Selasa, 27 Julai 2010

Aku ingin jadi pejuang!


Baginda bertanya kepada Saidina Umar : Apakah yang kau infaqkan untuk kali ini? Tersenyum Saidina Umar. Kali ini pasti akan sama seperti Abu Bakar. Semasa perang Badar soalan yang sama ditujukan kepada Abu Bakar, maka jawapan Abu Bakar ialah separuh hartaku. Umar dikalahkan dari segi jumlahnya oleh Saidina Abu Bakar.

Tanpa ragu dan keyakinan Saidina Umar menjawab separuh hartaku. Kemudian datanglah Saidina Abu Bakar berjumpa baginda dan Saidina Umar disisi. Baginda Rasul terus bertanya : Apakah yang kau infaqkan untuk jihad kali ini?

Saidina Abu Bakar menjawab : Seluruh hartaku. Rasul segera bertanya : Bagaimana keadaan anak dan isterimu ? Saidina Abu Bakar menjawab : Aku tinggalkan Allah dan Rasulnya.

Bersiponggang syaitan lari dihentam dan ditujah panahan petir dan halilintar. Nafsu berjaya ditumbangkan! Harta tidak bermakna berbanding cinta kepada Rasul. Cinta itu memberi.

Hiduplah dengan memberi sebanyak-banyaknya, bukan menerima sebanyak-banyaknya!

----------------------------------------

“ Kau sanggup menerima ujian, jika engkau berada di jalan ini ? “ soal ayah aku.

“ Ya! Saya abah. “ tegas aku.

Aku berhujah panjang dengan ibu dan ayahku, menjelaskan perjuangan yang aku bawa. Akhirnya abah akur dengan kehendak aku. Mungkin dengan ayat-ayat memujuk dan perbandingan yang dapat aku gambarkan melalui perjuangan atuk dan aku, menjadi hati abah sedikit boleh menerima.

Mungkin usia tua abah menjadikan abah lebih berlembut dengan tindakannya berbanding usia mudanya dahulu. Sementara mak pula, hanya diam membatu. Mak memang biasanya tidak masuk campur urusan seperti ini. Lebih banyak mendengar sahaja. Kerana mak bersifat sensitif. Kalau bicara pasti menitiskan air mata. Lebih banyaklah hati yang akan terluka. Hati mak sendiri dan hati anak-anaknya. Maka mak mengambil pendekatan diam sahaja.

Perjuangan ini akan menjadi lebih sukar jika tanpa sokongan padu ahli keluarga. Malah Rasul sendiri memulakan langkah dakwahnya dengan membina asas utuh dalam keluarga. Namun, pasti tidak semua akan mengikut kehendak kita. Malah, pasti akan ada yang menentang. Begitulah, Abu Lahab dan Abu Jahal, memilih jalan untuk menentang baginda. Sedangkan mereka adalah kerabat baginda sendiri.

Jesteru, bila baginda diuji sebegitu. Aku juga akan diuji sebegitu. Malah sesiapa sahaja yang memilih jalan ini, pasti ujiannya adalah seperti baginda jua. Maka, sebanyak sedikit pasti memberi impak kepada jiwa-jiwa pejuang. Menjadikan sedikit lemah dalam perjuangan. Namun, Allah sentiasa memberi peransang kepada para pejuang seperti firmannya :

(( Harta dan anak-anak adalah hiasan hidup di dunia ))

“ Lain kali, buatlah simpanan. Dah asing-asingkan dah duit tu. Sebab kita selalu guna kereta. Dia pasti akan rosak punya.” Ayahku memberi cadangan dengan nada yang agak tegas.

“ Dah simpan dah! Tapi nak buat macam mana, kali ini dia nak rosak teruk sekaligus “ aku menjawab.

“ lagi satu, mintaklah duit kalau buat persembahan ke, ceramah ke. Duit tu nak jugak gunakan untuk yang lain.”

Berdesing telinga aku dengan permintaan ayah aku. Terus terang ianya menyalahi teras perjuangan yang dita’dib oleh tuan guruku. Tuan Guruku berjuang seorang diri. Tidak pernah beliau meminta-minta dengan sesiapa pun. Tidak pernah aku mendengar beliau merintih dan merengus dengan segala kekurangan.

Aku ingin jadi sepertinya. Menjadi seorang pejuang. Pejuang yang tabah. Pejuang yang mewaqafkan dirinya untuk mempertahankan Islam dan sumber-sumber dari serangan musuh-musuh Islam. Dirinya, hartanya, keluarga dan segala-galanya adalah kerana Allah.

Tuan guruku mengajar aku untuk tidak meminta-minta. Pintalah pada Allah. Tawakal setelah usaha dengan sebenar-benar pergantungan, adalah usaha mencari sebuah ketauhidan yang mutlak.

Permintaan ayah aku adalah terlalu tinggi. Permintaan ayah aku amat menyalahi jiwa perjuangan yang aku dokongi. Berapa ramai pejuang yang berusaha dalam dakwah mereka yang bermula dengan memohon sedikit akhirnya lebur menanti dan menunggu yang banyak. Sudah elok menjadi pejuang, berakhir menjadi penunggu.

“ Cuba kau tengok abang kau tu. Dia simpan duit dalam bank , sampai 20 ribu lebih” ayah aku cuba membanding.

Sekali lagi aku rasa terbidas dengan hempukan yang deras. Tepat sekali ke muka. Sememangnya pedih kata lebih menyakitkan dari pedih luka terguris dek pisau. Aku sekadar mengelengkan kepala tanda aku tidak bersetuju sama sekali. Sambil aku tersenyum sinis.

“ Abah!” tukasku.

“ Kalau abah nak anak abah, anak mak, nak simpan duit banyak tu. Anak abah boleh buat”

“ Kalau nak lebih pun boleh. Anak abah boleh buat”

“ Tapi dengan satu syarat yang mak dan abah mesti setuju! “ aku meminta.

Terpaku ayah aku sebentar. Menatap wajahku dengan satu harapan.

“ Apa dia ? “ getus ayahku.

“ Izinkan anak mak abah, berhenti mengajar. Anak abah takkan mengajar sama sekali. Waimma di masjid, surau, kelas pengajian mahupun di sekolah! “

“ Dimana-mana sahaja! “ tegasku.

“ Biar anak abah ini, buat kerja lain. Kerja macam abang ke, atau sebagainya.”

“ Anak abah tak sanggup jadi pendakwah! “ Sekali lagi aku menegaskan.

Kalamku tadi membuatkan ayah aku cukup terpinga-pinga.

“ Ehh! Kenapa jadi macam tu pulak? “ soal ayahku.

“ Ermmm…”

“ Abah! Mak! Anak abah dan anak mak ni, mengajar pada anak muridnya, mengajar pada orang ramai tentang infaq. Tentang dakwah. Tentang cinta. Tentang mujahadah. Tentang pengorbanan”

“ Mengajar mereka tentang kata-kata Saidina Abu Bakar bila disoal oleh baginda tentang apa yang diinfaqkan, maka jawab Saidina Abu Bakar : Aku infaqkan semua sekali. Baginda menyoal : Apa yang kau tinggalkan untuk anak dan isterimu. Saidina Abu Bakar menjawab : Aku tinggalkan Allah dan Rasulnya “

“ Mengajar mereka tentang Imam Syafie menginfaqkan harta yang diperolehinya sebelum kembali ke rumahnya dan dihalau ibunya. Dan hanya menerima anaknya melainkan dalam keadaan tiada apa-apa”

“ Mengajar mereka yang Rasul memberi segala-galanya sehingga baginda sendiri lapar.”

“ Saidatina Aisyah telah memberitahu : Rasulullah tidak pernah kenyang selama 3 hari berturut-turut.”

“ Tapi anak mak dan abah ini yang mengajar begitu tetapi tidak begitu”

“ Anak mak dan abah, ada duit yang banyak, berkepok-kepok di dalam bank”

“ Anak mak selalu kenyang kerana mampu membeli makanan.”

“ Anak mak boleh tersenyum melihat angka-angka wang yang tersimpan, sedangkan orang miskin dan anak yatim runsing dengan kehidupan mereka”

“ Anak mak amat sedikit infaq, sehingga ada duit yang banyak! “

“ Anak mak dan abah akan berdosa. Akan dipersoalkan dengan apa yang dia ajarkan. Dengan apa yang disebutkan. Diucapkan.Di laungkan tetapi tidak di amalkan.”

“ Itu bukan perjuangan anak mak dan abah. Perjuangan anak mak dan abah ialah mencontohi rasul dan orang salih “

“ Perjuangan anak mak dan abah ialah hidup seperti mereka”

“ Anak mak dan abah telah memilih jalan ini. Biar pun miskin. Biar pun papa, tapi itulah perjuangan anak mak dan abah.”

“ Mana ada orang yang berjuang akan menjadi kaya, mak ! abah !”

“ Kalau ingin menjadi kaya dan duit yang banyak tersorok di dalam bank, bukannya jalan perjuangan anak mak dan abah.”

Aku lihat mata ibuku mula berkaca. Cuba menampung lebihan air yang terkumpul dikelopak mata. Air itu tidak mampu tersejat dan mula mengairi di celahan pipi.”

“ Maafkan anakmu, mak! Abah ! “ getus hati kecilku. Aku cuba memberi faham.

Jalanku ialah jalan Rasul. Jalanku ialah jalan yang ditunjuki Rasul. Perjuanganku ialah bermujahadah untuk jadi seperti Rasul, walaupun aku tidak mampu. Cinta aku pada Rasul tiada apa yang membatasinya. Tiada apa yang menghalangnya. Cinta itu yang membuatkan aku berkorban segalanya. Seperti Abu Bakar berkorban segala hartanya untuk Rasulullah.

Berhaklah Abu Bakar mendapat iman yang lebih berat dari seisi dunia kerana cintanya. Mengapa aku ingin menjadi seperti itu dihalang! Mengapa aku ingin jadi seperti itu dianggap salah! Terkadang aku berfikir, ketika Saidina Abu Bakar melafazkan : Aku serahkan segala hartaku dan aku tinggalkan Allah dan Rasul pada isteri dan anakku, apakah situasi pada isteri dan anak Saidina Abu Bakar. Tidak memberontakkah mereka? Tidak melawankah mereka kerana harta telah diserahkan kepada baginda Rasul. Aduh! Iman apakah mereka? Pengorbanannya sampai begitu sekali. Cintanya melebihi segalanya.

Rasul bersabda : 3 golongan yang mendapat kemanisan iman ialah, mencintai Allah dan RasulNya, lebih dari segala-galanya. Ya! Lebih dari segala-galanya! Apa bukti untuk kata-kata seperti itu. Mengapa perjuanganku untuk memperolehi iman dan manisnya dihalang, ditahan-tahan dan dianggap salah. Ya ! Aku ingin jadi pejuang! Pejuang untuk itu! Pejuang untuk beroleh manis iman! Pejuang untuk menjadi seperti rasul.

Pernah suatu ketika, aku mendapat ganjaran wang terkumpul di dalam KWSP. Jumlahnya RM 11000. Satu jumlah yang banyak. Aku sudah pun merancang-rancang untuk memiliki beberapa barang yang sudah aku idamkan beberapa tahun. Namun, ia tergendala kerana bajet yang merumitkan.

Namun, bila aku memiliki sejumlah wang itu akan aku gunakan membeli barang tersebut. Selebihnya, aku ingin berikan kepada mak dan ayah aku. Biar mereka merasai nikmat seperti yang aku dapat.

“ Assalamualaikum, Ya Shuhrur Rijal.”

“ Alaikumussalam Syaikhi, apa yang saya boleh bantu?” aku membalas salam.

Tuan Guruku menghubungi aku dengan tiba-tiba. Selalunya jika tuan guruku menghubungiku, pasti akan ada perkara yang penting yang ingin disampaikan.

“ Shuhrur Rijal! Bolehkah engkau korbankan hartamu kerana Allah?”soal guruku.
“ Insya Allah, Syaikhi ! “ balasku.

“ Begini, ditempat kelahiranmu, ada sebuah pusat anak yatim yang amat memerlukan duit kerana mereka terputus bekalan. Carilah, ia akan mendatangimu dan berilah mereka sedikit duit agar mereka merasai kebahagiaan “ ujar guruku.

“ Insya Allah “ aku membalas kembali.

Perintah guruku amat aku junjung. Segera aku mencari-cari pusat anak yatim yang aku kenal. Akhirnya, usaha aku berbaloi. Aku temui juga sebuah anak yatim.

“ Tuan, saya ingin kepastian! Adakah pusat anak yatim tuan ini, terputus bekalan kewangan ? “ aku bertanya kepada pegawai yang bertugas.

“ Ermmm….bagaimana tuan tahu “ jawabnya dengan nada terpinga.

“ Itu tak menjadi soal! Berapakah nilai yang sebenarnya yang boleh saya bantu ? “

“ RM 8000. Boleh ke tuan? “

“ Insya Allah, nanti saya masukkan. Hantarkan kepada saya no akaun ye” tekadku.

Akhirnya impian aku untuk memiliki barang yang sangat aku idamkan, aku tanam rapat-rapat dilubuk hati. Biarkan ia disitu kerana aku sudah berjuang untuk tidak memuliakannya. Aku hapuskan nafsu, aku berikan sesuatu yang amat aku sayang. Bukankah anjuran Rasul untuk kita memberi apa yang kita suka dan sayang.

Aku berdoa kepada Allah, semua amalku, jika ianya baik dan bernilai di sisi Allah, berikanlah ia kepada ibu dan ayahku. Jangan bersisa walaupun sedikit untuk diriku. Kerana aku sudah mewaqafkan diriku untuk perjuangan ini.

Mak dan abah ! Anak mak dan abah ingin jadi pejuang. Pejuang, menjadi seperti rasul. Jalannya jalan Rasul. Jalan menghapuskan aku di dalam aku. Jalan mencari Allah dengan sibghah rasul. Bukan hanya jalan sekadar ilmu dan kata-kata yang berbujur hipokrasi. Malah jalan ini jalan iman.

Jalan yang terangkum 3 elemen pembinasa kesyirikan dan kepalsuan. Dari I’tiqad benar seorang pejuang dan pecinta. Dari kata benar dari mulut suci seorang pejuang dan pecinta. Dari gerak laku yang ikhlas dari seorang pejuang dan pecinta.

Aku takkan menjadi seorang pejuang jika darah yang mengalir di dalam diri ini juga adalah titisan darah warisan yang mewarisi legasi dan ruh perjuangan. Perjuangan yang dibangunkan Nabi. Perjuangan menobatkan kalimah thoyyibah di dalam diri.

Benarkan aku menjadi pejuang! Aku ingin menjadi pejuang! Siapakah yang ingin bersama aku untuk meneruskan perjuangan ini? Siapa? Ingin jadi pejuang!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan