Selasa, 3 November 2009

Kamilah perintisnya!



(Pertemuan terakhir al Zawraq sebelum dibubarkan di Bait Wizarah. Dimanakah kalian, aku rindu untuk bersama kesekiankalinya.)

Mu’tah sudah lama tenang. Sejak ghazwah Mu’tah hingga terkuburnya para syuhada Mu’tah, ia sudah lama tenang. Darah Abdullah al Rawahah, Zaid bin Harithah dan Ja’afar al Thoyyar sudah tidak mengalir lagi. Ia sudah lama kering.
Namun, semangat perjuangan yang telah ditawarkan oleh mereka, tidak mungkin padam. Ia wujud di dalam hati mereka yang berkunjung di bumi ini, seperti para syuhada yang mengunjungi tanah ini.

Namun, hanya bentuk perjuangan kami sahaja yang berbeza. Kami ialah apa yang dididik oleh pejuang Mu’tah. Meresapi kekentalan, menjiwai perjuangan, meneruskan kelangsungan Islam dan sebagainya.
Al Zawraq ialah perjuangan kami. Kamilah yang merintisnya. Di situlah kami bergelandangan. Berhibur. Berlatih. Berjuang. Berkomunikasi. Berusrah. Berdakwah. Ia lebih dari seni. Seni kami itu adalah usaha. Seni kami itu adalah perjuangan. Seni kami itu perantaraan yang mencapai matlamat dan tujuan. Maka kami berkumpul untuk itu.
Kerana al Zawraqlah kami bertemu. Kerana al Zawraqlah kami cuba memahami antara kami. Perasaan. Hati. Budaya. Bahasa. Kerana kami berbeza latar. Keluarga yang berbeza. Negeri kelahiran berbeza. Negeri dibesarkan berbeza. Cara dibesarkan berbeza. Pendidikan berbeza. Kelihatannya, semuanya berbeza. Bukanlah mudah itu menyatukan semua itu.
Malah itulah tugas baginda. Menyatukan dibawah kesatuan Islam. Dan akhirnya semua bersatu di Mu’tah. Tiada lagi, perbezaan warna, bangsa, fahaman, budaya dan pelbagai lagi perbezaan. Semuanya berada di Mu’tah dan satu.
Kami juga membawa risalahnya. Kami juga melaksanakannya. Al Zawraqlah tempat kami bersatu. Membuang segala bentuk sangka. Berjuang dan berdakwah. Lewat seni yang kami bina. Kamilah yang merintisnya.

( al Zawraq sedang buat persembahan.Teka yang mana satu aku? )
Al Zawraq, ialah tempat kami menimba sesuatu. Sesuatu yang tidak kami perolehi di kuliah, muhadarah atau jamiah. Kami belajar mengurus. Kami belajar berpersatuan. Kami mula mengenal kertas kerja. Kami mula mengenal komputer. Kami belajar merancang, menyelaras, mentansiq dan bermesyuarat. Kami umpama usrah. Usrah besar.
Al Zawraq bukan hanya seni. Kalau ia hanya seni, sudah tentu ia hanya berlegar kepada pemain perkusi dan penyanyi sahaja. Tetapi, ia lebih dari itu. Kami ada akhawat-akhawat yang rela berjuang bersama kami. Mereka yang merancang, melaksanakan konsert dari sekecil perkara dengan penghasilan tiket, penjualan tiket, hiasan dewan, pengumpulan duit, back drop dewan konsert dan macam-macam lagi. Kami ada juru gambar. Kami ada juru rakam video. Kami ada juru teknik. Malah kami ada penyokong al Zawraq yang padat memenuhi ruang konsert yang pernah kami adakan di hotel karak suatu ketika dahulu.
Janganlah dinilai dari sudut sedap atau tidak sedapnya kami bernanyi. Janganlah menilai lontaran suara kami. Melodi yang ditalunkan. Pitching yang tersalah. Kami Cuma berlatih. Kami bukan bidang itu. Tapi, kami berusaha untuk itu. Janganlah menilai pesonanya ungkapan lirik. Kesemuanya bererti bagi kami. Tapi, lebih bererti lagi tujuannya. Tujuannya ialah penyatuan. Kami bersatu dan hasilnya memang itulah. Al Zawraq telah merencananya. Al Zawraq telah menjayakannya. Kamilah yang merintisnya.
Kami sering juga bertelagah. Meneguhkan pendapat dan hujjah masing-masing. Merasakan kebenaran ada pada pendapat masing-masing. Kebersamaan kami dalam menentukan hala menjadikan keputusan itu milik bersama. Kadang-kadang ada yang terasa. Apabila pendapat ditolak. Ada juga yang merasa hebat bila pendapat diterima. Tetapi, segalanya dikorbankan demi sebuah penyatuan.
Gerak kerja kami bukan hanya seni. Kami melancong bersama. Menjalankan pelbagai aktiviti. Pergi ke laut mati bersama. Berenang bersama. Suka duka kami tanggung bersama.
Sudah lama kami berkecimpung dalam perjuangan ini. Dari tahun 1 hingga tahun 3.Kadang kebosanan menguasai kami. Kadang kemeriahan bertandang sesekali.Kadang kelesuan bertamu sepi. Mehnah dan tribulasi, datang dan pergi.
“ Hari ini, kita berkumpul untuk membincangkan tentang hala tuju kumpulan al Zawraq ni “ aku mula berbicara.
“ Semua orang sudah membawa haluan masing- masing. Kesibukan telah memisahkan kita”
“ Oleh itu, lebih baik kita bubarkan sahaja, kumpulan al Zawraq ini. Lagi pun kita dah terlalu lama dalam perjuangan ini. Dan kita sudah jadi pejuang kepada perkara yang lebih besar lagi “ jelasku lagi.
Suasana di rumah Bait Wizarah menjadi jeda. Mungkin perbahasan itu yang menjadikan suasana itu begitu. Ditelan mati mak diluah mati bapa. Nak bersama takut tak terbawa, nak ditinggal, sayang kerana sudah lama bersama. Keputusan tetap dibuat. Yang terbaik ialah konsentrasi pada perjuangan yang lebih besar. Lebih agung. Lebih kritikal.
Walaupun al Zawraq dibubar tetapi kami masih bersama. Kamilah orang yang mencipta PERMATA. Hasil dari perjuangan al Zawraq. Sedih, riang, suka, tawa, tangis, gelak, balah dan segala-galanya telah menghasilkan kami yang berjuang untuk sebuah persatuan. Sofa wakil Negeri Selangor, Imran wakil Negeri Perak, Zakuan wakil Negeri Johor, aku wakil Negeri Sembilan, Awang Juri wakil Negeri Sabah,Radhi wakil Terengganu, Mazrisyam wakil Perlis dan lain-lain lagi dari Sabah sampailah ke Perlis ialah mereka yang terlibat dengan al Zawraq..
Maka wujudlah PERMATA. Hasil dari sebuah didikan. Yang berumahkan al Zawraq. Bermula dengan hanya kesenian. Pukul gendang dan kompang. Beralatkan perkusi dendangan hiburan. Himpunan suara berpadu. Mengikut rentak dan alunan. Kadang laju dan kadang syahdu. Tapi, hasilnya, impak maksima.
Sofa menjadi presiden PERMATA yang pertama. Imran, Presiden Badan Kebajikan Anak Perak Jordan, Zakuan, Presiden Badan Kebajikan Anak Johor, Jordan dan ramai lagi yang berjawatan presiden. Mereka inilah pejuang. Pejuang yang telah berjaya dilandasannya. Dengan nekad dan tekad, kepada sebuah persatuan yang hebat. Penyatuan yang membawa berkat. Hanya bermula dengan al Zawraq. Kamilah yang merintisnya!

( al Zawraq di Wadi Mujib )

2 ulasan:

  1. Salam...

    Terkenang masa di Bait wizarah...
    Hebatnya az zawraq sebab berlatih dalam bilik presiden johor! hehhe

    Apa pun...kenangan itu mendewasakan.
    Terima kasih dengan paparan gambar. seronok tengok gambar2 tu.

    BalasPadam
  2. salam...

    Tengah suf internet,terkenang le kat mu'tah sana. Aku p cari mana tahu ada rakan2 yang letak gambar. Dan berbaloi pun. Aku jumpa. Atas ilham dari Yang Maha Kuasa ini,aku syukur banyak2.

    walaupun begitu, Fahaman yang kita pahat di sana sudah cukup kuat untuk dijadikan landasan perjuangan. Manusia bertindak atas apa yang dia percaya.

    Bilo lai nak bernasyid... :)

    Saudaramu di BT...

    BalasPadam