Jumaat, 9 Oktober 2009

Imam Nasaie seorang Syiah !


Muqaddimah
Setelah beberapa lama terlibat dalam dunia ilmiah ini, aku mendapati manusia ini yang membenci sebahagian ulamak yang tidak sealirannya pasti akan ditumbangkan dengan fitnah. Jikalau dituduh dengan ajaran sesat, mungkin ia masih boleh bertahan. Tetapi jika dituduh dengan syiah, muktazilah, jahmiah, ibadiyyah dan sebahagiannya, pasti akan lebih berkesan.
Itulah apa yang berlaku kepada salah seorang ulamak besar dalam kesenian ilmu hadis ini, iaitu Imam al Nasaie. Tuan Guru saya, Syaikh Hasan al Saqqaf juga turut menerima penangan yang sama dari pihak yang berlawanan. Tuduhan itu membuatkan berpa ramai yang telah berburuk sangka dengan tuan guru aku. Nah! Aku berikan kepada kalian, sebuah kisah ilmiah yang membuktikan tindakan dan muslihat orang yang munharif dalam memperlekehkan tuan guru kita dengan teknik seperti ini. Ia sudah berlaku dan akan berlaku, jika watak-watak itu masih ada.

Pemulaan fitnah
Fitnah yang mengatakan Imam al Nasaie itu adalah seorang syiah, bermula ketika mana Imam al Nasaie telah sampai di Damsyik. Beliau mendapati, masyarakat Damsyik terlalu memuja Saidina Muawiyah dan mencerca Saidina Ali r.a. Oleh kerana, suasana itu tidak seperti dianjur oleh agama dan terlalu jauh daripada kebenaran yang sebenarnya, maka Imam al Nasaie telah menulis sebuah kitab yang menceritakan perihal kelebihan Imam Ali r.a.
Penulisan kitab itu telah mengundang polemik dan krisis dalam kalangan masyarakat Damsyik. Masyarakat Damsyik yang begitu terkesan dengan kehadiran kitab tersebut telah bertindak yang tidak sepatutnya sehingga mengundang kewafatan seorang syaikh yang ulung dalam ilmu hadis. Pemergiannya dalam mempertahankan kebenaran walaupun mengetahui ancamannya adalah sesuatu yang terpuji. Inilah pejuang yang disebut-sebut di dalam al Quran : (( Sesungguhnya mereka yang takutkan Allah itu, adalah ulamak ))
Kisah ini boleh kita ketahui seperti mana yang ditulis para ulamak teradahulu :
1. Ibnu Hinzabah dalam kitabnya ‘ al Wafiyat ‘ manyatakan : aku mendengar Muhammad bin Musa al Mamunie, sahabat Imam al Nasaie berkata : aku telah mendengar satu kelompok yang mengingkari Abu Abdul Rahman al Nasaie melalui kitab ‘ al Khosois ‘ untuk Saidina Ali r.a dan beliau meninggalkan penulisan kelebihan Syaikhain. Maka aku nyatakan perkara tersebut kepadanya. Beliau berkata : Aku telah masuk ke Damsyik, dan aku dapati mereka telah menyeleweng terhadap Saidina Ali terlalu banyak. Maka aku tuliskan sebuah kitab iaitu ‘al Khosois ‘, yang mana ank berharap semoga Allah memberi hidayah kepada mereka. Kemudian aku menulis selepas itu , kelebihan-kelebihan para sahabat dan aku bacakannya kepada manusia yang lain. Maka ditanya kepadanya dan aku mendengar : Apakah engkau tidak mengeluarkan hadis pada kelebihan-kelebihan Muawiyahr.a? Maka beliau menjawab : Yang mana satu yang perlu dikeluarkan? Hadis : Ya Allah! Janganlah kau kenyangkan perutnya. ( Hadis riwayat muslim – mengambarkan kelahapan Muawiyah ketika makan )Maka diamlah orang yang bertanya tadi.
2. Diriwayatkan Abu Abdullah bin Mindah daripada hamzah al Aqobie al Misrie dan selainnya : Sesungguhnya Imam al Nasaie keluar dari Mesir ke Damsyik di akhir umurnya. Beliau telah ditanya mengenai Muawiyah tentang kelebihan-kelebihannya. Maka beliau menjawab dalam satu riwayat : Aku tidak mengetahui kelebihannya melainkan hadis ( Allah tidak mengenyangkan perut engkau ).
3. Ibnu Kathir dalam ‘Tarikhnya’ menyatakan : Sesungguhnya ketika mana beliau menulis kitab ‘ al Khosois ‘ pada kelebihan Saidina Ali dan ahlul Bayt, kerana beliau melihat masyarakat Damsyik ketika beliau sampai pada tahun 303, mereka itu melarikan diri dari Saidina Ali. Mereka telah bertanya mengenai Muawiyah. Maka beliau menjawab apa yang beliau jawabkan.
Daili-dalil inilah menjadi pengukuhan kepada kisah yang berlaku kepada Imam al Nasaie. Semoga Allah mencurahkan rahmat ke atas Imam Abu Abdul Rahman al Nasaie.

Yang menasabkan Imam al Nasaie seorang syiah.
Ada beberapa pendapat daripada ilmuwan Islam yang menganggap, Imam al Nasaie adalah seorang syiah. Antaranya ialah :
1. Ibn Khalikan dalam ‘ al Wafayat al A’yan “, jilid 1 halaman 77 mengatakan : Adapun dia itu tasyaiyu’.
2. Ibn Taimiyyah dalam ‘Minhaj al sunnah “ jilid 4 halaman 99 : Menjadi syiah beberapa ahli ilmu dalam bidang hadis , seperti Nasaie, Ibn Abdul Bar….
3. Al Zahabie dalam al Siyar a’lam al Nubala, jilid 14 halaman 133 :padanya sedikit tasyaiyu’…
4. Ibn Kathir dalam ‘al Bidayah wa al Nihayah ‘ jilid 11 halaman 124 : Dan dikatakan daripadanya, sesungguhnya dia dinasabkan dengan sesuatu daripada tasyaiyu’.
5. Ibn Taghrie Bardie dalam ‘ al Nujum al Zahirah ‘jilid 3 halaman 188 : Adapun padanya tasyaiyu’ hasan.
Pendapat ulamak dalam mempertahankan Imam al Nasaie :
Beberapa ulamak telah membahaskan masalah ini dan cuba untuk mempertahankan kedudukan Imam al Nasaie daripada tuduhan syiah. Antaranya ialah :
1. Syeikh Abu Ishaq al Huwainie Hijazie dalam muqaddimah suntingan beliau pada kitab ‘ Khasais Ali ‘, halaman 11, menyatakan : mereka itu mentohmah Imam al Nasaie dengan tasyaiyu’ kerana dua perkara :
Yang pertama : Sesungguhnya dia telah menulis pada kelebihan Ali di Damsyik ,sedangkan disana terdapat ramai yang menentangnya dan menjadi kumpulan yang besar, dalam keadaan beliau tidak menulis pada kelebihan syaikhain dan Usman r.a.
Yang kedua : Dia menentang Muawiyah r.a
Adapun jawab kepada perkara yang pertama tadi ialah seperti yang diterangkan oleh al Nasaie sendiri. Dia telah masuk ke kota Damsyik dan pegangan penduduk syam adalah diketahui. Maka beliau pun menulis ‘ al Khasois ‘, dengan harapan untuk memberi mereka hidayah kepada kebenaran dalam masalah ini.
Sementara jawapan kepada perkara kedua : Maka jawapannya detail yang memerlukan kepada penelitian. Yang nyata kepadaku sesungguhnya Nasaie bukan bertujuan menentang Muawiyah sangat….apabila mereka melihat sebahagian manusia yang fanatik kepada beberapa orang yang baik-baik , sesungguhnya mereka mencampakkan kepada mereka beberapa perkataan seperti untuk menentang orang alim tersebut supaya menyekat manusia daripada bersifat fanatik….
2. Berkata Syeikh Hijazi : Beliau telah melihat manusia telah terbakar kerana kecintaan pada Muawiyah. Mereka rosak kerana membenci Saidina Ali r.a.Maka dia berkehendak membenci kepada Muawiyah sedikit hingga tidak merosakkan kerana kecintaan tersebut.
3. Berkata al Hafiz al Zahabie dalam ‘ Siyar ‘: Moga sebab ini beliau ‘menyerang’ Muawiyah.
4. Berkata al Mizzi dalam kitab ‘ Tahzib ‘ jilid 1 halaman 339 : diriwayatkan daripada Ibnu Asakir pada perkataan al Nasaie kepada Muawiyah, kemudian dia berkata : Cerita ini tidak menunjukkan buruknya aqidah Abu Abdul Rahman pada Muawiyah bin Abu Sufyan….
Harus diingatkan juga, Imam al Nasaie ketika beliau menulis kitab Fadhail al Sahabah, beliau juga menulis kelebihan Syaikhain, iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar, Saidina Usman dan beliau menulis kelebihan Saidina Ali pada tempat yang ke empat. Ia terdapat pada halaman 195.
Jika Imam al Nasaie sendiri berfahaman tasyaiyu’, ia tidaklah menjadi sesuatu yang menghairankan kerana terlalu ramai pada zaman itu dan sebelumnya yang berfahaman tasyaiyu’ Dan tasyaiyu ketika itu, menjadi arus perdana pula. Wajib diingatkan, para ulamak menjadi tasyaiyu’ bukanlah menjadi syiah yang ada seperti hari ini.
Kita mesti menilai perkara ini dengan insaf dan adil. Tasyaiyu mengalami perubahan dan perkembangannya seperti juga yang berlaku dalam setiap firaq Islam yang lain. Menyokong Saidina Ali dalam kekhalifahannya adalah dituntut kerana ia adalah sah dalam perundangan ketika itu. Malah sesiapa yang menentangnya pula adalah salah dan boleh diisytiharkan sebagai bughah.
Perkembangan tasyaiyu itu bermula hanya dengan sebuah pertikaian dan perselisihan politik, akhir membentuk sebuah prinsip- psinsip ke arah pembentukan sebuah firqah aqidah. Jesteru itu, pengikut syiah dianggap sebagai kumpulan mazhab dalam sebuah aqidah dan bukan lagi sebagai pertikaian politik.
Namun, hari ini setelah dijelaskan dengan teliti, barulah kita mengetahui para ilmuwan kita ramai yang bersikap tasyaiyu seperti Imam Syafie sendiri, Imam Abu Hanifah , Imam Ibnu Abdul Barr dan lain-lain lagi. Kesemuanya adalah terdorong untuk menyokong kepimpinan Saidina Ali sahaja dalam khalifah dan bukannya prinsip aqidah yang terbentuk dalam mazhab syiah hari ini.
Oleh sebab itu, terdapat banyak kesan yang berlaku dalam ilmu Islam khususnya dalam ilmu hadis, di mana ramai rijal yang dibuang hanya menyokong politik Saidina Ali, sedangkan I’tiqad mereka benar. Sikap mereka sidq. Tidak pernah berbohong tetapi dijarah dalam ilmu rijal. Oleh sebab itu, kajian terhadap rijal perlu sehingga setiap tohmah perlu mufassar.
Malah dengan tohmahan tasyaiyu ini, maka banyaklah terhasil hadis-hadis mursalat. Banyak juga hadis yang sahih akhirnya terpaksa menjadi mursal kerana menyembunyikan perawi-perawi tertentu daripada hadis tersebut dihukum dengan dhaif atau pun mardud.
Maka, hari ini kita memerlukan penjernihan terhadap pemahaman sejarah yang akan sekaligus akan membaiki banyak kesilapan yang berlaku dalam pelbagai aspek ilmu pada hari ini. Jadikanlah, Imam al Nasaie sebagai permulaan untuk kita bersama membina nilai ilmiah yang sejernih pada zaman Rasulullah dahulu. ‘ Kembali ke Madinah ‘, jom !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan