Sabtu, 14 November 2009

Setiap kejadian memberitahu sesuatu…



Semalam, Majlis Graduasi pelajar-pelajar tingkatan 5 berlangsung. Masing-masing berwajah girang walaupun keputusan belum terzahir. Entah lulus, entahkan tidak. Entah gemilang, entahkan terlungkup. Tapi, bagi aku dan barisan para guru, melaksanakan tugas ini yang dianggap sebagai motivasi buat mereka. Manalah tahu, semangat membaca menjadi kesurupan mereka. Berubah dengan sekelip mata, sekaligus dipancarkan hidayah dan mengubah angka-angka dan huruf-huruf yang bakal tertera di atas kertas keputusan mereka.
Begitu jugalah yang pernah aku alami. Dengan sedikit perubahan dihujung detik imtihan, menjadikan aku di antara yang terpilih untuk menjiwai kecemerlangan.Semoga usaha sedikit ini, menjadikan ia sebagai ganjaran besar. Harapan dan doa bertalu-talu membibit agar mereka berubah dan mengubah. Berubah sikap mereka dan mengubah dunia ke pada yang lebih baik jika mereka berjaya satu hari nanti.
Inilah dia, jiwa-jiwa seni yang wujud dan baqa di hati para pendidik. Berjiwa murabbi, agar kehidupan manusia benar-benar terisi dengan segala peruntukan yang telah diberi oleh Allah.
Tetapi, amat melucukan. Anak-anak muridku boleh tersenyum dengan penuh keriangan. Semacam pesta muda mudi. Bergambar tidak keruan. Kerlip-kerlip lampu berkamera tidak putus-putus membadai tubuh-tubuh untuk dirakamkan dalam sebuah memori.
Bisikan-bisikan yang menghentam kepala otak budak-budak ini menjadikan mereka begitu gila dan teruja dengan program ini ialah kata-kata:
“ Inilah peristiwa yang patut kamu kenang! Ia persis seperti konvo di universiti.”
Kata itu menyebabkan hatiku terpalit rasa kelakar yang bersalut keanehan.
Semasa aku belajar bahasa arab dahulu, subjek balaghah adalah yang paling susah bagi sekelian manusia. Samada melayu atau arab itu sendiri. Baik yang betakhasus arab dan sastera, apatah lagi syariah.
Dalam balaghah ada satu perihal yang membincangkan perkara tasyhbih. Dalam terjemahan melayunya ialah penyerupaan. Sesuatu benda diserupakan dengan benda yang lain. Maka terdapat rukun yang perlu diteliti sebelum bertasyhbih.Musyabbah, musyabbah bih, adat tasyhbih dan wajah syabah. Namun yang pentingnya ialah wajah syabah, kerana jika perkara yang diserupakan tidak sama dari sudut wajah syabah, maka terbatallah tasyhbih tersebut.
Bila dikaitkan dengan konvo, pada aku terbatallah tasyhbih tersebut. Mahsulnya bebudak ini pun gembira sakan sebab di tasyhbihkan dengan konvo. Majlis Graduasi, tentunya tidak sama. Ini adalah kerana konvo ialah mereka yang meraikan keputusan mereka dan habis sesi pembelajaran di universiti. Majlis Graduasi, budak pun belum ambil SPM. Dah suka sakan, rasanya macam dah habis periksa. Entahlah, apa yang mereka fikirkan.

________________________________

Ketika pulang dari mengerjakan haji widak. Maka turunlah ayat al Quran yang mafhumnya (( Hari ini aku lengkapkan pada kamu, agamamu. Dan aku sempurnakan ke atas kamu segala nikmatku…))
Bergembiralah sekelian sahabat, apabila Rasulullah menyampaikan ayat tersebut kepada mereka. Agama telah sempurna. Ia adalah satu kemenangan. Kemenangan mutlak kerana telah diwahyu oleh Allah.
Namun, di sana terdapat beberapa orang sahabat yang berfirasat. Pandangannya tajam dan tepat. Hasil dari penjanaan akal fikiran yang telah taja oleh Rasulullah sendiri.
Mereka berlawanan dari kebanyakkan sahabat. Mereka menangis mengantikan gembira. Mereka sedih mengantikan tawa. Kerana mereka faham dengan sebarang kata. Jiwa mereka amat halus. Mereka jelas dengan erti disebalik peristiwa. Itulah anugerah yang tiada pada kebanyakkan orang.
Malah, bila ditanya, mengapa bersikap sedemikian. Tiada tawa, mahupun senyuman. Hanya beralaskan tangisan bersendu sedan. Maka, dijawabnya: jika ayat itu dibaca bererti kita akan merasai kehilangan. Kehilangan pada yang tercinta. Yang kami panggil Saidina. Yang kami panggil muallim. Iaitu diri baginda s.a.w.
Tugas baginda sudah selesai dengan lengkapnya sebuah ajaran. Itulah sebuah petanda bagi sebuah pemergian. Ditangisi sebelum pergi. Oleh jiwa-jiwa yang bersendikan seni. Kehalusannya membaca pada sebuah kejadian. Setiap kejadian memberitahu sesuatu…
______________________________
Begitu jugalah bagi mereka yang memerhati disebalik setiap tindakan dan kejadian. Apakah maksud disebalik Majlis Graduasi? Itulah yang pelajar-pelajar aku ketandusan. Memahami dan memerhati.
Kepada anak-anak muridku. Inilah konklusi yang dapat aku simpulkan. Buat kalian perhati dengan itqan!
1. Itu tandanya kalian hanya tinggal beberapa hari lagi untuk menghadapi SPM. Persoalan sebenarnya, adakah kalian benar-benar sudah bersedia ?
2. Kalian akan meninggalkan alam persekolahan dan menuju alam dewasa yang penuh dengan mehnah dan tribulasi dalam hidup.
3. Kalian sudah tidak lagi akan dikawal selia, semuanya dibawah pertimbangan kalian. Keputusan yang dibuat, tindakan kalian dan lain-lainnya, tiada lagi bimbingan secara terus dan khusus daripada guru.
4. Kalian tidak lagi diiktiraf juvana bahkan kalian menjadi hukum kepada sivil seperti yang lainnya. Tiada lagi keistimewaan buat kalian.
5. Lepas ini, kalian akan pergi belajar ke tempat yang lebih tinggi dan susah. Tabahkan diri!
6. Lepas ini kalian akan bekerja bukan lagi belajar.

Jadi perhatikanlah. Sesuaikan diri kamu dengan suasana, ruang tempat dan siapa. Gunakanlah apa yang kalian pelajari di sekolah dari yang baik-baik itu dalam kehidupan kalian. Dan ada satu lagi yang sepatutnya kita tahu, apakah maksud disebalik Majlis Graduasi ini ialah, yang ketujuh iaitu:

7. Cuti sekolah dah dekat.
Hahhahahaa…tak sabarnya aku nak bercuti. Boleh baca buku, pergi belajar, ziarah ulamak, berehat dan lain-lain lagi. Jom! Selamat bercuti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan