Isnin, 7 September 2009

Sufi pun berpuasa ( 6 )


Aku, Faiz Iskandar, Shahrul Iran, Shahril dan Zul Azri sudah berada di Perhentian bas Seremban seperti yang disepakati. Kami bukannya senang-senang boleh keluar malam apatah lagi untuk bermalam diluar. Maklumlah kami baru berusia 15 tahun. Ibu bapa kami masih menganggap kami masih kanak-kanak yang perlu diperhatikan. Tapi kali ini kami semua dapat meyakinkan ibubapa kami untuk bermalam di Masjid Negeri, Negeri Sembilan untuk menghadiri program qiyamulail anjuran Masjid Negeri.
Ia bermula dengan surat jemputan pihak masjid menghadiri program yang terpampang di papan kenyataan masjid. Kebiasaan kami berlima akan pergi sembahyang Jumaat di Masjid Negeri setelah sesi pembelajaran tamat pada hari Jumaat. Kami berjalan kaki sahaja. Jaraknya Cuma dalam 5 km.
Masjid Negeri memang besar berbanding masjid-masjid lain yang terdapat di Negeri Sembilan pada ketika itu. Tetapi sekarang, sudah banyak yang menandinginya dari segala serba serbi. Keluasan itulah yang memberi kebebasan kepada kami untuk duduk, baring dan berbincang dimana yang kami mahu.
Walaupun Bandar Seremban di depan mata, kami berlima bertekad tidak akan terpengaruh dengan tarikan lampu neon malam, gegak gempita manusia, bunyi hiburan pelbagai genre, mundar mandir manusia, bangunan serba bentuk dan kereta meluncur laju. Kami mahu tinggalkan ia seketika. Kami mahu memberi tumpuan kepada sesuatu yang berbeza. Berbeza dari segi rasa.
Petang itu kami sudah sibuk dengan perbincangan. Pelbagai tajuk kami bincangkan. Tapi kadang-kadang tersasar juga matlamatnya. Kami sering berbincang. Perkumpulanan kami ini sentiasa menarik minat orang dewasa untuk turut serta. Malah ada seorang pakcik yang memiliki toko buku suka menyertai kami. Malah dia sering mengajak kami ke tokonya kerana di sana lebih sesuai untuk membuat rujukan.
Agak ramai juga yang menyertai program tersebut. Semuanya orang dewasa kecuali kami berlima. Jesteru itu kami sering menjadi perhatian. Kaum ibu amat senang dengan kami. Kami dilayan baik seperti mereka berharap anak mereka akan mengikuti program ini seperti mana kami.
Malam itu cukup dingin walau masih kedengaran bunyi deruan kereta semacam berlumba. Mungkin muda mudinya, menghabiskan masa hujung minggu begitu. Jiwa muda kami ingin juga menyertai program sebegitu, tapi kami masih dapat mengawalnya dengan baik. Apa pun kami ingin menghabiskan masa kami pada malam ini untuk bersama jemaah yang lain menikmati sesuatu yang orang lain tidak dapat merasainya. Kehadiran kami bukan setakat untuk menyertai, bahkan untuk mempelajari bagaimana untuk mengurus dan melaksanakan qiyamulail. Lain kali kami boleh menguruskannya sendiri tanpa mengikut mana-mana program lagi. Kami cuba untuk bangun awal. Lebih awal dari pakcik-pakcik dan makcik-makcik tu.

“ Faiz bangun ! Zul, Shahril dan angah, bangun ! “ aku mengejut kawan-kawanku.
Kedinginan pagi itu memang mencabar kekuatan diri kami. Kami kuatkan azam untuk mandi diawal pagi. Untuk membuang rasa kebosanan dan kantuk, kami bergurau senda dan membuat sedikit bising. Selesai khidmat diri, aku bersegera menuju ke ruang ibadah.
Kami mengambil tempat masing-masing untuk beribadah. Kekuatan beribadah hadir apabila dilakukan secara berjemaah. Perasaan itu tidak aku miliki sebelum ini. Amalan ini adalah lahir dari kehendak aku sendiri. Ia tidak dirancang oleh orang lain, bahkan keikhlasan itu mula mengarap gerak geri kami. Rakaat demi rakaat kami jalani. Sedikit zikir dan istighfar sudah mampu meruntun hati dan benak kami yang kering mulai lembut kebasahan. Allah berfirman : ( Kami jadikan air untuk setiap sesuatu itu hidup )
Kesejukan mula merosakkan tumpuanku dalam beribadah. Maklumlah ini adalah kali pertama merasai pengalaman yang baru. Aku akur juga, aku bergegas ke tandas. Aku berjalan perlahan. Aku tidak mahu gerakku akan mengejutkan pakcik-pakcik yang masih lena dalam buaian mimpi. Aku terpaksa merentasi mereka. Jengket-jengket aku berjalan perlahan.
“ Hei budak ! “ suara garau memanggilku.
Terkejut aku dan aku selangi dengan istighfar. Aku cuba mencari suara tersebut dalam muram pagi itu.
“ Hei ! kau nak tunjuk alim ye ! “
“ Dah la tu. Janganlah berlagak sangat ! “
“ Baru sekali datang dah nak tunjuk-tunjuk. Lebih dari orang tua pulak “ bicara orang tua itu tanda protes atas laku aku dan kawan-kawanku.
Gamam. Aku terpaku dalam menatap wajah yang masih kabur. Berdetak hati aku mendengar dari suara orang tua itu. Itukah pandangan mereka terhadap amal yang ku pertaruhkan kepada Allah. Aku baru sahaja ingin merasai kurniaan Allah. Tapi suara yang berarah negatif telah membantutkan kesuburan jiwa aku.
Perlukah manusia berburuk sangka terhadap perbuatan seseorang. Apatah lagi perbuatan itu dianggap soleh disisi agama. Allah berfirman : ( Sesungguhnya kebanyakkan sangkaan itu adalah dosa )
Jiwaku merencam. Sangka buruk itu tetap hadir dalam jiwa manusia walaupun keadaan dan biah aku berubah. Watak-watak itu tetap wujud.
“ Lepas ni, sesiapa yang nak baca al Quran atau berwirid, sila duduk diluar ye “ pintaku
“ Kenapa Ustaz ? “ tanya anak muridku.
“ Sebab nanti kacau orang nak solat dekat dalam “ jelasku.
Perjalanan qiyamulail malam keberkatan ramadhan ‘lailatul qadar ‘ lancar. Zikir dan wirid tertusuk menikam qalbu. Ruh keinsafan merasuk memfana kewujudan diri. Masing-masing terdorong menzahirkan amal. Maka berbondonglah yang qiyam bersolat. Mengira-ngira tasbih meratib dan helai-helai mushaf bertartil indah.
“ Bagus orang muda buat amal, tapi tak payahlah nak menunjuk-nunjuk dengan membaca al Quran dengan kuat “ bicara orang tua itu memang menyakitkan telinga aku.
“ Maafkan saya cik ! Saya dah arahkan mereka duduk diluar supaya jangan menganggu jemaah bersolat “ tukasku.
“ Lagi pun, kan saya duduk dekat pinggir serambi masjid ini. Kalau menganggu maaflah “ pintaku.
“ Sayang, buat amal nak menunjuk buat apa “ kata orang tua itu lagi.
Sekali lagi tamparan pedih dari lidah yang berbisa mulai resap meracuni kewarasan aku. Hatiku mula bergelodak berang dan radang. Kata Sayyidina Ali : ( kata-kata itu lebih tajam dari pedang yang terhunus )Ingin sahaja aku menempelak orang tua itu dengan tujahan dalil yang bersumberkan al Quran dan hadis. Namun, lathifah ini masih berfungsi molek mencari kewarasan dalam ketenangan berfikir. Bait perkataan yang tersusun dari kata hikmah Sayyidina Ali sering kulafazkan pada anak muridku, bermundar mandir dalam ruang akalku.( Orang yang pintar akalnya mendahului lidah. Orang yang bodoh, akalnya dibalik lidah).
Aku beristighfar panjang. Ya Allah, tetapkanlah hatiku dalam menjaga akhlakku pada setiap detik dan setiap nafas yang kau berikan padaku. Ku tatap kembali tulisan-tulisan berupa kalam yang qadim. Aku hela nafas panjang. Kalau aku bertindak maka aku juga seperti orang tua itu. Aku mencari ruang untuk bersangka baik. Aku juga akan terjerumus ke kancah sangka buruk jika aku tidak berhati-hati. Bila sangka yang negatif bertaut, maka lahirlah perlakuan yang tidak menyenangkan. Silaturrahmi akan terputus. Hasad berputik. Mungkar diamalkan.
Allah berfirman : ( Mereka menyangkakan yang mereka melakukan kebaikan ). Tetapi malang, tidak !
Apakah salah aku dari melarang anak muridku yang membaca al Quran bermula dengan perlahan kemudian tenggelam dalam keasyikan mengagungkan ayat-ayat cinta tersebut. Mereka merasai ‘ zauq ‘ kelazatan dalam berbicara dengan tuhan mereka. Biarkanlah mereka bercinta. Cinta kepada kekasih Agung mereka.
Salahkah Jamil yang berteriak nama Busainah pada setiap keadaannya. Salahkah Majnun meraung kalimat-kalimat cinta kepada Laila, walaupun manusia lain yang tidak merasai ‘ asyik ‘ mereka ,tenggelam dalam mahabbah itu menyalahkan mereka. Salahkah Rasul berbengkak kaki kerana panjang qiyam dan hitam mata kerana menangis di malam hari kerana sebuah percintaan.
Teringat aku pada kitab yang aku khatam membacanya iaitu Iqamatul Hujjah anna kuthratul ibadah laisa bibid’ah yang dikarang oleh Syeikh Abdul Hayy al Kattanie. Menampilkan hadis-hadis yang terkumpul membicarakan tentang amalan para sahabat yang melampau seperti Sayyidah Zainab yang mengikat dirinya ditiang masjid al Nabawi supaya tidak lalai dan leka beribadah. Jika pak cik di Masjid Negeri dan pak cik di masjid Tenggaroh yang menegur keasyikan anak muridku bertilawah Quran itu hidup dizaman sahabat, pasti mereka akan menegur tingkah laku Sayyidah Zainab. Maklumlah mereka lebih alim tentang hadis dan hukum berbanding dengan para sahabat dan rasul yang banyak melampau dalam ibadah.
Aku terfikir juga, apakah perasaan Sayyidah Zainab jika ditegur oleh 2 orang pak cik itu dengan lemparan sangkaan buruk mereka itu.
Masih ingat dalam ingatanku, saat perpisahan setelah pertemuan panjang dengan Habib Ali bin Jaafar al Iydrus dengan nasihat pendeknya kepadaku agar sentiasa berbaik sangka. Syeikh Hazim juga pernah menasihatkan aku untuk berbaik sangka apabila aku bertanya tentang kesesatan kumpulan al Mustafha, yang mengaitkan jemaah mereka dengan nama beliau. Maka aku amat terdidik untuk bersangka baik.
Syeikh Abdul Karim dalam muhadarahnya menyatakan, bersangka baik adalah asas dalam pembinaan mazhab kami. Mari bersangka baik!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan