Sabtu, 10 April 2010

Aku masih ingat…


Aku masih ingat waktu sekolah dahulu. Banyak yang aku pelajari di sana. Ku pelajari dari buku, guru mahupun pengalaman. Sekolahku, sekolah yang amat luar biasa. Sekolah kami besar, walaupun hanya sekolah kerajaan negeri sahaja. Jesteru itu, sekolah kami hanya ada beberapa orang tukang kebun . Merekalah yang berkerja untuk kawasan sekolah dan kawasan asrama. Namun, sekolah kami masih bersih berbanding sekolah dibawah pengurusan kementerian Pelajaran Malaysia.

Ini adalah kerana, sekolah kami, pelajar-pelajarnya diasuh untuk merendahkan keegoaan diri dengan bertugas membersihkan kawasan sekolah setiap hari, selepas subuh. Kami redha, kerana kami tahu itu adalah sebahagian dari tarbiyyah.

Bagi lelaki, kami berpakaian putih, bersongkok, berseluar hitam dan berkasut kulit. Tapi, akhirnya pihak pengurusan terpaksa mengarahkan agar para pelajar hanya boleh memakai kasut kain, dan bukannya kulit lagi. Undang-undang itu terpaksa dikuatkuasakan kerana ada wujudnya pelajar yang mengzahirkan kasut kulit mereka yang lebih mahal, lebih cantik, lebih hebat daripada kasut milik guru mereka.

Kami akur, kerana kami tahu, ianya bertujuan baik untuk kami. Melahirkan perasaan rendah diri dan tidak merasai hebat dihadapan guru kami. Kami tidak membantah dan mempersoalkan tindakan guru kami, walaupun kami ada keinginan kami. Memang tiada hukum dari syarak, yang anak murid tidak boleh lebih dari guru. Bisa-bisa aja kalau nak lebih.

Tapi, kami tiada langsung minat untuk membuat pemberontakan, kerana kami tahu undang-undang yang ada adalah baik digunakan. Untuk mengekalkan orang yang tidak tahu seperti kami dan lahir sebagai orang yang terbaik akhlak dan ilmunya.

Itulah sekolah kami. Sekolah yang telah mendidik kami. Dengan peraturan yang ada membina akhlak kami. Kadang-kadang peraturan yang kita bina seperti tiada di dalam sunnah nabi atau menyalahi sunnah pula. Yalah, nabi pakaiannya buruk-buruk sahaja. Malah ditampal beberapa bahagian dengan tangannya sendiri.Walaupun nabi mampu memiliki yang lebih baik dari itu. Begitulah dari ma’thur yang kita dengar.

Sedangkan para mured nabi kita memiliki harta yang banyak dan pakaian yang cantik-cantik pula. Sunnah nabi ialah miskin dan tak berpakaian cantik serba baru . Sedangkan para ahli hadith yang mengaku sekarang , berpakaian cantik serba mahal pula.

_________________________________
“ Ustaz, saya ada soalanlah ustaz! “ anak muridku berbicara.

“ Apa dia ? “ aku membalas.

“ Ada tak dalil yang agama kita, melarang memakai pakaian selain daripada uniform sekolah, di sekolah ?

Tersentak aku mendengar soalan yang sebegitu rupa.

“ Tak ada ! “ aku menjawab.

Sambil-sambil itu aku memikirkan, apakah helah anak murid aku, sehingga bertanyakan soalan seperti itu.

“ kalau macam tu, bolehlah saya memakai selain uniform sekolah?” anak muridku menduga.

“ Mana boleh! Itukan undang-undang sekolah dan kementerian! Tukasku.

“ Tapikan tak ada dalam perintah agama berbuat demikan. Malah tak di tunjukkan nabi walau sedikit pun untuk berpakaian seperti kita hari ini.” Bicaranya petah.

Pelajar yang sebegini mestilah diasuh dengan bijaksana. Ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut ditarik, tepung tidak berselerakan. Hati mereka senang terguris jika kita melarang bentuk –bentuk pertanyaan seperti itu. Tak dilayan pula, mula menarik muncung masam. Dilayan, menyakitkan hati.

Namun, nabi mengajarku untuk berhikmah dalam melayani sebarang bentuk bentuk pertanyaan. Walaupun ia dianggap bodoh.

“Hukum itu terbahagi kepada dua” balasku

“ Tasyhri’e dan wad’ie. Dalam hal ini ia menjadi hukum wad’ie “

“ Tapi ustaz, ada tak, masalah wad’ie itu menjadi saluran rasul menjadikan sumber hukum “ tingkahnya.

“ Dalam hal ini, perkara ini tidak dibuat rasul. Mengikuti nabi satu kejayaan. “

Tujahan katanya memanaskan riakku.

“ Siapa yang kata begitu ? “ aku cuba memancingnya.

Aku sering mendengar hujah-hujah mengikut nabi satu kejayaan. Kadang-kadang ia merunsingkan. Bukan aku menolak. Tetapi, ia bukan semudah itu. Banyak perbahasan yang perlu dijelaskan dalam kekeliruan konteks sunnah. Aku mengambil masa yang agak panjang untuk menjelaskan rasionalnya. Yang paling banyak terlibat dalam hal ini, ialah anak-anak muridku yang terjebak dengan kegiatan tabligh.Mengharukan.

Sufyan bin Uyainah ada berpesan : ( Hadis itu meyesatkan kecuali kepada golongan fuqaha ). Oleh kerana naifnya mereka dalam urusan ilmu agama, khususnya dalam masalah usul mengakibatkan ketabrakan dalam pengukuhan ilmu. Jelasnya, fahaman mereka terpesong. Hukum yang halal akan diharamkan. Yang haram akan dihalalkan. Semua menjadi sempit.

Aku masih mencari ruang untuk menjelas dengan baik kepada anak muridku.

“ Hukum yang bersifat wad’ie tetap menjadi sunnah rasul. Ini adalah kerana ia bermula dari perintah rasul itu sendiri “

“ Seperti mana yang rasul sabdakan : (( apa yang diperintahkan kepada kamu, kamu tunaikan dan apa yang dilarang, kamu tinggalkan ))”

“ Maksud ustaz..” mukanya sedikit merah

“ Ada sebuah hadis Rasulullah yang berbunyi : (( kamu semua lebih tahu tentang urusan dunia kamu ))”

“ Jadi, kita lebih tahu tentang selok belok tentang masyarakat kita. Dari sudut pengurusan, penyeliaan, penyediaan dan sebagainya”

“ Maka, lahirlah qaidah fiqhiyyah yang berbunyi “ al adatu muhakkamah”.”

“ Ini adalah kerana rasul tahu, yang ummatnya berbagai jenis, bentuk dan ragam, seperti yang Allah nyatakan dalam al Quran. “

“ Maka, rasul tidak pernah ingin menjadikan hukum dalam satu bentuk sahaja. Disinilah murunahnya Islam. “ jawapanku panjang.

“ Hatta, kalau rasul wafat pun, urusan hukum akan terus berterusan dijaga oleh para ulama”

“ Bukannya dengan sebab kewafatan rasul, sumber hukum akan tersekat dan kita menjadi sempit.” Aku menambah.

“ Saya dah mula nampak apa yang ustaz cuba terangkan.” Kata anak muridku sambil merenungku tajam.

“ Rasul dengan jangka waktu yang terhad dalam hidup baginda, tidak dapat memperincikan sedalam-dalamnya semua sekali hukum pada perkara yang sedang dan akan berlaku.”

“ Rasul hanya membawa perkara asas dan pokok yang mendasar dan boleh disesuaikan dengan semua keadaan dan tempat “

“ Maka, kita kenali Islam dengan syumuliyyah dan waqieyyahnya”.

“ Oleh kerana itu jugalah, kita berbangsa melayu, yang bersifat berlainan dengan arab, berjiwa lain dengan arab, berakhlak dan berbudaya lain dengan arab, masih boleh menerima Islam.”

“ Kerana kita hanya bertegas pada yang dasar sementara pelaksanaannya masih boleh berubahkan ! “ sela anak muridku.

“ Ya! Begitulah .” aku menawarkan senyuman.

“ Sementara itu juga, hukum itu bentuk dan caranya terbahagi kepada taufiq dan tauqif.”

“ Ada bentuk dan pelaksanaan itu milik Allah. Dan juga ada bentuk dari Allah dan pelaksanaan itu bersifat murunah.”

“ Sesuaikan hukum dengan keadaan dan budaya setempat. Maka, kita akan dapati dari hadis rasul membiarkan kaum Habsyi menyanyi dan berzapin. Rasul membiarkan orang perempuan memukul duf dan menyanyi walau dilarang oleh Saidina Abu Bakar.”

“ Kesemua itu adalah kerana rasul memahami budaya dan berasimilasi dengan hukum.”

“ Contoh yang lain dalam bab mentarbiyyah masyarakat khususnya dalam masyarakat kita. “

“ Ziarah kubur adalah dasar. Tapi pelaksanaannya dengan mengikut sunnah dan budaya kita, apakah berjaya diterapkan?”

“ Ia amat susah. Kalau bersifat individual mungkin berjaya. Mungkin hanya untuk golongan ulamak sahaja. Namun, masyarakat, pasti tak mampu membuatnya .”

“ Oleh kerana pelaksanaannya murunah, maka ulamak mengajar masyarakat untuk berziarah kubur pada hari raya.”

“ Jesteru masyarakat mengambil manafaat dengan mengamal sunnah yang bersesuaian dengan mereka.”

“ Ada juga yang syadid pada pelaksanaan, tetapi tergadai dasar seperti ziarah. Masyarakat sudah mula tidak menziarahi kubur, sedangkan ia perkara suruhan. “

“ Namun, lebih baik kita tasamuh pada pelaksanaan tetapi dasarnya mencapai matlamat.”

“ Begitu jugalah pada tahlil, talqin dan sebagainya. Yang pentingnya, ia adalah usaha mendewasakan ummah dengan akhlak dan amalan yang masih dalam suruhan nabi kita “ panjang aku menjelaskan.

“oooo….saya dah faham ustaz!

“ Baguslah begitu. Jadi, unifom sekolah kamu itu, walau pun tidak dibuat nabi, tapi ia adalah sebahagian dalam pengurusan tarbiyyah kamu. Jika dibiarkan, kamu akan berpakaian lebih mahal dari guru-guru kamu “

“ kami guru, lebih tahu mengendalikan kamu seperti rasul bersabda : (( kamu lebih tahu dalam urusan dunia kamu )).”

“ Kalau betul kamu nak sunnah sangat. Cukuplah kamu dengan 3 helai baju dan seluar sahaja. Jangan beli dan pakai yang mahal. Menyalahi sifat dan sunnah nabi “

“ Tapi, itu tidak pula dianggap sunnahkan. “ aku tersenyum.

“ Selebihnya nafsukan ! “ sampuk anak muridku sambil menyambut mesra senyumanku.

Aku membalas kembali senyuman itu. Kami masih bersunnah. Senyum itu adalah sunnah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan