Ahad, 11 April 2010

Khutbah Aidil Adha


Maaf, ini adalah teks khutbah Hari Raya Aidil Adha yang lalu, yang telah aku baca pada pagi hari raya. Mungkin ada manafaat untuk kita kongsi bersama.


Allahu akbar,Allahu akbar…..

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,
Selamat menyambut hari raya aidil adha diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Semoga anugerah hari raya yang amat bermakna ini dapat kita penuhi dengan aml ibadat dalam mendekatkan diri kita kepada Allah dan syurgaNYa, disamping pada masa yang sama menjauhi maksiat yang menghampirkan kita kepada jurang neraka. Pada pagi ini, mimbar akan menyampaikan khutbah aidil adha bertajuk “ Ujian dan Pengorbanan “.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar walillahilhamd,

Melalui kisah perjuangan dan pengorbanan Nabi Ibrahim sekeluarga yang sentiasa kita sebut setiap kali tibanya bulan Zulhijjah mengingatkan kita betapa pentingnya pendidikan dan tarbiah berasaskan agama dalam sesebuah keluarga bagi melahirkan suami yang bertanggung jawab, isteri yang taat dan anak-anak yang berakhlak mulia. Kegagalan dalam pembentukan keluarga sakinah sehingga berlakunya perceraian akan menyebabkan anak-anak menjadi mangsa.

Begitu juga tentang kepentingan sistem pendidikan yang bersepadu antara dunia dan akhirat sehingga lahirnya golongan ulama yang mampu mengurus urusan agama dan dunia dengan baik dan golongan pakar yang faham serta mengamal tuntutan agama dalam kehidupan.

Sayyidina Umar al Khattab pernah berwasiat : “ Aku sangat kecewa dan benci kepada orang yang pintar tetapi tidak bertaqwa. Kerana tanpa taqwa maka kepintaran akan membawa banyak kerosakan kepada umat. Aku juga sangat kecewa kepada orang yang taqwa tetapi dungu. Kerana itu dirinya baik tetapi tidak tahu melaksanakan urusan umat secara teratur dan sempurna”.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar walillahilhamd,

Mengingati ujian besar Nabi Ibrahim dan anknya Nabi Ismail ketika mahu melaksanakan arahan Allah, serta gangguan syaitan yang menghalang Nabi Ibrahim menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail, maka dapatlah difahami bahawa dalam mengharungi kehidupan di dunia ini kita terpaksa menghadapi pelbagai cabaran, halangan, ujian, rintangan, dan gangguan yang menguji keimanan kita kepada Allah. Orang mukmin akan diuji dengan lima perkara, iaitu :

1. Saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya.

2. Orang munafiq yang sentiasa membencinya.

3. Orang kafir yang sentiasa memeranginya.

4. Syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya, dan,

5. Bisikan hawa nafsu yang sentiasa mengoncang keimanannya.

Musuh Islam tidak pernah memadamkan permusuhannya terhadap Islam dan umatnya sama ada melalui serangan fizikal ataupun penjajahan pemikiran. Seorang tokoh ulama terkenal, Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam sebuah kitabnya menegaskan bahawa :
“ Musuh-musuh Islam berusaha gigih memastikan 4 perkara yang berada pada tangan umat Islam mesti dihancurkan, iaitu :

1. Al Quran yang telah beberapa kali cuba diselewengkan tetapi ia terus dijaga oleh Allah.

2. Universiti al Azhar Mesir yang mana musuh Islam cuba menghancurkan atau meminda sukatan dan sistem pengajiannya agar selari dengan kehendak mereka.

3. Keistimewaan hari Jumaat yang cuba dipadamkan dengan menyibukkan umat Islam terhadap tugas harian sehingga ramai yang meninggalkan solat jumaat sedangkan penganut kristian dengan tenang memenuhi gereja pada hari Ahad , dan :

4. Masjidil haram, Makkah telah timbul beberapa cadangan terutama daripada Parlimen Britain dan Israel agar kaabah dihancurkan atau dibom bagi menghalang umat Islam terus berkunjung terutama pada musim haji kerana dibimbangi dapat menyatukan hati umat Islam seluruh dunia.

Sekiranya keempat-empat perkara tersebut berjaya dihancurkan , maka musuh Islam dapat menjajah umat Islam dengan mudah tanpa penentangan”.

Firman Allah dalam surah al Baqarah ayat 109 :

Yang bermaksud : “ Sebahagian besar ahli Kitab ( Yahudi dan Nasrani ) menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana dengki ( yang timbul ) dari diri mereka sendiri , sesudah nyata kepada mereka kebenaran. Maka, maafkanlah dan biarkanlah mereka, sehingga Allah mendatangkan perintahNya ( keizinan memerangi dan mengusir mereka ). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar walillahilhamd,

Allah telah menganugerahkan umat Islam 3 keistimewaan dan kekuatan yang menjadi punca utama dalam mencapai kemenangan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat sekiranya kita berjaya menggunakannya sebaik mungkin. Keistimewaan itu ialah :

1. Kekuatan aqidah yang perlu dipertahan dan dikembangkan. Malangnya masih ada umat Islam yang tidak menghargai nikmat yang paling berharga ini sehingga ada yang murtad.

2. Kekuatan sumber tenaga manusia dengan jumlah yang ramai yang perlu kepada usaha bersungguh-sungguh menggunakannya. Malangnya umat Islam berpecah belah atas dasar bangsa dan negara sebagaimana yang dirancangkan oleh musuh Islam. Dan,

3. Kekuatan sumber alam dengan anugerah bumi yang subur dengan tanam-tanaman dan hasil bumi seperti minyak, gas, besi dan sebagainya yang perlu kepada usaha bersungguh-sungguh bagi dalam mengambil manafaat sebanyak mungkin daripadanya.

Malangnya akibat kekurangan pakar dan penyelewengan terhadap hasil ini menyebabkan ia tidak mampu digunakan sebaik mungkin dalam membantu umat Islam seluruh dunia.
Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, walillahil hamd,

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Mimbar berharap semoga ibadah kurban yang dilakukan pada hari ini diterima oleh Allah. Bagi mereka yang belum berkesempatan, masih ada peluang lagi untuk melaksankannya. Manakala mereka yang tiada kemampuan dari segi harta, hulurkanlah bantuan dan kerjasama dalam menjayakan program ini

Firman Allah :

Yang bermaksud : “ Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai ( keredhaan ) Allah, tetapi hanya ketakwaan dari kamu yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik”.

Barakallahu li walakum……

Tiada ulasan:

Catat Ulasan