayyidi Sayyid Hasan berkehendak kami sentiasa bersamanya sepanjang Ramadhan. Entah kenapa begitu besar pengharapan Tuan Guru aku ketika itu. Mungkin, tahun ini adalah tahun terakhir berada di Jordan maka, beliau ingin menghabiskan masa bersama kami. Ramadhan itu adalah Ramadhan terakhir aku di sana.
Selepas pengajian Syiir Hadis bubar sekira-kira pukul 3 petang, aku segera bergegas ke Mahattah Utubis ke Amman di karak. Ustaz Shahrol telah lama menunggu aku di duwar Mu’tah. Persiapan ke Amman telah aku siapkan lebih awal. Jadi, aku tidak perlu pulang ke rumah lagi.Perancangan yang rapi akan memudahkan perjalanan berbanding perjalanan yang tidak dirancang.
Malangnya, aku menunggu begitu lama di mahattah. Bas yang ditunggu tak kunjung tiba. Sedangkan orang mundar mandir semakin ramai. Barisan manusia yang berbaris menanti giliran menaiki bas, sudah macam ular melingkar. Entah mana puncanya , mana pula akhirnya. Masa pula makin suntuk .Kemungkinan aku akan iftar di dalam bas nanti. Kalau lewat aku akan ketinggalan majlis Sayyid Hasan.
Kelewatan menghadiri majlis terutamanya yang dihadiri oleh Sayyid Hasan bagiku umpama mengundang murka kepada Tuan Guru. Sebagai mureed, kita mestilah sentiasa menanti kedatangan Tuan Guru, bukannya kedatangan kita disambut oleh Tuan Guru. Adab itu, menjadi cerminan kepada aku sebagai penuntut akhlak Rasulullah s.a.w. Aku memang cukup masak dengan kehendak Tuan Guru apabila Sayyidi seringkali menegur tingkah laku beberapa pelajarnya yang lewat dari kalangan bangsa arab yang bermastautin di Amman.
Walaupun aku pernah terlewat, tetapi tidak pernah ditegur oleh sayyidi kerana memahami masalah aku, bukanlah sebab itu,aku boleh menentang adab-adab yang telah dicernakan oleh Rasulullah. Aku cukup kuat berpegang dengan apa yang diajar oleh Baba Nawi melalui kitab ‘Ta’lim al Muallim’.
Malam ini, majlis berbuka diadakan dirumah anak murid Sayyid Hasan. Beliau seorang doktor. Di mana entah rumahnya, aku pun tidak tahu. Ini pasti mengundang masalah kepada aku untuk menuju ke sana. Kebiasaannya aku akan berkumpul di rumah Sayyid Hasan dan menumpang Sayyid Hasan untuk kemana sahaja majlis yang diadakan. Kalau terlewat, pasti aku sudah tidak terarah lagi.
Fikiranku sedikit kusut. Kusut melihat gelagat perangai dan tingkah laku masyarakat arab yang berpusu – pusu menanti bas. Kusut dengan kelambatan bas. Kusut dengan arah tujuku setiba di Amman nanti. Namun, kekusutan itu mengajar aku erti tawakal. Tawakal yang sebenarnya ialah menerima apa sahaja keputusan yang diberi Allah setelah usaha. Baik,buruknya mestilah kita berprasangka yang baik terhadap Allah. Hanya orang yang mengecapi mahabbatullah sahaja yang boleh bertawakal sepenuhnya, redho dan husnu zan dengan Allah Taala.
Ramadhan kali ini, anginnya begitu dingin. Sekali lagi Ramadhan berlaku dalam musim syita. Walaupun baru pukul 4, suasana bening dan mendung semacam lagi beberapa detik akan malam. Angin pula bertambah kuat menderu. Manusia yang berlingkar dengan sebuah penantian hanya mampu berpeluk tubuh. Menahan kedinginan dari sisa haba badan yang berbaki. Tidak kiralah apa pun warnanya, jenisnya, nasabnya dan bentuknya. Aku juga tidak terkecuali untuk suasana itu.
Setelah lama bertahan menjadi penunggu, bas pun kelihatan tiba. Bas besar yang hanya mampu memuatkan hampir 40 orang itu tidak cukup untuk manusia yang menggila di mahattah karak. Suara mula bersiponggang. Barisan tadi sudah usai. Mereka mula berlari-lari mendapatkan bas walaupun bas masih bergerak perlahan. Manusia sudah menjadi gila.Baru sebentar tadi mereka masih waras.
Pintu bas masih tertutup. Mereka panjat dan masuk mengikut tingkap. Manusia sudah tiada nilai. Akhlak sudah sirna. Berlumba-lumba mereka menjengah tingkap bas. Disebelah sisi kanan dan disebelah sisi kiri. Mereka kini tak ubah seperti binatang. Timbul juga sedikit perbalahan. Suara keras kedengaran. Tapi , dengan lafaz ‘ Sollu alan Nabiy ‘, telah mendinginkan panas seketika itu.
Pemandu bas hanya mampu mengelengkan kepala memerhati. Masing-masing pula memahjuzkan kerusi untuk kawan-kawan mereka. Yang lemah pasti tunduk dan akur dengan tindakan mereka. Yang tua sudah tidak didahulukan lagi. Kanak-kanak dibiarkan berdiri dan memerhati. Menilai dan bakal mencontohi. Perilaku bagi manusia yang buas dan tiada pekerti.
Adakah Ramadhan yang menjadikan mereka begini. Hanya kerana ingin cepat sampai untuk berbuka bersama keluarga , maka tiada akhlak dalam gerak geri. Kepuasan dan kehendak individu didahulukan dari yang sepatutnya. Ramadhan tidak menjadikan manusia begini. Ramadhan adalah bulan suci yang mengembalikan manusia kepada fitrah suci. Fitrah apa yang terjana jikalau itu yang terperi.
Manusia boleh hilang kewarasan kerana sebuah kepuasan.Ramadhan, sudah tiada erti. Maka benarlah pesan Sayyidi : Ramadhan sekarang sudah tiada seri. Manusia berpuasa hanya kerana lapar dan dahaga. Sambutan hanya kerana adat sahaja. Tiada lagi berbentuk ibadah. Ubudiyyah pula untuk mereka yang merendahkan diri. Yang bongkak dan merasa kuat pasti mencipta perlakuan yang melanggar kehendak ilahi.
“ Orang yang berpuasa terbahagi kepada 3 kumpulan“ jelas Tuan Guruku.
“ Kumpulan pertama ialah puasa orang awam. Iaitu puasa yang hanya menahan lapar dan dahaga “
“ Kumpulan kedua ialah puasa orang khawas. Mereka ini berpuasa atau menahan anggota badan dari melakukan maksiat “
“ Kumpulan ketiga ialah puasa orang khawasul khawas. Mereka ini ialah orang yang menahan hatinya dari mengingati selain Allah “ tukas Sayyid Hasan dalam muhadarahnya.
Bayangkanlah selama mana kita hidup, 15 tahun, 20 tahun, 30 tahun waimma 50 tahun, Ramadhan kita tetap sama. Tiada peningkatan yang berlaku. Kita masih di takuk puasa orang awam. Ramadhan sungguh benar tiada erti. Kita hanya berlapar dan dahaga tanpa meragut warna-warna keindahan Ramadhan. Rasul bersabda : (Mukmin itu hari ini lebih baik dari semalam ).
Aku dan Ustaz Shahrol hanya sekadar memandang. Memandang budaya yang dirintis oleh manusia yang menjulang kerakusan dan keegoan diri. Bukannya aku tidak kuat untuk seperti mereka itu. Tetapi aku tidak diajar begitu. Aku lebih memuliakan apa yang diajar oleh Sayyidi dari berpusu-pusu kerana Sayyidi. Aku pasti Sayyidi pasti mengerti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan