Isnin, 7 Jun 2010

Aku terkenang saat pemergianmu ( iv)


Kursus di Maktab Perguruan Batu Pahat, telah membawa aku kembali berada di Batu Pahat. Seminggu aku berkampung di sana. Kursus ICT dalam penggunaan BBM, melemaskan aku. Tiada yang aku kenali, banyak menyingkirkan aku sehingga berasa keseorangan.

Peserta yang lain, kebanyakkan kembali ke rumah masing-masing walaupun mengambil masa sejam perjalanan. Namun aku, jarak yang tidak memungkinkan aku kembali ke Tenggaroh.

Keletihan juga perlu dilihat dari satu sudut. Aku takut kelesuan akan membinasakan aku. Sudahlah jalan rosak terkoyak dek bahana lori-lori balak dan yang besar, angkuh menguasainya. Hutan kiri dan kanan. Gelap. Menyeramkan. Berapa banyak pula berita-berita perampok merompak dijalanan bergesit di telingaku. Menambahkan hati bersyak wasangka sepanjang perjalanan.

Binatang-binatang buas seperti gajah, babi hutan dan yang lainnya turut memberi impak kepada keputusan aku, untuk menetap di asrama Maktab.Desir-desir cerita hantu juga adalah penyebab kereta aku di parkir sudut asrama Maktab.

Kini aku bergelut dengan kesunyian. Seorang diri di bilik asrama. Aku memang memilih untuk duduk seorang diri di asrama kerana tidak mahu diganggu. Aku mahu mengahbiskan masaku disitu dengan membaca buku. Sudah lama aku tidak mampu menghabiskan bacaanku. Dan inilah masa yang paling sesuai.

Walaupun begitu, aku sudah pun bersedia dengan jubah-jubahku untuk bertemu dengan Habib Ali. Adalah satu dosa bagiku, jika aku tidak menziarahi sohibul wilayah, jika aku berada dikawasan miliknya. Hari Khamis adalah hari terbaik buatku untuk menziarahinya.

Setelah beberapa hari di Maktab menjadikan aku begitu bosan. Tetapi Khamis itu mula menceriakan aku seketika. Usai solat asar, aku segera ke kantin untuk menikmati minum petang. Kemudian aku bersegera bersiap untuk bertemu dengan Habib Ali. Arghhh…kerinduan ini sudah tertampung lagi.

Perjalanan ke rumah Habib Ali dari maktab tidaklah begitu lama. Sekadar 20 minit. Menghampiri kediaman Habib Ali menjadikan hatiku bertambah getar. Aku memasuki ruang hadapan rumah habib. Tiada kereta atau motor yang diparkir dihadapan rumah habib. Kebiasaannya ruang itu pasti penuh dengan kenderaan, khususnya kenderaan mewah dari negara seberang.

Turunku perlahan. Jalanku lambat. Debaranku kencang. Maluku bertambah. Hasratku tekad. Doaku panjang. Harapanku gumpal. Aku memberi salam.

Pintu terkuak besar. Seorang anak muda tersenyum dimuka pintu. Wajahnya bersih. Genetik arab memang dikenali dari raut wajahnya.

“ Nak jumpa Habib ye ? “ soalnya.

Aku hanya tersenyum dan menganggukkan kepala sahaja.

“ Habib masih di dalam. Tunggu dulu ye” pintanya dengan sopan.

Sambil menunggu, aku hanya memerhatikan keadaan sekeliling. Ruang itu kecil, menyebabkan mata kami saling memandang antara satu sama lain. Sesekali pemuda itu keluar masuk, keluar masuk. Membawa cawan dan air kopi.

Kemudian kami berbual ringkas. Aku bertanya kepadanya tentang dirinya. Dia memperkenalkan dirinya sebagai cucu Habib Ali. Sekarang dialah yang berkhidmat menjaga Habib Ali sepenuhnya. Kemudian dia memperingatkan aku agar menghabiskan sisa minuman yang disediakan kerana Habib memang menjaga adab dalam hal itu.

Setelah saling mengenali, pemuda itu masuk ke dalam. Agak lama beliau di dalam dan aku keseorangan. Sepi itu membuatkan aku bangun dan memerhati sekeliling. Aku menjenguk laman luar dari pintu hadapan yang terbuka. Sedang aku gamit, mataku merenung kelibat seorang lelaki yang berjalan menuju ke arah rumah Habib.

“ Tentu orang jauh “ getus hatiku.

Makin dia menghampiri, mengukuhkan tekaanku yang dia akan ke rumah Habib.

“ Dari mana? “ soalku setelah bersalaman dan memperkenalkan diri.

“ Dari masjid” jawabnya ringkas.

“ Berjalan kaki?”

“ Cucunya kata, habib akan bertemu selepas asar sahaja. Jadi ana terus ke masjid.”jelasnya.

“ Antum asal mana?” aku bertanya.

“ Dari Singapura. Ana datang sini atas arahan tuan guru ana.”

“ Siapa guru antum?”

“ Habib Hasan dari Bandung, Indonesia”

“ oooo….” Aku menganggukkan kepalaku.

Hari makin suram. Kelam mula berbalam-balam. Habib masih belum keluar untuk menjengah.

“ Kenapa Habib masih belum keluar ni? Biasanya Habib tidak seperti ini.” Lirih hatiku.

“ Adakah habib tidak ingin bertemu denganku? Apakah salahku?”soalan-soalan berbaur kekesalan mula menguasai diriku. Untuk menghilangkan rasa mual kebosanan, aku berbual santai dengan penziarah dari Singapura itu.

6.30 petang, pintu yang memisahkan ruang tamu dan ruang dalam rumah dibuka. Pemuda itu tersenyum sambil membuka engsel pintu. Bunyi pintu mengeruak kuat. Ku lihat dengan jelas pemuda itu memangku kuat Habib Ali yang mendatangi aku seakan bertatih-tatih. Terima kasih Habib kerana masih sudi mengintai kami walaupun dalam keadaan yang amat menguzurkan.

Habib terpacak dimuka pintu sambil memandang wajah tetamu dari Singapura. Wajahnya amat mengerunkan. Aku tidak pernah melihat wajah seperti itu.

“ Bukan ana! Bukan ana! “ tempik Habib.

Aku terkesima. Gerun.

“ Ana bukan orang yang kamu hajati! “ pekik Habib lagi.

Aku bertambah bingung. Tetamu itu pun bingung. Kami menatap wajah antara satu sama lain.

“ Arghhh…ribut ni. “ getus hatiku.

“ Takkan Habib dah nyanyuk. Tak mungkin kot.” Hatiku berbisik.

“ Bukan ana, bukan!! Bukan ana !! “ teriak Habib lagi. Kali ini turut serta dengan gerak tangan bererti ketegasan.

Aku betul-betul bingung dengan situasi itu. Namun, bila Habib menatap wajahku, segera Habib tersenyum dan menjemputku duduk.

Aduh…cepatnya habib berubah. Mengapa?? Aku dan Habib berbual, seolah-olahnya tiada apa yang berlaku sebentar tadi. Banyak juga yang kami bualkan. Tentang perkembangan dakwahku, anak-anak muridku, usaha pembinaan madrasah dan pelbagai lagi.

Banyak nasihat yang diselitkan buat ramuan perjuanganku bertambah lazat dan enak. Aku mendengar setiap titip huruf. Aku menatap wajahnya tanpa jemu yang bertamu. Aku menyedut setiap hembus nafasmu, kerana setiap nafas keluar masukmu hanya disertai dengan ingatan kepada Allah.

Seketika itu, Habib memalingkan kepalanya, lantas memandang wajah penziarah dari Singapura yang masih teleku di sudut ruang itu. Wajah Habib segera menyeringai. Tak sanggup pula aku menghadapi saat-saat ini.

“ Ana sudah bilang, bukan ana, bukan analah” tempelak habib.

“ Enta pergi cari orang lain. Bukan ana”

Penziarah itu hanya membatu kebingungan. Dia hanya mampu memandang wajah Habib dengan keadaan sayu.

“ Enta ni siapa?” Habib menyoal dengan telor arab.

“ Siapa tuan guru enta? Apa yang dia mahu ?” bertubi soalan terpacul dari mulut Habib.

“ Ana anak murid Habib Hasan dari Bandung” jawabnya.

“ Siapa ?” ulang Habib Ali.

“ Habib Hasan dari Bandung”

“ Tuan Guru saya pesan supaya berjumpa dengan habib”

“ Dia suruh habib keluarkan sesuatu dalam badan saya” terangnya.

“ Kan aku dah cakap! Bukan aku! Pergi jumpa orang lain! “ pinta habib dengan nada tegas.

“ Sudah! Cari orang lain”

Masya Allah! Kejadian ini membuatkan aku benar-benar terpaku. Rasa bersalah mula menyelemuti diriku. Tidak baik aku berburuk sangka dengan Habib. Sekarang sudah jelas, karamah itu menambah kemuliaan habib dan menjadikan aku lebih rendah dan haqir di sisi Allah.

Kasyaf. Itulah kalimah yang berputar-putar melingkungi benak pemikiranku. Kalimah misteri yang tidak dapat dirungkai dengan hukum akal dan adat. Yang memilikinya adalah pemilik cinta. Yang memilikinya adalah kekasihnya. Aku bersyukur kerana tika ini aku bersama orang yang memilikinya.

“ sudah, berikan dia nombor telefon Idris.” Perintah Habib kepada cucunya.

Teksi yang ditempah oleh penziarah itu sudah menunggu di hadapan rumah. Penziarah tergesa-gesa mengambil nombor itu dan beredar seperti yang dipinta oleh Habib.

“ Kirim salam sama tuan guru enta “ arahan Habib kepada penziarah sebelum beliau meninggalkan rumah Habib.

Aku tersenyum. Riang dengan keadaan itu kerana aku menyaksikannya dihadapan mataku. Habib, aku cukup rendah dihadapanmu. Ya Allah, kurniakanlah kepadaku dengan apa yang Kau kurniakan kepada Habib Ali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan