Sabtu, 12 Jun 2010

Cahaya


“Kelkatu tidak pernah membezakan antara cahaya lampu masjid, cahaya lampu kuil, cahaya lampu gereja atau mana-mana pun. Cahaya tetap bersifat cahaya - Mathnawi : Syeikh Maulana Jalaluddin al Rumi

"ust,bolehtak ust jelaskan pada saya kata2 tersebut,golongn penentang tasawuf dan wahabi sudah tentu menuduh syeikh jalaludin al-Rumi sbg berfahaman plurarisme”. tulis seorang ikhwan kepadaku.

“nanti ana jawab dalm blog ea...bagus juga tu...” balas aku.

Sememangnya perkara ini sudah tentu akan menjadi perbahasan yang panjang. Polimik yang menjebak. Penentang-penentang tasauf akan terus bersiponggang. Berteriak tanpa rasa. Memekik untuk menghina kepada sejumlah para pencinta.

Walaupun ditulis seribu buku. Dihampar seribu hujah. Dibentang seribu dalil naqliyyah dan aqliyyah. Semua itu hanya hiasan yang menjijikkan bagi penentang jiwa-jiwa pecinta. Penentangan itu bukan hanya berlaku sekarang, malah ia sudah lama. Berkapuk lamanya.

Penentangan usang ini sentiasa dihiasi sehingga ia tetap segar pada setiap zamannya untuk diperhujahkan. Entah apalah yang mendorong manusia sentiasa jaga dengan persoalan ini. Titik perbezaan mereka ialah dari sudut ilmu yang bagaimana, yang mereka bahaskan. Oleh itu mereka yang mengejar dan menampi al haq tidak akan mencapai jalan yang meluruskan.

Lahir juga pecinta-pecinta yang turut membela jalan kecintaan mereka seperti yang aku pernah baca, sebuah buku dengan judulnya “ Tuhan Manusia “. Buah karya Faisal Tehrani. Juga memuatkan beberapa pendapatnya yang membela Sayyidi Jalaluddin al Rumi dari sebaran fitnah plularisme.

Aneh. Sayyidi Jalaluddin tetap unggul namanya. Beribu penziarahnya di Kota Konya. Mataku sendiri yang menyaksikan para pencinta, berpusu mencarinya. Walaupun ia sudah tiada. Mathnawi, mengalahkan jutaan syair para pujangga. Malah, akhlaknya tersemat pada setiap warga. Aku sendiri yang menyaksikan, titip gerak mahmudah dalam langkah anak konya sehingga akhlak itu menjadi busana.

Aduh...kita yang benar. Kita yang haq. Tapi dimana bukti kebenarannya. Siapa yang mencari kita. Sedang hidup lagi terbiar, inikan pula hanya tinggal nama. Mana kata kita yang dikutip buat menjadi panduan hidup anak bangsa. Kata kita hanya bergesit dilubang telinga dan terpacul menabrak diruang angkasa. Tapi, kita masih boleh mendabik dada. Sering kuat mencari beda. Antara kita dan dia.

Tanpa salah memekik kitalah yang benar, dialah yang bencana. Kitalah yang benar, dialah yang salah sahaja. Tapi diingatkan, kebenaran adalah milik Allah.

Syeikh Jalaluddin al Rumi adalah seorang sufi agung yang berasal dari Persia. Beliau lahir dalam tahun 604 Hijriyyah/1207 Masihi dan kembali ke rahmatullah dalam tahun 672 Hijriyyah / 1273 masihi.

Mathnawi adalah karya agungnya yang menempatkan idea-idea ketuhanan yang tinggi dan sufisme yang hebat. Dalamnya terdapat perbicaraan asas hingga tertinggi dalam memahami suluk kepada Allah. Dari bicara buat mubtadi dan klimaks buat muntahi. Persoalan cinta mendasari dalam karya pencinta agung ini. Jika kita bukan seorang pencinta, penyair dan seorang sufi, nescaya kita tidak mampu untuk memahami apatah lagi mengulas panjang setiap susun huruf berumuz itu.

Maka inilah jawapan pada kalam mathnawi. Fahamilah dengan baik dengan bersangka baik,kerana sesuatu yang mula dengan baik, natijahnya ialah baik. Begitulah juga dengan sebaliknya. Allahu Allahul mustaan....

Al Nur

Menurut pendapat ahli sufi bahawa asal usul atau hakikat seluruh alam semesta raya ini, yang ghaib dan yang nyata, ialah Nur Muhammad yang berasal dari NuruLlah . Satu daripada Nama
Allah itu sendiri pun adalah al Nur iaitu Cahaya.

Menurut pendapat mereka, segala sesuatu itu adalah dari Nur Muhammad. Adapun Nur Muhammad itu digelar juga dengan Haqiqatul Muhammadiyyah ( Hakikat Muhammad ) . Nur ini banyak gelarannya.Ada yang menamakannya al Ruh. Ada yang menamakannnya al Qalam al A’la. Ada juga yang menamakannya Luh Mahfuz.

Ada juga yang menamakannya al Aqal al Awwal, dan ada juga yang menamakannya haqiqatul haqaiq ( hakikat bagi segala hakikat ). Bahkan berbagai-bagai nama lagi, menurut pengertian dan fungsinya masing-masing. Dari Haqiqat itulah terbit alam semesta raya ini, yang ghaib dan yang nyata.

Hakikat atau realiti inilah penzahiran atau manefestasi Tuhan ( Allah ) yang pertama, dan darinya terbit dan ternyata yang lain. Dari hakikat yang esa itu terzahir banyak penzahiran. Sebab itulah nur atau hakikat itu esa tetapi manifestasinya banyak.

Boleh juga diibaratkan sebagai air. Air itu satu tetapi tempat yang mengandungi air itu banyak. Ada air sungai, ada air telaga, ada air paip, laut, air mata, mata air, hujan dan berbagai-bagai lagi. Semuannya air belaka pada realiti atau hakikatnya. Tetapi tempat yang menyimpan air itu berbeza. Berbeza pada tempat, berbeza pada duduknya, berbeza pada rupa dan zahirnya.

Cubalah fikirkan! Kemanusiaan satu, tetapi individu itu manusia itu banyak.Pedas ( iaitu rasa pedas) itu satu, tetapi cabai atau cili banyak dan berbeza bentuknya. Masin itu satu tetapi garam ada berbagai bentuk. Manis itu satu tetapi benda-benda yang manis banyak seperti gula dan segala benda yang manis. Oleh kerana itulah kata orang sufi bahawa Zat itu esa, tetapi sifat dan asma ( nama-nama ) itu berbeza.

Jesteru itu, tuhan-tuhan ciptaan manusia adalah gambaran mereka terhadap tuhan. Tetapi tuhan ( Allah ) itu esa. Allah itu tunggal. Mereka menyangka tuhan mereka perkasa, maka mereka membentuk berhala yang mengambarkan keperkasaan tuhan mereka. Mereka mengambarkan tuhan mereka dengan pelbagai bentuk, namun bentuk mereka itu hanya khayalan dan manifestasi mereka terhadap rasa bertuhan. Rasa bertuhan itu satu. Semua memerlukan tuhan. Keperkasaan yang mereka gambarkan, kepemurahan, kehebatan, maha melihat, mendengar dan apa –apa sahaja, maka itu adalah sifat bagi tuhan yang satu. Kemudian mereka pisah-pisahkan!

Kisah bertuhan ini, Allah rakamkan dalam al Quran, bagaimana Nabi Ibrahim men cari tuhan. Dan Allah berfirman : ( fama sya arakkabak ) bentuklah tuhan yang kamu mahu. Sayugia, Maulana Jalaluddin Rumi menggambarkan mereka yang mencari tuhan dengan gambaran orang buta yang mengambarkan gajah. Pelbagai bentuk yang mereka gambarkan tentang gajah, namun yang celik, yang matanya boleh menerima Cahaya, boleh mengambarkan gajah dengan tepat.

Bagi mereka yang mengaitkan Maulana dengan fahaman pluralisme adalah tidak tepat dan terpesong dengan ajaran Islam sama sekali. Maulana tidak menyatukan agama dengan menerima tuhan-tuhan manusia, sebaliknya Maulana hanya menerima hakikat kepada hakikat. Menerima cahaya dengan hakikat cahaya. Menerima mereka dengan rasa bertuhan, yang memerlukan tuhan. Bukannya tuhan mereka. Allah tetap tunggal dan esa.

Maka, Maulana pantas bersyair, bergurindam dalam mathnawi. Tenggalam dalam kelemasan Bahrus Sofa. Cahaya tetap satu. Allah tetap esa.

Maulana berkata :

Pelita banyak dan berbeza
Cahaya sama dan satu jua
Jika anda lihat lampu saja
Hilanglah anda dalam “ banyak “ dan “ berbeza “

Pandanglah pada cahaya
Anda akan lihat satu saja
Berbilang-bilang hanya bentuk saja
Boleh dibilang, satu, dua dan tiga

Begitu juga pendapat manusia
Berlainan dan berbeza-beza
Timbullah pelbagai mazhab agama
Keluarlah pelbagai pandangan dan fatwa

Kalau kita ada sinaran
Dapat memandang keseluruhan
Tidaklah lagi ada perbezaan
Lenyaplah segala perbalahan


Syeikh Ibnu al Arabi berkata bahawa pada hakikatnya, realiti yang mengetahui dan memahami itu adalah satu. Inilah yang digelar “ al Nur “ ( cahaya ). Tanpa ‘ cahaya “ ini tidak ada apa dan siapa pun yang mengetahui dan memahami, atau diketahui dan difahami.

Pada manusia, cahaya itu adalah ruh rasional. Syeikh Ibnu al Arabi menegaskan keesaannya cahaya ini, bukan sahaja dalam tugas kosmiknya ( cosmic functions ) sebagai “ Akal “ tunggal yang bekerja dalam semua falak ( sphere ) akal, tetapi juga dalam setiap individu di mana cahaya itu berada. Hanya manusia sahajalah yang memiliki keesaan ini dalam darjatnya yang paling tinggi.

Manusia mendengar, melihat, merasa, memikir, mengingat, mengkhayal dan yang paling penting ialah menerima semua ilmu dari alam ghaib melalui panca indera dan fakulti ( daya ) yang diberi pelbagai nama. Semua itu, kata Syeikh Ibnu al Arabi, adalah satu pada dasarnya, iaitu Nur ( cahaya ).

Jika anda ketahui suara, maka anda gelar Cahaya yang mengetahui itu “ pendengaran “. Jika anda ketahui melalui penglihatan, maka anda gelar cahaya itu “ penglihatan “. Begitulah seterusnya. Pendek kata, menurut Syeikh Ibnu al Arabi, Nur atau cahaya itu adalah sesuatu yang melaluinya fahaman dan pengetahuan terjadi. Di samping itu, sesuatu yang difahami mestilah ada perkaitan khusus dengan Cahaya yang Maha Mengetahui , iaitu Allah S.W.T.

Kata Syeikh Ibnu al Arabi lagi, bahawa Allah itulah sahaja yang mengetahui dan yang diketahui. Jika sesuatu itu tidak diketahui oleh akal ( bukan semestinya akal manusia sahaja ), maka ianya bukanlah realiti ( hakikat ). Cahaya ( nur ) yang memahami warna, suara dan yang membayangkan idea dan membentuk gambaran dalam akal atau mental itu adalah juga sama dengan nur ( cahaya ) yang melihat hakikat itu sendiri.

Deria ( sense ) melihat dan membuat tanggapan ( persepsi ) melalui Nur yang mengetahui. Nur itu adalah zat deria itu sendiri, juga zat objek yang dilihat atau ditanggapi itu. Maklumat yang dikumpul oleh deria dari alam nyata terus pergi kehati dan dirujuk kepada akal.

Akal itu, tempatnya berada dalam otak, mengenal pasti maklumat atau impresi ( impression ) ini sebagai tanggapan deria ( sense –perception ) dan menghantarnya kepada fahaman ( mufakkira ) .

Tugas “mufakkira” ini ialah menganalisis dan membeza-bezakan persepsi atau tanggapan itu. Apabila proses penyerapan dan pembezaan berlaku, sebahagian dari tanggapan yang menarik fikiran itu akan tersimpan dalam ingatan, iaitu fakulti yang paling hampir dengan hati. Dalam semua laluan itu, Nur itulah yang bekerja dan bertindak meskipun banyak saluran dimana tenaganya mengalir.

Begitulah serba sedikit penjelasan mengenai kata-kata Maulana Jalaluddin al Rumi yang bisa ditafsir melalui bingkisan mathnawi. Moga-moga ianya memberi faham kepada penuntutnya, walaupun aku bukanlah ahlinya.

Semoga Allah ampunkan aku jika aku tersalah dalam titp kata atau terlajak bicara. Aku juga manusia. Aku juga hamba. Penuh dosa dan kelemahan. Jawapan ini adalah sedikit. Sedikit pada kebenarannya dan sedikit pada rasanya. Tapi, pepatah ada mengatakan: jika rotan tiada, akar pun jadi.

Terimalah seadanya....


• Maaf! Teks ini sudah siap 2 minggu yang lalu, tetapi menunggu keizinan dari guruku untuk diuploadkan...maaf atas kelewatan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan