Rabu, 21 Oktober 2009

Gempa ( 2 )


(mangsa gempa bumi )

dianggap berkepercayaan oleh Ibnu Main tetapi dilemahkan oleh yang lain. Sedangkan para perawi lain adalah berkepercayaan).
Apakah gempa bumi ini telah terjadi, berikutan kebelakangan ini terjadi gempa ekoran daripada gempa yang menghasilkan tsunami dan lain-lainnya. Sesungguhnya ketiga-tiga gempa di tiga wilayah tersebut belum lagi terjadi sebagaimana halnya ( terjadi ) tanda-tanda kiamat besar yang lain, meskipun sebahagian ulamak seperti al syarif al Barzanji berpendapat bahawa gempa tersebut telah terjadi. Tetapi yang sebenarnya gempa-gempa tersebut belum lagi terjadi, meskipun sering terjadi gempa bumi seperti mana yang dimaksudkan di dalam hadis di atas. Gempa-gempa bumi yang telah terjadi itu adalah gempa bumi sebagai isyarat kepada alamat kiamat kecil seperti hadis dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “ Tidak akan datang kiamat sehingga banyak terjadi gempa bumi.” ( Bukhari dalam fitan )
Juga dari Salamah bin Nufail al Sukuni bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “ Sebelum terjadinya kiamat akan terjadi kematian yang mengerikan dan sesudahnya akan terjadi banyak gempa bumi .” ( Riwayat Ahmad, al Tabrani, al Bazar dan Abu Ya’la ).
Adapun gempa bumi yang tiga macam ( di tiga wilayah )yang akan terjadi itu sangat besar dan berlaku merata di banyak tempat di muka bumi ini, baik di wilayah timur, barat dan di jazirah Arab. Hal itu Ibnu Hajar berkata : “ Sesungguhnya telah dijumpai pelbagai gempa bumi dan tanah runtuh di berbagai tempat, tetapi yang dimaksudkan dengan tiga gempa itu adalah lebih besar lebih luas wilayahnya daripada yang sudah terjadi.”( Lihat fathul bari 13:84 )
Pendapat ini diperkuatkan oleh hadis yang mengatakan bahawa ketiga-tiga gempa bumi itu terjadi apabila kerosakan dan kemaksiatan telah bermaharajalela di kalangan manusia. Lalu Allah jadikan gempa bumi atau terbenamnya muka bumi yang akan menelan manusia, yang mana ia merupakan suatu azab, seperti sabda Rasulullah s.a.w : “ Terhadap umat ini akan terjadi pembenaman bumi, perubahan bentuk ( kepada yang buruk ) dan bumi mengelongsor, apabila sudah muncul para penyanyi wanita, alat-alat muzik dan minuman-minuman keras ( secara berleluasa )”.( Hadis soheh riwayat Turmizi dari Umran bin Husain.
Kejadian pembenaman bumi, perubahan bentuk ( kepada yang buruk ) dan bumi menggelongsor tersebut tidak akan terjadi secara umum, akan tetapi Allah akan hanya lakukan terhadap kaum tertentu, sementara kaum mukmin dilindungi dari semua itu. Sesungguhnya Allah s.w.t akan menjaga dan melindungi orang yang benar-benar beriman sehingga mereka tidak akan melihat goncangan hari kiamat yang mana terjadi sebelumnya tiga pembenamanbumi di timur, di barat, dan di tanah Arab tersebut.
Rasulullah s.a.w telah bersabda : “ Kiamat ( kehancuran ) tidak akan terjadi kecuali atas manusia-manusia yang paling jahat.” ( Riwayat Muslim dan Ahmad dari Ibnu Mas’ud. Juga terdapat di dalam riwayat Bukhari dengan lafaz yang berbeza ).
Dalam hadis diriwayat oleh Muslim, Ahmad, Turmizi dan Ibnu Hibban dari Anas Rasulullah s.a.w bersabda : “ Kiamat tidak akan terjadi kecuali apabila di atas muka bumi ini tidak lagi disebut-sebut ( nama ) Allah,Allah.”
Terjadi kilat dan hujan lebat yang luar biasa
Al Imam Ahmad berkata, telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Mush’ab dari Ammarah dari Abu Nadharah dari Abu Sai’d al Khudri bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Akan terjadi banyak kilat ketika hari kiamat telah dekat hingga seorang lelaki mendatangi suatu kaum lalu berucap: “ Siapa yang disambar petir sebelum kamu pada pagi hari ini?mereka menjawab : “ Fulan,fulan dan fulan “ ( Riwayat Ahmad ).
Dalam hadis lain riwayat al Hafiz Abu Bakar al Bazzar dalam musnadnya berkata, telah menceritakan kepada kami Ishaq dari khalid dari ayahnya, dari Abu Hurairah ia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda : “ Kiamat tidak terjadi sehingga langit menurunkan hujan yang sangat deras.”
Maksud berlakunya petir dan hujan lebat itu bukanlah seperti petir dan hujan yang biasa berlaku, tetapi secara dan bentuk yang amat luar biasa daripada petir dan hujan biasa yang pernah dan sering berlaku, sehingga semua orang yang mengalaminya akan kehairanan dan kaget. Inilah petir dan hujan lebat sebagai tanda dan alamat kiamat telah dekat masanya akan berlaku.
Gambaran tiupan sangkakala
Apabila Allah mendatangkan gempa dengan kerap untuk memberi peringatan tentang apa yang akan terjadi ketika tiupan sangkakala. Gambaran dan perasaan merasai gempa ketika tiupan sangkakala telah Allah jadikan peringatan buat mereka yang masih hidup untuk bersedia.


Tiupan sangkakala pertama, iaitu tiupan goncangan

Tiupan yang pertama ini adalah panjang dan menyebabkan kegoncangan dan terjadi kepanikan semua yanga berada dilangit dan yang berada di bumi, kecuali orang yang dikehendaki oleh Allah , iaitu yang terdiri dari para Nabi, Rasul dan para syuhada. Kerana tiupan ini akan menggetarkan dan membuatkan keadaan panik semua yang hidup, sedangkan para nabi, Rasul dan syuhada adalah hidup di sisi Tuhan mereka, maka Tuhan melindungi mereka dari goncangan tiupan ini.
Allah s.w.t berfirman : “ Dan ( ingatlah ) hari ( ketika ditiup sangkakala ), maka terkejutlah segala yang dilangit dan di bumi, kecuali sesiapa yang yang dikehendaki Allah. Dan mereka semua mereka akan datang menghadapNya dengan merendah diri “ ( Surah al Naml : 87 )
Tiupan ini akan menimpa segenap alam semesta dengan goncangan yang keras dan hebat yang akan menanggalkan segala hubungan ( sendi ) dan melepaskan semua ikatan yang mengikat susunan setiap bahagian alam yang rapi ( harmonis )ini. Maka, ia akan mengoncangkan bumi segoncang-goncangnya, mendatarkan gunung dengan bumi selumat-lumatnya, meletuskan gunung-ganang dengan kuat sehingga menjadi debu yang bertebaran, membuat laut-lautan saling beradu dan mengeluarkan api yang menyala, langit akan menjadi pecah secara luar biasa dan hilanglah hukum graviti yang biasa kita kenal, maka planet pun saling berlanggaran, bintang – bintang berjatuhan, bersatulah Matahari dengan bulan dan hilanglah cahaya, semuanya binasa, setelah itu keadaan alam semesta kembali seperti sebelum Allah s.w.t menciptakan iaitu hanya berupa kabut dan gas ( asap ).
Itulah tiupan yang akan mengejutkan akal manusia yang sombong dan bongkak yang selalu merasai pintar. Pada waktu itu buntulah akal para ahli sains kerana sebelum ini mereka membuta tulikan akal terhadap keagungan Allah, lalu nafsu menjadi gundah tanpa menemui jawapan.
Tiupan itulah yang akan di dengar oleh setiap jiwa dengan saksama dengan mengiringkan kepalanya dalam keadaan mengangkat salah satu telinganya untuk mengamati tiupan yang mengejutkannya.
Tiupan itulah yang akan datang kepada manusia dengan tiba-tiba sedangkan mereka berada dalam kelalaian dan terlena dalam kekufuran mereka. Sungguh ia akan mengejutkan mereka seperti mana yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w : “ Sesungguhnya akan terjadi hari kiamat ( denga mengejutkan ) di mana apabila dua orang lelaki telah membuka pakaian ( dagangannya , maka keduanya tidak akan ( sempat ) memperjual belikan ataupun melipatnya (membungkus ) kembali, dan sungguh akan berdiri hari kiamat ( dengan mengejutkan ) di mana apabila seorang lelaki sudah memerah susu ( ternak)nya maka ia tidak akan ( sempat ) meminumnya, dan sungguh akan berdiri hari kiamat ( dengan mengejutkan ) di mana apabila seseorang sudah membina periginya dengan tanah liat, dia tidak akan ( sempat ) meminum airnya, dan sungguh akan berdiri hari kiamat ( dengan mengejutkan ), sehingga apabila seseorang sudah mengangkat makanan ke mulutnya, maka dia tidak akan ( sempat ) memakannya “.( Riwayat Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah).
Allah s.w.t berfirman : “ Wahai manusia, bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya goncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang amat besar ( dahsyat ). ( Ingatlah ) pada hari (ketika ) kamu melihat kegoncangan itu, semua wanita yang menyusui anaknya terlupa anak yang disusukannya, wanita yang sedang mengandung gugurlah semua kandungannya, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal mereka semua tidak mabuk, akan tetapi ( kerana ) azab Allah itu sangat kerasnya “.( Surah al Hajj : 1-2 )
Semoga paparan entry kali ini membantu kita memahami situasi sebenar kejadian gempa yang kerap berlaku sekarang ini. Namun, yang lebih penting ialah keinsafan kita untuk kembali ke jalan Allah yang sebenarnya.

Khadam sunnah nabawiyyah tenggaroh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan