Isnin, 31 Mei 2010

Ku terkenang di saat pemergianmu…..( 1 )


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Aku akan up loadkan cerita-cerita kenangan aku yang berkaitan dengan Habib Ali. Moga Allah mencucuri rahmat ke atasnya. Pemergiannya adalah kedukaan kepada dunia. Rasulullah ada bersabda : (( Sesiapa yang tidak sedih di atas pemergian seorang alim, orang itu adalah munafiq)). Jauhkanlah aku dari sifat itu, Ya Allah...

Moga cerita-cerita ini boleh memberi manafaat kepada semua...Amin.

____________________________________________________________________

“ Kamu di mana sekarang ? “ soal tuan guruku.

“ Di Johor, sayyidi “ Jawabku.

Sudah 2 tahun berlalu. Semenjak aku melangkah pergi dari Maktab Perguruan Islam Bangi, aku sudah jarang menghubungi guruku.

Kini, aku sudah pun bergelar guru di SMK Tengaroh B. Suasana hutan. Jauh terpinggir dari kesibukan kota. Turut mengundang masalah teknikal berkomunikasi. Walaupun aku mempunyai telefon bimbit, namun ia sering tidak dapat digunakan kerana lemah signal. Sangat jauh bezanya dengan suasana hari ini.

Biah itulah yang telah menjarakkan aku dengan guruku, sehingga aku sering terlewat untuk mengirim khabar buatnya. Aku khilaf.

Namun, aku yakin. Bahawa guruku tentu memahami saat dan keadaan yang aku alami tika itu. Susah senangku adalah di dalam gengaman “ Maulay “. Dan “ Maulay” sering memberitahu kepada guruku melalui isyarat ilahiyyah mengenai suratanku.

“ Bagaimana keadaan dirimu di sana ? “ ujar guruku lagi.

“ Minih ( baik ) sayyidi . Mabsuthin…“ jawabku sambil tersenyum.

“ Di mana kamu sekarang ?” Guruku mengulang soalan yang sama kepadaku. Mukanya jelas memohon kepastian.

“ Di Johor, sayyidi “

“ Sudah melawat Habib Ali al I’ydrus ? “ jawapanku disoal kembali.

Aku terkesima. Terpinga-pinga. Siapa dia tu. Inilah kali pertama aku mendengar nama itu.

“ Siapa sayyidi “ aku pula mengulangi pertanyaan.

“ Habib Ali bin Jaafar al I’ydrus !!! “

“ Dia duduk di Batu Pahat “ Tegas guruku.

Aku sekadar senyum dan mengelengkan kepada tanda aku belum menziarahinya. Manakan tidak, itulah kali pertama aku mendengarnya. Kelibat pun aku tidak pernah lihat apatah lagi susuk tubuhnya.

“ Pergilah menziarahinya ! “

“ Dia orang alim malah zuhud lagi “

“ Rugilah kamu jika tidak mengunjunginya semasa hidup kamu, walau pun sekali! “

“ Pada dirinya ada keberkatan. Carilah, moga kamu beroleh cahaya darinya “

Permintaan guruku, menjadikan aku lebih bersemangat untuk mengenali jiwa seorang yang bernama Habib Ali bin Jaafar al I’ydrus.

“ Baiklah sayyidi. Saya akan berusaha mencarinya” lirih kata-kataku.

Terpaku benam yang dalam segala kemuncak keazaman, aku ingin mencari nama tersebut. Aku memerintahkan semua muridun aku supaya menjejaki “ cahaya gemilang berkilau “ tersebut.

“ Saya dah tahu ustaz, di mana rumah Habib Ali al Iydrus “ ujar Wak Paiman.

“ Dimana ?” soalku mudah.

“ Dibelakang BP Mall. Nama kampung tu, Kampung Solok Wan Mor.”

“ Kalau begitu, bersiaplah! Hari Sabtu ini, kita akan pergi ke sana demi amanat tuan guru kita.”

“ Semoga kita beroleh berkat “ aku mengarahkan.

Disinilah detik keramat buat kami semua. Bermula sebuah pencarian demi sebuah kemuliaan guru-guru untuk mencari Allah. Moga kami menjadi seperti mereka.

Walaupun aku amat teruja dengan perancangan itu, namun hatiku sering berdebar-debar untuk sebuah pertemuan. Bagaimana penerimaan Habib Ali nanti di atas kunjunganku. Wahai cahaya ! Wahai Guru! Terimalah diriku…

Aku akan pergi…..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan