Sabtu, 21 November 2009

Makanan


Hari Ahad. Petang itu aku pulang awal. Muhadarah dibatalkan. Aku hanya menyendiri di dalam bilikku sambil-sambil membaca buku al Uluw lil a’liyil Ghaffar, suntingan Tuan Guruku, Syeikh Sayyid Hasan bin Ali al Saqqaf. Sudah beberapa hari aku cuba mengkhatamkannya. Namun, keletihan dan hilang focus menyebabkan aku masih belum boleh menghabiskannya.
Kitab tersebut amat baik dibaca oleh semua orang. Terutamanya dibahagian muqaddimah yang ditulis oleh Sayyidi Sayyid Hasan al Saqqaf mengenai israiliyyat. Beliau mengupasnya dengan teliti. Bagaimana ia berpunca dan perkembangannya dari ia bermula sampai sekarang. Bentuk-bentuk kerasukan israiliyyat pada sumber-sumber agama menjadi ancaman pada fahaman hari ini.
“ Aiskrim,aiskrim “ Ainol berteriak.
Teriakan tersebut membantutkan tekadku mengkhatam al U’luw. Tambah pula, aiskrim ialah makanan kegemaranku. Itu sungguh menyelerakan buat orang seperti aku. Petang begini memang sesuai sekali. Panas soifi yang tidak berangin bisa diubah kepada hawa yang sedikit dingin dengan menikmati aiskrim berperisa vanilla.
Aku tidak menunggu masa, aku berlari ke dapur. Aku capai mangkuk dan sudu menuju ke bilik Ustaz Shahrol. Di situlah kami selalu berkumpul. Berbincang, minum petang, bergurau senda dan berbual kosong.
Aku seorang sahaja dibilik itu. Teman-teman yang lain belum lagi sampai. Mungkin keinginan ku yang gelojoh ini telah mendahului mereka. Aiskrim itu aku capai. Aku buka perlahan-lahan dan nikmati warnanya. Menyelerakan. Aku menyenduk dengan perlahan aiskrim itu dan aku penuhkan cawanku.
“ Aiskrim tu ada kod E 322 “ Ainol bersuara.
“ Alamak ! “ aku terkejut
Aku terasa hampa. Aku tuangkan kembali aiskrim itu ke tempatnya. Aku jinjit cawan dan sudu ke dapur. Perlakuanku disaksikan oleh Ainol.
“ Haram ke makan aiskrim tu “ Tanya Ainol.
“ Bukan haram, tapi syubhat “ jawabku
“ Takpelah, kalau kau nak makan, kau makanlah “ jelasku.
Aku segera ke dapur, membasuh cawan, sudu dan kembali ke bilik. Kembali menyendiri. Menatap al U’luw kembali. Aku cuba focus pada pembacaan, tapi fikiran langsung masih berdebat mengenai hal tadi.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang, ada singgah dirumah aku, beberapa minggu yang lalu. Mengadakan ceramah tentang peripenting makanan halal. Walaupun kami pelajar Jordan yang terdedah dengan syariah Islamiyah sendiri, tetapi pada masalah yang tertentu, kami juga tidak mahir. Kami juga memerlukan mereka yang pakar untuk menunjuki kami.
Masalah kod makanan yang mengandungi babi, adalah masalah baru bagi kami. Khususnya makanan berbungkus di Jordan ini kebanyakkannya adalah barangan yang diimport. Apabila dibungkus dan menjadi biskut, coklat, gula-gula atau jajan. Pastinya kami akan menyatakan kehalalannya kerana ia berupa sedemikian. Tiada di antara kami yang pakar untuk mengkaji sedalam mana bahan campuran makanan tersebut halal atau pun tidak. Kalau pun tidak zat binatang yang digunakan qat’ie haramnya , masih ada kesamarannya lagi. Contohnya, kalau bahan yang diambil melalui lembu. Adakah lembu itu disembelih atau tidak. Aku rasa para professor di Jordan juga tidak mahir, bahkan mereka juga berfikiran seperti kami juga.
Aku berkorban. Nafsuku sekat dari menyentuh syubhat. Walaupun para ulama feqh berpendapat boleh dimakan selagi mana tidak dilihat oleh ain mata dan jelas keharamannya. Aku tetap bertegas untuk menolak sebarang kesamaran dan syubuhat. Rasul ada bersabda : Haram itu jelas. Halal itu jelas. Di antara keduanya ada perkara syubuhat.
Ketegasanku dalam perkara itu jelas. Tiada siapa yang boleh mendesak aku untuk mencampuri antara kedua perkara tersebut.
Hari ini hari Isnin. Ia masih sama seperti Isnin-Isnin yang lalu. Aku berada di Amman untuk berhadrah. Suasana agak tegang. Tergesa-gesa ke Qasrul Hambra dan menukar pakaian tanpa aku sempat membasahi tubuhku.
Di Masjid Husein, ikhwan masih lagi berselawat. Aku masih berkesempatan berada di pemulaan hadrah. Aku tidak sanggup untuk meninggalkan walau sesaat untuk menikmati kebahagiaan berada di dalam hadrah. Terutamanya bersama Syeikh Abdul Karim al Urabie. Kalau diminta untuk dibuat perbandingan nescaya aku tidak sanggup menukar satu nikmat hadrah dengan 100 nikmat yang lain.
Rasulullah membawa cahaya. Dialah cahaya di atas segala cahaya. Sesiapa yang mengikuti jalannya, pasti beroleh cahaya. Cahaya itu terus diwarisi oleh para ulamak. Sehingga sebahagiannya hanya mendapat cahaya yang malap sahaja. Dengan cahaya itu, ia membuat kita berada di atas kesedaran. Kesedaran bertuhan. Maka setiap detik itu, kita hanya mengingati Allah.Sayugia itu, zikir hadrah bersama Syeikh Abdul Karim cukup bermakna. Cukup lazat. Cukup nikmat. Cukup rasa. Kerana kami merasai kehadiran dan kesedaran. Daripada kesedaran membawa kepada musyahadah dan muraqabah yang berpanjangan.
Walau kami setiap hari berzikir, ia tetap tidak sama ketika kami bersama syeikh. Kami bertaut di atas cahaya syeikh kami. Menumpang kebahagiannya dalam mengingati Allah. Menumpang zauq dalam syuhudnya kepada Allah. Menumpang apa sahaja yang boleh kami tumpang untuk wusul kepada Allah.
Hadrah kali ini, aku tetap berada bersama golongan hadapan selepas barisan mursyid. Entah apa hari itu, zikir cukup berlainan. Tuan Guru mundar mandir dihadapan jemaah, mengetuai dan membimbing hadrah. Satu wajah demi satu wajah ditatapinya. Aku memang gerun untuk memandang wajah syeikh. Matanya tajam. Penuh dengan firasat. Semacam ia sering membaca fikiran orang lain. Walaupun aku tahu, itu tidak benar, jika tidak diizinkan Allah. Tapi kegerunan itu sebenar adalah berpunca dari diri sendiri. Takut dengan kesalahan diri sendiri sehingga ditakuti orang lain pun tahu rahsia kita. Maka lahirlah kegerunan tersebut.
Syeikh melalui hadapanku dan berhenti. Menatap wajahku. Aku terus menunduk wajahku. Aku kalah dengan mata sinar tuan guru. Kegerunan yang aku takuti itu, betul-betul terjadi.
“ Kenapa tuan guru pandang aku “ bisik hati kecilku.
“ Aku ada buat salah apa-apa ke “ ligat akal aku menduga-duga.
Tuan Guru menghulurkan tangan kanannya ke arah aku. Aku berasa sangsi dengan huluran itu. Apakah untuk aku atau untuk orang sebelahku. Aku buat tak tahu. Hatiku tetap membentak dengan mengatakan bukan aku orang yang tuan guru mahu. Siapakah diri ini untuk tuan guru hulurkan tangan. Diri ini penuh dosa dan maksiat. Nafsu yang tidak terkawal dan mazmumah masih bermaharajalela. Mahukah Tuan guru berjabat denganku. Apatah lagi menghulurkan tangannya.
Ikhwan disebelahku menyambut tangan tuan guru.
“ Kan aku dah cakap, bukan aku ! “ teriak hatiku
Aku memerhatikan tindakan tuan guru. Tuan guru membawa ikhwan tadi dan meletakkannya dibeberapa selang jemaah yang lain. Kemudian, tuan guru hadir semula di hadapanku. Berderau kembali darahku. Jantungku berdegup kencang.
Sekali lagi tuan guru menghulurkan tangannya. Kali ini betul-betul dihadapanku. Hatiku yakin. Tiada dapat aku berpantun-pantun lagi. Aku tatap wajah tuan guru dan hulur tangannya aku sambut. Tuan guru mengengam erat. Tangannya lembut. Tapi tampak tegas. Sentuhan adalah nadi di dalam sebuah hubungan. Sentuhan yang ikhlas menghasilkan bibit – bibit prasangka yang baik. Prasangka pula menjadikan tindakan yang benar-benar sahih.
Sentuhan tuan guru pula penuh dengan keberkatannya. Sentuhan tuan guru membawa keinsafan. Sentuhannya amat menyentuh. Seketika Tuan guru mengenggam tanganku aku merasai kehebatannya. Sayyidi Sayyid Hasan al Saqqaf pernah mengijazahkan sanad musalsal bil awwaliyah kepadaku, Rasul bersabda : ( Sesiapa yang bersalam dengan orang yang bersalam denganku, maka ia masuk ke dalam syurga ).
Tuan guru memimpinku. Termangu-mangu aku dalam situasi itu. Situasi ini tidak pernah berlaku dalam hidupku. Bingung. Aku mengikut tuan guruku dengan langkah perlahan.
Situasi ini bertambah pelik. Ajaib. Tuan guruku membawa aku dan meletakkan kedudukan aku di posisi, di saf para mursyid. Ia tidak pernah berlaku pada mana-mana ahli jemaah. Mursyid ialah mereka yang dilantik oleh tuan guru. Aku bingung. Mursyid mempunyai kedudukan mulia pada jalan qurbah ini. Pastikah aku untuk menerimanya.
Hadrah tamat dan aku masih di saf para mursyid. Aku masih kebingungan. Para mursyid semuanya berjabat denganku dan memeluk erat. Senyuman mereka terlalu bererti.
“ Mengapa ana berada di saf mursyid, sidi “ aku mohon penjelasan daripada tuan guru.
Tuan guru bersalam dengan aku apabila kesemua mursyid telah bersalam. Peluang yang ada, bingkas aku bertanya. Aku memang terlalu gelojoh untuk tidak berada dalam kebingungan. Kerakusanku disedari oleh tuan guru. Cuma senyum balasan tuan guru.
“ Kau telah menjaga makananmu “ kata tuan guru.
Begitulah penjelasan tuan guru dalam suasana yang begitu singkat. Maka sesingkat itu jugalah aku menangkap peristiwa yang berlaku semalam.
Tuan Guruku, engkau mursyidku. Setiap masa yang ku luangkan bersamu, pasti akan mengingatkan aku kepada kebesaran Allah. Setiap salah betul amal hidupku, kaulah yang membimbinginya. Khilafku kau tunjuki. Yang tersembunyi di qalbu mahupun yang zahir dimata. Hatta makan minumku menjadikan aku insan yang terpilih. Aku berharap, sentiasa rabitah padamu.
Hanya kerana pengorbanan menyekat sedikit nafsu, yang berselindung dibalik tabir syubhat, menjadi pembeza bagi kedudukan kerohanian. Bagaimana pula jika ianya pengorbanan yang besar menolak perkara yang haram dan mungkar. Riba, rasuah, hasil judi, hasil gharar dan lain – lain lagi. Makanan itulah yang menjernihkan iman. Pengorbanan itu pula menjadikan kita cukup hampir denganNya. Rasul bersabda : ( Setiap sesuatu yang dimakan haram, pasti menghasilkan perbuatan yang haram )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan