Rabu, 11 November 2009

Musang berbulu ayam.



Bulu ( 1 )

“ Aku bukan musang ! “ jerit musang.
“ Aku ayam ! “ teriaknya lagi.
Kecoh. Berkumpul segala suku ayam yang berbalung mahupun yang tidak. Yang katik pun ada, termasuk juga jalak jantan.
Bersiponggang suasana dewan itu dengan hiruk pikuk suara-suara ayam berketak-ketak. Sudah ramai dari suku ayam berkumpul disitu sejak penangkapan semalam. Seekor dari suku ayam telah dituduh musang.
Ya, memang betul badannya besar. Bermuncungkan musang. Berhidungkan musang. Jenis ini ia ada telinga. Runcing bentuknya. Tak ubah macam telinga musang. Baunya, entahlah. Sedikit hapak dan berhamis. Tidak berbau seperti jenis ayam yang lain. Cuma, bulunya jelas sangat seperti ayam.
Tidak pula ia berkokok. Mematuk – matuk mencari makan. Mengais pun tidak. Entah suku ayam jenis yang mana pula yang ini. Cumanya, bulunya jelas sangat seperti ayam.
“ ish…ish…ish, aku keliru ni. Dia ayam ke, atau musang ? “ begitulah kata-kata beberapa ayam.
“ Kau tengoklah dia tu betul-betul. Bulu diakan, bulu ayam. Putih lagi” bisik si ayam katik.
“ Betul tu betul, tapi, munjungnya aku tak berapa berkenan. Bau dia pun tak bau ayam! “ jawab si jalak pula.
“ Aku setuju sangat! Lagi pun dia tak ada balung macam aku ni “ tukas ayam belanda pula.
“ Aku tak setuju!” bantah ayam daging.
“ Bulu dia dah macam bulu aku tu. Dah tentu dia ayam”
“ Aku tak percaya langsung yang dia tu musang” tempik ayam daging.
“ Dia dah banyak tolong kita. Dia tolong ajar kita macam mana nak selamatkan diri dari musang “ ayam betina pula membuat kritikan.
“ Dia jugalah yang membela kami dari suku ayam betina.”
“ Dia mempertahankan kami yang lemah dari suku ayam betina “.
“ ayam jantan yang lain tak berbuat apa-apa pun. Kami rasa selamat dibawah dia. Dia lah guru kami.”
“ Lepas korang tangkap dia, siapa lagi yang nak membela kami ! “
“ Dah puaslah hati korang semua ! “ jerit suku-suku ayam betina.
“ Dia memang membawa reformasi dalam pemikiran kita semua. Tengok ajelah diri dia. Separuh ayam. Dan berjaya mengubah pemikiran kita untuk tidak berburuk sangka. Dia memang ayam yang hebat !” suara siapa pula yang mencelah menambah kehangatan perdebatan tentang isu tangkapan tersebut.
Si tertuduh ditangkap ketika tengah mengajar tentang kehebatan musang. Di tempat yang agak gelap. Hebatnya dia menceritakan tentang diri musang. Dari lahir musang hingga menangkap ayam. Tiada pula kehebatan ilmunya dapat ditandingi dari segala suku ayam tentang diri musang. Ilmunya lengkap memperihalkan musang tanpa tertinggal satu nota pun, hatta nota kaki pun turut dibahaskan.
Berapa banyak pula dari suku ayam yang teruja dengan kata-katanya yang memberansangkan. Berapa ramai pula ayam-ayam yang terngangga paruh-paruh mereka bila terdengar suara hikmat dari pujangga yang dituduh musang.
“ Ayam – ayam yang terpengaruh dengan situduh musang ialah ayam-ayam muda sahaja” beritahu ketua dari suku-suku ayam.
“ Ya betul tu. Mereka sendiri tak pernah bertemu dengan musang. Musang pun mereka tak kenal “ timbalan ketua menyokong kata-kata ketua.
“ Kami sendiri pernah bertemu dengan musang. Kami kenal tindak tanduknya. Kami juga pernah di serang oleh musang “ lagi sokongan buat ketua suku-suku ayam.
“ Belit dan helah dia pun kami dah kenal. Dia memang musang ! musang !“ jerit timbalan ketua penuh emosi.
“ kami tak percaya ! “ bantah ayam-ayam muda.
“ Kami adalah ayam suku muda ! “
“ Kami adalah ayam progresif , bukan ayam konservatif ! “ bentak mereka.
“ Apa pula bukti dia tu bersalah ! “ soal salah seekor ayam muda.
“ Dia menyalahi kami” jawab ketua suku ayam .
“ Contohnya apa? “ soal ayam muda kembali.
“ Dia menolak tahlil, talqin, talaffuz niyat, qunut, selawat syifa, tafrijiyyah dan yang paling teruk ialah dia mujassimah dan masyabbihah! “ keras jawaban ketua suku ayam.
“hahahahha “ ayam-ayam muda terbahak-bahak ketawa pada ayam tua. Tiada adab langsung.
Tiba-tiba masuk ayam-ayam berkot hitam. Bertali leher tanpa salam.
“ Lepaskan ayam yang korang tuduh musang tu! “ pinta ketua ayam yang bertali leher itu.
“ Dia tak bersalah. Dengar dulu hujjah dia. Hujjah dia konkrit “
“ Dia Cuma suruh kita berhati-hati supaya kita tidak dimakan oleh musang “
“ Kita kena ambil dia sebagai penasihat kita “cadang ketua ayam berkot itu.
“ Aneh! Ini bidang kuasa kami untuk memantau pengerakan musang “ bidas ayam-ayam tua tersebut.
“ alah… ayam tua ni. Mengacau ajelah “ bisik ketua ayam berkot tadi di dalam hatinya.

Geng-geng ayam berkot dan bertali leher itu, menyokong si tertuduh kerana mempunyai hajat yang tersendiri. Dengan keglamouran musang berbulu ayam dan besar tubuh badannya, nescaya banyak yang boleh diperalatkan.
Mesti dia boleh back up banyak apa yang geng-geng bertali leher dan kot buat. Kehebatannya akan menghalalkan pelbagai perkara walau pun bertentangan iktikad yang disepakati oleh sekelian suku ayam.
Kekecohan itu berpanjangan. Perang mulut tiada jedanya. Ada yang menyokong kerana rasa terbela. Ada yang menyokong kerana rasa simpati. Ada yang menyokong kerana kawan –kawan menyokong dia. Ada yang menyokong tak tahu sebab mengapa dia sokong. Ada yang menyokong kerana dia sungguh populariti. Musang berbulu ayam itu sering keluar dalam siaran t.v-t.v. Sungguh susah hendak mendangkalnya.
Tiba-tiba ruang menjadi lebih gawat. Sekumpulan ayam yang memerahkan balung dengan warna-warna menghairahkan datang. Membiarkan balung mereka terhias dan menyangka diri mereka adalah burung.
Mereka menyangka diri mereka burung, kerana teringin sekali menjadi seperti burung. Walaupun suku ayam adalah suku burung jua, namun ayam tidak boleh sebebas burung yang terbang diangkasa raya. Ayam adalah jenis berkepak tanpa boleh terbang jauh.
Mereka melaungkan hak-hak kebebasan dan liberal untuk mengaku yang mereka ini burung. Kebebasan membolehkan mereka melakukan apa sahaja. Walaupun mereka itu adalah ayam. Mereka tidak mahu mengikut hukum dan budaya ayam. Kolot katanya. Burung itulah urban, kata mereka.
Jenis-jenis ini ialah jenis ayam yang tak sedar diri. Berperilaku burung tapi lagaknya ayam.
“ lepaskan yang tertuduh! Lepaskan ! “ teriak mereka berkumpulan.
“ atas nama urban dan modenisasi, lepaskan tertuduh, kerana dia ada hak bersuara”
“ Sedar tidak kalian, kami ini adalah suku ayam yang tercantik dari spesis burung yang paling disayangi manusia “
“ Undang –undang berada di tangan kami.”
“ Dibelakang kami ialah mereka yang berkuasa. Tidak takutkah kalian ! “ terpaku sekelian ayam.
“ Biar saya jelaskan ! “ tiba-tiba terdengar suara yang membela.
“ Yang dituduh belum ditangkap “
“ Ini hanya sebuah penahanan, bukan tangkapan.”
“ Setelah keterangan di ambil barulah yang dituduh akan di dakwa.”
“ Jika benar ia musang barulah kita kenakan hukuman, jika tidak dia akan dilepaskan “ bicara ayam hutan, menerangkan prosuder menangkap musang.
“ Jadi kalian jangan emosi sangat! “ ayam hutan berteriak.
“ Tidak! Lepaskan! Lepaskan !lepaskan ! “ begitu hebat tempikan ayam-ayam bertalun-talun.
Musang berbulu ayam dibawa keluar. Senyum sahaja. Pandai pula ia menyembunyikan taringnya. Terzahir riya dan bangga dari diri musang, begitu hebat sokongan yang diberi oleh suku ayam terhadap dirinya. Sokongan itu telah membuka peluang yang amat dinantikan oleh musang. Peluang yang datang Cuma sekali sekala sahaja dalam hidupnya.
“ terima kasih kepada semua” bicara musang berbulu ayam.
“ Saya bukan musang. Tapi musang tu baik sangat ! “
“ Kita mesti mengubah persepsi kita terhadap musang “
“ Musang bukan lagi musuh kita “
“ Musuh kita ialah diri kita”
“ Kejumudan”
“ Kita mesti urban dan liberal “
“ Pada pandangan dan tingkah laku !”bersemangat musang berbulu ayam. Berkobar-kobar menyampaikan syarahannya.
Semua jenis ayam bertepuk tangan. Terasa hangat bersama ledakan tajdid itu. Ia satu kemenangan. Kemenangan bagi ayam mengubah pemikiran mereka. Mereka berjaya membuktikan musang berbulu ayam adalah ayam.

Bulu ( 2 )

“ Ini adalah kes luar biasa “ tegas ketua polis dari suku ayam.
“ Apa yang terjadi Tuan ? “ soal wartawan dari ayam press.
“ Pembunuhan beramai-ramai. Seramai 100 ekor ayam maut “ jawab Ketua Polis.
“ Siapakah suspek pembunuhan kali ini, Tuan ? “ balas wartawan
“ Musang “ ringkas sahaja jawapan ketua Polis.
“ Adakah ini kerja musang yang berbulu ayam itu Tuan ? “ wartawan itu cuba mendapatkan kepastian.
“ Ya, dia tu penuh muslihat. Keji dan jelek betul ! “ jawapan ketua polis yang bercampur emosi.
“ Macam mana Tuan tahu, dia tu adalah musang ?”
“ Macam mana kita boleh terlepas pandang dahulu. Dia berkaki empat la “ balas ketua polis dengan nada kesal.
Selesai sesi soal jawab, semuanya usai dan bersurai.
Wartawan itu Cuma mampu melihat mayat-mayat ayam yang mati. Ada terburai perutnya. Ada yang terkeluar hatinya, jantungnya , malah ada yang lebih teruk dari itu.
Sukarelawan dengan pantas menutup mayat-mayat itu dengan surat khabar. Jangan ada yang mual dan muntah, melihat perbuatan keji tersebut.
Hari yang redup itu seakan mengiringi pemergian mereka. Seredup itulah juga mata wartawan. Kuyu. Sebuah penyaksian yang perit , terpaksa ditanggung oleh sekelian suku ayam. Kesalahan ini pasti tidak akan diulang lagi.
Tertancap mata wartawan kepada helaian akhbar yang menutup mayat ayam. Gambar Dr Maza di ruang utama helaian akhbar tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan