Isnin, 12 Oktober 2009

Al Mujtaba karangan Imam al Nasaie atau Imam Ibnu al Sunnie ?


Imam al Nasaie mempunyai 2 buah kitab sunan. Satu dipanggil dengan nama Sunan al Kubro. Sunan al Kubro telah disepakati oleh para ulamak bahawa, ia telah ditulis oleh Imam al Nasaie sendiri. Namun, yang kedua yang dipanggil dengan nama Sunan al Sughra telah diperselisihkan kepemilikkannya. Sunan al Sughra yang juga dikenali dengan nama al Mujtaba .
Imam al Zahabie berpendapat bahawa al Mujtaba ialah ringkasan daripada Sunan al Kubro yang telah dibuat oleh Imam Ibnu Sunnie. Pendapat tersebut telah diikuti oleh Imam Ibnu Nasiruddin al Dimasyhqie. Pendapat yang mengatakan ianya adalah karya Imam Ibn al Sunnie adalah berpunca dari riwayat iaitu daripada abu Bakar Ibnu al Sunnie telah mendengarnya daripada orang jemaah yang mendengarnya daripada Ibnu Baqa dengan riwayatnya daripada Abu Zur’ah al Maqdisie secara sama’. Ijazah yang digunapakai dalam rantaian ini ialah, berkata : Anbaana Abu Muhammad Abdul Rahman bin Hamad al Dunie berkata : Anbaana al Qadhi Ahmad bin Husein Ana Ibnu al Sunnie daripadanya. Rantaian ini di ambil daripada kitab ‘ Tarikh Islam ‘ jilid 9 halaman 173.
Sementara Imam Ibnu Nasiruddin al Dimasyhqie pula hanya mengikut Imam al Zahabie sahaja seperti yang tertera dalam kitab ‘ Syazarat al Zahab ‘ karangan Ibnu al I’mad.
Bagi pendapat yang kedua yang berpendapat bahawa Imam al Nasaie sendiri yang meringkas dan menghasilkan al Mujtaba. Sementara Imam Ibnu al sunnie hanya sekadar meriwayatkannya sahaja. Pendapat ini ialah pendapat hampir keseluruhan para pakar biografi dan muhaddisin dan inilah yang paling hampir kepada kebenaran dengan beberapa dalil yang boleh digunapakai iaitu antaranya ialah :
1. Imam Zahabie tidak menjelaskan dalil secara lengkap bagaimana ia boleh mengatakan al Mujtaba itu ialah hasil karya Imam Ibnu al Sunnie.
2. Terdapat bukti yang menyokong kuat bahawa al Mujtaba ialah hasil karya Imam al Nasaie.Bukti-bukti tersebut ialah :
i. Apa yang telah dinaqalkan oleh Ibnu Khair al Isyhbilie dengan sanadnya daripada Abu Muhammad bin Yarbu’ berkata : Berkata kepadaku Abu ali al Gassanie : Kitab al Iman dan al Suluh, kedua-duanya bukan karangan penulis tetapi kedua-duanya daripada ‘al Mujtaba pada sunan yang disandarkan kepada abu Abdul Rahman al Nasaie yang diringkaskannya daripada kitabnya yang besar yang beliau tulis. Ini adalah kerana salah seorang pembesar bertanya tentang kitab sunan beliau: Adakah kesemua hadis itu sahih ? Maka beliau menjawab : Tidak. Pembesar itu berkata : Maka tuliskanlah kepada kami, yang sahih sahaja. Maka beliau pun menulis al Mujtaba. Al Mujtaba itu adalah daripada sunan yang meninggalkan setiap hadis yang terdapat dalam sunan yang mana ada perbahasan pada sanadnya dengan segala sebab. Diriwayatkan kitab ini daripada Abu Abdul Rahman : anaknya Abdul Karim bin Ahmad , dan Walid bin Qasim al Sufie. Diriwayatkan daripada Abu Musa Abdul Karim daripada penduduk Andalus : Ayyub bin al Husein qadhi Saghar dan selainnya…( lihat al Fihrisit halaman 116).
ii. Terdapat bukti yang terang bahawa al Mujtaba ialah penulisan Imam al Nasaie ialah melalui penemuan kitab al Mujtaba yang cukup lama, di mana tertulis pada kitab tersebut ialah sima’at di antara tahun 561-630H. Antara yang tertulis ialah : Juzuk 21 daripada Sunan yang Ma’thur daripada Rasulullah s.a.w hasil penulisan Abu abdul Rahman Ahmad bin Syuib bin Bahar al Nasaie.Riwayat oleh abu Bakar Ahmad bin Ishaq bin al Sunnie daripada beliau. Riwayat oleh Qadhi abu Nasar ahmad bin al Hasan bin al Kassar daripada beliau. Riwayat oleh Syaikh abu Muhammad abdul Rahman bin Muhammad al Duwanie daripada beliau. Riwayat oleh Abu al Hasan Sa’ad al Khair bin Muhammad bin Sahal al Ansorie daripada beliau.
iii. Riwayat oleh Syaikh Imam Zainuddin Abu al Hasan Ali bin Ibrahim bin Najad al Hanbali adalah salah satu bukti yang jelas al Mujtaba ialah hasil penulisan al Nasaie, seperti mana yang terdapat dalam buku cetakan lama yang bernombor 5637 yang terdapat di simpanan diRaja di Ribat. Tertulis padanya : Berkata al Tibnie : Diberitahu kepadaku Abu Ishaq al Hibal, telah bertanya seseorang kepada Abu Abdul Rahman ….beberapa pemimpin telah bertanya tentang kitab beliau iaitu Sunan, adakah sahih keseluruhannya ? maka beliau menjawab : Tidak. Berkata pemimpin : Tuliskanlah kepada kami, yang sahih sahaja. Maka beliau pun menulis al Mujtaba daripada sunan kubronya …
iv. Ibnu Athir juga telah menguatkan pendapat ini dengan sandaran sanadnya yang ia mempelajari al Mujtaba melalui jalan qiraah seperti mana berikut :
Ibnu Athir membacanya pada tahun 586H ke atas abu al Qasim Ya’isyh bin Sadaqah al Furatie Imam Madinah al salam yang membacanya atas Abu al Hasan ali bin ahmad bin al Hasan bin Mahmuyah al Yazidie yang membacanya ke atas abu Muhammad abdul Rahman bin Hamad bin al Hasan al Sufie al Duwanie pada bulan safar yang membacanya ke atas Abu Nasar ahmad bin al Husain al Kassar di Khanqah yang membacanya ke atas Ibnu al sunnie di Dinur yang berkata : Haddasana Imam al Hafiz Abu Abdul Rahman Ahmad bin Syuib al Nasaie rahimahullah dengan kitab al Sunan keselurahnnya
v. Begitu juga Imam Ibnu Sunnie juga mentekskan bahawa ia mendengar al Mujtaba di Mesir, yang jelas menunjukkan beliau bukanlah pengarang Cuma meriwayatkan sahaja seperti mana yang terdapat di dalam kitab al Soidu wa al Zabaih jilid 7 dan halaman 171. Naskhah ini hanya terdapat di simpanan umum di Ribat dalam bentuk manuskrip yang bernombor 1877.
Oleh itu, terdapat banyak lagi bukti yang menjelaskan bahawa al Mujtaba adalah karangan Imam al Hafiz al Nasaie bukannya seperti pendapat Imam al Zahabie. Antara ulamak yang berpendapat al Mujtaba adalah karangan Imam al nasaie ialah :
1. Al Zailaie dalam kitabnya Nasabur Rayah
2. Al Hafiz I’maduddin Ibn Kathir dalam al Bidayah wa al Nihayah
3. Abu Fadl al Iraqie seperti yang dikuatkan oleh al Sayutie dalam kitab Tadrib al Rawie
4. Dan ramai lagi.
Jesteru itu, amat jelaslah kita bahawa Imam al Nasaie sendirilah yang telah meringkaskan sunannya yang besar itu kepada ringkasan hadis-hadis yang sahih mengikut perkiraan Imam al Nasaie. Marilah kita bersama menambah keilmuan kita dan memperkukuhkan pengajian hadis di Malaysia ini.

Khadam sunnah nabawiyyah Tenggaroh

2 ulasan:

  1. Salam sheikh... Mahu tanya skit,sheikh boleh kah mengijazahkan bacaan hizb2 dlm tariq shazuli utk di amalkan?

    BalasPadam
  2. Promotional clothing Abercrombie and Fitch for sale or Abercrombie as a gift, will always be beneficial to Abercrombie Sale any business. This is Cheap Abercrombie a great way to impress consumers Abercrombie outlet and grow brand loyalty abercrombie Jeans and popularity. This is a quite flawless form of marketing. Your imprinted Abercrombie Pantslogo provides instant recognition. Abercrombie Tees These eye-catching articles of clothing are a foolproof way to increase profits and a cost Abercrombie Shorts effective form of marketing. Some use this plan to earn profits and then save them for future expenses. Abercrombie Sweaters You can get a huge range of promotional gifts or other promotional items on It is encumbered with a wide range of designs, styles and colours of assorted promotional items. These items can be used as promotional gifts and resourcefully distributed to the target customers to have a long lasting impression on them and make a huge profit in exchange.

    BalasPadam