Khamis, 19 November 2009

Kopi


Aku masih mengenggam erat buku Kyai Haji Sirajudin yang bertajuk ‘ Perkembangan Mazhab Syafie’. Buku hijau itu makin hilang kehijauannya. Diganti dengan warna kekuning-kuningan. Lusuh. Helaian kertasnya pula, di bahagian atas dan bawahnya terlipat-lipat kehitaman berdaki. Dek sebab terlalu lama aku berkepit dengan buku itu.
Aku menyorot masa yang lama untuk menghabis buku itu. Lebih lama dari novel ‘ Mereka yang Tertewas ‘ milik abang aku. Kadangkala banyak benda yang aku tak faham. Maklumlah, dalam usia yang begitu muda iaitu 15 tahun aku sudah mahu memahami benda- benda yang berat tu. Menjadikan aku ini, budak yang tak sama dengan budak-budak yang lain. Budak lain bermain aku membaca. Budak lain membaca aku juga membaca. Tapi budak lain baca komik aku baca buku akademik.
“ Ye ke! Kau biar betul ejai ! “ bentak Faiz Iskandar
“ Ya ! “ jawabku ringkas
“ Ada hadis Nabi yang berbunyi : ‘ Setiap yang memabukkan itu adalah arak, dan setiap arak itu pula adalah haram. ( Kullu muskirun khamrun, wakullu khamrun haram )”
“ Nah! Apa lagi yang tak jelasnya?”
“ Kopi berasal dari pokok kopi yang mengandungi kafien “
“ Kafien itu pula adalah sejenis dadah “
“ Dadah pula memabukkan, maka ia haram “ jelasku kepada kawan-kawanku.
Mereka masing-masing tercenggang dengan fatwa aku.
“ Aku tak pernah dengar ni ejai “ getus Shahrul Iran
“ Ayah aku selalu minum kopi macam mana ? “ Shahril pula menimbulkan persoalan.
“ Ulamak pun tak ada cakap apa-apa pun ! “ bidas Zul Azri.
Puas aku terkial-kial memutar hujah untuk mengharamkan kopi mengikut kefahamanku, selepas membaca buku ‘ Perkembangan Mazhab Syafie ‘. Perdebatan antara aku dengan kawan-kawanku bertambah hangat. Bidasan demi bidasan yang terpaksa aku tepis untuk memahamkan mereka mengenai hukum yang baru aku cuba terjemahkannya melalui pemahamanku.
Itulah aku bersama kawan-kawanku. Mereka yang seusia denganku pasti tiada minat untuk berbuat seperti mana yang kami lakukan. Kami sering duduk dan berbincang untuk mengupas isu-isu agama. Biasanya kami akan membuat diskusi buku. Masing-masing akan menerangkan hasil pembacaan mereka daripada buku-buku yang kami pilih.
“ Nanti aku tanyakan Ustazah Zainab “ pinta Faiz Iskandar
Kami semua bersetuju. Namun, Ustazah sendiri agak keliru bila soalan ini diajukan kepadanya. Kemudian diasak-asak dengan pelbagai soalan yang meremehkan. Oleh kerana kekusutan kami ini belum lagi terungkai, masalah ini telah membawa aku ke beberapa pondok, antaranya pondok Rasah dan pondok Siliau.
Ilmu juga boleh merosakkan kita apabila kita telah ghurur. Ketiadaan guru yang membimbing boleh merosakkan pemikiran kerana keterbatasan dalam ilmu dan kejahilan dalam aspek yang lain. Kekurangan aku menguasai ilmu usul ternyata menampakkan kejahilan itu terzahir.
Hanya sekadar pembacaan boleh menambah maklumat. Tetapi, kadang-kadang sangkaan terhadap maklumat tersebut dan menterjemahnya membolehkan kita tersilap. Seandainya kesilapan itu hanya pada daerah individu sahaja, mungkin tidak mengapa. Bagaimana jika kita menyebar luaskan kepada setiap manusia yang sudah berinfiniti.
Maka lahirlah hukum yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan apa yang haram, hasil dari sangkaan yang fasad tadi. Bagaimana pula aku yang membaca beberapa buah buku, antaranya suntingan Bahrul Mazi oleh seorang Tokoh Maal Hijrah yang secara jelas mengatakan ia tidak berguru untuk menelaah Bahrul Mazi. Ajaib juga dunia hari ini.
Kalau tidak berguru dalam urusan feqah,masih ada jalan untuk diperbetulkan dengan cara melihat tindakan, perbuatan, sifat dan kata-kata seseorang. Feqah itu adalah sesuatu yang terzahir pada fiskalnya. Namun, kebimbangan aku terhadap proses ilmu tanpa berguru dalam ilmu kerohanian itu akan menjerat ke arah kesesatan. Kerohanian ialah perkara hati. Urusan hati tiada seorang pun yang tahu melainkan Allah.Kecuali dengan bimbingan guru yang mursyid.
Perasaan memandang enteng dengan keperihalan ilmu hati telah memusnahkan kebergantungan kepada juhud seorang guru. Persoalan hati ialah persoalan metafiziknya. Oleh kerana itu, ramai yang menyangka mereka telah menjadi muslim yang baik akhlaknya, baik perbuatannya, baik tindak tanduknya tetapi ia hanya sekadar suatu penzahiran yang tidak disesuaikan dengan urusan hati. Malah tindakan,perbuatan mahupun akhlak mereka itu tidaklah baik. Allah tidak mengiktirafnya. Maka Allah berfirman : “ Mereka menyangka, mereka berbuat baik bahkan tidak pula begitu “ ( Yahsabuna annahum yuhsinuna sun’a ).
Petang setelah 16 tahun. Aku sedang menikmati kopi. Ia tidak lagi haram buatku. Jom minum kopi !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan