Selasa, 13 April 2010

Kau bukan lagi yang aku kenal…


JUSCO. Hari Ahad, sememangnya ramai orang bertandang dengan tujuan masing-masing. Berpusu-pusu menjadikan aku serba bingung. Kebingunganku membawa aku ke tandas.

Masuk sahaja tandas, mataku tajam menerpa susuk tubuh yang amat aku kenal.

Dahulu, aku terlalu rapat dengannya. Aku sendiri menganggapnya seperti adikku. Ke mana yang aku rasa membahagiakan aku, aku bawanya bersama. Ingin aku berkongsi rasa bahagia.Ingin aku juga meredakan segala kesedihannya. Ingin aku berkongsi sedihnya juga.

“ Eh… Ustaz !! “ tegurnya dengan sedikit kejutan.

Dia menyalami aku. Sekadar bersalam. Aku sedikit kaget.

Dahulu, kalau bersalam denganku, dia akan cium tanganku. Tanda hormat padaku. Tapi, kali ini tidak lagi.

Kalau dulu dia asyik bersamaku, kali ini tidak lagi. Mungkin dia sudah rasa besar. Sudah rasa bebas. Tidak lagi memerlukan aku dalam hidupnya. Sudah pandai membuat keputusan dan pilihan sendiri. Sudah ada kawan-kawan sendiri.

Soal hidupnya ialah soalnya. Kebahagiaan dirinya ialah soalnya. Tidak lagi memerlukan bantuan aku. Dan aku sudah pun tiada dalam jiwanya.

“ Eermmm….Kamu buat apa kat sini ? “ soalku.

“ Jalan-jalan” balasnya.

“ Dengan siapa? “ aku bertanya lagi.

“ Sorang! “

“ O.klah ustaz, saya jalan dulu ye…” pintanya bergegas.

Mataku mengekorinya. Dia pantas pergi.

Pendirianku tetap. Hubunganku dengan anak muridku bukan hanya sekadar hubungan di alam persekolahan sahaja. Namun, pertalian yang akan membawa ke akhirat. Jika mereka tidak sudi untuk bertali hubung denganku, terpulanglah kepada mereka.

Kejadian tadi telah meremukkan sedikit perasaanku. Menggusarkanku. Dia sudah tidak aku kenali seperti dahulu. Sikapnya berubah. Pandangannya terhadapku sudah berbelah. Aku bukan lagi ustaznya. Aku bukan lagi abangnya.Bukan lagi sahabatnya. Yang mampu memberi nasihat. Tunjuk ajar. Semua itu sudah tidak berguna lagi.

Aku pasti akan menunaikan hajatnya. Aku, sudah tiada dalam hidupnya. Janganlah kau meminta dariku. Sebarang isyarat atau bisyarat, kerana bukan anak muridku lagi. Gesaan ini terujar dari tindakanmu.

Aku duduk dikerusi santai, usai keluar dari tandas. Bertelut seribu prasangka. Sambil selawatan pemugar seribu rasa.

Mengenangkan jiwaku, rasaku dan mengaitkan dengan jiwa kekasihku. Berapa ramai yang mengaku kekasih kepada kekasihku. Mencintainya dan mendambanya, tetapi berakhir dengan bentuk-bentuk yang menyalahi qasad itu.

Begitu juga aku. Dahulu, bersama guruku, kuungkap rasa cinta kepada kekasihku, Sayyidina Muhammad. Setiap Isnin, jutaan selawat ku lafazkan. Ingatanku padanya berkekalan. Masa susahku, senangku, sedihku, gembiraku dalam setiap degup jantungku berdetak.

Tapi, bila aku minggir dari tuan guruku. Cintaku berubah. Amalku culas. Aku sudah tidak seperti dulu lagi.

Apakah Rasulullah juga akan berkata kepadaku : “ Kau sudah tidak seperti dulu lagi. Cintamu sudah berubah ? “

Apakah Rasulullah juga menganggap yang aku sudah beralih arah dan tidak menyayanginya?

Ohhh….harap jangan begitulah. Jangan tinggalkan aku Rasul. Didiklah aku agar tetap bersamamu. Aku tetap mencintaimu…

Pemergian anak muridku menyentak qalbu nuraniku. Janganlah aku menjadi sepertinya. Meninggalkan orang yang menyayanginya demi orang yang dia sayang. Kemudian orang yang dia sayang pun pergi kerana mencari orang yang dia sayang. Akhirnya yang ada dibumi ini cuma manusia yang kesal di atas pemergian semua yang tersayang.

Bodohnya aku kalau aku begitu. Meninggalkan Rasul sedangkan ku tahu serba serbi sayangnya. Utuhnya cintanya. Kepada diriku.

Maka aku selalu berdoa : (( Ya Allah! Janganlah kau cabut hidayah daripada hati-hati kami setelah Kau memberi hidayah kepadaku ))

Rasul benarkan aku membuktikan cintaku padamu.

Anak muridku, terima kasih kerana mengingatkan aku. Pergilah dari hidupku, jika itu yang kau mahu. Kau bukan lagi yang aku kenal dahulu…..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan