Rabu, 7 Julai 2010

BANTUAN



“ ( Allah menolong kamu dalam Perang Badar dan memberi bantuan ) adalah untuk membinasakan segolongan orang kafir, atau untuk menjadikan mereka hina, sehingga mereka kembali tanpa memperoleh apa pun “ Ali Imran 127

BANTUAN i

Malam itu cukup hening. Tapi bahangnya yang terkumpul dari panas unggun api dan haba yang dirembeskan oleh sekelian manusia, sentiasa membugar jiwa-jiwa yang resah menanti hari esok.

Esok adalah sebuah penentuan. Penentuan kepada sebuah kebenaran atau kebatilan.

Saat itu, baginda telah menghabiskan malamnya dengan munajah, penuh pengharapan. Mengharap dari sebuah iftiqar. Mengharap kepada ghaniy dari sifat istighnaNya. Mengharap kepada lathif. Mengharap kepada Jalal. Mengharap kepada Rahman. Mengharap kepada Rahim.

Berjujuran air mata baginda tanpa henti. Sebuah manifestasi pilu hati seorang abid agar terpacak kalimah thoyyibah menjulang erti sebuah kebenaran.

Tuhan! Kau menangkanlah kami dalam peperangan ini. Jika engkau tidak menangkan kami, kami akan terhina. Islam akan terhina. Bantulah kami kerana engkaulah sebaik-baik pemberi bantuan. Menangkanlah kami kerana engkaulah sebaik-baik pemberi kemenangan.

Badar menjadi saksi.313 orang menentang 1000 pahlawan. Berpuluh kuda dan unta menghadapi beberapa ekor sahaja milik orang Islam. Peperangan membutakan keadilan. Apalah yang digemakan keadilan jika ukurannya tidak seimbang. Kekuatannya tidak seimbang.

Allah berfirman : (( Dan sesungguh, Allah telah menolong kamu dalam perang badar, padahal kamu dalam keadaan lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah, agar kamu mensyukurinya.)) Ali Imran 123.

Namun, disebalik titik-titik kabur maksud kemenangan umat Islam telah membuktikan jitunya. Syirik telah sirna.Bersiponggang takbir menerpa. Setiap ruang dengan tasbih, tahmid dan takbir jelmaan sebuah kesyukuran tidak kepalang hebatnya.

Maka, turunlah wahyu menerobos dari ruang angkasa raya, langit dunia. Tertimpa ke atas para pejuang. Menolak syubuhat perjuangan. Pencampuran tentang benar dan yang disangka benar.

- (( Ingatlah ketika engkau ( Muhammad ) mengatakan kepada orang-orang beriman, “ Apakah tidak cukup bagimu bahwa Allah membantu kamu dengan tiga ribu malaikat yang diturunkan ( dari langit )?”

- “ Ya cukup. Jika kamu bersabar dan bertakwa ketika mereka datang menyerang kamu dengan tiba-tiba,niscaya Allah menolongmu dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda.

- Dan Allah tidak menjadikannya (pemberian bala bantuan itu ) melainkan sebagai kabar gembira bagi ( kemenangan )mu, dan agar hatimu tenang kerananya. Dan tidak ada kemenangan itu, selain dari Allah Yang Maha Perkasa , Maha Bijaksana. )) Ali Imran 124 - 126

_____________________________________

BANTUAN ii

“ Siapakah yang membenarkan kamu menanggalkan tudung di dalam kawasan sekolah.”

“ Kamu masuk sahaja dalam kawasan sekolah, kamu terpaksa mematuhi undang-undang sekolah” tegas aku dengan suara sedikit keras.

Aku masih boleh berkompromi dalam beberapa masalah, tetapi dalam masalah kemaksiatan di depan mata, nescaya aku tidak akan berlengah. Tambah pula, ada beberapa isu tidak puas hati dengan tindak tanduk tuan pengetua telah mencetuskan rasa amarah dalam kalangan para guru di sekolah.

Sudah ramai yang kecundang ketika berhadapan dengan tuan pengetua. Rasa tidak puas hati terpaksa dipendam setelah segala kekurangan dan kelemahan diuarkan. Pemberontakan berbentuk dalaman itu dipatahkan dengan hujah- hujah psyko sahaja.

Setelah aku habis memberi ucapan yang berupa ancaman-ancaman Allah terhadap mereka yang melanggar perintah Allah, juga merupakan reaksi aku terhadap program sambutan hari ulangtahun sekolah yang telah dicemari dengan pelbagai unsur kemaksiatan.

Tuan pengetua pula meneruskan ucapan dengan balasan kritik yang keras terhadap ucapanku. Apa tidaknya beliau yang terasa, kerana beliaulah orang yang membenarkan pelajar berzapin tanpa bertudung kepala.

Beliau jugalah orang yang beriya sangat ingin menjemput penyanyi pop yeh-yeh mengadakan konsert dan joget lambak. Semuanya kami tentang. Kami bukan aliran keras dan teror. Bantahan kami melalui prosedurnya dan membina. Kami bukan hanya sekadar mengkritik tetapi kami, turut membina dengan mengusulkan cadangan- cadangan yang bernas.

Aku dengan sukarelanya sanggup berhempas pulas untuk mengetuai Konsert Amal Islam secara besar-besaran jika tuan pengetua sudi membatalkan konsert pop yeh-yeh.

Teman kaunselorku pula, sanggup memanggil TV3, untuk menggendalikan rancangan al Kuliyyah. Ada yang sanggup untuk menggendalikan festival kesenian Islam, semata-mata untuk membatalkan rancangan konsert pop yeh-yeh tersebut.

Namun, usaha itu telah ditolak bulat-bulat. Matlamatnya tetap ingin dilaksanakan. Tetapi keinginan itu hanya berada dilandasan individu sahaja. Bukannya secara kolaborasi.

Bagiku, sekolah ialah pusat keilmuwan. Maka medan yang sesuai untuk sekolah ialah wacana berbentuk penyuburan intelektual. Memasyarakat ilmu. Memasyarakatkan kognitif positif secara maksimum. Bukannya dengan penyediaan hiburan berbentuk hedonisme.

Sekolah dan guru yang membentuk masyarakat. Jika begitu kehendak pengetuaku, maka benarlah kata-kata pujangga melayu : Jika guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari.

Jika guru menganjurkan hiburan berprestasi tinggi dalam meningkatkan peratus gejala sosial dalam masyarakat, maka tidak hairanlah jika anak murid dan masyarakat terjebak dalam kebobrokan akhlak.

Guru medannya ilmu. Biarlah kita berjuang dilandasan kita. Biarlah konsert pop yeh-yeh itu dibuat oleh orang lain. JKK kampung ke! wakil rakyat ke! syarikat-syarikat perniagaan ke.!Tetapi bukannya seorang guru.

Aku membisu. Tersenyum seorang diri. Aku masih mampu mengawal emosi. Seorang yang berjiwa besar mestilah pandai dan cermat mengawal emosi.

Bertubi-tubi kritikan pedas menerpa gegendang telingaku. Hujah-hujahnya pantas sahaja aku bidas. Namun aku mengambil jalan membisu dan tersenyum. Kadang-kadang senyap itu adalah senjata yang membunuh.

Habis sahaja beliau memuaskan bicaranya dihadapan pelajar, beliau kembali mengumpulkan kami, barisan guru untuk dihamburkan perasaannya pula. Beliau cuba memerangkap aku dengan mengumpul guru-guru agar menyokongnya.

Dari satu sudut, sememangnya aku akan dibelasahi dengan sokongan padu para guru, kerana tampak beliau amat baik dengan para guru. Semuanya telah ku letakkan tawakalku, pergantunganku kepada Allah.

Teringat aku kepada hadis nabi yang terungkap kalimah : (( Jika ummat ini bersatu untuk memudaratkan engkau, pasti engkau tidak akan dimudaratkan, melainkan Allah telah menetapkannya ))

“ Pagi ini, kita berkumpul kerana untuk membincangkan tentang program yang kita telah jalankan “

“ Pada saya program ini berjalan dengan lancar. Cuma ada orang yang tak puas hati dengan perjalanan majlis ini “

“ Sebagai seorang yang cemerlang, dia bukan hanya boleh melakukan satu kerja sahaja tapi boleh buat 2,3 atau lebih kerja pada satu masa”getusnya.

Bengang. Aku bukan hanya berkerja dengan satu tugasan sahaja pada waktu sambutan ulangtahun tersebut. Bayangkan sebanyak 11 perasmian berlangsung ketika itu. Yang hanya terlaksana hanya 7, kerana perasmi sudah letih dan tidak mampu meneruskan upacara lagi.

Bagi guru yang bertungkus lumus kepenatan, usaha dari segi tenaga, wang ringgit dan pengorbanan masa yang diluangkan bagi menjayakan majlis itu seumpama tidak berbaloi. Tambah dengan perasaan serba tidak senang dengan pengetua yang hanya memberi arahan ala diktator, menambah kebencian tatkala itu.

Mungkin pengetua tidak tahu atau tidak ambil tahu tentang pelaksana yang terhegeh-hegeh, berusaha tanpa memikirkan tentang risiko dirinya. Setiap guru, masing-masing memikul 2 atau 3 tugasan pada waktu itu. Malah ada yang lebih.

Malah aku pula, memikul 6 tugasan pada waktu itu. Aku ialah ketua perkhemahan pengakap. Perkhemahan ini diarahkan oleh tuan pengetua sendiri, walaupun aku sudah menolakkannya kerana ia agak tidak relatif dengan sambutan tersebut. Aku ialah ketua bagi perasmian surau al Husna dan bertukar kepada Surau Raudhatul Qadiriyyah. Aku ialah ketua bagi pameran al Husna. Aku ialah ketua gerai pengakap. Aku ialah ketua bilik operasi selangkah ke alam barzakh. Aku ialah ketua bahagian sambutan untuk perasmian majlis tersebut.

Aduh! Akulah orang yang paling sibuk ketika itu. Setiap masa aku terkejar-kejar disetiap ruang tugasanku agar ianya berjalan dengan lancar. Seringkali aku tercungap merebut masa. Namun, bukan aku sahaja begitu. Kelihatan beberapa orang guru keadaannya begitu juga.

Kami mengembleng tenaga bukan kerana nama. Jesteru, pengetua sendiri tidak nampak kami berkerja. Malah bukan ucapan terima kasih yang kami terima bahkan sungutan dan sedikit makian juga. Hati mana yang tidak marah. Hati mana yang tak terasa.

Orang lama kita yang beradat ada menyentuh perihal tersebut dengan ungkapan : Terbakar sekampung nampak asapnya, terbakar dihati siapa pula yang tahu.

Pengetua hanya sibuk melayan pembesar, sebaliknya pembesar pula menikamnya. Kami yang menyokongnya tidak dihiraukan hari itu. Kami masih menjalankan urusan kami dalam urusan ma’ruf di majlis itu. Tetapi kemungkaran tidak mungkin diterima walau secubit, kerana ia boleh merobek iman .

Sabda Rasulullah : ( Sesiapa yang melihat dikalangan kamu kemungkaran, hendaklah ia mengubah dengan tangan ( kuasa)nya. Jika tidak mampu, ubahlah dengan lisannya. Kalau tidak mampu, ubahlah dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemah iman).

Biarlah pengetua tidak tahupun. Tetapi prinsip aku adalah seperti firman Allah : (( Berkerjalah kamu. Allah, rasul dan para mukminin melihat kerjamu )).

Allah tahu. Rasul tahu. Rakan sekerjaku tahu. Anak-anak muridku tahu. Apa yang aku buat. Apa yang aku laksanakan. Demi Allah dan rasulnya.

“ Janganlah kita memandai-mandai. Buat sesuatu tanpa arahan. “

“ Lihatlah kesannya apa yang berlaku semalam jika tak ikut arahan “. Ujarnya untuk memerangkapku.

Kata-kataku terpasung.

Memang aku langgar jugak sedikit arahan apabila aku mengendalikan ruang kembali ke alam barzakh, kerana menggunakan bilik dikawasan belakang. Entah apa pula nasib, apabila malam konsert pop yeh-yeh tu, ada remaja yang mabuk dan membuat hal memaki hamun dan menumbuk radio dibilik tersebut.

Mungkin kerana marah jesteru takut dengan suasana mati. Namun, remaja itu sudah pun mati sebelum matinya. Mati hatinya sebelum jasadnya. Pengetua mengambil peluang disebalik kejadian tersebut untuk membenamkan aku.

Jeda. Tiada reaksi daripada guru. Tiada siapa yang berani untuk bertutur.

“ Saya pohon maaf jika saya ada buat kesilapan “ aku memulakan bicara.

Tiba-tiba, bangun seorang guru.

“ Saya tahu Ustaz Shahrul telah berkerja dengan bersungguh-sungguh “

“ Saya tahu apa yang dia buat. Dia kena jaga banyak tempat.”

“ Saya tahu sebab saya lihat sendiri apa yang berlaku “

“ Sebenarnya, apa yang berlaku adalah sebab kami sudah kepenatan “

Aduh, air mata bergenang. Suara sendu dari seorang lelaki jauh lebih memilukan. Tiada siapa akan terfikir yang guru itu akan menangis di hadapan rakan sejawatan. Bertambah lagi terharu kerana beliau membela aku. Sedangkan aku tidak menjangkakan dan aku tidak memohonnya.

Aku kenal guru itu. Satu ketika dahulu, dia pernah membantah dakwahku. Mungkin dia belum kenal aku dahulu. Dia pernah memecahkan pingan dan cawan kerana menunjukkan ketidakpuasan perasaannya terhadap tindakanku.

Rentetan itu, hubungan aku dan guru itu agak regang. Tapi masa mengembalikan hubungan tetap terjalin. Sementara kejadian ini mengukuhkan ikatanku bersamanya.

Belum kering air mata. Belum pudar rasa sedih dan hiba. Belum hilang suara meratap. Bangun seorang guru demi seorang guru. Mereka membela aku. Aduh, pertolongan apakah ini? Bantuan apakah ini? Semuanya tidak terjangka.

Berapa ramai yang merebut peluang seperti ini, malangnya mereka kecundang bak anjing menyalak gunung. Nasib mereka pula bagai mentimun digelek durian. Bantuan apakah yang membantuku? Mereka mengatakan hanya aku sahaja yang boleh meruntuhkan keegoannya.

Permainan itu bukan setakat itu, malah beliau turut mengundangku ke pejabatnya. Di selongkar laporan kehadiranku. Moga-moga di sana terdapat kelemahanku. Mungkin aku datang lewat. Mungkin aku sering ponteng. Mungkin aku, mungkin aku….

Namun beliau tidak mendapatinya. Aku hadir ke sekolah awal. Seawal 6.50 pagi. Aku masuk ke kelas dengan tepat kecuali dengan izin. Aku buat semua tugas yang di arahkan. Beliau masih tidak dapat menembusi perisai kebergantunganku kepada Allah.

Aduh, bantuan apakah ini. Tentera Allah yang berada di dalam hati telah menterbalikkan perasaan mereka untuk menyokongku. Ya Muqallibal qulub…..

________________________________________________________


BANTUAN iii

Pagi itu, tenang. Jam menunjukkan 9.30 pagi. Aku berteleku di bilik guru. Berbincang isu-isu dunia bersama rakan sekerja. Kebiasaan itulah yang akan kami bualkan jika ada masa terluang. Perbincangan separa ilmiah itu sering mencambahkan buah fikir yang kritis terhadap beberapa isu yang berpolemik.

Ketika hari tenang, pelajar masih giat dengan sesi P&P. Pintu bilik guru terkuak besar. Cikgu Suhaidin menjengukkan mukanya.

“ ustaz ada?”soalnya

“ Ada” aku menjawab ringkas.

“ Ada orang nak jumpa dekat kantin” beritahunya.

Aku bergegas bertolak menuju ke kantin. Perbincangan sebentar tadi aku tinggalkan.

“ Apa pula hal kali ini “cetus hatiku.

Memang aku kerap dikunjungi oleh ibu bapa pelajar, membincangkan isu keletah anak-anak mereka. Tak kurang juga yang berkunjung untuk mendapatkan doa atau air doa. Yang hilang barang juga sering tampil memohon bantuan. Selagi aku rasa mampu untuk membantu, aku akan bantu.

Namun, kali ini aku rasa sedikit hairan dan gementar. Apa pula isu yang cuba dibangkitkan. Sampai di kantin, aku mencari penjaga yang ingin bertemu denganku. Sebaliknya bukan penjaga, tetapi Ketua kampung juga merangkap pengerusi masjid di Tenggaroh 5.

“ Boleh saya berbicara dengan ustaz. Dikantin ni agak tidak sesuailah ustaz ! “ pinta beliau.

Aku akur dengan cadangannya dan mambawanya ke makmal komputer. Aku tatap wajahnya dan hatiku berbisik, sudah tentu ada isu baru yang timbul. Kegusaranku mungkin terpapar melalui riak wajahku.

“ Apa yang saya boleh bantu tuan? “ aku memulakan perbualan.

“ Begini Ustaz, saya sendiri berasa malu untuk bertemu dengan ustaz. Tetapi saya sendiri terpaksa berjumpa dengan ustaz kerana saya hanya mewakili masjid yang saya adalah pengerusinya.” Jelas ketua kampung.

Aku masih mendiamkan diri, sekadar mendengar dengan minat.

“ Kami ahli jawatan kuasa masjid, telah bermesyuarat baru-baru ini.”

“ Kami menghormati beberapa orang yang berpendapat bahawa, ustaz tak perlulah buat program di masjid dalam bulan Ramadhan ini “

Berdesing telinga aku mendengar permintaan itu. Ujian apakah yang aku tanggung kali ini. Sudah banyak ujian yang aku alami, ada yang mengatakan aku gila, sesat, ustaz tak cukup umur dan macam-macam lagi.

Semuanya aku hadapi dengan cermat. Malah hati aku cukup tabah dan tidak terguris. Namun, kali ini aku sememangnya cukup terasa.

Hatiku terguris cukup munasabah. Sebelum ini, kejayaan aku mengatasi perasaan aku adalah kerana aku memaafkan tindakan tersebut berdasarkan tujahan kata-kata yang berbentuk nista itu terpacul dari golongan yang jahil. Tetapi, kini ia adalah tindakan dari orang yang kuat ibadah. Sembahyang yang tak lepas tunggang tonggeknya. Biji tasbih berkepit sentiasa. Dahi hitam kesan sujudnya. Sentiasa keluar dijalan Allah dengan kuat mujahadahnya.

Kejadian ini lantas aku menangkap peristiwa tahun lepas dibulan Ramadan. Hanya sekadar salah faham tentang membaca al Quran secara jahar membawa aku ke kancah dendam.

Tapi, didikan guruku menjadikan aku lebih tenang. Aku hanya tersenyum. Tersenyum dengan kesepakatan tersebut. Tersenyum melihat tindakan yang kebudak-budakan dan tersenyum kerana aku berjaya untuk tidak beremosi.

“ Ermmm…kalau begitulah kehendak ahli mesyuarat, saya tak akan mengadakan program lagi di masjid”

“ Saya akan akur dengan kehendak pihak masjid dan ahlinya.” Kataku dengan nada sedih.

“ Cuma yang saya kesalkan ialah, jika dilarang itu perbuatan mungkar. Saya boleh menerimanya, tetapi apa yang saya buat jauh dari sudut kemungkaran. “ aku tersenyum.

Senyumanku menambah kekeluan pengerusi masjid lebih menebal. Aku hanya sekadar menggelengkan kepalaku tanda kekesalan apa yang berlaku. Pertemuan itu sungguh menyeksakan. Baru aku merasai kenikmatan dan hampir berjaya berdakwah dengan membawa hampir 70 orang pemuda ke masjid. Namun, ia dihalang oleh orang yang berwatakan seperti Abdullah bin Ubai bin Salul.

Aku bukan seperti dia yang akan mengambil jalan untuk berdendam. Jauh dari sudut hatiku, aku akan memaafkan mereka. Apa sahaja tindakan mereka aku akan maafkan. Allah ada berfirman :

(( Jika kamu menyatakan sesuatu kebajikan,menyembunyikannya atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sungguh, Allah Maha Pemaaf dan Maha kuasa-An-Nisa':149 ))

Aku biarkan masa berlalu. Namun, perjuangan masih ku teruskan. Pengajian tetap berjalan seperti biasa. Malah aku atur strategi untuk melicinkan dakwahku. Aku tidak tegar untuk terus tenggelam dengan keputus asaan atas cacian para pencaci. Biarlah mereka, moga Allah mengampuni mereka.

Bantuan tiba....

“ Ustaz! Ustaz! Ada imam Yunos datang jumpa ustaz tak ? “ anak muridku bertanya setelah aku kembali dari sekolah.

“ Ermmm.. tak ada. Mengapa ? “ aku membalas.

“ Ada berita baik ustaz! “ ujarnya dengan nada yang begitu ceria.

“ Ermm...apa dia ? “

“ Baru aje ajk masjid bermesyuarat. Mereka semua bersetuju memberi peluang kepada kita untuk mengendalikan maulidur rasul di masjid “ jeritnya kegembiraan.

Aku terkedu. Bantuan apakah yang aku perolehi setelah apa yang mereka lakukan kepadaku. Sungguh aku tidak menjangkakan apa yang berlaku. Adakah ini berita yang baik atau satu ujian?

Aku akur setiap ketetapan Allah. Bantuan yang Allah turunkan kepadaku amat aku hargai. Engkaulah yang membalikkan hati untuk mereka menerima hidayah. Bukannya aku. Aku sekadar berusaha dan menjadi penyebab untuk sebarang perubahan.

Perubahan yang cuba aku bawa tidak akan berkesan jika tiada bantuan ketuhanan kepada diriku. Engkaulah tuhan, tempat aku bermohon pertolongan. Terima kasih Allah.

__________________________________


BANTUAN iv


Cepat betul berita penangkapan itu tersebar. Beberapa anak muridku ditangkap polis kerana terlibat kes pukul orang. Mereka menangkap orang membuat “ projek “, tapi emosi masih belum terkawal lantas mengambil tekad untuk memukul.

Entah, perundangan kini berpecah-pecah. Secara sivilnya mereka bersalah memukul tetapi dari segi ruhnya mereka benar kerana bertindak menyekat kemaksiatan. Namun, undang-undang tidak memihak kepada mereka. Selagi ia berbentuk penjajahan dan hukum syariat belum ternobat, agar sukar untuk memecah kebuntuan perundangan ini.

Jauh dari sudut itu, aku melihat dalam norma yang sungguh jauh. Bukan prosedurnya tetapi hikmahnya.

“ Apa yang kamu dapat pelajari dari apa yang berlaku ? “ soalku.

“ Bila saya duduk dalam jail tu, banyak yang saya fikirkan. Saya banyak memuhasabah diri.”

“ Dan saya melihat gerak geri kawan-kawan saya. Ada yang bersemangat dan ramainya menjadi lemah dalam perjuangan “

“ Malah ada yang menyalahkan antara satu sama lain” anak muridku menjelas.

Aku mengangguk kepalaku tanda faham dan bersetuju. Penjara biasanya akan memerangkap jiwa-jiwa lemah yang tidak kental sebelum terjebak ke alam perjuangan. Nafsu akan menyorot jiwa tersebut memberontak kerana tidak mampu berada di dalam keselesaan.

Jesteru, penjara akan melemahkan mereka. Biarlah jasad yang terpenjara tetapi tidak roh mereka. Berapa ramai para pejuang dan ulamak yang terpenjara, namun, itulah masanya mereka menumpukan urusan ketuhanan dengan beramal. Mereka dapat memberi alternatif dalam kehidupan berpenjara.

Ini adalah disebabkan latihan dan tarbiyyah yang diterima sebelum menjadi pejuang tersalur dengan betul. Anak muridku, mereka belum lagi bersedia. Mereka belum boleh berjuang. Jiwa mereka lemah. Jiwa mereka daif. Jiwa mereka naif. Bukan kata berjuang atas nama kebenaran, beristiqamah untuk mengamalkan wirid dan hizb pun luntur. Usah lagi solat di malam hari.

Pejuang, jiwanya mesti kental. Kekentalan itu berasal dari latihan yang memahsulkan istiqamah. Jika belum mendapat warna istiqamah, nyahlah diri dari sebutan perjuangan. Kita akan kalah. Kalah terhadap diri. Kalah sebelum berjuang.

“ Ustaz memandang apa yang berlaku dengan lebih besar lagi “

“ Ustaz ada 2 benda yang tersirat yang ustaz nak beritahu kamu “

“ Yang pertama, perjuangan kamu pada malam itu ada syubhahnya! “ aku tekan nada suaraku.

“ Kenapa ustaz ? “

“ Pada malam itu, bukan semua dalam kalangan kamu yang berniat kerana Allah untuk menyekat mungkar ! “

“ Sebaliknya dengan kehadiran beberapa orang luar telah menjadikannya syubhah dengan bertujuan untuk skodeng dan memukul “

“ Tambahan jalan memukul bukanlah jalan yang ustaz terapkan kepada kamu ! “

“ Jesteru ia menjadi syubhah “

“ Sesuatu yang bermula dengan tidak baik maka natijahnya juga tidak baik! “ aku berhujah.

Anak muridku menatap wajahku tanda mengambil enteng terhadap kata-kataku.
Sebaiknya aku mengawal emosi kerana ia meruntun kepada tamsil kepada anak muridku.

“ Yang kedua pula ialah, biarlah ustaz ceritakan pada kamu.”

“ Ustaz bermula dakwah di Tenggaroh ini seorang diri “

“ Bermacam-macam dugaan ustaz terima. Cercaan, makian, kata nista, umpatan, semuanya sudah terpalit dan dirasai oleh ustaz “

“ Tapi dengan kesabaran yang ada, istiqamah dalam perjuangan dan yang paling penting ialah cukup bekal dengan ilmu dan tarbiyah dari tuan guru, Allah menurunkan bantuanNya “

“ Orang yang mencaci ustaz suatu ketika dahulu, orang itulah yang kuat mempertahankan ustaz kini“

“ Orang yang memaki ustaz, kini dia memuji ustaz “

“ Orang yang meninggalkan ustaz, kini dialah yang berguru dengan ustaz “

“ Pernah satu ketika ustaz ustaz diserang oleh tuan pengetua. Ketika itu, ustaz bersendirian. Entah mana bantuan yang datang dari tuhan, beberapa orang guru mempertahankan ustaz”

“ Kamu sendiri mengetahui, kita pernah dihalang untuk berprogram di masjid, namun kini mereka tawarkan kita untuk mengendali program. “

“ Bantuan, apakah itu ? Rasul pun keseorangan. Namun Allah menterbalikkan hati para quraisyh jahiliyyah untuk berpaling kepada Islam “

“ Berbanding dengan kamu….”

Aku berhenti seketika. Memberi ruang buat keringat akal berfikir dan kembali berdaya untuk menangkap segala butir nasihat yang aku hamburkan kepada anak murid aku, agar dia benar-benar faham.

“ Berbanding dengan kamu yang berjuang berbelas orang, namun ustaz lihat tiada bantuan yang Allah berikan”

“ Manusia lari dan bersangka buruk! “

“ Tiada siapa yang membantu kamu ! “

“ Kamanakah perginya bantuan Allah itu ?”aku mengulas panjang.

Kelihatan anak muridku menghirup nafas yang panjang. Aku pasti, suasana itu pasti akan mengundang ketegangan. Aku mencari cara yang terbaik untuk aku lunaskan tanggung jawabku sebagai murabbi kepada mereka tanpa mereka akan terasa atau melenyapkan semangat jihad mereka.

“ Bukan ramai yang menjadi ukuran kajayaan dalam usaha dakwah “

“ Kebanyakkan para anbia menyusuri dakwah mereka seorang diri dan jumlah pengikut yang sedikit “

“ Allah juga telah berfirman : ((Berapa banyak jumlah yang sedikit mengalahkan jumlah yang banyak ))”

“ Tetapi pertolongan dan bantuan Allah dalam setiap perjuanganlah yang menjadi ukuran dalam perjuangan orang seperti kita ! “

“ Betulkan diri ! Penuhkan diri kamu dengan tarbiyah yang sempurna. Banyak lagi lompong dalam amal yang menjadi tunjang kekuatan jiwa kamu “

“ Setelah itu berdoalah dan pohon bantuan ! “

Jalan kita ialah jalan yang diharungi oleh Saidina Rasul. Kemenangan Rasul adalah dari bantuan Allah. Kita juga perlu menang dengan bantuan itu. Ya ! Bantuan itu….

Ya Allah, menangkanlah kami kerana Engkaulah sebaik-baik pemberi kemenangan.

Jangan pasti untuk merasa kemenangan jika engkau tidak pasti menerima bantuanNya!.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan