Jumaat, 4 Jun 2010

Ku terkenang di saat pemergianmu…..( iii )


Petang itu, rombongan kami dari Tenggaroh telah bertolak awal ke Batu Pahat. Matlamat kami, Cuma ingin bertemu dengan Habib Ali al I’ydrus.

Jika tidak didesak, nescaya aku tak pergi ziarah ini. Bukannya aku tidak mahu ketemu dengan Habib. Bahkan, jiwa ini sering gelojak untuk menziarahinya. Namun, aku sememangnya tidak berapa setuju dengan tujuan kedatangan kali ini.

Keluarga anak muridku beria untuk mendapatkan khidmat doa Habib Ali kerana kepincangan yang berlaku dalam keluarganya. Bukannya aku tidak mengenali habib Ali. Kerana pengetahuan dan cintaku inilah yang melarang pemergianku.

Namun, bila dikenang siyar rasul. Nescaya aku tidak mampu untuk menolaknya, apatah lagi mahu menurut kehendakku. Aku masih teringat ketika aku betalaqqi dengan Syaikh Said Ramadhan al Bouti, beliau ada menyatakan : Rasul tidak pernah berkata tidak kepada ummatnya. Baginda berkhidmat kepada ummatnya lebih dari dirinya.

Aduh, ummat apa pula aku ini, jika tidak mampu untuk berkorban kerana rasulnya. Cinta apa pula diri ini jika tiada pengorbanan padanya. Jalan aku, ialah jalan yang ditunjuki nabi.

Kami sempat berhenti di stesyen minyak air hitam. Hatiku kian berdebar-debar. Adakah debaran ini kerana cintaku atau debaran ini kerana aku malu. Entahlah. Debaran itu kian tidak tertanggung apabila kami mula masuk ke ruang hadapan rumah habib Tapi, aku gagahi untuk melangkah.

Suasana rumah Habib tidak berubah. Ia tetap begitu, walau sudah agak lama aku meninggalkannya. Kusam. Tetapi ia hanya sekadar luaran, tidak pula pada dalaman. Walau rumah itu usang, rumah itu kusam, pengunjungnya tidak pernah rasa jijik untuk kembali mendatanginya. Rumah itu saban hari menerima kunjungan dari pelusuk dunia, tanpa henti.

Rahsia apakah yang tertekat di jiwa penziarah tanpa hitung, mengulang datang tanpa jemu di rumah usang, kusam dan pudar itu. Seolah cinta itu menggila dan membutakan pandangan. Ada warga metropolitan, datang dari bandar kosmopolitan, hidup dengan kemewahan dan puncak kemodenan. Di ulit kebersihan dan panorama kejanggalan berwajah setinggan.

Tapi, rumah kusam, rumah usang, dan rumah pudar itulah yang mereka redah. Rumah itulah mereka jengah. Seolah rumah itu adalah syurga. Seolah rumah itu adalah taman yang indah. Dan aku tergolong dalam penziarah yang buta dan menggila itu.

Kehadiran kami, telah didahului oleh penziarah yang lain. Ruang tamu itu dipenuhi. Aku mengambil ruang dan menanti giliran untuk berbual mesra dengan Habib. Dalam usia yang sangat uzur itu, Habib masih mahu melayan karenah pengunjungnya. Tidak pernah menyakiti malah dihormati. Tidak pernah meninggalkan tapi sentiasa mendengar rintihan dan memberi jawapan.

Akhirnya tibalah giliran aku mendekati Habib. Habib tersenyum dan aku membalasnya. Kami berbual mesra. Ingatan Habib masih kuat. Habib masih mengingatiku. Keterujaan itulah aku bercita-cita menjadi sepertinya.

Akhirnya, aku memberanikan diriku, menyatakan hajat kehadiranku. Membawa rombongan dari Tenggaroh kerana hanya memohon doa. Anak muridku telah mengeluarkan berbondong air mineral untuk didoakan oleh Habib.

Aku mengucapkannya dengan teragak-agak. Wajah Habib mula berubah. Aku sudah menjangkakan perubahan pada diri Habib.

“ Enta datang sejauh ini, semata-mata ingin mohon doa dari ana?”soal Habib.

Muka habib berkerut, memohon kepastian dari aku. Serba salah. Aku sudah merasa terpukul dan rasa bersalah yang amat sangat.

“ Ya Habib. Anak murid ana yang mohon sangat keberkatan antum” tukasku.

“ Antum tak usah payah-payah datang kemari untuk doa ana.”

“ Antum sahaja sudah cukup” ujar Habib.

Terkejut aku dengan tindakan Habib. Sungguh berat sekali permintaan habib. Terasa bebanan yang berat terpikul dipundakku.

“ Ya, antum sudah cukup” Habib menekankan kata-kata penegasan.

Pegun. Habib menutup kembali botol-botol air yang disediakan oleh anak muridku. Di tolaknya ketepi anak muridku.

“ Air ini tuan gurumu boleh mendoakannya. Tak payah susah-susah cari ana” jelas Habib kepada anak muridku.

Habib. Kezuhudanmu amat memastikan kedudukanmu di dalam syurga dari sudut pandanganku. Engkau mesra dan lembut. Lembutmu adalah tajalli dari lathif. Sabarmu adalah tajalli dari sobur.

Sementara aku seorang pengemis dari kekayaan khazanah cintamu. Kezuhudanmu adalah simbol kekayaanmu. Tuan guruku pernah berkata : Yang kaya ialah dia tidak berhajat kepada sesuatu.

Kami pulang ke Tenggaroh dengan berbaur-baur perasaan. Tapi aku masih sibuk dan binggung memikirkan saratan taklif bersandar pada jiwa ini. Doa itu bukan hanya satu permintaan, tapi pengharapan. Pengharapan manusia nanti bakal menggondol kekeringan qalbu milikku. Mampukah aku sedangkan aku belum qurbah padaNYa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan