Rabu, 21 Oktober 2009

Lipan


“ Ustaz buat apa tu “ Suara Bedol menghentikan penyelongkaranku.
“ Tah ada apa yang menyengat ustaz ni ! “ beritahuku.
Bedol menyambung kembali tidurnya. Aku masih menyelongkar, melihat-lihat kalau yang menyengatku itu adalah lipan.
Bahaya betul lipan ni, kalau dia ada dekat-dekat kawasan tempat tidurku, dia juga boleh menyengat anak-anak muridku yang lain. Namun, kepalaku tergazet dengan apa yang berlaku selepas waktu isyak sebentar tadi.
“ Boleh ke Ustaz tolong ni?” pinta Cikgu Rushdi.
“ Insya Allah, kita hanya usaha sahajakan. Yang menentukan Allah “ jelasku.
“ Ambil air ini! Satu campurkan dengan air lain sebaldi dan taburkan keliling rumah. Sementara air yang dicampur za’faron tu dibuat minum “
Setelah aku tunjukkan caranya untuk memagari rumah kami berbual kosong sahaja. Persoalan demi persoalan yang ditujahkan kepadaku, aku cuba menjelaskannya. Sampailah mereka menyoal tentang amalan-amalanku. Aku pun jawablah soalan tersebut dengan teruja sekali.
“ kalau nak membenteng kampung, bacalah Ratib al Haddad. Kalau nak tunaikan segala hajat bacalah Hizib al Bahar. Kalau nak dinding diri pula bacalah Hizib Imam al Nawawi” terangku dengan agak lebar.
“ Ratib al Sakran pun bagus jugak. Dia jaga rumah dari binatang berbisa dan buas”
“ Rumah ni mana ada binatang bisa. Kalau rumah sebelah-sebelah tu, ramai cikgu yang dah kena sengat dengan lipan “
“ Rumah ni mana ada ! “ suaraku sedikit tinggi. Aku mula merasakan keegoaan mula menguasai diri.
Syaitan pula mula berperanan. Menyokong kata-kataku dan menambah motivasi untuk berkelakuan sombong. Syaitan itu sendiri terhina disebabkan oleh ini. Angkuh.
“ kalau ada pun dia duduk kat celah tingkap dan dekat bilik air aje. Tak pernah dia berkeliaran kat mana-mana”
“ Tak berani dia. Sebab rumah ni selalu baca Ratib al Sakran” aku mula hilang pertimbangan.
Apabila sebab sudah menguasai kewarasan akal dan kejernihan hati. Maka hilanglah musabbab yang sepatutnya diijlalkan. Musabbab sudah jadi kecil berbanding sebab. Sebab sudah menjadi tuhan. Musabbab pula menghina dan menjadi kerdil. Akar tauhid sudah bergoncang. Ikatan itu mula dilerai.
Tapi, kalbu ini mula berkhatir. Khatir rabbaniyyah. Menyentap fikiran dan meluruskan kembali. Aku mula kembali waras.
“ Ingat ! Setiap apa yang kau ungkapkan pasti akan diuji!” itulah kalimah-kalimah yang sering aku ucapkan kepada anak muridku. Dan ia kembali dalam benak fikiranku dan berputar-putar.
Allah berfirman : (( Adakah kau menyangka apabila kau mengucapkan aku beriman, dan mereka itu tidak diuji )). Makin bertabrakan dalam jiwa seniku mulai menyentuh.
Peristiwa selepas isyak itu menyebabkan aku meninggalkan tempat tidurku dan bergegas ke bilik. Aku masih menahan pedih sengatan tersebut. Aku beristighfar dan membaca hizib. Kelalaianku, kegagalanku mengesan tipu daya syaitan dan terjerumusku dalam kancah egois kesyaitanan lebih tajam dan menusuk dari pedih sengatan lipan.
Teringat aku kepada nabi Muhammad apabila terlalu yakin dengan jawapan besoknya, baginda telah diuji Allah. Nabi Musa dengan ucapan kepandaiannya maka baginda diuji dengan Khidir. Aku juga diuji. Dengan hanya seekor lipan.
Begitulah tarbiyah Allah kepadaku. Ia mendidik sebagai murabbi dalam membentuk akhlak dan pandanganku. Sebagai kifarah, sebagai peringatan, sebagai ajaran walau hanya seekor lipan. Dia diutus sekadar untuk menyengatku.
“ Saya jumpa lipan dekat tepi tandas Ustaz, bila Ustaz masuk bilik Ustaz malam tadi “ Kata Bedol.
“ Secepat itu ! Selepas menyengatku, terus ke tempat biasanya.Memang dia diutus Allah” getus hati kecilku.
Pagiku, aku bersujud syukur pada sebuah ingatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan