Selasa, 24 November 2009

Penyerahan


Aku berada tepat di hadapan papan maklumat praktikum. Senarai nama pelajar dan nama sekolah yang akan mereka ikuti praktikal diploma perguruan selama 3 bulan.

“ Aku mesti jumpa dengan setiausaha praktikum “ tegasku kepada temanku.

“ Aku mesti tukar. Kan bagus kalau aku dapat dekat Kuala Lumpur “ rintihku dengan penuh harap.

Aku yang ketika itu, sedang kemaruk dengan perniagaan jualan langsung. Sudah tentu memikir untung rugi dalam perniagaan. Aku boleh melebarluaskan lagi rangkaian perniagaan aku jika aku berada di bandaraya. Tetapi apa yang aku rancang kini sudah lari dari target aku. Kehilangan peluang ini meyebabkan aku mudah marah. Semacam apa yang dipelajari selama ini menjadi kabur. Dan aku bukan aku yang dahulu.

“ Lebih baik enta serahkan perkara ini kepada Allah “

“ Dia sudah menetapkan taqdir kita begitu. Janganlah kita membuat pilihan selain berserah pada Allah sebulatnya “

“ Mungkin ada kebaikan daripada apa yang tidak kita sukai “ pujuk temanku dengan nada lembut.

“ Ana dah rancang untuk tinggal dengan kakak ana “

“ Lagi pun ana sudah lama berada di Negeri Sembilan, ana nak juga rasa di tempat lain “ aku membuat alasan.

“ Enta orang yang dipilih oleh Allah, yang mempunyai syaikh dalam hidup enta “

“ Apa kata enta minta pendapat syaikh enta “ nasihat temanku.

Bila disebut nama tuan guru, hawaku yang meledak mulai mereda . Rasa bersalah cukup mendalam dalam diriku. Janji dengan tuan guru untuk memperjuangkan agama tiba-tiba berubah dengan mengejar kekayaan yang bersifat individualistic. Dunia memang pandai menyembunyikan racunnya. Syaitan pula memang pandai menghiasnya. Bila gagal mempengaruhi di atas nama maksiat, si syaitan ini berubah menjadi sungguh baik , sungguh beriman, sungguh berjasa. Syaikh Hazim abu Ghazalah ada berkata kepadaku : “ Jika kamu bermain digigi air pantai, apakah kamu sangka yang kamu takkan basah ? “

Aku akhirnya akur, yang aku telah tertipu untuk mencari harta di atas nama perjuangan agama dan bangsa. Setelah aku nilai dengan teliti, sememangnya mereka telah Berjaya. Amalanku mulai merosot. Zikirku mula berkurang. Nasib baik peristiwa ini menyebabkan aku tersentak dari lamunan. Aku sering berfikir kala ini. Aku pasrah. Aku akan serah urusan tersebut pada s.u praktikum. Aku tidak mencampurinya. Aku menyerah sebulatnya kepada Allah.

“ Susahlah, kalau kali ini, masih tidak dapat rumah “ aku mengeluh

“ Apa kata kalau kita pergi solat dahulu, maghrib pun nak masuk dah ni ! “ Asparizan membuat cadangan.

“ Bagus benarlah tu “ Sufian menyokong.

Sudah tiga kali kami ke Port Dickson. Mencari rumah sewa. Hairan. Port Dickson yang besar itu, kami masih belum menjumpai rumah sewa yang sesuai. Kami bukannya terlalu cerewet. Tapi, rumah yang ditawarkan mungkin tidak berapa selesa, mahal dan mungkin menyeramkan.

Rumah pertama. Rumah batu kos murah. Dua tingkat. Tidak terjaga. Rumput panjang, pokok melilit sudah melilit tiang sampai ke tingkat dua. Cat yang kusam berselang seli dengan warna hitam dan hijau ( lumut ). Suasana jiran yang tidak berapa bagus. Yang pastinya banyak anjing. Rumah pula tidak berpagar. Harga boleh tahan, RM 350.

Rumah kedua. Rumah kayu yang bersebelahan jalan utama. Menghadap ke Pantai di batu 6. Kalau ikut hati, pasti rumah ini aku pilih. Tapi harganya pula cukup mahal. Malah, aku sudah menyinggah dua kali di rumah ini yang bertujuan untuk mengurangkan sedikit harga sewa rumah. Sewanya RM 500. Tidak masuk akal.

Rumah ketiga. Rumah teres setingkat. Rumah ini agak tersorok kerana ia berada dibahagian tepi belukar. Belakang rumah agak semak, tapi perkarangan dan dalam rumah memang bersih. Dua tiga rumah dikawasan itu memang tiada berpenyewa. Inilah rumah yang harga sewanya paling murah. Bermula dengan RM 300 dan dikurangkan kepada RM 250. Aku yang agak hairan dan bertanya kepada tuan rumah. Jawapannya ialah, belakang rumah ini adalah kubur. Aku pun cuba memastikan dengan menyelak sedikit belukar belakang rumah. Kawasan perkuburan Islam yang agak besar berada di situ. Tuan rumah pula menyatakan rumah ini sudah lama tiada penyewa. Ramai yang tidak mahu menyewa di sini. Reject.

Rumah keempat. Rumah yang agak jauh. Kawasan perumahan baru siap. Cantik dan tidak ramai yang masih duduk disitu. Malangnya, masih tetap dengan harga sewa rumah RM 600.

Pencarian selama tiga hari amat memenatkan. Mengapa pula usaha ini begitu sukar. Ujian penyerahan ini begitu mendugakan. Ia betul-betul menguji dan mengukur penerimaan dan penyerahanku. Aku masih mampu mengawal gerak hati dan mulutku dari berlaku keceluparan, lantas merosakkan keyakinanku terhadap penyerahan. Aku masih mengkultuskan penyerahan.

“ Assalamualaikum Ustaz, lama betul kita tak jumpa “ bicara lelaki itu.

Kami memandang sesama sendiri. Siapa pula lelaki ini . Kami tidak mengenalinya. Bagaimana lelaki ini mengetahui kami adalah ustaz, sedangkan kami berpakaian t-shirt, tidak bersongkok mahupun kopiah dan berseluar slack sahaja. Aku sudah merasai kelainan dalam urusan kali ini.

“ Kami datang sebenarnya nak mencari rumah sewa. Lama kami cari tapi tak jumpa “ celah Sufian.

Aku berdiam sahaja.

“ Ooooooo…. Kebetulan pula, sebelah rumah saya ada rumah kosong “

“Ana tolong jaga saja rumah tu. Tuan Rumahnya ada di Kedah “ jelas lelaki itu.

“ Lepas solat maghrib nanti, kita pergi sama-sama menjengah rumah itu ya! “

Aduh, senangnya urusan kali ini. Diselesaikan di dalam rumah Allah. Azan pun berkumandang. Sungguh mudah jika Allah kehendak ia mudah. Aku pun menikmati maghrib dengan khusyuk. Masalah rumah itu sudah tidak membelenggu aku dengan bantuan lelaki itu.

Lelaki itu, aku tidak mengenalinya. Lelaki cukup misteri. Aku melihat kelibatnya sewaktu aku berada di dalam surau selepas mengambil air sembahyang. Jemaah surau berada diluar, seolah-olah menanti kedatangan seseorang. Lelaki itu datang dengan menaiki motorsikal. Ketibaannya disambut. Ramai yang mencium tangannya. Siapakah lelaki ini. Aku hanya memerhati sahaja situasi itu. Ketika lelaki itu menjejakkan kaki di dalam surau, berlakulah perbualan tadi.

Kami berada di rumah itu, selepas menunaikan ibadah solat maghrib. Rumah teres yang selesa. Bersih dan murah sewanya. Cuma RM 250. Berdekatan pula dengan surau. Kami bersetuju untuk menyewa disitu. Confirm. Keletihan kami pada waktu ini memang berbaloi. Kami kembali ke Bangi untuk meneruskan pengajian esoknya.

Setelah seminggu berada di rumah itu. Aku bersyukur kerana penyerahan itu membawa makna padaku. Aku bernasib baik. Allah mungkin menetapkan aku ke Port Dickson kerana akan bertemu dengan lelaki misteri itu. Setahu aku, dia seorang qari. Bacaan al Qurannya memang merdu. Baik dari segi tajwidnya, fasahahnya dan tartilnya. Kadang-kadang aku bertadabbur dengan bacaan lelaki itu. Rutinnya membaca al Quran selepas subuh dan selepas isyak. Maka berkumandanglah ayat-ayat cinta tersebut menyelinap dalam rimbunan kerinduanku.

Aku mulai yakin terhadap penyerahan. Aku dapat mempelajari sesuatu. Perasaan bersalah dan berdosa masih tidak hilang, kerana alpa dengan ilmu dan pesanan guru. Binasa aku kerana mengingkari bentuk-bentuk penyerahan. Aku yakin inilah kebaikan disebalik penyerahan dengan pertemuan bermakna pada seorang lelaki yang bermisteri. Rezeki aku pun murah kerana ada sahaja makanan yang diberikan oleh jiranku. Waktu sarapan dan makan malam adalah waktu mewahku.
Tetapi, tanggapanku ternyata meleset sekali apabila aku menunaikan ibadah Jumaat di masjid Jami’ Port Dickson. Aku kebiasaannya akan mengambil sedikit masa Jumaat untuk duduk beri’tikaf. Sekitar pukul 3 petang barulah aku akan meninggalkan masjid. Aku masih teringin untuk begitu walaupun aku baru berada di Masjid Jami’ Port Dickson.
Aku masih beriftirasyh di bahagian belakang. Gelagat jemaah Jumaat kadangkala mengambil perhatianku. Aku masih bertasbih dan berselawat sepanjang di sana. Tapi, seorang tua yang masih duduk seperti duduk tahiyat akhir menjadi tumpuan ramai. Ramai jemaah yang berpusu-pusu menjengahnya dan mencium tangannya.

“ Siapakah gerangan orang tua itu “ terdetik dihatiku

“ Mungkin orang tua itu bukan calang-calang orang, masakan orang ramai mencium tangannya untuk mendapat keberkatan “

Yang paling menghairankan aku ialah entiti komuniti India Muslim juga mendapatkan orang tua itu dan mencium tangannya. Setahu aku, komuniti India Muslim amat kurang bergaul dalam situasi agamanya dari komuniti melayu kerana fahaman komuniti India Muslim sedikit berbeza dengan komuniti Melayu. Sebagai contoh, kebanyakan mereka beramal dengan mazhab hanafi, maka tidak hairanlah mereka tidak banyak mengikuti pengajian Melayu yang didominasi oleh pengikut syafieeyyah. Mereka mempunyai guru mereka, dan mempunyai wali dari kalangan mereka sendiri. Jika ada orang alim dari kalangan melayu yang dapat menarik perhatian mereka untuk mendapat keberkatan atau menjadi pengikut yang tegar nescaya orang tersebut mempunyai karamah atau kedudukan yang tinggi sehingga dapat memecah tembok pemisah tersebut. Orang tua tersebut adalah salah seorang itu.

Orang tua itu masih berada disitu dan duduk di situ secara iftirasyh dalam waktu tempoh yang lama, walaupun aku sedang keluar dari masjid ketika jam menunjukkan pukul 3.30 petang. Persoalan itu telah mengheret aku ke kancah persoalan demi persoalan.

“ Cikgu kenal tak dengan orang tua yang asyik duduk iftirasyh di Masjid Jami’ “ soalku pada Cikgu Khairul yang mengajar matapelajaran Kemahiran Hidup di SDASA.

Mungkin jawapan itu aku akan dapatinya melalui Cikgu Khairul kerana lagak Cikgu Khairul yang berjanggut , berkopiah dan sentiasa berbincang soal agama denganku menambah keyakinanku untuk mendapat jawapan darinya.

“ Orang tua yang enta maksudkan itu ialah tuan guru ana tu “ beritahu Cikgu Khairul

“ Oooooooo….ye ke ! “ aku terkejut

“ Siapakah nama tuan guru cikgu ? “ soalku

“ Syeikh Abdullah Sijang “ jawabnya pendek

Syeikh Abdullah Sijang adalah kawan baik kepada Syeikh Ahmad bin Muhammad Said al Linggi. Mufti pertama N. Sembilan. Beliau di antara ulamak yang cukup digeruni di Negeri Sembilan. Mahir dalam ilmu feqh dan tariqah. Beliau mengamalkan toriqah Ahmadiyyah. Kehadiranku dalam majlis zikir di Masjid Jami’ pada setiap malam rabu amat mengujakan. Kehadiran ikhwan yang ramai dan zikir penuh bertenaga. Paling menarik minat aku ialah apabila Syeikh Abdullah Sijang membahaskan hikam. Beliau menghafalnya dan menerang pengertiannya dengan penuh ketelitian.

Penyerahan itu mempertemukan aku dengan seorang tuan guru yang hebat di alam melayu. Aku sangkakan aku dikurniakan pertemuan dengan lelaki misteri yang menjadi jiranku, malah Allah menambah nikmatku dengan pertemuan dengan seorang yang alim. Allah berfiman : “ Setiap sesuatu itu ada sebabnya “ ( Li kulli syai in sababa ).

Allah sudah merancang pertemuan ini. Allah ingin mempertemukan aku dengan seorang yang alim. Allah telah menyelamatkan aku dari tipuan dunia ini. Daripada kesibukan duniawi kembali kepada kesibukan ukhrawi. Malah nikmat seorang guru itu lebih baik dari seisi dunia. Aku bersyukur disebalik penyerahan.

Penyerahan pula memerlukan kesabaran. Allah berfirman : Seandainya kamu bersyukur, maka aku tambah dengan nikmatku. Sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azabku teramatlah pedih(la in Syakartum la azidan nakum, walain kafartum inna azabi lasyadid ).

Tuan Guruku ada berkata : ‘ Serahlah, pasti kamu selamat ! ‘ ( Aslim taslam ). Islam itu bererti penyerahan dan kesejahteraan. Bagi yang menyerah pasti beroleh kesejahteraan. Menyerah pada ubudiyyah, menyerah pada qada, pada qadar, pada cinta dan pada segala-galanya.

Allah berfirman : Ada yang kamu benci itu, sebenarnya baik untuk kamu. Ada juga yang kamu suka itu adalah buruk untuk kamu .

Menyerahlah !

2 ulasan:

  1. Promotional clothing Abercrombie and Fitch for sale or Abercrombie as a gift, will always be beneficial to Abercrombie Sale any business. This is Cheap Abercrombie a great way to impress consumers Abercrombie outlet and grow brand loyalty abercrombie Jeans and popularity. This is a quite flawless form of marketing. Your imprinted Abercrombie Pantslogo provides instant recognition. Abercrombie Tees These eye-catching articles of clothing are a foolproof way to increase profits and a cost Abercrombie Shorts effective form of marketing. Some use this plan to earn profits and then save them for future expenses. Abercrombie Sweaters You can get a huge range of promotional gifts or other promotional items on It is encumbered with a wide range of designs, styles and colours of assorted promotional items. These items can be used as promotional gifts and resourcefully distributed to the target customers to have a long lasting impression on them and make a huge profit in exchange.

    BalasPadam
  2. askm...boleh sy tahu dimana ada pengajian2 yg bersanad di sekitar lumut perak?dan sy bminat utk mngikuti pengajian2 para masyaikh disini///

    BalasPadam