Sabtu, 5 Disember 2009

Pengorbanan


“ Saya rasa, saya nak lari dari rumah la Ustaz! “ salah seorang anak muridku membuat saranan.

“ Ehh....kenapa perlu pula sampai buat macam tu? “ aku pula terpinga-pinga

“ Saya ada masalah la Ustaz ! “ jelasnya lagi.

“ Ermmm... kita ni memang dilahirkan akan berdamping dengan masalah. Kita juga adalah masalah dan turut memberi masalah kepada orang lain “

“ Contohnya, kita nak makan. Maka orang lain pula terpaksa menanggung masalah untuk menanam padi, menangkap ikan, menternak ayam, kerbau, lembu dan macam-macam lagi untuk masalah-masalah kita itu.”tenang aku menerang.

“ Tapi...ustaz takkan faham masalah saya ! “ bentaknya

“ Ya, betul! Ustaz takkan faham masalah kamu kalau kamu tak beritahu masalah kamu pada ustaz! “ balasku kembali.

“ Ustaz bayangkanlah, mak saya dia pergi untuk operation...”

“ Dia Cuma tinggalkan untuk saya RM 50 aje”

“ Kemudian dia suruh beli barang dengan harga RM 45”

“ Cuma tinggal RM 5. Macam mana saya nak hidup”

“ Kiranya kamu nak merajuk. Macam tu ?” aku bertanya padanya.

“ Entah la ustaz. Mak saya tinggalkan saya dengan RM 5 selama berminggu-minggu.”

“ Kita sebagai manusia mesti berani menghadapi masalah dan memaafkan”

“Kalau kamu lari dan merajuk, adakah itu dapat menyelesaikan masalah ?” tegas ku.

Anak muridku masih menundukkan kepalanya. Menanti baris-baris kata yang hendak aku sempurnakan. Aku menyempurnakan kalamku bila anak muridku itu menatap wajah ku.

“ Sempena hari raya haji atau korban ini, ramai dari kalangan kita yang sudah tidak memahami tujuan hari raya ini “

“ Allah sudah tidak memerintahkan kita untuk berkorban manusia lagi. Tetapi Allah memerintahkan kita berkorban pada perasaan kita.”

“ Bila Allah memerintahkan agar kita taat dan sayang kepada kedua ibu bapa, Allah sebenarnya juga memerintahkan kita berkorban untuk mereka”

“ Dalam keadaan susah mereka, senang mereka, gembira mereka sedih meraka dalam dalam apa jua keadaan. “

“ Hormatilah mereka, walaupun mereka membuat kesilapan.”

Dia masih menganggukkan kepalanya. Taat dalam mendengar.

“ Tengok Rasulullah berkorban, yang pastinya takkan sama dengan pengorbanan kita”

“ Rasulullah itu sewaktu awal dakwahnya, baginda dihina. Dipulaukan sehingga meragut nyawa ahli keluarga dan sahabat baginda”

“ Kesemuanya itu disaksikan dihadapan mata baginda. Pernah satu ketika, seorang sahabat mengadu kepada baginda tentang kelaparan dengan menyelak bajunya. Maka terdapat pada perutnya ikatan dengan seketul batu. Kemudian baginda pula menyelak bajunya, terdapat pada perut baginda tiga batu yang diikat. Menunjukkan, baginda lebih lapar daripada orang lain dan berkorban untuk mereka “

“ Malah ketika di Madinah pula, baginda melihat sahabat-sahabat dan ahli keluarga baginda syahid dalam peperangan. Kesemua peristiwa itu, baginda saksikan sendiri. Apakah perasaan baginda ketika itu? Apakah Rasulullah tidak marah, benci dan dendam dia atas perlakuan kaum musyrikin ?”

“ Tatkala Rasulullah melakukan haji. Disitulah terzahirnya pengorbanan disebalik peristiwa korban nabi Ibrahim dan Ismail. Sememangnya darah kenabian yang mengalir dalam zat diri Nabi Muhammad telah mengambarkan pengorbanan ulung seperti yang telah dilakukan oleh baginda Ibrahim a.s. Bayangkanlah selepas keperitan panjang yang ditanggung oleh baginda dengan kesyahidan ahli keluarga dan sahabat baginda, baginda dengan tenangnya berkata : sesiapa yang berada di dalam kaabah dia selamat, sesiapa yang berada di dalam rumah Abu Sufiyan dia selamat, sesiapa yang berada di dalam rumah masing-masing dia selamat, ketika memasuki Makkah. Seolah-olahnya tiada apa-apa yang berlaku antara baginda dengan pemuka quraisyh yang telah berlaku onar terhadap baginda. Seolah-olahnya mereka tiada dosa dengan baginda. Pengorbanan baginda yang besar ialah memaafkan mereka. Hebatkan baginda ! Kalau kita, sudah tentu hati kita dipenuhi dengan dendam yang kesumat.”

“ Jesteru itu, jika ibu kita tersilap dan nak dibandingkan dengan jasa mereka membesarkan kita. Takkan kita tak boleh maafkan mereka “

“ Besarkah kesilapan mereka, sehingga kita tak boleh maafkan mereka?”

“ Besarkah ujian kita berbanding ujian terhadap baginda, sehingga kita tak boleh memaafkan dan berkorban?”

“Sudahlah ! Maafkanlah mereka! Berkorbanlah, nescaya Allah akan tempatkan kamu dalam kalangan orang-orang yang hebat dan bersama golongan yang mendapat golongan haji yang mabrur.”

“ Macam mana pula tu , ustaz? Saya tak pergi haji” soalnya.

“ Ada satu kisah yang berlaku kepada Ibnu Mubarak. Satu ketika beliau menunaikan haji, sempatlah beliau berehat disebalik tiang. Kedengaran suara yang berbual bertanyakan jumlah dhuyufur Rahman dan siapakah yang dapat haji mabrur. Ada suara yang menjawab, dari seramai –ramai tetamu Allah tiada seorang pun yang mendapat haji mabrur kecuali seorang tetapi beliau tiada di Makkah. Bertambah hairanlah Ibnu Mubarak, dan beliau mencari gerangan orang yang amat misteri itu. Akhirnya ketemulah Ibnu Mubarak dengan seorang pembaiki kasut seperti yang diberitahu oleh suara-suara dibalik tiang itu. Bertaaruflah Ibnu Mubarak dan jawapan dari misteri itu ialah tukang kasut itu telah mengumpul duit untuk menunaikan haji, namun duitnya telah diberi kepada anak yatim yang lebih memerlukan. Jesteru itu, beliau dikurniakan haji yang mabrur. “

“ Allah berfirman : (( Sesiapa yang membesarkan syiar Allah, sesungguhnya ia adalah daripada ketaqwaan hati ))”

“ Wuquf adalah syiar, sai adalah syiar, melontar adalah syiar, tawaf adalah syiar, tahallul adalah syiar. Kesemua ritual tersebut adalah syiar. Sesiapa yang menyerap maksud dan makna syiar tersebut pasti tercerah dan terdidik untuk berkorban “

“ Pengorbanan bukan hanya di Makkah tetapi ia adalah dimana-mana sahaja. Kamu juga boleh mengaut ganjaran haji jika kamu mendahului syiar tersebut dengan maknanya”

“ Allah juga berfirman : (( Tidak sama sekali Allah akan menerima daging dan tidak juga darah yang kamu korbankan, tetapi Allah menerima taqwa daripada kamu “

“ Berkorbanlah perasaan kamu, seperti rasul berkorban perasaannya demi Islam dan taqwa, seperti ustaz berkorban perasaan ustaz demi dakwah islamiyyah walaupun ada perkataan kamu, perbuatan dikalangan kamu yang menjengkilkan perasaan ustaz. Maafkanlah atas semua kesilapan manusia, nescaya Allah akan memaafkan kesilapan kamu.” Begitulah panjangnya ulasan aku.

Anak muridku hanya bungkam. Mungkin memikirkan sesuatu.
_____________________________________________
Petang itu sepi. Hanya aku sahaja yang berada dirumah. Kepulanganku dari kampong sejak aidil adha yang lalu belum diketahui lagi oleh anak muridku yang lain. Maka hanya seorang dua sahaja yang berkunjung dirumah.

“ Kamu jadi lari dari rumah “ soalku kepada anak muridku.

“ Tak, ustaz! Saya berkorban! “ ujarnya sambil tersenyum.

Aku membalas senyumnya. Jika semua orang sanggup berkorban, nescaya dunia ini hanya yang ada ialah nilai positif sahaja. Tetapi, kita sudah lama meninggalkan rasul. Korban kita hanya pada metirial dan fiscal. Namun, ananiyah kita sudah lama bertapuk dihati dan budaya kehidupan. Bilakah kita sanggup korbankan itu semua.

Yang tua mengharap yang muda untuk berkorban. Yang muda hanya menggangap yang tua lebih layak berkorban. Yang kaya sudah mengganggap dirinya sudah berkorban dan yang miskin mengharapkan pengorbanan dari yang kaya. Namun, pengorbanan yang kita tabur dan harapkan hanyalah kebendaan.

Selamat Hari Raya Korban!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan