Khamis, 8 April 2010

Keliru


Aku ada seorang sahabat. Dia seorang tabligh. Pewarakannya sememangnya mengambarkan dia seorang tabligh. Aku sering mengikramnya. Apabila beliau keluar dikawasan atau surau yang berhampiran dengan tempat tinggalku nescaya, aku akan mengunjunginya.

Walaupun, seringkali kunjunganku hanya disambut beliau. Itu tidak memutuskan silaturrahim kami atau mengaburkan pandanganku terhadap jemaah tabligh. Tambahan pula, sahabatku ini, bukanlah calang-calang orang.

Beliau termasuk seorang tabligh yang profesional. Maka, kadang-kadang hala pemikirannya amat kritikal dan mampu mengubah cara pandang dari sisi lain jemaah tabligh. Walaupun jemaah itu sering mengalami kebekuan, kehadiran watak-watak seperti ini mampu mewarnai jemaah itu.

Kami sering berdiskusi. Pelbagai topik kami wacanakan.

“ Ana ada satu soalan untuk enta ?” aku bertanya sambil mengulum senyuman.
“ Apa dia syeikh ?” dia membalas.

“ Pada pendapat entalah, jika nabi Muhammad itu diutuskan dalam masyarakat melayu, adakah baginda akan berjubah atau memakai baju melayu ? “ cetusku.

Riak wajahnya mula berubah. Mungkin soalan itu lebih kepada menguji bukan untuk mengetahui jawapannya.

Tapi, aku ingin sekali mengetahui jawapannya dari sudut kaca seorang tabligh. Walaupun jawapannya bukanlah mencerminkan jamaah itu. Hanya sesekali menduga untuk meninjau hala pemikiran dan keintelektualan jamaah tabligh.

Mereka sering menguar-uarkan sunnah baginda. Tetapi sering terlupa, sunnah yang thabitah dari rasul tanpa khilaf ialah ilmu. Dari sudut itu sering berlaku pengabaian tanpa kawalan sehingga berlaku ketirisan intelektual dalam tabligh.

Kadang-kadang dengan hanya satu soalan boleh melunturkan kefahaman pesong yang mulai mengeras.

“ Jawapan ana, sudah tentu berjubah! “ jawabnya.

“ Enta pasti dengan jawapan enta ? “ aku meraguinya.

“ Ya! Sudah pasti dengan jubah. Rasul diutuskan sebagai sebaik-baik contoh. Dan jubah salah satu daripadanya” balasnya dengan nekad.

Aku hanya tersenyum.

“ Mengapa enta bertanya begitu?” ujarnya pula.

“ Sekadar ingin tahu” ku balas dengan ringkas bersulamkan senyum simpul.

“ Bagaimana pula dengan pendapat enta? “ Kali ini gilirannya pula menyoal.

“ Berbaju melayu” tukasku dengan lembut.

“ Mengapa enta boleh berpemikiran begitu ? “

“ Sebab baginda orang melayu. Maka selayaknya ia berbusana melayu! “

Aku sekadar menatap wajahnya dan merenung tajam ke dalam matanya.

Perbualan kami pegun disitu.

_____________________________________________________________________________________

Kelas 5 Sains, macam biasa akan memberi perhatian yang wajar dengan pengajaranku.

Hari itu, aku membicarakan tajuk sunnah. Kupasan tajuk itu tidaklah mengembirakan bagi pelajar aliran biasa, sekolah harian.

Pelajar aliran biasa, tidak akan memberi reaksi terhadap tajuk itu, kerana mereka tidak akan memahaminya. Berbeza kelas 5 Sains. Ada beberapa pelajar disitu yang mengikuti jemaah tabligh. Mereka sudah lali dengan istilah – istilah yang berkaitan dengan ilmu syarak.

Oleh kerana, tajuk itu amat sinonim dengan apa yang berlegar dalam komuniti tabligh ini , menjadikan tajuk itu menjadi satu keghairahan pula. Namun, setiap keghairahan tanpa ilmu menjadi manusia menjadi taksub. Perkara ini sewajarnya digeruni oleh pecinta Allah dan rasulNya.

“ Pada pendapat kamu semua, kalau nabi kita diutuskan dalam bangsa kita iaitu melayu, apakah yang akan dipakai oleh baginda? “

“ Baju melayukah, atau berjubah ?” soalan yang sama kutujukan kepada anak muridku.

“Sudah tentu berjubah ! “ getus salah seorang anak muridku yang berjemaah tabligh.

“ Tujuan rasul diutuskan bukanlah membawa fashion. Malah warid di dalam hadis, rasul sendiri memakai pakaian yang bukan dari suku quraish! “

“ Jesteru itu, bisa sahaja rasul memakai pakaian dari kaum apa yang diutuskan! “

“ Jika rasul diutuskan dalam bangsa melayu, maka mungkin rasul akan berbaju melayu dan sebagainya yang lain” bicaraku menjelaskan.

Aku melihat beberapa wajah mula mencebik dengan cetusan jawapanku.

“ Kita seharusnya lebih memahami apa dia sunnah. Tuan Guru kita sendiri membezakan dengan jelas antara sunnah dengan hadis dan istilah-istilah yang lain” tambahku.

Riak yang tersurih diwajah mereka menerangkan jawapan yang akan aku lalui.

Jawapan sahabatku dan anak-anak muridku yang berjuang dalam jemaah tabligh amat senada jawapan mereka. Adakah itu yang diajarkan dalam tabligh? Adakah itu yang menjadi pemahaman Tuan Guru mereka atau sekadar persepsi anak-anak murid yang menurut? Adakah itu konsep yang dibina oleh jemaah tabligh?

Aku masih keliru dengan pesona yang berlaku sebentar tadi.

_____________________________________________________________________________________

“ Ustaz, maafkan saya ustaz! “ seorang anak muridku di kelas 5 sains, juga seorang jemaah tabligh, berbicara.

Aku sekadar menganggukkan kepalaku untuk memberi izin kepadanya berbicara.

“ Saya sudah memikirkan persoalan yang ustaz tujukan kepada kami , semalam”

Aku masih tersenyum dan menganggukkan kepala.

“ Bila saya fikir lama-lama, akhirnya saya bersetuju dengan ustaz “

“ Apa yang kamu fikirkan? “ aku menyoalnya kembali.

“ Saya terfikir kalau rasul diutuskan ke kawasan artik atau antartika, adakah rasul akan tetap memakai jubah ?!!!”

“ Saya tak terfikir begitu! Sudah tentu rasul akan memakai baju bulu tebal seperti orang eskimo.”

“ kalau rasul memakai jubah adalah sesuatu yang tak masuk akal ” Terangnya panjang.

Aku tersenyum girang kerana jawapan itu telah memecah kebuntuan aku terhadap kebantutan intelektual dalam jemaah itu.

Kita memerlukan lebih ramai cerdik pandai dalam memecahkan praktis berpikir dan beramal dalam agama. Segera aku teringat kepada perjalanan Imam al Ghazali untuk memperkasa keilmuan para muslimin dengan karya agungnya “ al Aqlu wama hiyatuhu “.

Tuan Guruku ada berbicara, wahyu tidak akan dinobat jika akal tidak dapat menafsir tuntutan wahyu tersebut. Malah setiap orang tidak akan tertaklif jika ia tidak berakal.

Kebenaran ialah sebuah kekeliruan, jika dasarnya ialah sebuah kejahilan. Adakah mereka keliru yang mereka itu benar berilmu atau benar jahil? Wallahu taala a’lam…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan