Rabu, 7 April 2010

Perintah



“….aku berjaya! “

Begitulah mesej yang aku terima dari al fadhil Ustaz Zakuan. Mesej itu juga banyak mengigit keinginanku untuk menulis semula.

“ Aku sudah berjaya menulis dalam blog. Aku dah kalahkan kau”

Tinta begini sememangnya menggilakan aku. Keinginanku kembali merakus.
Namun, dicelahan itu, sering aku menginsafi tentang sebuah ketaatan. Secara jujur dan ikhlasnya aku telah diperintah untuk membekukan segala tulisanku.

Biar penuh segala hajat. Biar menggunung keinginan. Biar tertebar pekikan meminta. Namun, mendahulukan perintah adalah sebuah keutamaan.

Sudah agak lama, blog aku pegun. Begitu, begitulah ia.

“ Ustaz memang sudah tidak menulis lagi ke?” Tanya salah seorang muridku.

Kadang-kadang aku rasa bersalah kerana mereka sentiasa menanti sesuatu daripadaku. Sedangkan aku membiarkan ia begitu. Begitulah perasaan yang mengeronyok jiwa Nabi Muhammad bila wahyu masih tidak diturunkan sedang sahabat sedia menanti sebarang isyarat ketuhanan.

“ Bukannya tidak menulis, masih menulis tetapi tidak diupload dalam internet sahaja” jawabku.

“ oooo…begitu!!!” gumam anak muridku.

“ Sabar yer..sampai waktunya tulisan ustaz akan bergelendangan semula”

“ Hanya masa dan perintah yang akan menentukan”

Perintah-perintah itu aku taati. Walaupun aku seringkali tidak tahu apakah tujuannya dan hikmahnya.

___________________________________________________

“ Dol, ustaz nak pergi Singapura la…” ujarku.

“ Jom pergi Singapura “

“ Buat apa ke Singapura “ Bedul pula menyoal.

Senyap. Aku tidak segera membalas.Membiarkan angin berdesir manja, memukul dedaun yang seakan merengek pohon dibelai.

“ Tuan Guru kita mengarahkan ustaz pergi ke sana. Lantas menziarahi maqam habib Nuh” aku mengalun nada perlahan.

Kali ini giliran Bedol pula menyepi.

“ Tapi, kita mesti pergi sebelum bulan maulid dol” aku memecah kekosongan tersebut.

Sepi lagi tanpa kata putus.

______________________________________________________

Entahlah sudah berapa kali aku mencadangkan safar ke Singapura. Namun Bedol masih belum ghairah untuk menemaniku ke sana.

Ada sahaja halangan. Sudah kami bersedia. Lokman pula tidak dapat dihubungi. Muridku yang akan membawaku menjengah ke Singapura.

Kelewatan ini tidak menggembirakan aku. Bulan maulid kian hampir. Hanya berbaki 2 hari lagi. Aku masih belum ke Singapura. Perintah tuan guru masih belum ditunaikan.

Handsetku berdering. Ingatanku segera tersentak.

“ Ya Syeikh Rosnan, sudah lama kita tidak berhubung. Apa yang ana boleh bantu?”aku memulakan perbualan.

“ Susah betul nak hubungi enta ni! “ rungut Syaikh Rosnan.

“ Begitulah selalunya sidi. Mungkin line ana tak berapa clear kot” aku membalas.

“ Begini, ana cuba menghubungi enta sejak dua minggu yang lalu”

“ Mengapa sidi ? “ aku tertanya-tanya.

“ Ada perhimpunan ulamak ahli sunnah wal jamaah di Singapura !! “

“ Ramai ulamak berkumpul disana. Syaikh Afifuddin al Gaylani, Syaikh Mahmud al Mrglani, Syaikh Zamihan, Syaikh Tengku Fauzi, Habib Hasan al Attas dan ramai lagi “

“ Ini pun ana baru aje balik “

“ Ana ingat nak jemput enta sekali, malangnya masalah komunikasi memisahkan kita “ tutur Syaikh Rosnan fasih.

“ Betul ke begitu Syaikh ? “ aku mengaduh.

Penyesalan mula bertaut dalam hatiku. Perasaanku mula membentak. Mula aku teringat dengan perintah tuan guruku.

“ Singapura! Ke Singapura! “ anjur tuan guruku.

“ Mengapa ke Singapura? Balasku

“ Ziarahlah ke maqam Habib Nuh. Di situlah segala hajatmu. Bulan itu menjadi isyaratmu dan anak muridmu menjadi bisyaratmu”

Aku terkesima.

Padanlah tuan guru beriya benar memerintahkan aku ke Singapura, supaya aku boleh bersama para ulamak yang menjadi qasad utamaku. Tetapi pengabaian terhadap perintahnya telah menjauhkan aku dari berdamping dengan para ulamak al amilin.

Setiap perintah tuan guru bermakna walaupun aku tidak mengetahui tujuannya. Perintah guruku adalah benar walaupun aku belum membenarkannya. Tujuan dan qasad perintah itu membongkar setelah aku menjalaninya.

Maafkan aku tuan guru. Ya Allah! Berikanlah aku hati yang berbaik sangka dengan tuan guruku. Janganlah jauhkan diriku dari berdamping dengannya. Dengannya aku berdamping denganMu.

Aku masih belum boleh menulis kerana masih dilarang oleh tuan guruku. Biarkanlah masa akan menentukan bila masa yang sesuai untuk aku berwacana.

Mungkin ada hikmah yang belum terukir disebalik perintah larangan ini. Aku masih taat.

Jika tulisan ini mula anda baca, ini bermakna larangan tersebut sudah pun diangkat. Tugasku mula aku galas. Menjadi prajurit di medan dakwah lewat penulisan. Membicarakan unsur ketuhanan dan rahsia kerohanian.

Terima kasih guru kerana memerintahkan aku kembali. Di sini…….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan