Khamis, 3 September 2009

Sufi pun berpuasa ( 3 )


“ wahai Shuhrur rijal, bacaan al Quran kamu amat lemah “ beritahu Sayyid Hasan.
“ Banyak yang perlu kamu baiki “
“ Entahlah Sayyidi. Hatiku seolah-olahnya tertutup untuk menerima ilmu tajwid dan sautiyyat, sehinggakan aku tidak dapat membezakan antara setiap hukum” jelasku.
Jeda sebentar.
“ ermm…” Sayyid Hasan berfikir sesuatu.
Lamunan kejadian dirumah Sayyid Hasan, terhenti apabila Syeikh Abdul Aziz menyuruh anak muridnya membaca al Quran. Suasana bukam sebentar apabila anak muridnya menghela nafas untuk memulakan bacaan.Suara yang mendayu syahdu alunan ayat-ayat cinta itu menerusuk ke latifahku. Sebak. Suara itu kembali talun. Memenuhi ruang masjid.
Sebentar tadi selesai aku membaca al Quran atas perintah Syeikh Abdul Aziz, Syeikh tersenyum lebar. Mulutnya dari tadi terkumut kamit, mungkin menyebut nama Allah apabila bacaan al Quran diperdengarkan. Syeikh memandangku seolah berhasrat untuk berkata sesuatu.
“ Kamu semua dengar bacaan budak Malaysia tadikan “ Syeikh menyoal hadirin yang hadir di dalam masjid setelah berlelah berhadrah hari Jumaat itu.
“ Lisannya arab sedangkan dia adalah a’jam “
“ Sedangkan kita ini adalah arab, bahkan diri kita adalah a’jam “ puji syeikh kepada diriku sambil memetik ayat-ayat suci al Quran.
“ Bertuahlah mereka yang menjadikan diri mereka sebenar-benar arab “ hurai syeikh yang sedikit panjang.
Ketika itulah aku teringat beberapa kejadian sebelum aku boleh menguasai pembacaan al Quran. Entah apa yang merasuk diriku, sehingga aku agar tegar untuk menerima hidayah dalam ilmu ini. Walaupun aku banyak menghafal tetapi dari sudut bacaanku dari sifat hurufnya, makhrajnya dan tajwid yang nadir tidak mampu aku kuasai. Kekeliruan seringkali menguasai diri aku ini. Antara istifal dan isti’la, qawiyy dan dhaif, syadid, mahmus dan pelbagai lagi sungguh kabur.
Pengajian sautiyyat dengan Dr Soroyaroh juga tidak banyak membantu. Buku sautiyyatnya terpaksa aku balut dengan plastik kerana takut terkoyak dek kerana lunyai aku menghadamnya. Bagi aku ia tidak lebih dari sebuah hidayah yang belum aku temui.
Malam itu, masih malam Ramadhan. Aku dan Ustaz Shahrol masih dalam majlis Sayyid Hasan. Entah dirumah siapa pun aku tak pasti. Tapi juadah berbuka memang tetap lumayan. Malam itu jugalah aku berkenalan dengan Hasan. Dia seorang kadhi. Atas jemputannya maka, aku dan Ustaz Shahrol bermalam dirumahnya. Malam telah larut bila kami tiba dirumahnya.
Rumahnya tidaklah besar. Dia pun baru sahaja berumahtangga. Namun, kesungguhannya mencari ilmu maka telah mempertemukan antara kami. Kami masih sempat bertarawikh untuk beberapa rakaat dan berwirid. Ramadhan ini masih kami usahakan untuk menambah amal walaupun masih terasa keletihan dari safar dan pengajian tadi. Sejurus itu juga kami bertadarus.
“ Bacaan kamu agak lemah “ bisik Kadhi Hasan.
Aku cuma menganggukkan kepalaku sahaja. Malu juga bertaut diwajahku.
“ Aku mesti baiki kelemahanku “ tegas diriku.
Ramadhan telah memberi tenaga baru kepadaku untuk memperbaiki kelemahan. Ramadhan di zaman nabi adalah sebuah kemenangan. Kemenangan mengatasai semua kelemahan. Ramadhan bukan bererti kita akan lemah, tapi menjadi perkasa. Perkasa membaiki segala yang melemahkan kita. Perkasa menjadikan kita positif dan bertindak melebihi daripada keselesaan kita.
“ Kalau kau mahu bacaan al Quran menjadi baik, ambil baki minuman aku ni “ cadang Sayyid Hasan.
“ Betul ke Sayyid “ aku meminta kepastian.’
Sayyid hanya tersenyum.
Syeikh Abdul Aziz masih lancar membicarakan ayat-ayat Allah. Suaranya tertebar digegendang telinga para mureeden. Aku pula masih melayan kenangan Ramadhan dan bersama Sayyid Hasan. Aku berjaya mengatasi kelemahanku. Bacaanku menjadi lebih baik dari yang dulu. Memang hidayah telah membuka hijab kelemahanku sehingga terang aku memahami ilmu yang menjadi keraguanku. Hidayah ini kerana Ramadhan. Hidayah ini kerana keberkatan Sayyid Hasan al Saqqaf. Air itu sebagai sebab. Sebab untuk beroleh hidayah. Allah berfirman : ( ikutilah sesuatu dengan sebab ).
Ramadhan hanya suatu sebab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan