Rabu, 28 Oktober 2009

Pengajaran dari Haul



Sejak balik dari program di Kuala Lumpur, Majlis Haul Syaikh Habib Abdullah al Haddad, aku menjadi amat letih. Mataku sering kantuk. Kalau aku tertidur, sememangnya lena. Energiku makin berkurangan. Metabolisme makin menyusut. Aku kemurungan. Mungkin akibat aktiviti yang berlebihan. Tambah pula aku sering melawan kudratku. Sememangnya aku tidak mampu, tapi aku sering memotivasi diriku untuk terus berjuang.
Diri ini memerlukan waktu untuk berehat. Menenangkan fikiran dan memulihkan jiwa yang kekontangan. Sering aku mengungkap kata-kata keinginanku untuk berehat di tepi pantai dengan menikmati detik-detik itu kepada mureedeenku . Aku ingin mendengar pukulan ombak. Aku ingin mendengar deru alir sungai membuak ketika jatuh di jeram. Tapi, itu hanya angan, kerana pejuang sepertiku tiada masa untuk waktu yang bernama ‘ privacy ‘.
Sirah baginda sememangnya telah mendidik diriku untuk menjadi sepertinya. Ruang, waktu, detik, hembus nafas, kerdip mata dan keseluruhannya adalah untuk ummatnya. Tiada lagi perasaan, jarak dan waktu untuk dirinya. Dirinya dan perasaannya adalah wakaf buat semua ummatnya. Aku memang akur. Ketidakmampuan diriku untuk menjadi laksananya. Tapi aku sememangnya tidak mampu sekarang.
“ Budak-budak yang pergi majlis baru ni Ustaz, tah apa-apa tah” anak muridku , Eja mengungkapkan ketidakpuasan hatinya dengan segelintir budak-budak baru yang mengikuti program baru-baru ini.
“ Jubah ada dalam tayar spare, kopiah ada dekat celah-celah tu. Diaorang , main sumbat aje” sambung dia lagi.
“ Kebanyakkan mereka yang hadir dan mengikuti program baru ni, banyak yang melanggari adab “ bicaraku bernada sedih.
“ Nasib baik, tak jadi apa-apa “ tambahku.
Perjalanan ke Kuala Lumpur ialah suhbah. Suhbah ialah ikatan. Suhbah ialah proses. Proses pengajaran dan pembelajaran. Secara langsung atau pun tidak. Suhbah ialah pertautan hati dan perasaan. Suhbah ialah kesetiaan. Suhbah juga adalah kecintaan.
Banyak yang boleh dipelajari sepanjang bersuhbah ke Kuala Lumpur. Setiap yang Allah taqdirkan merupakan didikan Allah dalam membentuk keimanan dan akhlak kita. Maka terucaplah ayat-ayat yang kita baca di dalam al Quran : (( Kami jadikan kematian dan kehidupan untuk kami uji siapakah yang terbaik amalannya diantara kamu ))
Perjalanan ke Kuala Lumpur itu ibarat suluk. Sebuah perjalanan kerohanian. Setiap perjalanan mestilah ditetapkan arah dan tujuan perjalanan. Maka kita bersama menetapkan tempat tuju kita. Kuala Lumpur. Itu adalah zahirnya. Sementara batin perjalanan ini ialah Allah. Kami menuju Allah.
Bertemu dengan auliya Allah. Para ulamak dan solihin berkumpul di sana. Lagi mengenangkan seorang qutb lagi ghawth yang pasti membawa kami menuju Allah. Dalam majlis itu, menginggatkan kami kepada Allah dengan ayat-ayat suci yang tertalun, dengan selawat yang tertebar, dengan zikir yang gemersik, dengan qasidah yang berirama, dengan hati bersendu pilu. Ya! Sudah pasti Allah, tujuan kami.

Dalam perjalanan ini, pastinya memerlukan Ustaz. Ustaz yang tahu jalan dan tempat yang akan ditujui. Sementara anak-anak murid Ustaz akan dibimbingi oleh Ustaz. Pastinya kita akan bergerak bersama. Itu zahirnya, batinnya istilah itu dipanggil dengan nama murshid. Dengan bimbingan murshid yang berhadafkan Allah, tahu serba serbi perjalanan menuju Allah. Akan membimbingi mureed untuk bertemu dengan Allah.
Sebelum memulakan perjalanan, sewajibnya kita perlulah menyediakan bekalan sebelum memulakan perjalanan. Pastikan tayar dalam keadaan selamat. Minyak hitam, minyak brake dan lampu dalam keadaan berfungsi. Setelah kesemuanya telah dikemas pasti, barulah perjalanan akan selamat dan lancar.

Jaulah ke Kuala Lumpur telah terlambat disebabkan oleh kurangnya persediaan. Kita telah berhenti di perhentian Pagoh oleh kerana menukar tayar. Begitu banyak masa yang telah kita bazirkan akibat kurangnya persediaan. Begitu banyak tenaga yang kita keluarkan kerana akibat kelekaan.
Begitu jugalah yang perlu di dalam batin perjalanan ini. Sebelum bersuluk pastikan dahulu persediaan rapi dan diteliti. Persediaan yang perlu disediakan ialah menguasai dahulu ilmu tasauf. Ilmu tentang sum’ah, riya, ujub, mengenali musuh dan sifat-sifat syaitan agar perjalanan kita tidak tertangguh akibat terpengaruh dengan hasutannya. Dalam keterujaan bersuluk dan mengapai Allah, terpaksa pula kita berhenti untuk membaiki urusan hati pula. Mungkin itu tidak terlalu jauh, tapi bayangkan dalam perjalanan itu, kita terpaksa berhenti dan sibuk pula belajar kembali tentang ilmu tasawuf, sedangkan kita sudah lama beribadat dan bersuluk untuk bertemu Allah. Barulah kita tahu amal kita banyak yang salah dan bertentangan. Bukankah itu salah satu bentuk tenaga dan masa yang dibazirkan.
Sepanjang perjalanan pula, mureed mestilah sentiasa berdamping dengan murshidnya. Ketinggalan dalam perjalanan bersama murshid pastinya akan membawa resah. Mureed akan terdedah kepada kesesatan jika tiada panduan dan bimbingan murshid untuk bertemu dengan Allah. Seringkali kita akan terkeliru dengan panduan yang diberi dengan hasutan mata yang mengintai suasana baru hingga terlupa dan terleka dari hadaf yang sebenar.

Murshid pula akan sentiasa berhati-hati dalam perjalanan. Tujuan adalah keutamaannya. Murshid akan sentiasa bersama mureed untuk menuju ke matlamat, namun, ada mureed yang melambatkan perjalanan tersebut yang boleh menyebabkan matlamat dan tujuan suluk itu tersasar. Maka murshid pasti akan mengambil keputusan untuk meninggalkan mureed kerana ia boleh merosakkan hadaf. Jesteru itu, mureed hendaklah sentiasa bersama dan beriringan dengan syaikhnya.
Kebersamaan itu mestilah digarap dengan baik dari sudut mureed dan syaikh atau murshid. Kepentingan dalam hadaf mestilah yang menjadi keutamaan. Murshid sewajarnya memahami mureed dan mureed mestilah memahami dan berbaik sangka dengan murshid. Ada kalanya murshid akan bergegas meninggalkan mureed kerana beberapa tujuan. Mungkin bertujuan mencapai matlamat. Apa-apa yang merosakkan tujuan ialah akan merosakkan hasil. Hasil yang tidak tercapai ialah salah satu dari pembaziran dan melakukan perkara yang sia-sia sahaja. Sedangkan Rasul ada bersabda : Di antara kesempurnaan seseorang ialah meninggalkan perkara yang tiada makna apa-apa.
Mungkin juga murshid bertujuan untuk mendidik mureed untuk menghormati masa dan mengambil berat terhadap tujuan. Namun, bagi murid yang bersangka buruk, nescaya melemparkan tuduhan kepada syaikhnya dengan sifat terburu-buru dan tiada sabar. Bagi mureed yang begini, maka terputuslah barakah dan ikatan dengan syaikhnya.
Ajaibnya, apabila Allah mengurniakan satu nikmat yang tidak terhingga yang mampu membantu mureed yang tertinggal dalam perjalanan menelusuri jalan yang dirintisi oleh syaikhnya. Alat itu ialah telefon bimbit . Alat perhubungan yang boleh menghubungkan mureed dengan syaikh sehingga dapat bersama kembali dengan syaikh. Dalam konteks ini, hubungan dalam suluk dengan syaikh itu tidak boleh putus. Walaupun berjauhan ruang, jarak dan waktu. Hubungan itu, tidak boleh diputuskan atau terputus. Tanpa alat ini akan menyebabkan perjalanan dan suluk akan tersasar dari matlamatnya.
Bagi istilah kerohanian pula, hatif merupakan kewajipan bagi mureed yang bersuluk bersatu dengan gurunya. Keberadaannya bersama guru bimbingan melalui kaedah hatif membolehkan syaikh membantu mereka untuk terus berada di atas landasan dan jalan yang betul. Ini membolehkan mereka mencapai tujuan yang disepakati. Walaupun ruang, tempat dan masa sudah terjarak.oleh kerana itu, bagi mereka yang bersuluk, sepanjang masa adalah waktu bersuhbah walaupun syaikh tiada di depan mata, kerana mureed masih dibawah pengawasan syaikh dan sentiasa berhubung dengan mereka. Ajaib bukan, bagi mereka yang mengikuti jalan ini.
Tapi, apa yang paling penting dalam perjalanan ini ialah mujahadah dan istiqamah. Perjalanan ke Kuala Lumpur pasti tidak akan berjaya jika tiada orang yang sanggup berkorban. Tahniahlah kepada mereka yang berkorban untuk memandu, bersengkang mata untuk terus memandu agar kami semua sampai ke tempat yang ditujui. Maka, itulah yang dinamakan dengan mujahadah.
Mujahadah memerlukan istiqamah. Perngorbanan yang berpanjangan. Ada orang yang sanggup untuk berkorban tapi hanya untuk sekali sahaja kemudian dia malas. Umpama hanya berkorban memandu untuk sampai ke Kuala Lumpur tapi tidak pula mahu berkorban untuk memandu pulang. Nescaya mereka takkan kembali bukan ! Janganlah apabila kita diuji dengan tara yang botak, tayar yang belong, minyak hitam yang berasap maka memutuskan mujahadah dan istiqamah untuk tidak terus memandu. Pasti, kami tidak akan sampai ke Kuala Lumpur.

Perjalanan itu berjalan lancar dan sampai matlamatnya adalah kerana mujahadah dan istiqamah mureed ku. Tahniah buat kalian. Jadikanlah perjalanan ini, menambah mujahadah kalian dalam suluk bertemu dengan Allah.
Haul malam itu sungguh meriah. Ramai yang sampai di sana. Maka ramailah yang berjaya dalam suluk iaitu perjalanan mereka. Perjalanan menuju Allah. Perjalanan bersama dengan Allah. Perjalanan bersatu dengan Allah. Kami berjaya dan ditautkan kerana haul Syaikh Habib Abdullah al Haddad. Kerana berkat Sidi dan Habib kami di sana. Kami masih bersuhbah walaupun Habib sudah lama pergi. Kami masih berhatif dengan habib walau pun kami sudah terjarak. Allah adalah matlamat, haul adalah sebab, habib adalah murabbi dan mujahadah dalam suluk , merupakan kejayaan untuk kami berada di Masjid Baitul Aman. Inilah pengajaran dari haul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan