Selasa, 20 April 2010

Hairan


Persediaan untuk menyambut kehadiran syaikh sudah dibuat seperti yang dirancang. Inilah julung-julung kalinya Syaikh Hisyam al Qabbani sudi menghadirkan diri di zawiyah Johor Bahru. Jesteru itu, murid-murid beliau begitu teruja dengan persiapan.

“ Ustaz, sewaktu saya menjemput jemaah di Kuala Lumpur, saya ada dengar benda yang tak berapa baik la ustaz” ujar anak muridku.

“ Apa dia? “ aku ingin kepastian.

“ Kan dalam surat jemputan saya tu, saya ada bubuh nama ustaz dan jawatan ustaz”

“ Tapi ada yang cakap, buat apa nak jemput-jemput mursyid tariqat lain?”

“ kan tariqat kita dah baik?”

“ Saya sendiri pun terkejut ustaz !!” bicara anak muridku.

Aku tergamam. Hairan.

Tariqat ialah jalan menuju Allah. Untuk menuju Allah mestilah dengan hati yang bersih dan sejahtera. Seperti firman : (( Masuklah ke dalamnya dengan sejahtera dan hati yang tenang )).

Ada beberapa perkara yang mesti dipastikan untuk menjadikan hati kita bersih dan tenang. Penyakit hati adalah virus utama yang menghijab kebersihan hati dari wusul kepada Allah. Penyakit-penyakit itu sering mencemar ketenangan jiwa manusia menuju kepada kegelisahan, gelodak nafsu serakah, tidak pernah puas dan yang paling besarnya ialah menjadikan kesyirikan paksi utamanya.

Syirik boleh berlaku kepada 3 peringkat. Pada Iktikad, perbuatan dan juga sifat. Pada iktikad,qasad dihati ada tuhan atau makhluk yang lain yang lebih berkuasa. Disembah atau ditaati. Bukan sahaja yang mewakili sifat – sifat tuhan yang berbentuk keberhalaan. Boleh sahaja ia makhluk yang didepan mata dan selalu diguna pakai, seperti nasi yang memberi kenyang, ubat yang menyembuhkan dan selain dari itu.

Perbuatan Allah ialah mengeluarkan perintah. Perbuatan hamba ialah taat perintah tersebut. Perbuatan Allah mengatur rezeki,bala, ujian, nikmat dan segala-galanya. Sementara perbuatan hamba syukur, redha dan menerima apa sahaja yang dikurniakan. Namun, berapa ramai dari kita yang sudah menyekutukan Allah dari sudut perbuatan Allah. Mereka telah mengambil tugas Allah dengan melanggar perintah dan memerintahkan dirinya dengan apa yang mereka kehendaki. Berapa ramai pula yang boleh menentukan rezeki dan ajal manusia yang lain. Kesyirikkan ini memang begitu meluas dan menjajar dalam masyarakat Islam hari ini. Ini adalah kesyirikan yang kedua.

Syirik yang paling ramai, yang mengamalkannya ialah syirik pada sifat. Ia terbentuk dari kesedaran atau tanpa disedari. Sifat Allah ialah mulia, hebat, berkuasa, sombong dan lain-lain lagi. Sifat hamba pula ialah hina, lemah, naif, rendah diri dan lain-lain lagi. Tapi berapa pula dalam kalangan kita yang telah memiliki dan bersifat dengan sifat Allah ini. Inilah bentuk penyekutuan yang sering terpalit dalam kehidupan kita.

Iblis dimurkai bukan setakat melanggar perintah tetapi telah menyekutukan Allah dengan memakai pakaian sombong yang ianya adalah hak mutlak Allah. Iblis berkata : Aku dijadikan dari api dan adam dijadikan dari tanah. Maka ia telah meninggikan diri dari kerendahan yang sepatutnya bagi yang berjiwa hamba.

Jadi, apa pula bezanya kita dengan iblis jika pakaian kita adalah sombong dan merasa kehebatan serta kemuliaan. Memandang jijik, lemah, kurang dan nista kepada orang lain pula. Maka, kita juga tidak akan lepas lari dari azab seperti yang ditimpa kepada iblis.

Jesteru, tariqat tidak akan membenarkan perkara ini berlaku, kerana jelas ia akan menjauhkan Allah dari kita. Sedangkan kita masih bertatih untuk menemuinya. Dengan ada penyakit-penyakit hati ini telah menghijab kita dari mencium bau-bau misk keharuman kerohanian. Apatah lagi kepada sebuah pertemuan.

Bukankah tariqat mengajar kita untuk membersihkan diri dan jiwa dari virus yang menabrak fungsi hati ini. Tariqat fungsinya ialah jalan untuk mencapai Allah. Menghancur leburkan sum’ah, ujub , riya. Kibriyak, hasad dan lain-lainnya yang menghalang kepada gharad tersebut.

Namun, pada tariqat juga, terdapat kurniaan. Syaikh adalah kurniaan. Wirid dan warid adalah kurniaan. Suhbah adalah kurniaan. Mahabbah adalah kurniaan. Maqamat adalah kurniaan. Karamat juga adalah kurniaan.

Kurniaan boleh ditafsir kepada keredhaan dan kefasadan. Berkata tuan guru kami : Mana-mana kurniaan yang membawa dekat kepada Allah, itu adalah keredhaan. Manakala, kurniaan yang membawa jauh dari tuhan itu adalah kefasadan.

Ajaib sungguh hal seorang salik. Jika perkara utama yang perlu dibasminya ialah ujub, bagaimana seorang salik boleh berbusana dengan ujub atau berasa ajaib dengan kemuliaan tariqatnya? Atau syaikhnya ? Atau wirid dan waridnya ? Atau karamahnya ? Atau ahli silsilahnya?

Sedangkan mereka memancak tanjak gelaran “ ahli tauhid “ atau “ ahlillah “ atau “ ahli a’rifin” pada baju-baju mereka. Layakkah mereka sedangkan mereka masih berpaut teguh kepada rasa mulia dan hebat. Pada rasa bongkak dan sombong. Pada rasa ajaib dan ingin didengar-dengar. Bahkan mereka terlalu jauh dengan Allah. Dengan menjulang tampuk kesyirikkan.

Benarlah ucapan tuan guruku kepadaku : Tanggalkanlah pakaian-pakaian yang berupa kesufian jika terlucutnya kesufian dalam jiwa-jiwamu.

Sufi itu bukan pada papar busana. Indah wajah atau lagak. Tapi sufi ialah hati yang merasa hina, nista, keji, kurang, hambar pada sekelian makhluk. Apatah lagi untuk melangkaui sempadan khaliq.

Wajib diingatkan sufi ialah pada rasa bukannya sangka!!

“ Anehkan! Masih ada salik yang bersikap begitu.”

“ Salik kena bersih dari ujub, tetapi mereka sedang ujub” aku mengatur kata.

“ Itulah yang saya kesalkan ustaz ! “ bisik anak muridku.

Tuan guruku adalah tuan guru mereka ada mengatakan : Tariqat itu ialah apabila kamu tidak merasai apa-apa cuma merasai hina, kerdil, hamba, keji dan sebagainya.

Ramai orang yang menyangkakan, mereka adalah seorang sufi. Seorang salik, seorang muhib malah seorang wali. Namun, mereka tidak sama sekali termasuk dalam golongan itu.

Syair arab ada berbunyi : Ramai yang mengaku mencintai Laila * Tetapi Laila tidak menyangka begitu.

Hairan dengan polemik itu, telah membuka rahsia tentang kehairananku ketika menelaah kitab Kasyful Mahjub. Syeikh al Hujwiri ada menyatakan : Setiap orang yang dilahirkan sama ada Islam atau tidak, tetap menjadi seorang syirik, sehingga ia membersihkan dengan cahaya tauhid.

Aduh, manisnya kata-kata tersebut jika ditatap dari sudut ahli arifin bukan dari sudut mutasawwifin. Hairan itu sudah tidak hairan lagi, kerana ia telah disingkap oleh sebuah kehairanan.

1 ulasan:

  1. Promotional clothing Abercrombie and Fitch for sale or Abercrombie as a gift, will always be beneficial to Abercrombie Sale any business. This is Cheap Abercrombie a great way to impress consumers Abercrombie outlet and grow brand loyalty abercrombie Jeans and popularity. This is a quite flawless form of marketing. Your imprinted Abercrombie Pantslogo provides instant recognition. Abercrombie Tees These eye-catching articles of clothing are a foolproof way to increase profits and a cost Abercrombie Shorts effective form of marketing. Some use this plan to earn profits and then save them for future expenses. Abercrombie Sweaters You can get a huge range of promotional gifts or other promotional items on It is encumbered with a wide range of designs, styles and colours of assorted promotional items. These items can be used as promotional gifts and resourcefully distributed to the target customers to have a long lasting impression on them and make a huge profit in exchange.

    BalasPadam