Isnin, 7 September 2009

Sufi pun berpuasa (4)


( Surau al Husna )


Aku memang tidak boleh menafikan lagi. Kadang-kadang ada beberapa perkara yang memang tidak dijangkau oleh akal. Dan aku pula terpaksa menerimanya.
Setiap makhluk pula menerima perintah daripada Allah. Walau apa pun terjadi semuanya bertindak mengikut fitrah diri yang terjadi. Tetapi, apabila perintah itu sudah termetri, sama ada ia mengikut atau menyalahi fitrah ia pasti ditunaikan dengan sebaik mungkin.
“ Tok, ni kucing siapa ? “ aku bertanya kepada bilal Saidak mohon penjelasan.
“ Entahlah Ustaz, baru hari tok tengok “ balas bilal Saidak.
“ kucing siapa ni ye ?” aku bertanya sendirian.
Memang kerap orang membuang kucing mereka dikawasan sekolah dengan harapan di kawasan sekolah tentu banyak makanan lebihan yang terbuang. Maka berpeleseran kucing-kucing dikantin sekolah. Menjadi masalah pula kepada pengusaha kantin untuk membuang kucing-kucing tersebut di tempat lain kerana takut penyebaran penyakit yang berpunca dari kucing.
Kucing yang baru datang ini, adalah kucing yang berbeza. Ia berwarna putih berseri. Ia muncul pada 1 ramadhan 3 tahun yang lalu. Ia hanya berada di surau sekolah. Aku tidak melihatnya berada di tempat lain, melainkan hanya di surau. Ia akan bermain lincah, berehat dan semuanya hanya di surau.
Kami melayani kucing itu dengan baik. Sewaktu iftar, dewan makan dipenuhi dengan manusia dan makanan. Namun, kucing itu tetap di dalam surau. Surau dan dewan makan hanya beberapa langkah sahaja. Kucing itu berada dengan aku. Iftar bersama aku. Kucing itu mesra dan tidak mengacau dalam rengekan yang membosankan.
Sewaktu kami bersolat, ia akan duduk berbaring santai didalam ruang almari yang kosong. Ia duduk disitu sehingga kami selesai. Ia tidak pernah berada dihadapan kami semasa kami bersolat. Seolahnya ia amat menghormati ketika kami beribadah.
Apabila kami bertadarus, ia akan berbaring tenang mendengar bacaan yang ditalunkan oleh setiap ahli jemaah Husna. Sekejap matanya tertutup, dan terkejap kejip seketika, seakan senang dengan bacaan yang bernada tartil. Seketikanya ia bangun dengan mata membulat berang, apabila mendengar ayat-ayat murka tuhan.

Kucing itu tidak membuang najisnya di dalam surau, walaupun sepanjang masa ia berada di surau. Aku mengintai – intai juga sepanjang kawasan surau jika terserempak dengan najis kucing. Aku tidak menjumpainya sejauh 100 meter dari kawasan surau. Malah bulunya tidak gugur dan tiada kesan juga pada karpet surau. Aku memang rasa hairan dengan kehadiran kucing yang unik ini.
Sewaktu aku berbuka ia tidak pernah meminta makanan daripada aku. Aku lihat ia amat tenang. Siang harinya ia tidak mencari makan, seolah ia berpuasa seperti kami berpuasa. Hanya berbuka ia berada di sisi aku.
Tapi jodoh kami memang tidak panjang. Sekembali aku dari cuti panjang berhari raya, aku dapati ia sudah meninggalkan aku.
“ Tok ! Ada nampak kucing putih tu tak “ aku menyoal
“ Tak lah Ustaz. Dah tak de satu raya lagi “ jawab bilal Saidak.
Kehilangan kucing itu cukup menghairankan. Mengapa kewujudannya hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Gerak lakunya pun tidak seperti kucing yang lain. Persis ia diutuskan kerana keistimewaan Ramdhan. Bila Syawal mengunjung, ia pun beredar bersama angin ramadhan yang lalu.

Kehairanan aku bukan hanya pada seekor kucing sahaja. Pernah satu ketika, dibulan Ramadhan. Sayyid Hasan sudah menegaskan kepadaku pada hari yang telah dijanjikan oleh Allah akan berlakunya peristiwa besar iaitu malam Lailatul Qadar 7 tahun yang lalu. Maka aku pun bersiap siaga untuk bersedia menanti ketibaan malam tersebut.
Aku penuhi dengan amalan yang mendatangkan qurbah kepada Allah. Tahajud, bertartil membaca al Quran, tadabbur seketika, tafakkur sedetik, muhasabah dan berzikir. Ketika aku yang separa fana, tenggelam dalam kesyuhudan dalam lintasan malam yang penuh barakah itu, tiba-tiba kedengaran seperti suara anjing melolong sayu. Lolongannya seperti berlaku betul dihadapan bilik aku. Teramat jelas dan teramat kuat.
Mendayu-dayu , tak ubah seperti tangisan yang memohon sebuah pengampunan. Aku membiarkannya sahaja kerana, senduku lebih menusuk dari jeritan lolongan itu. Jeritan batinku lebih menenggelamkan suara lain daripada khatirku.
Keesokkannya, ada daripada jiran tetangga dan beberapa orang sahabat yang dipilih tuhan untuk bangun dan sedar dengan bunyi yang asing itu. Lebih mengejutkan mereka bersepakat, bunyi yang mereka dengar ialah bunyi kucing tetapi yang agak luar biasa. Bunyi kucing yang melolong. Puas aku menyatakan yang kucing tidak melolong. Yang pasti, adalah anjing. Namun, mereka sememangnya yakin yang jazam, bunyi yang tertebar melintasi gegendang mereka ialah bunyi kucing.
Malah ada yang berani dikalangan sahabatku, bangun menjenguk kerana ingin tahu, apakah binatang yang menganggu enak tidur mereka malam itu. Bila diintai mereka tidak menjumpai sebarang kelibat pun.Kata masing-masing ia berada betul-betul dihadapan rumah mereka jika diikut dari segi bunyi lolongan tersebut. Jadi binatang itu, sebenarnya berada dimana, kerana aku juga mendengar ia dihadapan rumahku.
Begitu juga apa yang berlaku pada tahun lepas. Sewaktu aku dan jemaah Husna di masjid untuk merai kelebihan malam lailatul qadar. Seramai 70 orang bersama aku. Menangis di tengah kabut malam. Berzikir dengan nada jahar. Menghentam ulu hati dan meraih qabad pada setiap lathifah sehingga wujud rasa sedih yang memendam. Berteriaklah suara dari satu perasaan dan naluri keinsafan. Berjujutan air mata yang tidak dapat disekang lagi.
Kisah ini ialah kisah benar. Keinsafan itu ialah keajaiban kerana yang hadir pada malam itu ialah anak-anak muridku yang tidaklah beberapa betul tanggapan dan akhlaknya. Tapi, bukan kami sahaja yang meraih qadar pada malam itu. Malah beratus sang rama-rama keputihan menyertai kami pada malam itu. Ia terbang gemalai bersama hembus tenang angin. Terbang mengepak mengikut formasi seolah-olah cahaya berkedip-kedip di ruang udara yang sempit itu.
Dan rama-rama itu hilang dengan hilangnya Ramadhan. Makin berbaki sedikit sepuluh terakhir Ramadhan, lenyap jugalah rama-rama, pergi dengan mengiringi kepergian Ramadhan.
Tapi, itu hanya sedutan dari beberapa kisah yang unik berkaitan dengan haiwan yang berhubungan dengan Lailatul Qadar. Aku mencari rasionalnya, haiwan memang terdedah dengan sebarang perubahan alam. Lailatul Qadar, kehadirannya akan mengubah suasana alam dan perasaan seseorang. Maka, oleh sebab itu haiwan akan turut memberi respon dari perubahan tersebut. Aku juga meyakini, kesemua itu adalah percikan dari perintah Allah yang tersurat dan tersirat buat hamba yang menjadi pilihan.
Untuk tahun ini, apa pula keajaiban yang akan merentasi malam yang penuh barakah itu. Hati ini meronta-ronta untuk melihat sesuatu tersirat dari ‘jamal ‘ dan ‘jalal’ Allah. Buat anak muridku dan semua muslimin, satu nota ingatan dari tuan guruku, bersedialah pada malam 23 Ramadhan. Ia adalah tarikh keramat buat warga insani dan makhluk Allah yang berada dibumi. Malam itu akan menjadi sempit. Allahummar zuqna lailatal qadri fi hazihi sanah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan