Ahad, 22 November 2009

Selawat


“ Ustaz, apa kata kita bermalam di balad, nak tak ? “ aku membuat cadangan kepada Ustaz Shahrol.

“ Kita tak pernah berada di Amman pada waktu malam “

“ Mungkin meriah kot “ Aku masih memujuk Ustaz Shahrol.

“ Tapi, nak tidur kat mana ? “ Ustaz Shahrol

“ Alaaa…kita tidur aje dekat hotel-hotel murah dekat balad tu “

“ Kalau susah sangat kita tidur aje dekat rumah zakuan “

“ Takkan la zakuan tak bagi “ Jelas aku. Aku berkeras mahu mengajak Ustaz Shahrol untuk pergi bermalam di Amman.

“ O.k jugak tu, tapi bila nak pergi ? “ sekali lagi Ustaz Shahrol menyoal.

“ Ana cadang, hari Isnin” cadang aku

“ Tayyib , ittafaqna “ setuju Ustaz Shahrol

Sudah lama aku terfikir untuk melihat suasana malam di Amman. Tentu meriah kehidupan malam, dibandingkan dengan kehidupan malam di Mu’tah.

Sekarang cuti fasal soifi. Ramai yang kembali ke Malaysia atau pergi mengembara. Tapi , aku dan Ustaz Shahrol hanya menghabiskan masa kami bertalaqqi sahaja. Peluang yang ada ini, aku teringin untuk merasai setiap detik yang berbeza dari kebiasaanku.

Malam sudah tentu berbeza dari siang. Ada orang tertentu tertarik dengan siangnya. Malah ada yang tertarik dengan malamnya. Ada yang bekerja pada waktu siang. Ada juga bekerja pada waktu malam. Malah ada yang bekerja siang dan malam.
Mereka yang berkerja pada waktu malam, sudah tentu sedikit. Pengorbanan mereka sudah tentu banyak.

Habis dari satu blok ke satu blok kami menjelajah. Sedar tak sedar kami sudah agak jauh dari balad Amman. Kami jumpa kedai yang tak pernah kami jumpa. Kedai ikan dan haiwan. Kedai kasut bundle Nike yang masih cantik. Mc donalds. Satu-satunya di Jordan. Kami sempat menikmati beberapa hidangan buat pengubat rindu .

Aku juga berjaya menjejakkan kaki ke masrah Amman. Bangunan Rom Teater yang masih tersergam indah dan kukuh. Aku melalui terowong , laluan dan memanjat beberapa batuan. Menikmati aiskrim dimalam hari di musim saifi, sambil menikmati pemandangan yang indah cukup mengujakan.

Balad Amman tidaklah terlalu besar. Bandar untuk golongan bawahan dan miskin membeli belah. Barang bundle memang cukup banyak. Itulah syurga mereka untuk menikmati pakaian-pakaian baru. Aku dan pelajar Malaysia yang lain turut mengambil peluang untuk bersama-sama menikmati syurga tersebut.

Golongan kaya di Jordan hidup berasingan. Mereka menghabiskan masa di Syimsani dan Ajloun. Di sana terdapat pasar raya yang mewah-mewah, kedai makanan dan restoran berjenama. Aku pernah ke sana. Tapi tidak pada waktu malam. Mungkin lain kali aku ke sana.

Kami pulang dengan mengikuti jalan yang lain. Jalan belakang. Kadang-kadang gerun juga. Gelap. Mungkin ada perompak atau peragut. Jadi kami memilih jalan yang tidak jauh dari jalan utama. Berjalan-jalan dibalad Amman tak ubah seperti menikmati bangunan-bangunan bersejarah. Amman sudah popular sejak dari keagungan Hieorpolis. Masakan ia termaktub di dalam al Quran yang mengisahkan tentang ashabul kahfi. Kegemilangannya telah membina sebuah ketamadunan. Jesteru itu, tidak hairanlah bagi pengemar sejarah menggeledah ibukota Amman ini.

“ Ustaz, enta dengar tak suara tu “ sapa aku pada Ustaz Shahrol.

“ Ya, suara apa ya ? “ celah Ustaz Shahrol

“ Jom cari jom ! “ desak aku.

Aku menyelusuri tembok-tembok itu. Suara itu seperti berpunca dari tembok. Tembok itu yang melebar memanjang . Agak jauh juga aku mencari punca tembok itu. Suara. Suara itu pula seperti bunyi lebah yang bergelandangan. Makin lama ia makin jelas. Apakah di tengah kota ini ada yang membela lebah.

Akhirnya aku bertemu punca tembok tersebut. Aku keluar dari lorong kecil itu dan dapati tembok itu ialah dinding masjid Husein di balad Amman. Memang patutlah tembok itu panjang, masjid rupanya. Aku terus menjengah hadapan masjid.
Manusia berkerumun seramainya dipintu masuk masjid.

“ Ada apa di masjid ? “ Getus hatiku.

“ Aku mesti menyaksikannya “ Nekad hatiku.

Pintu utama masjid ditutup. Dijaga oleh seseorang. Ramai yang tidak dapat masuk. Aku mula menyelinap diantara kerumunan manusia itu. Usahaku berbaloi. Aku berada dipintu utama. Penjaga itu membuka pintu untukku. Entah mengapa, bila dia melihat wajahku, dia segera membukakan pintu untukku dan menjemputku masuk. Bagiku inilah peluang yang luarbiasa yang tidak semua pelajar Malaysia di Jordan dapat menikmatinya. Amman hanya kota bundle bagi lelaki dan jubah indah-indah bagi akhawat. Tidak lebih daripada itu.

Lelaki-lelaki itu berpakaian serba putih. Aku terpegun melihat mereka duduk mengelilingi seorang tua sambil berselawat pelahan. Namun suara yang menderu dari jumlah yang ramai itu tidak ubah seperti bunyi lebah yang bertebaran menjaga sarangnya. Aku kaku.

Kemudian mereka mula berdiri dengan arahan Tuan Guru. Mereka mengerakkan badan mereka seperti ditiup lalang dengan mengikut irama dari bacaan qasidah yang dinyanyikan oleh munsyid. Irama itu sungguh merdu. Suara itu menusuk kalbu. Bunyi-bunyi seperti hembusan angin berterusan bersama melodi ketuhanan itu.

Aku manangkap erti dari beberapa rangkap bacaan tersebut. Burdah memuji nabi itu betul-betul menikam latifah aku ini. Seolah-olah semuanya terletak betul dalam suasana itu. Tegak mereka berdiri, meliuk mereka menari, bunyi hembusan teratur, rentak rancak dan lembut bertingkah meningkah, melodi dan irama mengiringi bersama. Seolah-olahnya satu.

Aku biarkan rohani aku bersama mereka. Menikmati alunan sama’ itu sejenak bersama mereka. Paling menakjubkan apabila si munsyid mengalunkan ghazal rabbaniyyah. Suara yang dilontar amat jelas dengan lagu-lagu nahwand dan hijazi silih berganti. Berdetak – detak dan berdebar-debar hati aku apabila melintasi setiap bait rangkap ghazal tersebut. Menakjubkan.

Namun, hatiku masih bertalu-talu memikirkan dalil mereka berbuat demikian. Yalah, budaya berzikir sebegitu memang tiada dalam masyarakat melayu. Adakah ia berasal dari sunnah atau tidak? Aku yang memang terdidik dengan suasana feqh akan pasti membentak jika perlakuan yang menyalahi sunnah. Sehingga Tuan Guru, menamatkan hadrah itu, aku masih belum boleh menyakinkan diriku dengan sebarang dalil untuk perlakuan tersebut.

Majlis malam itu, tidak terhenti di hadrah tetapi diteruskan dengan pengajian kitab Iqazul Humam fi syarah al Hikam, karangan sidi Ibn Ata’illah askandari. Tuan Guru duduk di tempatnya. Kagum aku dengan ketrampilannya. Wajahnya memancarkan gambaran seorang yang taatkan Allah. Ketenangannya membayangkan keimanan yang tebal dan ilmu yang memuncak.

Aku yang memang ingin mencari ilmu tidak segan untuk duduk dihadapan. Tuan Guru menghamburkan segala ilmu buat kami malam itu. Tapi, aku masih tidak tenang kerana aku belum memperoleh dalil yang muqni’ untuk mengamalkan hadrah.

Seketika itu, Tuan Guru memandang ke arahku. Tepat ke wajahku. Pandangan matanya tajam. Kemudian dia memandang wajah jemaah yang lain. Tuan Guru menutup buku Iqaz. Ia berlaku didepan mataku. Tuan Guru tidak lagi membicarakan tentang ibarat dan isyarat dari kitab Iqaz, tetapi Tuan Guru mulai membicarakan dalil-dalil hadrah.

Kadang suara Tuan Guru agak meninggi apabila beliau mengkritik kepada orang yang mempertikaikan hadrah tanpa usul dan periksa. Kadangkala suara tuan guru merendah apabila ia merujuk kepada ayat al quran dan hadis Rasul.

Penjelasan Tuan Guru amat mantap. Aku cukup berpuas hati. Ia amat berkesan sekali kepada pengukuhan ilmuku. Sesekali Tuan Guru akan memandang kepadaku. Apabila Tuan Guru sibuk memperincikan dalil, setiap kali itulah hatiku terasa direntap-rentap.

“ Tuan Guru ni, macam boleh membaca fikiranku “ getus hati kecilku

“ Adakah Tuan Guru berhenti mengupas Iqaz dan beralih ke dalil kerana keraguanku “

“ Aku rasa yelah, Tuan Guru asyik memandang kea rah aku aje “ aku membuat persepsi.

Sekarang, aku masih mengamalkan hadrah. Pertemuanku dengan tuan guru telah mengurniakan aku dengan amalan para salaf al soleh dan orang-orang salihin. Aku tidak ragu lagi. Malahan safarku bertemu dengan para alim dari seluruh dunia mengukuhkan keyakinanku mengenai pengamalannya.

Bila aku mengkhatamkan beberapa kitab yang ada membicarakan tentang hadrah seperti : Kitab al Ta’yid a’la thoriqah syaziliyyah yang ditulis oleh Imam al Sayuti, al Intisar a’la thoriq al Sufiyyah karangan Syeikh Abdullah bin Siddiq al Ghumari, al Mausua’h al Yusufiyyah fi adillatis Sufiyah yang ditulis oleh Syeikh Yusuf, al Fatawa al Hadithiyyah oleh Imam Ibnu Hajar al Asqolanie dan lain lain lagi, ku jamah dengan lahap perbahasan mereka sehingga hadam kupasan mereka. Aku rasai kenikmatannya. Aku tidak ingkar lagi. Orang tidak merasai kenikmatannya melainkan bagi mereka yang sudah merasainya.

Setiap kali aku mulai hadrah, pasti aku mengingati saat-saat itu. Saat pertemuan itu mencerahkan seluruh jalan hidupku. Mulai hari itu, aku menjadi salah seorang murid yang taat kepada Syeikhku, Syeikh Abdul Karim al Urabie. Sepanjang aku bersamanya, Tuan Guru masih menjelaskan Iqaz dan tuan guru tidak mengulangi penjelasan mengenai dalil-dalil hadrah seperti mana yang berlaku pada malam itu. Tuan Guru sama sekali tidak mengulanginya.

“ Allahumma solli a’la sayyidina Muhammadin Nurizzati wassirri sari fi sairil asma I wassifat “”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan