Sabtu, 21 November 2009

Menangis


Kali ini aku keseorangan. Sejak Ustaz Shahrol kembali ke Malaysia beberapa bulan yang lalu, memang aku menjalani aktiviti talaqqiku seorang diri. Kalau dulu sering aku bermunaqasyah dengan Ustaz Shahrol sepanjang perjalanan ke Amman. Sekarang tidak lagi. Aku lebih banyak menghabiskan masaku dengan memerhati dan ber fikir. Buku sudah menjadi teman akrabku. Menggantikan Ustaz Shahrol.
Di Qasrul Hambra pun aku keseorangan. Tempat aku menginap bila aku berada di Amman. Sudah lama aku pajak bilik di Qasrul Hambra. Qasrul Hambralah yang paling baik. Harga pun murah dan bilik pun berselera. Masih ada hotel yang murah di balad Amman, tapi bilik pula tidak menyelerakan. Bayangkan jika tandas tidak berpintu, hanya ditutup dengan kain langsir sahaja. Memalukan.
Keseorangan ini tidak pula membebankan aku. Aku sudah lama menghabiskan pengajianku di Universiti Mu’tah. Aku hanya ingin bertalaqqi sahaja. Mengambil sebanyak mana hikmah yang boleh aku dapat sementara ada masa berbaki di sini. Aku juga tidak perlu tergesa- gesa balik dari kuliah pergi ke Amman. Tergesa-gesa selepas solat subuh, pulang ke Mu’tah untuk menghadiri kuliah pula. Seringkali terjadi kelewatan sama ada pergi atau balik.
Aku sampai awal di Masjid Husein, Balad Amman. Kelihatan beberapa ikhwan Syazili sudah mampir ke dalam masjid. Beri’tikaf dan berselawat, sebelum memulakan hadrah. Mereka mengerumuni Syeikh Abdul Karim al U’rabie, seperti semut menghurungi gula.
Aku mengambil wuduk. Kemudian mencari posisi yang terbaik untuk menunggu hadrah bermula. Aku memilih di balik tiang tapi diluar dewan solat. Aku mula bermain biji tasbih sambil mulut terkumut-kamit berselawat. Selawat nur al zati hadam aku sebut.
Memilih duduk diluar mempunyai kelebihan juga. Aku suka memerhati gelagat manusia. Pemerhatian ini menyebabkan aku cuba menyelami pelbagai masalah. Mengetahui puncanya dan penyelesaiannya.
Pelbagai gelagat manusia aku dapati di Masjid Husein. Dari pelbagai bentuk ibadah solat sampai kepada gelagat yang menjengkilkan. Kadang-kadang suara pekik jual beli di sahah Husien kedengaran di dalam masjid. Kadang-kadang suara bertengkar masyarakat arab mendominasi ruang masjid. Bunyi hon kereta yang menjadi rutin seharian disini meningkatkan disibel pencemaran bunyi di dalam masjid. Keluar masuk manusia. Mundar mandir sekitar masjid. Yang berwuduk dan yang membasahi kepala. Yang beribadah, mahupun yang mencari rezki. Semua dapat di lihat dengan jelas.
Mata aku tertumpu dengan jasad seorang lelaki. Tegap orangnya. Cuma kakinya terhenjut-henjut kerana terdapat balutan bandage yang agak besar. Mungkin mengalami kecederaan yang teruk. Tapi mulutnya tidak lekang daripada senyuman dan sentiasa menyapa orang. Bajunya lusuh. Baju golongan marhaen masyarakat Jordan. Serbannya Cuma kain yang digumpal-gumpalkan di atas kepala.
Orang itu duduk juga di balik tiang. Juga di luar dewan solat. Menghadap aku. Aku tergamam. Acap kali aku menundukkan kepalaku. Namun ada waktu aku mengangkat kepalaku, aku tetap memerhatikan orang itu.
Dia membalas pandangan. Aku tersenyum dan dia membeli senyumanku. Kemudian, dia memanggilku. Aku tersentap.
Kami berbual.
“ Tinggal dimana ? “ dia menyoalku
“ Di Mu’tah “ jawabku
“ Tuan pula, tinggal dimana ? “ giliran aku bertanya pula.
“ Di Karak “ balasnya.
“ Selalu ke datang ke mari “ soalku lagi
“ Ana kerap datang ke sini “
Jawapan beliau, sememang memeranjatkan aku. Selama aku bertandang ke Masjid Husein untuk mengikuti hadrah, aku memang sudah pasti bahawa aku tidak pernah melihat orang tua ini. Persoalan demi persoalan mula timbul dibenak fikiranku.
“ Ana tak pernah tengok enta pun, selama ini? “ soalku
“ Ana ada disini. Selalu di sini. Ana selalu tengok enta “ jawabnya sambil masih mengekalkan senyumnya.
“ Kalau begitu, macam mana enta balik ke Karak “ aku masih mempertikaikan orang tua itu.
“ Dengan menumpang orang “
“ Mencari orang yang baik-baik. Mereka akan menumpangkan aku. Lagi pun aku memang suka bersafar “ Jawab beliau.
Entah mengapa aku masih belum boleh menerima jawapan orang tua itu.
“ Engkau seorang sufikan “ orang tua itu bertanya kepadaku.
“ Engkau murid Syeikh Abdul Karimkan “
Aku tersenyum dan Cuma menganggukkan kepalaku. Orang tua itu pun senyum juga, tapi dia hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.
“ Jika engkau seorang sufi, sudah berapa kalikah engkau menangis “ Ujar orang tua itu. Aku tersentak. Aku tatap wajah tua itu. Dia masih senyum . Itu soalan untuk menguji aku atau mengejek diriku.
“ Tak pernah bukan “
“ Seorang sufi ketawanya sedikit, bicaranya jarang. Menangis banyak diamnya berisi.”
“ Bagaimana engkau boleh mengaku seorang sufi jika engkau tidak pernah menangis kerana Allah “
“ Bukankah itu penipuan atas nama cinta “
Dia masih mengelengkan kepalanya. Aku terbungkam seketika. Qalbuku merintih dan syahdu. Baru aku menyedari, aku tidak pernah menangis kerana Allah. Selama ini aku terlalu mencari nazariah atau teori kesufian daripada menjerumuskan diri kepada rasa sebenar sufi bercinta. Berbicara tentang cinta tanpa merasai kewujudannya adalah penafian yang tiada batasnya kepada kesyuhudan.
Airmata berlinang. Aku lantas bergerak kembali ke tempat asalku tanpa memperdulikan orang tua itu. Menyembunyikan perasaan aku ketika itu. Tapi aku masih tidak dapat mengawal airmataku daripada jatuh bercucuran. Seperti ada tenaga yang tidak mampu aku sekat daripada menahan air mataku mengalir. Kesyahduanku kepada Allah seperti tiada batasnya. Seolah-olahnya menqadakan airmata yang sepatutnya selama ini aku tumpahkan.
Kesedihan ini meyebabkan aku berbicara dengan Allah. Aku bercerita tentang kesyahduanku. Tentang kerinduanku. Tentang kesedihanku. Tentang ketelanjuranku melupakan Allah. Lupa untuk menangis, lupa untuk bersyukur, lupa untuk berbicara dengannya dan lupa untuk berdamping dengannya. Aku menjadi ghurur dengan ilmu tanpa aku mendapat manafaatnya.
Kerinduanku tidak tertahan. Sepanjang hadrah aku tenggelam dalam kesyuhudanku. Nikmatnya aku berbicara. Zikirku bertenaga. Apa yang merasukku hingga aku tidak bisa untuk menceritakannya. Satu perasaan yang luar biasa. Jantungku berdegup kencang. Lagiku sebut namaNya, lagi kencang ia berdetak. Latifah ini sudah tidak tertanggung lagi. Air mata kubiarkan saja. Ku terima kifarah ini. Ketidak tanggunganku beroleh kurniaan dan nikmat.
Rasul ada bersabda mengenai tujuh golongan yang Allah naungi pada hari yang tiada naungan padanya, antaranya : ( Seorang lelaki, apabila ia mengingati Allah seorang diri, maka mengalirlah air matanya )
Sewaktu hadrah, mataku mengerling mencari kelibat orang tua itu. Orang tua asing bagiku. Kehadirannya hanya sedetik , memberi impak maksima kepada diriku. Siapakah dia? Yang mampu menumpahkan air mataku. Membuang segala keegoanku, keangkuhan dan ananiyahku. Sedetik itu, aku merasai kekerdilan dan kehambaan mengukuh dalam diriku.
Orang tua itu, berada disebelah tuan guruku, Syeikh Abdul Karim al Urabie. Erat tangan mereka berdua berjabat ketika hadrah. Kakinya yang berbungkus, langsung tidak menganggunya berhadrah. Seperti ia tidak sakit. Tidak seperti kedatangannya yang terhenjut-henjut. Siapakah orang tua itu? Tolong beritahu aku.
Aku tidak mahu kehadiran orang tua itu menganggu konsentrasi zikirku . Ku pejamkan mata. Biar aku fana. Ingin aku hapuskan segala keinginan. Keinginanku sekarang ini ialah menghapuskan keinginan. Orang tua itu menjadikan aku a’dam.
“ Alllaaaaahhhhh…..” jerit Tuan Guru, mengakhiri hadrah pada malam itu.
“ Seusai hadrah, mataku berusaha mencari orang tua itu. Dia sudah hilang. Hilang dari pandangan. Fikiranku gusar. Selagi aku tidak mengetahui, siapakah dia, nescaya aku akan sentiasa di dalam kekeliruan.
“ Ya Shuhrur Rijal, apa yang aku boleh bantu “ Ujar tuan guruku.
“ Ana ada soalan Sidi “ balasku.
“ Siapa orang yang berada disebelah akukan ? “ Soal Tuan Guruku. Aku bertambah bingung.
“ Ya Tuan Guru “ Kataku dalam keadaan lemah.
“ Dia wali besar. Dia sering berada di sini. Mungkin engkau tidak mengetahuinya. “ jawab Tuan Guruku.
Terlintas di dalam fikiranku dari kitab yang pernah aku baca, suatu ketika dahulu yang telah ditulis oleh Imam al Sayuthi yang bertajuk “ Al Khabarul Dal fi Wujubil Abdal “. Imam al Sayuthi telah menaqalkan sebuah hadis yang mengatakan di Wadi Jordan pasti terdapat seorang wali yang silih berganti.
Tuan Guruku terus berlalu meninggalkan aku. Fikiranku tajam dengan kisah yang berlaku. Aku ingin lagi bertanya satu lagi soalan. Soalan yang membuatkan akalku berputar mencari kepastian. Karak. Tempat tinggal orang tua itu. Di sana terdapat maqam Nabi Allah Khidir.
Tuan Guruku sempat berpaling ke belakang, memandang tepat pada wajahku. Kemudian Tuan Guru mengukir senyuman. Senyuman yang sukar untuk diertikan. Tuan Guruku jarang sekali tersenyum. Itu, antara senyuman yang teristimewa. Senyuman yang menjadi pilihannya.
Senyuman Tuan Guru itu, masih belum memulihkan rohaniku yang sembab dengan nada pilu. Aku masih ingin terus menangis. Kerana jiwa ini ingin menangis. Bermalam-malam ia menangis. Aku biarkan.
Rasul bersabda : ( Airmata yang menangis kerana Allah, bisa memmadamkan api neraka ).

1 ulasan: