Rabu, 11 November 2009

Mengapai langit khayyam di puncak tenggaroh.




Petang sudah pun meredup. Angin bertiup membuai rasa jinak aku dengan alam semesta. Agak sudah lama aku tidak berjalan-jalan menerobos di alam hutan. Setelah banyak program keilmuan yang berlangsung, menyebabkan aku agak sibuk dan keletihan.
Setelah mencari ruang untuk berehat, inilah masa yang tepat. Bagi akulah. Namun, perjalanan untuk berkelah di sungai Camel dan menaiki puncak tenggaroh bukanlah perjalanan aku sendirian. Ia adalah perjalanan aku dan anak muridku.
Kami bergerak petang. Itu pun sudah lewat. Tapi, itu tidak mematahkan semangat kami untuk terus memulakan perjalanan . Matahari sudah berganjak menuju ke barat. Hujan yang turun dalam beberapa hari ini menyebabkan jalan yang tidak berturap menjadi lebih teruk. Lopak yang terhasil dari tayar kenderaan berat iaitu lori buah penuh dengan air. Kadang-kadang jadi dalam pula. Serba sedikit menambah kesusahan untuk kami yang bermotor enjin rendah meredahnya.
Air sungai di Camel tenang sungguh. Memang sesuai untuk memancing. Anak-anak muridku, sudah siap dengan joran mereka. Meluangkan masa untuk memancing mendatang manafaat untuk berfikir. Namun, kehadiranku disitu Cuma untuk berehat sahaja. Aku berbaring. Memejamkan mata dan menikmati bunyi riak-riak dan kocak air sungai mengalir lesu. Warghhh…sungguh tenang sekali.
Aku membiarkan anak-anak muridku dengan hobi mereka. Masa-masa itulah aku bersendirian. Agak puas aku disitu, aku mengajak anak muridku berjalan- jalan menuju ke puncak Tenggaroh. Menuju puncak tenggaroh memerlukan ketabahan, jika berjalan kaki. Jalannya memang agak mencabar. Berputar-putar aku mengelilingi bukit sebelum ke puncaknya.
Bila di puncak, mencerahkan pemandanganku kepada sebuah kekuasaan milik sang penguasa. Di situ aku memerhati indah, terbungkam gagah memercu puncak Gunung Panti. Di sampingnya terjajar banjaran utuh, seperti tidak akan tergugah. Warna yang berbalam-balam kebiruan pekat mengambarkan kekerasan dan hebat. Menjadikan aku begitu kerdil untuk dibandingkan dengan makhlukNya yang lain.


Kepelbagaian kejadian Allah menambak kehairanan dalam jiwaku. Warna-warna senja menambah keteguhan imanku. Namun, bukan hanya sekadar pemujaan kepada Allah sahaja yang ternyata. Suasana itu tak ubah seperti suasana aku di bukit Khayyam. Bersama Imran. Bersama Abu Anas. Bersama Gmin. Kenangan itu mula menggamit. Ia mula menjangkit dan membuka ingatan kembali, tentang pengambaraan penghuni sahara.
Pengalaman mengembara di jalanan Kathrubba, berkelah di ain a’fra, perigi rom, mengembara ke ain qal’ah, mengembara ke qasr al Rabbah, tasik thobariyyah, Jerasyh, menawan Petra, membikin dokumentari mengenai qal’ah Karak, merakam batu – batu unta di lembah khayyam di musim bunga, menjejak wadi Shuib, pada waktu petang menghampiri senja bersama Imran dan juga merakam universiti Mu’tah sebelum kembali ke Malaysia.
Ke semua itu memamit rasa indah bukan kepalang. Menjejak setiap memori yang hilang tanpa bayang.Aku yang duduk bersendiri di puncak mengetap bibir. Termenung panjang. Membiarkan segala-galanya meresapi jiwa yang kontang. Terasa ingin kembali dan memulakan pengembaraan.
Suram senja itu tak ubah seperti aku dan Imran berada di puncak Khayyam banjaran Moab. Aku cuba melagukan syair pujangga tapi, ia tak sama dan tak semerdu Abu Anas.Aku cuba berpuisi, tapi tak sama seperti badwi yang bernomad di lembah Khayyam.Aku cuba menyalakan unggun tapi tak sama bahan yang membakarnya. Aku cuba bermalam tapi tak sama kerana di sini lebih banyak nyamuknya dan ekstrem. Aku cuba menggapai langit Khayyam di puncak Tenggaroh, tapi aku tak sampai untuk memetik bentang tersebut. Ia sudah jauh meninggalkanku.
Bila gelap bertamu, segera aku pergi. Sebelum kenangan membunuhku. Virus-virus pamit ini betul-betul cepat merebak. Tapi serangan ini tidak menjangkiti. Hanya aku yang mengalaminya.

Azan berkumandang bergema segenap ruang. Suara itu terserap juga walaupun kami berada dihutan. Malah ia amat jelas. Segera aku bersolat. Agak-agak malam mula pekat, aku meninggalkan sungai Camel dan meninggalkan puncak. Aku berkirim salam di puncak Tenggaroh dengan harap ia sampai di puncak Moab dan berputik di jabal Khayyam jika masih ada orang yang mendengarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan