Rabu, 18 November 2009

Tiga kisah plus satu cerita




Kisah pertama

Musim itu ialah musim internet. Sejak internet baru diperkenalkan di Mu’tah, berbondong pelajar-pelajar kita mengusai ruang cyber café, sama ada milik orang arab atau orang melayu. Ustaz Misbah. Itulah nama tuan punya cyber café orang melayu.
Tak kira berduit atau tak berduit. Layan aje. Kadang-kadang berjam bertenggek dekat cc. Yang cukup terkenal masa itu ialah MIRC. Berpulun mereka menaip untuk menambah kenalan. Malah tak kurang juga berhujjah atas nama dakwah. Tapi kadang-kadang hasilnya ialah zaujah.
Aku juga turut mewarnai perkembangan internet masa itu. Atas nama perjuangan aku turut serta. Mulanya aku terjebak dan meragut waktuku dan jadi seperti mereka.
“ Kenapa pakai nick syeikh ?” soal teman chattingku.
“ Syeikh bermakna orang tua dan juga digunakan pada istilah tertentu. Seperti menghormati seseorang kerana ilmunya, atau pangkatnya atau apa sahaja” jawabku selamba.
“ apa dalilnya ? “ dia menyoal lagi.
“ Hai! Itu pun nak berdalil ke?” tukasku dalam hati
“ Entah, entah, dia ni pun wahabi jugak kot “ aku membuat sangkaan.
“Bukan setiap benda memerlukan dalil naqli. Kadang-kadang sudah mencukupi dengan aqli dan hukum adat sahaja. Begitulah yang di ajar ulamak kita “ bicaraku.
“ Huh… bid’ah “ ujarnya
Berderau darahku. Capang pula telingaku, apabila mendengar suara bernada sinis itu.
“ Semua benda yang tak disandarkan kepada dalil adalah bid’ah. Bid’ah pula masuk neraka! “
Bicaranya menikam-nikam dadaku. Tapi aku cuba menahan amarahku dan bertindak lebih ilmiah dalam perbincangan sewajarnya.
“ Tak semua perkara berhajat kepada dalil yang merujuk kepada sesuatu perlakuan secara khusus “
“ kadang-kadang ia sudah difahami dengan fahwal kalam” aku membalas.
“ Apa pula dalilnya ? “ tegasnya.
Berangku memuncak. Tapi aku kena adil dalam perkara ini. Kepalaku pusing memikirkan jalan keluar untuk memberi kefahaman kepada budak ini.
“ beginilah, kalau kau dapat bagi dalil bagi setiap perlakuan yang aku beritahu, maka aku akan bersetuju dengan kau ! “ aku memberi pendapat.
“ O.klah” balasnya dengan yakin.
“ Aku nak dalil bagi membolehkan berak!”ujarku
“ Kalau kau tak dapat bagi dalil secara khusus, lebih baik kau jangan berak. Tapi kalau kau berak jugak, kau dah buat bid’ah dan masuk neraka!” tegasku.
“ Ermmm…ermmm…” jeda
“ Aku bagi kau tempoh 5 minit untuk menjelaskan kepada aku “ pintaku.
5 minit berlalu tanpa sebarang jawapan. Masa bertukar menjadi 7 minit dan 10 minit. Aku masih menanti.
“ Macam mana? Sudah ada jawapannya ? “ soalku
Jawapannya masih sama seperti tadi.
“ Ermmm…ermmm..ermmm “
“ Beginilah, biarlah aku jawap.”aku menganjur.
“ Jawapannya ialah daripada hadis istinjak…”
“ Kalau nak istinjak mestilah berak dulu, macam mana nak istinjak kalau tak berak ! “ aku pantas menjelaskan.
Aku membasuhnya, agar lebih berhati-hati dalam kata-kata. Kadang-kadang yang kita sangka ianya ilmu, sebenarnya hanya sebuah prasangka. Kadang-kadang yang kita sangka ianya adalah kebenaran, tak ubah hanya sebuah pemalsuan. Kadang-kadang yang kita sangka ianya berlian, hanya sebuah kaca.
Perbincangan kami menjadi lebih kedap. Aku lebih ingin berbincang tentang tahlil, talqin, talaffuz dan lain-lainnya, agar kami lebih faham dengan perkara yang sebenarnya. Tapi, semenjak soalannya dibalas akhirnya ia beransur pudar dan meninggalkan aku diruang cc tanpa perbahasan.
Berapa ramai yang tertipu dan terkeliru, dengan apa yang mereka sangka.


Kisah kedua.

Muzakarah itu dibalas. Mereka juga berhajat untuk membicara tajuk yang sama tapi dari sudut pandangan mereka. Majlis menjadi hangat dengan soal berbalas soal. Satu demi satu dijawab. Tidak cukup dengan ahli panel dari kalangan pelajar Malaysia, mereka menjemput ahli panel jemputan dari Pattani yang sefikir dengan mereka.
Walaupun diasak demi asakan, majlis itu berjalan dengan lancar. Begitulah pembudayaan ilmu dalam kalangan intelektual. Perselisihan hanya pada ilmu tetapi tidak pada emosi.
Tetapi aku memang sedikit hairan. Seringkali, jika mereka yang memberi pandangan songsang dari arus perdana dianggap sebagai perbahasan ilmu. Mencipta budaya tajdid dan ijtihad. Maka dihias seperti positif.
Bila cabaran budaya ilmu itu disahut. Di ajak untuk perdebatan bagi menyaring fahaman songsang dari arus perdana dan menyemarakkan budaya ilmu dengan meresapi tajdid dan ijtihad tajaan mereka, dihias pula dengan gambaran negatif. Seperti kamilah pencetus kepada perbalahan dan huru hara dengan perbahasan tersebut. Tidak pula kami disebut sebagai penyubur budaya ilmu. Yang nampak seakan kami punca perbalahan pula.
Hairan aku dengan cara ini. Persis yang berlaku seperti pergolakan politik dizaman khulafa dahulu. Yang benarnya ialah Saidina Ali, tapi kini dengan kepakaran yang dieksploitasi seolah-olahnya kebenaran tidak berpihak kepada Saidina Ali. Apakah kewajaran dari konsep seperti ini?
Majlis berlanjutan pula bila usai. Aku dan beberapa orang menjejaki panel sampai ke bab raiesi Universiti Mu’tah. Masih ada soalan yang berbaki. Masing-masing masih berbuku jika soalan masih tidak dapat dituju.
Aku pula sekadar ingin mengenal mereka.Membuntuti mereka, sambil-sambil mendengar buah butir yang mereka bincangkan. Tapi, kadang-kadang aku teruja juga untuk menyoal tentang pendirian mereka.
“ Apakah betul kamu mengambil ayat mutasyabihat secara haqiqat? “ soalku.
“ Ya ! “ balas panel dari Pattani itu dengan yakin.
“ Maksudnya, kamu tidak menerima majaz langsung “ soalku kembali untuk kepastian.
“ Ya! “ jawabnya pendek.
“ Sekali lagi ana soal ni! Enta maksudkan tangan Allah seperti tangan ana ini secara haqiqat, itu yang enta maksudkan ?!!” aku mula bernada tegas sambil mengarahkan jari menunjukkan tangan aku.
“ Ya ! “ dia menjawab.
“ Astaghfirullahal azim “
Kaget. Mulutku tak terhenti kalimah istighfar dan aku laungkan dua kalimah syahadah buat benteng iman diriku ini. Aku sudah berhadapan dengan kebanyakan salafi atau wahabi, tetapi tidak seperti ini yang terlalu tegar dengan kewahabiannya. Utuh sehingga begitu sekali ujarannya.
Kali ini aku menjazamkan diriku, dari apa yang aku pandang dan dengar. Aku sering menyangkal secara logik dari apa yang aku baca tentang wahabi. Jesteru ia berlaku di depan mata, ia melunaskan segala sangka baikku terhadap mereka.
Aku pernah terbaca satu artikel dalam blog seorang teman aku. Dia menyatakan bahawa kenangan dia berada di Jordan diakhir 90an adalah pahit hasil dari perbincangan hebat tajuk ini.Itu sekadar persepsi dia sahaja.Dalam suasana wacana ilmiah diruang universiti, perselisihan boleh sahaja berlaku.Dia menyandar kepada negatif kerana kejadian itu tidak memihak kepada salafi. Bagaimana pula sebaliknya. Ia pasti menjadi positif, dengan kata kunci perubahan dan perkembangan ilmu. Maka mereka berslogan pula “Masyarakat sudah terbuka pemikiran”. Seolah mengambarkan kami ini jumud. Bagi aku, ia tidaklah sepahit itu. Aku berfikiran positif. Tapi, aku sudah mendapat kepastian lewat kejadian ini.


Kisah ketiga

“ aku memang tak puas hati ! “ aku menghentak meja.
“ kau jangan bernada tinggi ejai. Kalau kau nada tinggi, aku pun boleh bernada tinggi ! “ Radhi membalas.
Aku beristighfar. Mencari ketenangan dalam kebuntuan.
“ Aku bukan apa Radhi. Kalau diaorang caci aku tak apa “
“ Tapi, kalau diaorang caci tuan guru aku. Itu yang aku tak boleh tahan”
“ Apa bukti diaorang nak tuduh tuan guru aku syiah pulak! “
“ Dia orang pun tak pernah aku tengok datang berjumpa dengan tuan guru aku, tapi seronok aje dia orang cakap macam itu.”
“ Kalau aku pulak tuduh tuan guru dia orang, macam mana? “ aku berleter sambil menjawab.
Radhi hanya mengangguk sahaja. Radhi memang baik orangnya. Seorang haraki berjiwa sufi. Memahami dan menyelesaikan masalah. Bukannya menambah masalah.
“ Aku tahu, kalau apa yang Sayyid Hasan katakan adalah dalam ruang lingkup keintelektualan itu sendiri “
“ Oleh itu, dia berhak untuk mengeluar apa sahaja yang dianggap benar “
“ Cuma kita sahaja, sebagai tholib ilmu mestilah meraikan perselisihan mereka “ bingkas Radhi.
“ Aku setuju !Bila Ibnu Taimiyyah, mengeluar pendapat yang kontroversi dan menyalahi dari jumhur, malah ijmak itu sendiri. Mereka menyuruh kita berbaik sangka.”
“ Malangnya, kaedah itu hanya bentuk pengkultusan terhadap beliau, kerana ianya tidak diamalkan untuk keseluruhan ulamak “
“ Oleh sebab itu, guru aku tidak mendapat sangka baik mereka, bahkan menuduh tuan guruku dengan tohmahan syiah ! “
“Bila nak guna baik sangka, gunakanlah untuk keseluruhannya” pintasku lagi.
Ruang dialog antara aku dengan Radhi, berakhir dengan keputusan yang disepakati. Aku dapat meluahkan perasaanku yang tidak berpuas hati.Kekeruhan itu dijernihkan semula.
Senario tohmahan syiah terhadap para ulamak, sebenarnya sudah diamalkan begitu lama dengan bertujuan untuk menjatuhkan ulamak al a’milin. Berapa ramai ulamak yang dituduh syiah dan akhirnya mereka tersungkur dalam perjuangan mereka.
Satu strategi mudah dan ringkas. Tapi, hasilnya memang berbaloi. Imam Abu Hanifah, Imam al Nasaie, Imam al Syafie, Imam Abdul Bar, Imam Darqutnie , Ibnu Ishaq dan ramai lagi. Termasuklah guruku turut menjadi mangsa tohmahan tersebut. Keceluparan apakah yang menjiwai mereka sehingga sanggup bertindak demikian.
“ Maafkanlah aku ejai! “ nyata Radhi.
“ Aku sudah membela engkau, ternyata mereka mempunyai kuasa “
“ Aku terpaksa akur “ beritahu Radhi.
Aku tersenyum mendengar kata-kata Radhi. Sedikit pun tidak menyentak qalbuku. Aku sudah mengagak apa yang bakal berlaku.
“ Mereka telah buang kau dari jadi naqib usrah“ beritahu Radhi.
“ Apa alasan mereka ? “ aku memintas.
“ Kata mereka untuk menggelakkan perpecahan. Konsep ilmiah yang kau anjurkan itu ditolak mereka “ Radhi menjelas.
Aku membalas penjelasan Radhi dengan senyuman. Sebenarnya bukan ilmiah yang ditakuti, tetapi lebih dalam bentuk mencegah dari pengaruh yang dianggap negatif oleh puak itu dari tertebar. Aku sendiri hairan, bagaimana pencerahan ilmu dianggap sebagai negatif.
Menjadi naqib usrah, bukanlah bukanlah mudah di bumi Mu’tah. Usrah disini bagai kembang tak jadi. Dengan kepelbagaian pemikiran disini dan kontroversi saf kepimpinan, menjadikan jutaan alasan untuk membenam keberhasilan usrah.
Sebelum aku dibuang , aku sudah pun mengasaskan kumpulan diskusi buku. Disitulah kami mencurah ilmu secara aktif. Buku-buku dibedah untuk membudayakan ilmu. Aku tidak perlu usrah untuk itu. Pejuang mesti terus berjuang walau ia terbuang. Perjuangan ini kerana kebenaran. Perjuangan ini kerana Allah. Menggembalikan nafar yang keluar untuk berjihad dijalan ilmu, berada dilandasan dan sasarannya.
Matlamat aku tidak akan dapat dihalang oleh sebarang dakwaan. Aku tidak putus asa dengan hentaman-hentaman mencemar. Biarlah mereka. Aku masih meneruskan usahaku. Kepada Allah aku berpaut.
Aku membina usrah aku sendiri. Mengajak tanpa henti kepada mereka yang diatas pagar. Agar mereka memahami keperluan berjamaah dan teras mengupayakan izzah Islam. Mereka bersama dengan aku dan aku berjaya merasionalkan mereka.
Hari ini, kumpulan itu disekat dari pengembangannya. Mereka jelas berteriak atas nama tajdid dan ilmu. Seperti aku dahulu. Tapi bezanya ialah, dahulu mereka menyekat. Hari ini mereka disekat. Mereka mengusung keberangan dengan apa yang pernah mereka praktikkan. Adilkah mereka ?


Plus satu cerita

“ Kita mesti berbai’ah, kerana bai’ah ialah ketaatan kepada menegakkan kebenaran “ Ustaz khairi ( bukan nama sebenar ) bersemangat membakar jiwa-jiwa muda yang terkontang kanting seperti aku.
Aku masih binggung. Tiba-tiba sahaja aku di ajak oleh teman serumah aku ke rumah kubor. Aku menuruti mereka. Rupa-rupanya, disana ada majlis bai’ah. Pemuda-pemuda hebat pada ukuran aku. Mungkin ilmu mereka, syaksiah atau apa sahajalah. Aku, yang masih kerdil dibumi syam, masih terpinga-pinga.
Kami berpegangan tangan dan merapatkan saf. Ayat- ayat bai’ah diucapkan. Pejuang-pejuang agama mengungkapkan bai’ah dengan penuh semangat. Membakar.
Sementara aku, masih bingung. Persoalan demi persoalan, ligat dalam fikiranku. Perlukah aku?. Bagaimana sekiranya aku mungkir ? dan bermacam-macam lagi. Aku sebenarnya tidak mengenali dengan jemaah. Aku masih kusut.
Aku memerhatikan setiap wajah dengan tajam. Memerhatikan riak wajah mereka. Mungkin aku boleh membaca sesuatu. Ya ! Mereka begitu bersemangat. Terutamanya Ustaz Khairi yang mengetuainya. Tapi, aku masih belum boleh merasai kehangatan jiwa perjuangan dalan titip bai’ah yang mereka tempikkan. Tulikah aku? Hitam ke jiwaku?
Peristiwa itu mengheret aku untuk menyelami perjuangan jemaah. Jika mereka benar dimakah kebenarannya. Jika mereka salah, apakah yang mendalanginya.Aku sering membuat kajian. Memperbanyakkan pembacaan. Bertanya kepada yang wajar. Membuat perbandingan. Mentelaah bahan rujukan sehingga aku benar-benar pasti dengan jawapan tanpa keraguan.
Akhirnya aku membuat keputusan. Mereka benar pada teori keagamaan. Tapi, belum pasti pada praktikalnya, kerana tiada sebarang contoh terdekat yang mampu untuk dibuat perbandingan. Oleh kerana itulah aku sudah membuat pendirian. Sampai sekarang itulah pendirianku.
Namun aku terkejut dengan berita yang aku dengar. Sekembalinya ustaz khairi ke Malaysia. Beliau sudah berubah menjadi orang yang bertentangan dengan bai’ahnya. Kemana pergi taat setia dan sumpah yang dibuat di atas nama Allah? Dimana perjuangan yang dia laungkan?Dimana ilmu yang diperolehi yang bertujuan untuk membenarkan yang benar?
Malah ustaz Khairi kembali ke Mu’tah. Bukan lagi semangat perjuangan yang dulu ingin dikembalikan. Tetapi fitnah dan huru-hara yang diimpikan. Terjerumus para pelajar dengan kebobrokan strategi ustaz Khairi yang memporak-perandakan. Habis semua bertabrakan.
Itulah rahsia alam. Rahsia ketuhanan. Hari ini dia berkata dia benar. Esok ia menyalahi dari kebenaran yang diciptanya. Hari ini dia bertempik tentang nas dan dalil yang diperjuangkan, esok ia merubah nas dan dalil yang ia cuba padamkan. Hari ini ia memperkudakan orang, maka esok ia pula yang akan diperkudakan.
Inilah satu cerita. Semalam aku keliru, dia yang benar . Hari ini aku yang benar, dia pula yang keliru. Fikir-fikirkanlah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan