Rabu, 9 September 2009

Sufi pun berpuasa ( 9 )


Mesir. Sebuah negara yang sememangnya cukup terkenal dimata ummat Islam. Al Azhar al Syarif menjadi tonggak dalam mercu kegemilangan tersebut. Nadi kepada kepesatan perkembangan Islam. Melahirkan intelektual dan cendikiawan Islam tersohor diseluruh dunia.
Bumi anbiya. Sejarahnya sebelum kewujudan tarikh lagi. Mengisarkan tentang kisah orang-orang suci pilihan Allah. Pengorbanannya, perjuangannya , kehebatan iffah dirinya dalam menjulang erti ketuhanan dan perhambaan. Bertuahnya sesiapa yang beroleh sesuatu dari bumi itu. Allah berfirman : ( Berjalanlah kamu di atas muka bumi ini, dan lihatlah bagaimana balasan ke atas orang yang mendusta ( ajaran kami ))
Aku sempat berramadhan di Mesir. Pemergianku ke sana seorang diri. Merantau untuk mencari sebuah ikatan. Ikatan kekeluargaan yang terjarak akibat perjuangan dalam menuntut ilmu. Aku korbankan perasaanku untuk bersama kawan-kawan menunaikan umrah,dan aku berseorangan.
Pesawat sudah lama mendarat. Aku hanya membuntuti orang ramai yang tidak keruan menuju destinasi masing-masing. Hatiku cuak dan sedikit cemas. Arrghh…bagasi masih tidak muncul. Orang ramai dari penumpang pesawat sudah gesa bergerak pantas. Muncul sahaja bagasi, segera aku mengejar mereka yang berpusu ke imegresyen pula.
Aku memang tak boleh bayangkan jika berlaku apa-apa insiden yang boleh merosakkan perjalanan aku ini, contohnya kekurangan sesuatu dari dokumen yang sepatutnya atau apa sahaja. Aku baru tahun pertama ke tanah arab. Pun hanya beberapa bulan sahaja menetap di Jordan. Penguasaan bahasa arab pula tidaklah memungkinkan aku akan selesa di Mesir pula. Selok belok budaya dan suasana keadaan setempat tidak aku ketahui. Berputar-putar memikirkan , bagaimana pula mendapatkan pertolongan kala cemas begitu.
Akhirnya, aku lepas juga dengan pemeriksaan imigresyen dan kastam. Alhamdulillah. Aku susur keluar dari kompleks ketibaan sebelah dalam dengan arah yang tertunjuk oleh papan-papan tanda.
Aku sudah nampak dari jauh lagi, ramai orang berkumpul menanti ketibaan orang yang ditunggu-tunggu tiba. Ada yang menanti anaknya. Ada yang menanti ibunya pula. Ada yang menanti ayahnya. Dan juga, ada yang menanti kawan-kawan mereka. Pelbagai ragam dan fiil terpapar dari jauh.
Aku pula masih berjalan dengan harapan, kakak dan abang iparku sedia menanti di ruang menunggu. Bila tiba di ruang itu, aku saksi pelbagai wajah. Aku tatap dan mata juga meliar mencari susuk yang ku kenali. Lama juga aku berdiri, namun aku hampa. Sepatutnya mereka sudah berada di sini menantiku.
Aku mengawal perasaan yang mula mengundang kegelisahan. Kala itu, telefon tiada, apatah lagi handset. Jadi, apa yang perlu aku buat. Siapa pula yang perlu aku hubungi. Kerisauan sebentar tadi makin menjadi realiti dan keresahan pula sudah tiada tertampi-tampi lagi.
Aku hanya berdiri menunggu diluar perkarangan balai ketibaan. Menunggu dari saat keminit, dari minit ke jam pula. Manusia sudah keluar-masuk,keluar masuk tanpa dapat dihitung lagi. Arghhh…bencana apa yang menimpa aku ini. Inikan Ramadhan. Sepatutnya urusan ini dipermudahkan.
Berkulat aku disitu. Aku pula mengambil pendekatan untuk duduk disitu supaya mereka boleh mencariku dan tidak berlaku satu ruang yang menyebabkan silap faham merundung kelam yang gelap gulita.
Seorang pemandu teksi arab menegurku. Katanya biar dia bawakan aku ketempat yang ingin ku tujui. Aku masih memegang alamat kediaman kakakku. Tapi, aku masih tidak percaya dengan warga arab. Bila-bila masa sahaja dia akan terdorong melakukan kejahatan. Kakakku sering bercerita tentang kefasadan Mesir. Bahkan guruku sewaktu di Maa’had, Syeikh Ibrahim al Khadhr juga menasihati aku begitu. Berhati-hati di bumi Mesir. Orangnya tidak seperti Azharnya.
Aku tolak pelawaan dengan baik sekali. Aku kembali ke ruang utama. Ruang-ruang terpencil akan menyusahkan pencarian dan terdedahkan kepada mangsa perilaku jenayah.Namun, ada sinar bila beberapa manusia berwajah melayu menyapaku. Mereka melayu selatan thailand. Akhirnya mereka menyatakan hasrat membantuku untuk ke alamat yang disampaikan oleh kakakku.
Perjalanan ke Madinat Nasr, amat menyegarkan mataku. Lampu neon yang banyak sepanjang jalan dan dikedai-kedai menarik minatku untuk merenung sahaja. Pemuda thailand itu ghairah menyoal aku. Tapi aku jawab yang mana aku tahu sahajalah. Maklumlah itulah kali pertama aku dengar diaorang ber’kechek ‘ kelate. Di Jordan mahasiswa kelantan akan ber’kechek ‘ luar denganku sebab mereka pantas mengesan ketidakupayaan aku memahami ‘kechekan’ mereka itu. Ada perbualan yang menghiburkan aku. Aku masih ingat sampai sekarang.
“ Demo ade banyok saing ko sinni ? “ soal mahasiswa al Azhar dari Thailand itu.
“ Ehhh…tak ade persaingan pun masa datang tu. Biasa aje “ jawabku dengan pasti
Pemuda itu menatap wajahku. Keliru. Aku pula buat muka ‘ slamber ‘ aje. Semacam tidak bersalah. Aku hentam sahaja. Setelah safar ini barulah aku tahu, saing itu membawa maksud kawan.
Kereta milik pemuda itu berhenti disebuah banggunan yang tinggi. Apartment. Maklumlah, budaya tinggal di apartment di Malaysia pada waktu aku muda dulu belum lagi wujud. Yang ada Cuma kawasan perumahan berbentuk taman sahaja. Jadi , agak janggal aku melihatnya.
“ Tingginya…! Kita naik atas tu macam mana.?”
“ Letih ni “ soalku bodoh. Boleh pulak terpacul soalan kebodoh-bodohan itu dari mulutku.
“ Naik liflah abe “ jawab pemuda itu tersengeh.
Aku menepuk dahi. Baru aku sedari sesuatu yang tak sepatutnya aku tanya sebentar tadi.
Pemuda itu menyuruh aku untuk duduk sahaja di dalam kereta. Biarkan dia sahaja yang naik dan bertanyakan kepada tuan rumah, jika kakak aku maujud disana. Tidak berapa lama aku menunggu, pemuda itu turun dan mengatakan , itu adalah rumah lama kakak aku ketika dia masih bujang dahulu. Kini dia tidak menetap disitu. Mereka suruh aku mencarinya di Hayyu Sabi’.
Pemuda itu menyoal jika ada kenalan yang aku kenal di Mesir. Pantas aku menjawab, Rumah Negeri Sembilan. Ya. Disitulah kawan-kawanku sewaktu belajar di Maahad tinggal, apabila mereka meneruskan pengajian di Mesir. Kami bergerak ke Rumah Negeri Sembilan.
Pemuda itu meninggalkan aku betul-betul dihadapan Rumah Negeri Sembilan. Papan tanda Rumah Negeri Sembilan terpampang besar dipintu utama. Beberapa pelajar keluar masuk dalam rumah itu. Aku menyapa beberapa penuntut disitu dan menyebut beberapa nama kenalanku jika mereka mengenalinya. Akhirnya aku ditemukan dengan kawan-kawan lamaku. Aku juga dikenalkan dengan senior-senior aku di maahad yang garang dan ‘keras keng’ dulu. Ukhuwwah kembali bertaut.
Aku bermalam disitu. Biarlah aku berehat seketika . Esok mungkin mudah untuk aku mencari kakakku. Aku tidur awal kerana keletihan. Perbualan aku bersama kawan-kawan lama menjadi singkat.
Aku dikejutkan untuk bersahur. Sesudah solat subuh berjemaah di surau Rumah Negeri Sembilan, aku menyambung tidurku semula. Sehinggalah aku dikejutkan semula, kerana abang iparku sudah menjejakiku disitu. Alhamdulillah. Penantian ini pun berakhir.
Kakakku menangis keriangan apabila kami dipertemukan. Kerisauannya amat jelas kerana takut aku diculik orang. Namun aku berterima kasih kepada semua yang membantu aku sepanjang aku dalam kesesatan tersebut.

( Bersama abang iparku, di atas singgah sana Raja farouq. Nasib baik tak de pengawal kat situ. Kalau tak dah kena maki tu! )
Mampulah aku khulasahkan kejadian ini kepada beberapa perkara.
1. Bulan Ramadhan adalah bulan kebajikan. Maka ramailah yang datang membantu ketika kita dalam kesusahan. Aku menyaksikan sendiri pengorbanan beberapa individu untuk ‘ menyelamatkan’ aku .
2. Kesesatan boleh berlaku dalam bulan Ramadhan. Yang menyesatkan bukan lagi syaitan dan iblis tetapi adalah diri kita. Terkadang kita tidak sedar pun yang kita sesat walaupun tanpa bantuan syaitan. Rasulullah bersabda : ( Berapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga.)
3. Kehilangan. Kita akan menangisi sebuah kehilangan jika ia mata bermakna untuk kita. Tapi berapa ramai yang akan menangis dengan kehilangan Ramadhan.
4. Pencarian. Kita akan berusaha untuk mencari sesuatu yang amat berharga walaupun dengan harga yang mahal. Berapa ramai pula antara kita yang mencari sesuatu di dalam ramadhannya. Rasulullah bersabda : ( Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku, maka ia berkata : Sesiapa yang berkesempatan mendapat Ramadhan, tetapi tidak diampunkan dosa baginya, maka ia masuk ke dalam neraka Allah menjauhkannya (dari rahmatNya) Amin.)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan