Jumaat, 23 Oktober 2009

Perbahasan hadis yang menyokong penyebaran israiliyyat.


Seperti mana yang diberitahu dalam makalah sebelum ini, mengenai perawi hadis khususnya Abdullah bin Salam yang mencipta hadis untuk menyokong dirinya, sehingga membenarkan periwayatan hadis yang bercampur israiliyyat ini berleluasa. Jesteru itu, aku rasa, aku perlu juga membahasnya sehingga jelas kepada kalian tentang hadis yang sepatutnya kita singkirkan dari perbendaharaan ilmu Allah supaya ajaran agama kita ini menjadi suci. Bila puncanya kita perbaiki maka apa yang terhasil juga akan beransur pulih.
Ada dua hadis yang cukup popular yang banyak diguna pakai untuk membenarkan penggunaan hadis yang diriwayatkan oleh perawi israiliyyat. Hadis-hadis itu ialah :
1. Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru al A’ss: Bersabda Rasulullah s.a.w : Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat. Dan riwayatkan dari Bani Israil tanpa halangan. Sesiapa yang berbohong kepadaku secara sengaja, maka ia telah meletakkan tempat duduknya di dalam neraka.
Hadis ini terdapat dalam Sahih Bukhari yang bernombor 3461. Hadis ini ditolak kerana ada beberapa sebab, sama ada pada matannya atau sanadnya yang meragukan, antaranya ialah :
a. Lafaz hadis ini memang ditolak kerana bertentangan dengan lafaz yang diriwayatkan oleh lain. Imam Muslim meriwayatkan di dalam sahihnya pada hadis yang bernombor 3004 yang berbunyi : Riwayatkan daripadaku tanpa halangan, sesiapa yang berbohong kepadaku secara sengaja…
Tidak terdapat pun lafaz bani Israil. Penambahan itu sememangnya dibuat untuk membenarkan periwayatan hadis israiliyyat secara berleluasa.
b. Perawi hadis ini iaitu ibnu Amrin, dia adalah Abu Kabsyah al Salulie. Didapati bahawa tiada siapa pun yang menthiqahkannya melainkan al A’jlie dan Ya’qub bin Sufyan. Dia berasal dari Syam dan tidak dikenali. Berkata al Hafiz Ibnu Hajar dalam fathul bari jilid 6 halaman 498 : Dia tiada di dalam Bukhari melainkan 2 hadis ini.
c. Sanad hadis ini dhaif.

2. Hadis daripada Abu Hurairah: Jangan kamu membenarkan ahli kitab dan jangan pula kamu menidakkan mereka. Dan katakanlah kami beriman dengan apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada mereka.
Hadis terdapat dalam Sahih Bukhari pada hadis yang bernombor 7362. Hadis ini secara umumnya hukum hadis ini adalah musyakkal, kerana :
a. Bertentangan dengan ayat al Quran yang Allah sifatkan yahudi itu dengan syirik, penipu, tahrif, menyembunyikan kitab-kitab Allah, pembunuh nabi-nabi mereka dan lain-lain lagi dengan membenarkan apa yang dibawa oleh mereka.
b. Ali bin al Mubarak daripada Yahya bin Abu Kathir seoarang sahaja yang meriwayatkan hadis ini.
c. Ini dikuatkan dengan pandangan al Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari pada jilid 5 halaman 292.
d. Jumhur mengatakan, yang dimaksudkan dengan jangan membenarkan dan jangan menidakkan ialah tawaquf, iaitu tidak membincangkan. Namun, apa yang berlaku tidak seperti itu. Malah hadis –hadis israiliyyat diriwayatkan dengan sewenang-wenangnya.
e. Larangan membenarkan dan menidakkan ialah teknik mereka untuk membenarkan. Malah apakah sebenarnya maksud ya dan jangan dalam satu masa.
Namun, sebaliknya masih banyak lagi hadis yang tepat mengenai periwayatan hadis dari perawi israiliyyat ini berbanding dengan 2 hadis ini. Malah hadis yang banyak ini lebih jelas berbeza dari dua hadis yang mengelirukan ini, antaranya ialah :
1. Dalam Sahih Bukhari pada jilid 13 halaman 333 pada kitab al I’tisam dengan kitab dan sunnah berkata : Bab sabda nabi : Jangan bertanya ahli kitab sesuatu pun.
Imam Ibnu Hajar memberi komentarnya dalam Fathul Bari jilid 13 halaman 334 : Ini ialah turjumah lafaz hadis yang dikeluarkan Ahmad dan Ibnu Abi Syaiba, al Bazzar dari hadis Jabir : Sesungguhnya Umar mendatangi nabi s.a.w dengan kitab yang didapati dari beberapa ahli kitab dan beliau membacanya. Maka nabi marah seraya bersabda : Maka aku telah datang kepada kamu dalam keadaan suci bersih, jangan kau bertanya kepada mereka ( bani israil ) sesuatu pun. Maka mereka memberitahu kamu dengan haq yang mana ia berbohong padanya atau yang batil yang mana mereka benarkannya. Yang mana diriku di dalam kekuasaannya, sekiranya Musa masih hidup nescaya Musa juga akan mengikutiku.
2. Dikeluarkan oleh al Bazaar dari jalan abdullah bin Thabit al Ansorie : Sesungguhnya Umar menyalin satu sahifah daripada taurat, maka bersabda Rasulullah s.a.w : Jangan bertanya kepada ahli kitab sesuatu pun.
3. Dikeluarkan oleh Abdul Razzaq melalui jalan Huraith bin Zuhair berkata : Berkata Abdullah : Jangan bertanya ahli kitab, sesungguhnya mereka tiadak kan memberi hidayah kepada kamu dan mereka telah sesatkan diri mereka . Menipu yang benar atau membenarkan yang batil.
4. Dikeluarkan oleh Sufyan al Thauri, sama seperti di atas.
5. Rujuk kepada Musannaf Abdul Razzaq jilid 6 halaman 109 hingga 114 dalam bab masalah ahli kitab.
6. Rujuk kepada syarah sunnah jilid 1 halaman 268 pada bab hadis ahli kitab.
7. Dalam Bukhari jilid 5 halaman 291, daripada Saidina Ibnu Abbas r.a sesungguhnya berkata : Wahai sekelian Muslimin, bagaimana kamu bermohon kepada ahli kitab …
8. Dalam Bukhari juga terdapat hadis yang riwayatkan dari Abi Salamah daripada Abu Hurairah berkata : Ahli Kitab membaca taurat dengan bahasa Ibraniyyah dan mentafsirkannya dengan bahasa Arab untuk orang Islam.
Maka jelaslah kepada kita hadis yang membenarkan penggunaan hadis israiliyyat ialah hadis yang dibuat oleh musuh islam juga. Kerana ia amat jelas bertentangan dengan al Quran, mahupun dari sabda junjungan. Oleh itu, kita mesti menambah reaksi kita apabila berhadapan dengan penyebaran hadis ini dengan mempelajari ilmu hadis dan menentang penyebaran ini secara serius. Inilah usaha kita yang paling benar untuk membuktikan kecintaan kita kepada Rasulullah karana tidak mahu Rasulullah dihina oleh hadis-hadis israiliyyat ini.

Khadam sunnah nabawiyyah tenggaroh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan