Khamis, 24 Disember 2009

Di tinggalkan


Sejak abangku berada di darjah 4 dia sudah pergi ke sesi pagi. Aku pula berada di darjah 3, berada di sesi petang. Bermulalah episod-episod duka dalam hidup aku. Aku mulai keseorangan. Kalau dulu, aku ditemani abang. Kami bermain bersama. Menunggu bersama. Bosan bersama. Berbual bersama. Sekarang tidak lagi.

Aku kena berani walaupun aku baru berumur 9 tahun. Aku duduk seorang. Menanti seorang. Menunggu seorang. Seorang diri. Menanti ayahku. Ayahku kesempitan waktu. Dia berkerja keras dan membanting tulang. Aku terpaksa menunggu dia sampai matahari sudah terbenam penuh. Aku sampai dirumah, biasanya Berita Perdana sudah mengakhiri rancangannya. Itulah rutin aku diusia 9 tahun.

Pernah beberapa ketika aku dipukul oleh ayah aku. Ayah aku berpesan, jangan naik kereta orang lain. Jangan menumpang orang lain. Tunggu sampai ayah dating. Tapi, ayah dating lewat. Mereka yang melihat aku tertunggu-tunggu, ternanti-nanti ayah walaupun malam sudah menjadi pekat, lebih takut kalau aku diculik orang. Mereka pun takut. Ayah pun takut. Aku pun takut.

Mereka cuba menjalankan tanggungjawab social mereka. Ayah pula cuba menjalankan tugas ayah walaupun tersepit. Aku pula menjadi mangsa. Mereka mendesak aku menumpang mereka. Ayah pula melarang aku. Kala itu aku hanya seorang kanak-kanak. Apalah kudratku untuk menolak atau melarang mereka untuk menumpangkan aku. Ayahkan lebih dewasa. Ayahlah buat keputusan untuk aku. Aku hanya seorang budak. Menurut dan disuruh.

Kalau aku menolak pun dan mereka itu berniat jahat untuk menculik aku. Pasti mereka tetap menculikku. Malam sudah pekat. Manusia sudah tiada. Jembalang pula bermaharaja lela. Ayah juga pasti tidak mampu berbuat apa-apa. Aku ternanti-nanti dan berdoa agar masa berlalu dengan cepat. Supaya aku boleh berada di darjah empat. Berada di sesi pagi.

Ada baik dan buruknya situasi ini. Walaupun kecilku telah melahirkan perasaan yang tidak puas hati pada tindakan ayah dan menjadikan hatiku sentiasa memberontak. Namun, disebalik kejadian itu telah mentarbiyah aku dari beberapa sudut yang aku tidak Nampak. Jelas sekali, tarbiyah Allah itu berseni.

Teringat aku pada Syeikh Sai’d Ramadhan al Bouti yang mengajarku “ Feqh Seerah “, ketika aku berada di Syiria untuk bertalaqqi. Jelas beliau kepadaku mengenai A’m al Huzun. Orang yang disayangi oleh Rasulullah diwafatkan oleh Allah kerana didikan Allah kepada kekasihnya, Nabi Muhammad. Allah tidak mahu keterikatan dan kebergantungan Nabi Muhammad kepada makhluk dan menukarnya kepada konsep tauhid yang jelas. Kebergantungan hanya pada yang satu. Satu pada harap ( Iyyakanakbudu wa iyyakanas tai’n ), satu pada bergantung, satu pada penyerahan, satu pada ubudiyyah dan satu pada cinta. Tiada sama sekali sekutu atau syirik. Ujar syeikh.


Beliau menambah lagi : Dan setiap perjalanan para nabi dan Rasul itu, mulanya susah. Mereka ditinggalkan. Mereka ditinggalkan keluarga dan semua yang menyayanginya. Kerana itu adalah didikan Allah dan sunnahNya. Para pewaris juga akan melalui jalan itu. Contohnya Nabi Yusuf di tinggalkan di dalam perigi, Nabi Musa di dalam bakul di Sungai Nil, Nabi Isa di dalam gua bersama Maryam dan yang paling dekat dengan kita iaitu Saidina Muhammad, kehilangan ayah, ibu, Saidatina Khadijah dan Saidina Abu Thalib.

Para pencinta ilmu juga tidak ketinggalan dari meninggalkan dan ditinggalkan. Imam Syafie, Imam Bukharie, Imam Sayutie dan semua para alim akan meninggalkan rumah, tanah air, keluarga demi untuk ilmu dan menyebarkannya. Sayyidi Sayyid Hasan ada berkata kepada aku : Kalau kamu ingin menjadi a’lim, maka hendaklah kamu pergi ke Syiria, Morocco dan Mesir.

Aku sekecil itu ditinggalkan keseorangan. Menjadikan aku banyak berfikir. Duduk seorang diri dan berfikir. Memandang batu dan berfikir. Menyepak kayu dan berfikir. Berlari sendirian dan berfikir. Berjalan sendirian dan berfikir.
Menjadikan aku berani. Berani menghadapi malam berikut yang menggerunkan. Semangat yang menjiwai Rasulullah itulah yang menjiwai aku. Keberanian Rasulullah itulah keberanianku. Tabah menjadi benteng. Tabah pula dengan dugaan. Tidak mudah dipengaruhi. Berjati diri.

Setiap pejalan mestilah bermula dengan jalan ini. Keseorangan. Jika tidak keseorangan jadikanlah diri itu keseorangan. Tidak mungkin bagi salik itu memperoleh sebarang ilmu atau isyarat kalau ia masih bergantung selain Allah.

Susah. Memang susah untuk meninggalkan tapi begitu mudah ditinggalkan. Mereka yang ditinggalkan adalah mereka dipilih Allah untuk memulakan perjalanan ini di jalan ini.

Pengajianku tidak habis disitu. Sayyid Hasan al Saqqaf ada memberitahuku mengenai hikam Ibn Athaillah Sakandari : Sesiapa yang bermula dengan susah maka akhirnya senang.( Man bidayatahu muhriqah wa nihayatahu musyriqah ).

“ Ayah kamu masih tidak sampai lagi “

“ Manalah ayah kamu pergi “

“ Tunggu ajelah, nanti sampailah tu “

“ Sambil tu, ambil karipap ni. Kamu tentu lapar “ beritahu jaga sekolah yang simpati dengan nasibku.

“ Terima kasih cik “ balasku.

Aku ambil karipap itu dan berjalan di dalam gelap menuju ke batu ditepi parit. Makan sambil menanti ayahku tiba.

Batu itu masih disitu. Tapi tiada lagi budak yang duduk disitu yang menanti ayahnya di waktu malam seperti aku. Bagus juga ditinggalkan tapi jika dipinta untuk kembali seperti dahulu, pasti aku tidak mahu.

Tidak semua itu indah, tapi yang pasti indah itu ialah kenangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan