Selasa, 6 Oktober 2009

Kita pakai jubah putih ye !


Semua orang menghimpunkan kenangan dalam diri masing-masing. Aku tidak terkecuali. Kenangan itulah yang mematangkan kita. Namun kenangan yang berlaku telah mengingatkan aku setiap detik syawal menjelma. Ia berturap rapi. Tersisip kemas dalam lipatan sejarah yang mewarnai hidupku.
Mereka yang pernah hadir dalam perjalanan hidup ini, sentiasa bugar terpapar seolahnya ia tidak mungkin bingkas padam. Buat yang terlibat dalam ‘ scene ‘ ini, ku mengharap untuk kalian menghubungiku. Aku semestinya tidak mahu silah yang terjalin antara kita berpergian.
Perjalanan ke Taman Bukit Kepayang merimaskan. Bas zaman jepun itu kerap tersenguk-senguk,tanda uzur menjamah usia. Sudah lama aku tidak ke sana. Sejak aku membawa diriku ke Maahad. Angah pula ke Sekolah Teknik di Ampangan. Syahril dan Zul Azri ke SMKA SHAMS. Fais Iskandar! Entahlah ! Kemana dia mengarahkan hidupnya, tidak aku ketahui.
“ Ini kad jemputan majlis sambutan hari lahir aku “ beritahu Angah sambil menghulurkan kad itu kepadaku.
Sudah lama aku berada dirumah Angah. Kami berborak panjang. Aku sibuk bercerita tentang suasana Maahad Ahmadi . Suasana baru bagi hidupku. Perwatakanku banyak berubah sepanjang aku di sana. Tiada lagi lagha, seperti ketika aku di Jalan Sikamat. Aku ingin berkongsi kegembiraan itu bersama Angah.
Angah pula, tidak kurang bercerita tentang sekolahnya. Katanya, disana tidak ada banyak perbezaan dengan Jalan Sikamat. Kami ada ruang yang cukup banyak untuk berbicara kerana Ramadhan telah melupuskan keinginan kepada hajat makan. Maka, kami hanya berbual berterusan.
“ Aku hairanlah Angah! “ celahku.
“ Orang biasanya, kad hari jadi, gambar di kadnya ialah kek atau hadiah! Tapi, kau bubuh gambar keretapi !”
“Hahahahaha”ketawaku memecahkan sedikit kebuntuan.
“ Entahlah Ejai ! Aku minat betul gambar tu! “ balas Angah.
“ Ikut engkaulah. Janji kau gembira “ pintasku.
“ Masa hari jadi aku nanti, aku nak semua kawan-kawan aku pakai jubah putih semuanya” pinta Angah.
“ Kita pakai jubah putih ye! “ angah mendesak.
“ Oleh sebab, hari itu 6 syawal, lepas tu kita ramai-ramai pergi beraya ke rumah ustazah dan cikgu-cikgu yang lain” Angah membuat cadangan.
“ Itu aku setuju sangat “ aku membuat kesepakatan.
Apabila matahari mula mengelincir, aku terpaksa mengundurkan diri. Perjalanan aku masih jauh. Aku terpaksa pulang ke Maahad setelah berpeluang bercuti dan menyambut Ramadhan bersama keluargaku. Sejenak itu, aku terus meragut waktu untuk bertemu dengan kenalan baik aku . Perjalananku ini ku teruskan dengan berlalunya Ramadhan kerana akan berhadapan dengan hari yang disepakati.
Gegas. Setelah abangku menyapaku.
“ Ejai, baik kau balik cepat “ tempik abangku.
“ Kenapa ? “ aku membalas
“ Mak kawan kau, dah berapa kali dia telefon. Ada hal penting tu” Jawab abangku.
Degup jantung kencang apabila menerima perintah itu. Gusarku bertambah.
“ Maafkan mama, ejai ! “ mama, ibu angah cuba memberitahu sesuatu. Tapi tidak jelas kerana ia disertai dengan tangisan dan sedu.
“ Kenapa mama ? “ soalku.
“ Angah dah tak de. Angah dah meninggal! “ tangisan itu menambah mendung perasaan ini.
Aku langsung tidak terkejut. Aku seperti sudah dapat mengagak sejak teriakan abang aku tadi.
“ Macam mana angah pergi, mama “ aku memohon penjelasan.
“ Dia terjatuh dari keretapi dan tergilis di dinding stesyen keretapi di Seputeh “ pertuturan mama terhenti-henti , kerana menahan kesedihan.
Aku ingin sekali melaluinya bersama kesedihan mama. Perbualan itu dengan cepat aku akhiri. Aku tidak mahu, perbualan itu akan menyiat-nyiat lagi jiwa dan perasaan mama. Biarlah mama mengambil masanya untuk bersendiri menghadapi kesedihan itu.
Namun, kesedihan itu tetap juga bertaut dalam hatiku. Puas aku merancang untuk pergi ke Batu Gajah, tempat di mana arwah angah akan disemadikan. Tapi, aku masih mentah, jahil dan terlalu naif. Bagaimana aku perlu ke sana. Dengan duit yang tak berapa ada. Tapi, keinginanku kuat untuk kesana. Aku berharap arwah amat mengetahui keadaan hal aku disini.
Semuanya sudah ditentukan melalui qadanya. Aku masih menanti untuk aku menjengah kepulangan mama, untuk ku bisikkan segala mohon maafku, kerana kenaifanku untuk berada disana.
“ Sepanjang Ramadhan yang lalu, arwah Angahlah yang menjadi muazzin dekat surau tu” beritahu mama.
“ Dia akan berada di surau tu lebih awal berbanding orang lain “
“ Padanlah mama, waktu saya jumpa angah, ramadhan lalu, angah ada tanya saya. Apa maksud kalau dengar bunyi tapak kaki dalam mimpi , sebab dia kata dia ada mimpi tu“
“ Saya jawab,setahu saya Bilal bin Rabah pun pernah dengar jugak. Rasulullah jawab : Bilal sudah dengar tapak kakinya ke syurga “
“ Kita doa ajelah, biar ruh arwah angah selamat “ aku menambah.
“ Tapi ejai, sebenarnya perubahan yang berlaku dalam hidup angah ialah berpunca dari ejai sendiri “ kata papa.
“ Masya Allah, macam mana boleh berlaku begitu! “ aku memohon penjelasan.
“ Apa yang ejai pernah buat masa bersama dengan arwah dulu di SMK Jalan Sikamat tu, arwah angah buat juga. “
“ Ejai kutip duit untuk tolong kawan-kawan yang susah, bayar duit yuran yang tak mampu, pun arwah angah dia buat “
“ Kawan-kawan dia baru datang semalam. Katanya apa diaorang nak buat dengan duit yang diaorang kutip untuk tolong kawan diaorang yang susah “
“ Baru pakcik tau, apa yang arwah angah dah buat “ jelas papa.
Aku mula terbayang, memori bersama arwah angah sepanjang aku dan dia bersama. Kami memang mengutip derma tanpa pengetahuan sesiapa dan membayar yuaran-yuran kawan kami yang terlalu faqir dan dhaif tanpa pengetahuan mereka juga. Perkara itu, kami rahsiakan. Hanya aku, arwah angah dan Ustazah Zainab sahaja yang tahu. Sungguh mulia tindakanmu angah !
“ Arwah angah anda meletakkan harapan, agar pada hari lahirnya nanti, kami akan berpakaian jubah putih dan merayakan aidilfitri bersama dengan kunjungan ke rumah guru-guru kami “
“ Malangnya harapan kami terkubur dengan pemergian angah “
“ Cuma, hanya angah sahaja yang berpakaian putih pada hari lahirnya “ aku merintih.
Kata-kataku itu mula menyentap jiwa sufi mama dan papa. Rembesan air mata mula berjujuhan membuai perasaan.
Aku pula rasa bersalah dengan atas setiap kata-kataku. Tapi aku cuma melahirkan apa yang terbungkam dalam setiap rasaku. Pemergian itu cukup membuatkan aku kehilangan. Sedangkan arwah angah itu, kehadirannya cukup untuk mejadikan dunia ini lebih baik dari kaca mataku. Namun, Allah lebih mengerti segalanya.
( Kami jadikan mati dan kehidupan itu, untuk kami uji, siapakah diantara kamu yang terbaik amalannya ). Ayat-ayat itulah yang menjadi gurindam luka untuk aku terus bermujahadah menjadi insan yang lebih baik.
“ Mari aku bawa kau berjalan-jalan. Disinilah aku tinggal sekarang “
“ Cuba kau perhatikan baik-baik. Di sinilah kejadian yang meragut nyawa aku, ejai “
“ Nanti kita jumpa lagi ye ! “
Ayat-ayat itu adalah cebisan rentetan daripada mimpi panjang aku bersama arwah. Memang benar, aku, arwah, Zul Azri, Syahril dan Fais Iskandar turut ada. Kami semua berpakaian putih seperti yang digambarkan angah. Syawal masih lagi bermusim. Cuma kami bersama di alam mimpi. Namun hajat itu sudah tercapai.
“Kita pakai jubah putih ye ! “

1 ulasan: