Isnin, 7 September 2009

Sufi pun berpuasa (5 )


( Ermmm... ada apa-apa ke ni! heheehe)


“ Ustaz boleh tolong tak? “ Amira, anak muridku dari akhawat Husna meminta.
“ Ustaz bulan Ramadhan, tak mengubat oranglah “jelasku.
Sememangnya Ramadhan menyibukkan aku dengan ibadah yang khusus berbanding dengan perkara-perkara yang lain. Aku juga menolak sebarang tawaran untuk berceramah. Apatah lagi kalau hendak keluar dari kawasan Tenggaroh.
“ Tapi, ini kes berat. Mak dia dah tak larat lagi nak tengok dia macam tu “ desak Amira.
“ Ermmm…nantilah Ustaz fikirkan “ balasku mudah.
Desakan demi desakan dan akhirnya aku akur pada sebuah kehendak. Aku tidak pernah menolak sebarang pertolongan kerana menuruti sunnah Rasul yang sentiasa menyenangkan hati peminta. Tapi, bulan ini adalah bulan yang kelazatannya amat luar biasa. Bagaimana sebuah kemanisan dan kenikmatan itu boleh dibiarkan begitu sahaja.
Setiap detik, sebolehnya ingin aku habiskan dengan ibadah khusus ini, terutamanya al Quran. Ada pula dalam kalangan guru yang menyoalku, mengapa aku tidak iftar bersama mereka di sekolah. Sedangkan aku menghabiskan masaku sendirian dirumah dan iftar bersendirian. Bagiku waktu maghrib adalah waktu yang paling singkat. Aku sendiri tidak mempunyai masa yang terluang pun untuk diriku. Solat maghrib, qabliyyah dan ba’diyyahnya, solat awwabin, ratib al Haddad dan wazifah syaziliyyah memang menyibukkan aku. Kalau ada ruang sedikit pun, sudah aku penuhi dengan tartil al Quran.
“ Dia dekat dalam Ustaz “ ajak Amira ditangga luar rumah.
Anigin petang menderu berang. Derasnya membuaikan ekor serbanku. Amira membawa aku dan jemaah yang lain kesisi dapur.
“ Dia tu pemalu sikit Ustaz. Dia ada dekat dalam bilik tu ! “ beritahu ibu pesakit.
“ Bawalah dia keluar “ aku meminta.
Perempuan muda berusia 18 tahun. Berkulit putih, seperti putih-putih orang bugis. Sudah menjadi gila akibat gangguan. Itulah bicara mereka. Tapi aku masih sangsi. Gerak gerinya tidak membuahkan orang yang tersihir. Malah aku sendiri tidak merasai sebarang kewujudan entiti pun.
“ Betul Ustaz, cuba Ustaz tengok ni “
Makcik jiran sebelah mencuba ilmunya dengan menekan ibu jari kaki budak perempuan itu dengan biji lada hitam. Sekejap di tenguk. Sekejap di tapak tangan. Bila disuakan dianggota badan, budak itu pasti menjerit dan mengilai. Lagaknya seperti dirasuk . Beberapa detik kemudian dengan mudah ia berubah. Hanya tersenyum tanpa suara. Senyumannya penuh prasangka.
Aku mengetuai bacaan Hizb al Bahar. Sejak ia bermula sampai ditengah hizb, budak perempuan itu tidak pula memberikan sebarang reaksi. Hizb al Bahar adalah ibu untuk segala amal bagi kami. Kesannya amat luar biasa sekali dengan izin Allah. Kebiasaannya apabila dibacakan Hizb kepada pesakit yang tersihir akan menjadi berang dan radang. Kepanasan hizb melebihi dari panas asalnya jin. Kepanasan itu menyakiti. Tapi kali ini ia redup. Tiada juga desir angin . Tiada juga hawa berhaba. Aku mula tawar.
Usai berhizb, aku mula mencari tempat syaitan bertenggek disusuk tubuh budak perempuan itu. Bila menyentuh kawasan tertentu yang disyaki, budak itu mula bereaksi. Aku mula bertungkus lumus untuk menyuruh kerasukan itu keluar dari batang tubuh pesakit. Namun, hanya senyuman dan sedikit dengusan sahaja yang berlaku. Sangsiku bertambah.
Setelah bertungkus lumus, berjerih perih mengubat, akhirnya aku akur yang aku tak mampu untuk mencari punca kerasukan tersebut. Aku bersandar seketika. Tugasku disambung oleh anak muridku. Aku mengambil peluang berinteraksi dengan makcik-makcik yang berada disitu.
“ Yalah Ustaz, masa duduk dekat Batu Pahat dahulu dia ni liar sikit”
“ Balik malam dengan budak lelaki “
“ Dah tak boleh kawal lagi, tulah yang hantar ke sini “
“ Sampai sini, jadi macam ni pulak “ terang mak cik budak perempuan itu.
Aku gumam. Penjelasan mak cik tadi telah menyebabkan aku telah mengenal pasti punca masalah ini. Aku bingkas bertindak.
“ Mamat ! Pergi ambil dua tiga ranting yang tegap sikit “ pinta aku.
“ untuk apa Ustaz ? “ Mamat menyoal.
“ Ambil ajelah “ tukas aku.
Aku senyum.
“ OOOoooo…Syaitan ini ingin bermain dengan aku rupanya “ bisik aku sendirian.
“ Nah Ustaz ! “ Mamat menyerahkan beberapa ranting kayu kepadaku.
“ Luruskan kakinya. Fadhil pukul ditapak kakinya sebelah kiri “ aku mengarah.
Aku mula memukul dengan ranting ditapak kaki budak perempuan itu. Mula, dia hanya senyum sahaja. Aku biarkan sahaja. Namun apabila kulit tapak kaki mula merah, berbekas. Sakitnya bertabrakan. Lutut mula mengigil menahan sakit. Muka berkerut. Zahir di anak kepala rinik-rinik titis peluh mengalir. Jerit kecil kedengaran. Kadang kuat, kadang perlahan. Tangan jadi mengelepar. Anak muridku cergas menepis. Aku masih jitu memukul.
“ Hah nak main lagi ke “ jeritku
“ Nak mengaku ke tidak ! “ suara, aku garaukan.
“ AAAA…. Sakit. Nak!Nak! “ budak perempuan itu mula bersuara.
“ Mak! Mak ! Mak ! “ jeritnya.
“ Kau nak mengaku dengan mak kau tak ! “ desak aku.
“ ermmm…ermmm…” sendu sedan menjadikan suasana tidak sepi.
“ Maafkan saya mak ! Maafkan saya mak ! “ budak itu masih bersuara.
“ Kesian dekat mak kau ! Dia hidup susah dekat kampung, kau pulak buat maksiat dekat sana.”
“ Cari jantan ! Entah apa lagi yang kau buat ! “ bebel aku.
Budak itu masih menangis. Esakan menjadi teriakan. Sipongang seketika.
“ Dah ! Pergi kat emak kau dekat dalam bilik tu “ pekik aku. Anak muridku melepaskan cengkaman dan membiarkan dia berlalu.
Hanya tangisan bertalu-talu tertebar mengisi ruang. Air mata ibu turut jatuh berjujuran. Sedih meruntun pada setiap mata yang memandang.
“ Sampai hati kau buat mak macam ni “
“ Mak sedih nak ! “
Tiada lagi suara selepas itu. Pelukan anak beranak itu menyebabkan aku mula keluar dari kediaman tersebut. Bagiku, urusanku telah selesai. Aku dan jemaah hanya berbuka dengan air oren dan sedikit kuih yang disediakan oleh tuan rumah.
Aku hampir gagal. Aku hampir ditipu oleh sebuah wayang yang dilakonkan oleh anak – anak didik iblis. Penipuan menjadi nadi. Bohong menjadi bukti. Lagha menjadi budaya. Mungkar sebagai saksi.
Ramadhan, syaitan sudah tiada berkuasa. Syaitan jin dan manusia akan tunduk kepada erti fitrah. Ia suci dan budi. Menerima kebaikan dan pengembalian. Kembali kepada asal kejadian. Rasul bersabda : ( Ramadhan, awalnya rahmat. Pertengahannya pengampunan dan akhirnya, pelepasan dari api neraka.) Terimalah taubat kami, Ya Allah !

1 ulasan:

  1. no we just brother and sister...no feeling involve...

    BalasPadam