Ahad, 15 November 2009

Berbaju hitam


Beginilah, biar aku berlakon jadi orang syiah “ cadang aku.
“ Engkau pulak mempertahankan ahli sunnah “
“ Jika kau berjaya menjawab dakwaan dan hujah aku….”
“ Aku akan biarkan engkau marah-marah pada orang syiah tu “
“ Tapi, kalau kau tidak dapat menyangkal dakwaan aku …”
“ Aku fikir lebih baik kau senyap, atau pergi talaqqi lagi “ Syor aku pada seorang teman kafe aku.
Teman aku itu sering aku temuinya di kafe Syouun Tholabah. Dia senior aku. Mungkin sejak-sejak dia duduk dengan orang yang suka membaca. Kini, sikapnya berubah. Dia banyak berbicara tentang beberapa konsep ilmu. Tapi aku tidak berapa berminat dengan cara yang begitu. Memprovokasi. Sebagai sarjana Islam, perlu melihat kepada penyelesaian masalah ummat. Bukannya menambah masalah dengan membibitkan rasa benci kepada muslim yang lain walaupun berbeza firaq.
Ya, betul. Semua orang ada dalil. Dan semua mempertahankan dalil mereka. Gunakan kekuatan yang ada pada kita sebagai orang Islam, iaitu al Quran untuk mencari kesepakatan. Jangan hanya kita terpengaruh kepada seseorang tanpa mencari asal punca pertikaian, menyebabkan kita terjerumus sama kepada pertikaian di atas nama ilmiah, sebalik sibuk fanatic dan prejudis dengan sikap asabiyah.
Teman aku itu telah di serang dengan satu sindrom yang cukup banyak terkena kepada orang yang baru terjebak kepada dunia intelektual ini. Sindrom ini membawa virus yang serius kepada penjulang akademik yang sanfur. Virus ini kalau tidak diberi antiviral ia akan merosakkan seluruh kehidupannya dengan menganggap dia terlalu hebat dalam dunia akademik walaupun hanya membaca sebuah buku sahaja.
Kalau istilah arabnya dipanggil dengan sindrom ‘ hamasah ‘. Kalau bahasa melayunya ialah sindrom ‘ over alim ‘. Virus ini seringkali menghingapi kaum muda sahaja. Mereka mempunyai semangat tetapi masih lemah dan kurang dari segi pengalaman dan ilmu. Maka mereka akan bercakap dengan lantang dengan sesuatu maklumat. Pemikiran yang pra matang adalah amat tidak selari dengan konsep dan method intelektual. Ilmu ia terbina di atas zaman yang panjang.
Pencerahan maklumat sebelum dijadikan ilmu adalah amat penting supaya cara menyelesai dan bertindak adalah amat tepat. Maklumat mestilah disaring terlebih dahulu. Kemudian didebatkan, melihat keberkesanannya sebagai bentuk hujah. Apabila ia bertindak sebagai hujah, kadangkala ia tidak pula sesuai dari praktiknya. Jesteru itu, hujah itu mesti dibuat kajian tindakan. Hasil kajian tersebut, barulah ia membentuk ilmu. Ilmu itulah yang memberi faedah keyakinan dan bukannya suatu prasangka.
Seringkali kita membicarakan ilmu dari sudut teori tetapi tidak pada amalinya. Maka terjadilah kerapuhan hujah yang tidak bersesuaian dengan suasana pelaksanaannya. Di sinilah ketompokan ulama su’ akan terbina. Menjana fasad atas keluasan ilmu. Sempadannya dijarah. Gawang keutuhan ilmu yang dibina oleh para sarjana, runtuh disebabkan oleh alim yang jahil.
“ Orang syiah menghina sahabat ! “
“ Rasulullah pula melarang kita mencerca para sahabatnya “
“ Rasul bersabda : “Sahabatku seperti bintang “ ( Ashabi kannujum )”
“ Mereka kafir kerana meng hina sahabat rasul seperti Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar “ tegas temanku dengan sedikit nada beremosi.
“ Sabar dahulu syeikh “ pintaku.
“ Perselisihan antara syiah dan golongan sunnah ialah kerana definisinya “
“ Dari mana enta dapat maksud sahabat, sedang definisi sahabat sentiasa berkembang mengikut peredaran masanya “ jelasku
“ Jumhur sepakat maksud sahabat ialah mereka yang hidup pada zaman nabi, bertemu nabi, mengikut nabi berperang, taat pada perintah Allah dan Rasul dan mati dalam Islam “ celah temanku lagi.
“ Bagaimana hadis yang sahih Rasul bersabda kepada Saidina Umar yang ingin membunuh Abdullah bin Ubai bin Salul. : Janganlah kamu membunuhnya nanti, orang kata Muhammad membunuh sahabatnya “
“ Nah, disini Rasul mengatakan Abdullah bin Ubai bin Salul itu sebagai sahabatnya. Ta’liq enta ? “ aku pula menyoal.
“ Ermmm….. “ hanya bunyi itu yang kedengaran.
Sudah aku agak, pasti itu jawapan yang akan diberi. Sewajarnya kita tidak perlu terlalu emosi apabila kita belum mendalami dalam sesuatu tajuk. Kita perlu memberi masa untuk membuat kajian sebelum mengukuhkan keputusan yang akan memberi impak yang besar. Kadang-kadang kita sudah membuat keputusan sebelum kajian. Kita pula mencari dalil untuk membenarkan keputusan. Sepatutnya keputusan adalah hasil daripada dalil yang terbina.
“ Tapi, mencela Syaikhain adalah perbuatan yang cukup keji “ tambah temanku lagi.
“ Bukan setakat syaikhain, mencela semua sahabat adalah perbuatan keji “ tambahku
“ Janganlah kita terikut dengan politik semasa yang berlaku pada waktu itu, kita tiada pada waktu itu. “
“ Manalah yang kita tahu secara tepat “
“ Yang pastinya, kalau mencela syaikhain terkeji, tetapi mengapa yang mencela Saidina Ali pula dianggap ulama dan diangkat statusnya “
“ Malah diterima pula menjadi perawi sanad bagi hadis-hadis yang sahih “
“ Hairankan ? “ aku menguji temanku.
“ Bukankah mencela sahabat itu dikeji ! “ celahku
“ Aku tak fahamlah “ getus temanku
Aku amat pasti, itulah jawapan yang pasti keluar dari mulut kawanku. Apabila kita tidak tahu dengan scenario perbahasan atau latar belakang masalah, jesteru kita akan mengeluarkan keputusan yang sama sekali salah. Dengan terpengaruh secara fanatic terhadap seseorang juga akan mendesak kita berperilaku tidak adil.
“ Atas dasar apa Saidina Abu Bakar dan Saidina Omar mesti dicela ? “ bingkasnya
“ Sebuah hadis diriwayatkan dalam Musnad Fatimah menyatakan, Rasul bersabda : ( Sesiapa yang menyakiti Fatimah, maka ia juga menyakitiku. Sesiapa yang menyakitiku, maka ia menyakiti Allah. Allah akan memerangi mereka yang menyakiti Dia ) “
“ Pernah engkau dengar pasal tanah fadak ? “ soalku
“ Tak pernah “
“ Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar pernah menghalau Saidatina Fatimah keluar dari tanah fadak “
“ Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar telah menendang rumah Saidatina Fatimah sehingga beliau telah tercedera “
“ Kecederaan itu bukan setakat kecederaan luaran, malah turut menyakiti hati Saidatina Fatimah “
“ Saidatina Fatimah telah dikebumikan tanpa pengetahuan sesiapa kerana tidak mahu diketahui oleh Saidatina Abu Bakar dan Saidina Umar “
“ Sampai sekarang kita tidak mengetahui di mana maqam susuk tubuh mulia dari keturunan Rasulullah itu kerana sebuah kesakitan “
“ Bukankah itu menyakiti Saidatina Fatimah lantas menyakiti Rasulullah dan menjadi kesakitan dan kemurkaan Allah “ bidasku
“ Apa respon kau pulak “ pintaku
“ Ermmmm….ermmmm… aku tak tahulah hal ini “ jawab temanku
Lakonan aku sebagai seorang syiah amat meyakinkan. Inilah yang merugikan kepada para sarjana kita. Tahunya sedikit, kecohnya berjajaran. Aku ingin memberitahu temanku, adalah suatu yang prejudis jika kita tidak tahu liku perbahasan tetapi sudah membuat keputusan. Atas dasar apa keputusan itu dibuat. Pasti ia kebencian. Benci itu pula pasti disemai oleh seseorang. Teman aku tidak mungkin membenci kalau ia tidak dipengaruhi untuk membenci. Seseorang telah menjadi batu api untuk memecah belahkan umat Islam.
“ Apa kata kau pergi talaqqi lagi “
“ Mulakan dengan mengkaji sehabisnya buku ahli sunnah, dan kukuhkan ia “
“ Selepas itu baca dan kaji buku asal ulama syiah pula “
“ Jangan prejudis dan berlaku adillah dalam kajian “ sarananku kepada teman sebelum mengakhiri muzakarah tersebut.
Seminggu selepas peristiwa itu, kecoh di Mu’tah mengatakan aku seorang syiah. Entah dari mana datangnya sumber khabar tersebut. Setelah diselidiki, barulah aku tahu mengapa. Ada beberapa factor yang menyebabkan aku dituduh syiah.
Pertama, muzakarah tersebut. Lakonan yang aku lagakkan cukup meyakinkan mereka. Bagaimana aku cukup hadam dengan dalil syiah kalau aku bukan syiah. Bagi aku pula, bukan lakonanku tapi kejahilan mereka sudah terang lagi bersuluh. Imam Sayuti sudah pun menjawab semua soalan yang dikemuka oleh pemuka syiah. Kita pula hanya perlu menggodek kitab yang telah dikarang oleh beliau. Namun, keceluparan kita kadang-kadang menunjukkan kelemahan kita.
Kedua, bagi membukti kesyiahan diriku, mereka telah berhujah dengan pakaianku yang serba hitam. Setiap Jumaat, aku akan bersolat Fardhu Jumaat di Mazar. Terletaknya maqam Sayyid Ja’far al Toyyar. Sepupu Rasulullah. Di sinilah tempat berkumpulnya orang syiah yang menggilai ahli bayt Rasulullah.
Aku akui aku berada di sana. Selepas Jumaat, pasti aku akan beri’tikaf panjang disisi maqam. Tapi bukan setakat maqam Sayyid Ja’far, malah maqam Sidi Zaid bin Harithah dan maqam Sidi Abdullah al Rawahah. Para pejuang Mu’tah yang syahid. Aku sentiasa menangis di sana. Mengenangkan perjuangan mereka dan membandingkan diriku. Kalau boleh aku ingin sentiasa berada di sana. Bersama mereka. Biarlah orang berkata apa sahaja tapi aku tetap ingin berada di sana.
Masa aku berada di Jordan pasti tidak lama. Aku akan kembali ke Malaysia. Saat itu, pasti aku sudah tidak bersama dengan para pejuang itu lagi. Aku pasti akan merinduinya. Jadi, janganlah ada yang cuba memisahkan aku dan mereka, kerana kecintaanku yang mendalam pada para sahabat dan ahli keluarga Rasul. Ada juga yang ajaib di Mu’tah. Pernah aku meminta seorang teman pelajar Malaysia di Mutah untuk menemaniku ke maqam. Teman boleh bertanya dimanakah letaknya maqam tersebut, sedang ia sudah tahun tiga di sana.
Cintaku pada sahabat dan ahli keluarga Rasul, bukan hanya setakat di bibir tetapi kubuktikan kecintaanku pada perlakuanku. Kecintaanku mendekatkan aku pada mereka. Padahal mereka sibuk dengan mempertahankan sahabat tetapi tidak pada amal. Hanya pada teori keilmuan sahaja. Sahabat di depan mata dibiarkan. Mereka duduk di Mu’tah tapi ziarah ke maqam itu Cuma sekali sahaja selama empat tahun. Cinta apa yang hendak dibuktikan.
Pakaianku juga ku sandarkan kepada kecintaanku kepada ahli keluarga Rasul. Rasul pernah memakaikan serban yang berwarna hitam kepada cucu baginda. Bahkan warna itu juga termasuk warna kesukaan Rasul. Aku memakainya kerana mencontohi Rasul dan ahli keluarga Rasul. Bukannya ada kaitan dengan syiah. Terkadang yang sama itu tidak semestinya sama. Allah berfirman ( Tiadalah aku meminta melainkan kasih saying pada qurba “ kerabat “ ).

( Di sisi maqam Saidina Ja'far al Thoyyar )
Biarkanlah mereka dengan persepsi mereka. Jika pakaian hitamku yang menjadi soal, itu tidak sedikit pun akan melunturkan sayangku pada para sahabat dan ahli keluarga Rasul. Sekurang-kurangnya yang hitam Cuma pakaianku tidak pula hatiku.
Seorang yang berjiwa sufi, aqidahnya perlu bersih. Kemantapan ilmu adalah posisi tetap yang teguh dalam dirinya. Cinta jalannya. Cinta juga wusulnya. Berbaik sangka dan menyelesaikan masalah umat. Bukan penyemai kebencian. Bukan juga penyemai gagasan yang keras hati. Jalanku telah diterangkan oleh Imam al kalabazi melalui kitabnya al Taaruf bi mazhab al Tasawwuf.
Aku masih Ahli Sunnah. Esok pun begitu juga, Lusa pun begitu juga. Cuma aku meminggirkan kejahilan yang berselindung di balik Ahli Sunnah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan